Monday, May 29, 2006

Aduhai...Ummu Ali

Semalam, saya membaca berita gempa di Jogja dalam keadaan kepala saya berdenyut-denyut. Entah kenapa, seharian kepala saya sakit. Adakah kerana terlalu banyak membaca buku? Mungkinkah begitu? (Rasanya aku ni pemalas) Mahu tak mahu, buku kena belek juga sebab keesokkannya ada paper Falsafah Islam. Saya telan ubat, tapi sakitnya masih menggigit-gigit. Paling menyedihkan saya langsung tak boleh nak fokus pada pembacaan. Saya cuba surf internet sekejap sampai mata saya berat. Lalu masuk tidur. Dan...Jogja bertamu dalam mimpi...

(Inah, keluarga kita telah pergi. Sekarang hanya kita berdua di sini)


Esoknya, saya bersiap awal pagi lagi untuk ke Universiti Al-Azhar. Pening masih tak hilang. Dalam hati saya berdoa agar dipermudahkan segala urusan sepanjang menjawab exam.



(suasana lalulintas di Khan Khalili. Ramai pejalan kaki. Makcik baju biru tu sedang control cun)


Alhamdulillah, cuaca tak begitu panas. Traffik di Khan Khalili juga tak begitu macet. Mungkin berkat solat hajat dan doa dari ibu saya.

Sepanjang peperiksaan, saya tidak begitu bersemangat kerana sakit kepala tidak hilang. Tak berapa boleh nak fokus. Apapun, saya jawab juga sekadar yang termampu. Alhamdulillah, dapat jugalah penuhkan tiga muka(shj). Then?

Saya terus berangkat pulang dan menuju ke perhentian bas. Walaupun cuaca sedikit panas, ditambah dengan sakit kepala yang belum hilang...hati saya jadi gundah. Perut mula berkeroncong dan tekak mula haus. Aduh! Saya segera teringatkan Ummu Ali (Ibu Ali). Saya menjadi asyik sekali memikirkan Ummu Ali dalam keadaan cuaca begini. Errmm! Pasti sedap jika dapat merasainya.


(suasana di perhentian bas. Ramai ammu yang botak2)


Saya menunggu sekitar 10 minit sebelum bas 24 jim sampai. Sebaik bas sampai, aksi melompatpun bermula dan segalanya lancar. Saya berjaya mendapatkan tempat duduk single di sebelah kiri. Alhamdulillah. Dari tingkap jendela, saya menikmati pandangan sepanjang perjalanan. Bas melalui Dirasah, Abbasiah, Nadi Sikkah, Hayyu Sadis dan akhirnya Hayyu Sabiek.

Sebaik bas tiba di perhentian Villa, saya melompat turun. Saya berjalan pulang ke rumah. Sebaik kaki saya memasuki jalan Abbas Zakzuq, saya singgah di kedai Sonesta. Membayar LE2.50 untuk Ummu Ali. Penjual menghulurkan apa yang diminta. Saya membimbit Ummu Ali pulang untuk menikmatinya. Sejurus tiba di rumah, saya tidak berfikir panjang. Saya membuka alas yang menutupi isi Ummu Ali dan langsung menjamahnya dengan penuh lahap. Bismillah!




(Ummu Ali, sejenis makanan tradisi yang dibuat daripada roti, susu, zabib dan gula. Best!)


Sebaik mencicip Ummu Ali, hilang segala kewalahan yang ditanggung sepanjang perjalanan pergi dan pulang tadi. Alhamdulillah!


Paling HOT

Ikuti perbualan tiga orang rakan : Kalil, Joji dan Mamai

Kalil : Bagi aku, cerita paling hangat isu gempa bumi di Jogja.(Sambil memetik petikan akhbar)

YOGYAKARTA 28 Mei - Jumlah kematian akibat gempa bumi di sini turut meningkat di samping mangsa-mangsa mula berhadapan dengan masalah kekurangan makanan dan tempat perlindungan. Setakat ini sebanyak 4,600 orang disahkan terbunuh dalam gempa bumi yang berlaku dengan kekuatan 6.3 skala Richter, awal pagi semalam. Mangsa yang cedera pula dilaporkan meningkat kepada lebih 20,000 orang menyebabkan pihak hospital menghadapi masalah untuk merawat mereka dan lebih 100,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.

Joji : Camtu ke citer hot? Tak hot langsung. Korang patut follow isu AF. (Sambil memetik petikan akhbar)

KUALA LUMPUR 28 Mei - Pencarian pelajar untuk menyertai Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4) terjawab apabila 12 peserta terpilih ke akademi itu selepas Konsert Prelude AF yang berlangsung di Studio 1, Astro di sini malam ini. Seramai 12 pelajar itu dipilih daripada 20 peserta yang disenarai pendek bagi menyertai pengajian menerusi program realiti televisyen itu selama tiga bulan.

Mereka terdiri daripada Diddy, Faizal, Haziq, Looter, Rich, Farhan, Karen, Salima, Velvet dan Zila. Sebanyak 10 peserta yang terpilih itu ditentukan oleh lima juri iaitu Ramli Sarip, Rozina Aziz, Freddie Fernandez, Ramli MS dan Ajai. Sementara pemilihan Nora dan Amirul pula dipilih hasil undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton.

AF4 akan memulakan konsertnya setiap malam Sabtu mulai 3 Jun ini selama 10 minggu dan juara akan menerima hadiah termasuk wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM400,000. Seramai 12 pelajar terpilih bertanding menerusi program siaran saluran Astro RIA itu adalah daripada 7,000 peserta yang menyertai uji bakat di seluruh negara dari 18 Februari hingga 2 April lalu.

Mamai : Nantilah wei Joji. Aku nak dengar cerita Kalil ni dulu. (Memetik petikan akhbar)

``Keadaan di sini semakin gawat, bantuan luar sangat diperlukan sekarang kerana kami tidak mampu lagi menampung jumlah mereka yang parah.

``Malah saya difahamkan masih banyak mayat tertimbus di bawah runtuhan,'' katanya pada Utusan Malaysia di sini hari ini. Selain jumlah kematian dan kecederaan yang terus meningkat, Yogyakarta dianggap mengalami kemusnahan yang paling teruk dalam sejarahnya apabila beratus-ratus bangunan penting kerajaan termasuk balai bomba dan hospital roboh atau mengalami kerosakan teruk.

Joji : Alah, sibuk ler kau. Ni, citer lagi best!

LOS ANGELES 28 Mei - Penantian pasangan terkenal Hollywood, Angelina Jolie dan Brad Pitt untuk menimang cahaya mata pertama mereka berakhir apabila Jolie selamat melahirkan seorang bayi perempuan semalam. Ejen publisiti mereka, Cindy Guagenti memberitahu, bayi yang diberi nama Shiloh Nouvel Jolie-Pitt itu berada dalam keadaan sihat.

"Malam 27 Mei merupakan malam paling berbahagia untuk pasangan berkenaan apabila Shiloh Nouvel dilahirkan di Namibia, Afrika," kata kenyataan pendek Guagenti itu.


Mamai : Tepi! Tepi! Aku nak dengar Kalil bercerita dulu. (Memetik petikan akhbar)

"Kami serba kekurangan, pakaian, makanan, air semuanya kehabisan," kata Budi Wiyana, 63, di sisi rumah yang musnah.

Doktor bertungkus-lumus untuk merawat mangsa yang cedera, kebanyakannya terlantar di atas kertas plastik, tikar jerami dan surat khabar di luar hospital yang penuh sesak.
Darah berlumuran di lantai Hospital Dr. Sardjito, Yogjakarta di samping timbunan kain pembalut dan bekalan perubatan terpakai.

"Kami kekurangan doktor bedah," kata seorang doktor, Alexander.

"Masih begitu ramai mangsa yang cedera parah belum mendapat rawatan," katanya.
Gempa bumi yang melanda kawasan dekat kompleks kuil Borobudur merupakan bencana terbaru daripada beberapa malapetaka yang menimpa Indonesia - ombak tsunami yang meranapkan wilayah Aceh pada 2004, wabak selesema burung yang kian merebak dan ancaman letupan Gunung Merapi.


Joji : Arghhh! Tak bolehlah. Cerita Kalil tu citer negara luar. Ni, kejayaan orang Malaysia kita ni.(Memetik petikan akhbar)

HONG KONG 28 Mei - Bekas gadis Bond, Datuk Michelle Yeoh akan menghasilkan filem di Kutub Utara pada penghujung tahun ini.

"Saya berharap akan dapat menerbitkan sebuah filem di Kutub Utara pada September ini. Ia sebuah filem ekstrem," kata beliau.

"Baru sahaja mendengar nama tempat, ia membuatkan saya berfikir bahawa itu bukan satu tugas mudah, tambah beliau dalam temu bual dengan stesen penyiaran negara ini, Cable TV, di Cannes, Perancis.

Kalil : Korang ni tak abis-abis gaduh. Ok ler, aku nak habaq citer best plak ni. (Memetik petikan akhbar)

TUMPAT: Sepuluh lelaki dan dua janda muda didenda hampir RM9,000(sahaja) oleh Mahkamah Rendah Syariah Tumpat, selepas mengaku salah berkhalwat beramai-ramai dalam sebuah rumah di Kampung Palekbang, dekat sini, April lalu.

Kumpulan lelaki itu ialah Mohd Shukri Ramli, 23; Zulkifli Salleh, 26; Zulkifli Zainun, 32; Mohd Rizam Abd Sani, 27; Abu Hassan Shaari, 24; Mohd Anizan Arifin, 22; Abdul Shomad Azizan, 28; Rosli Amazah, 30; Mohd Shukri Azizan, 32 dan seorang tertuduh berusia 15 tahun.Dua daripada kumpulan lelaki itu berasal dari Pasir Mas dan Tumpat, manakala tujuh lagi dari Kedah dan bekerja sebagai pemandu jentera pembajak padi serta menyewa sebuah rumah di kampung itu sejak awal tahun ini.

Kumpulan 10 lelaki itu dituduh melakukan perbuatan itu bersama-sama dua wanita yang juga peniaga, Esah Salleh, 24, dan rakannya, Suhaibah Mahammat, 22, mengikut Seksyen 9(4) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan No.2/ 1985.Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya.

Joji : Best jugak. Tapi, topik AF lagi best. Ni...kejap

SERI KEMBANGAN: Peserta bertudung, Nor Salima Habibi adalah antara 12 pelajar yang akan meneruskan cabaran merebut gelaran juara musim keempat program realiti popular, Akademi Fantasia (AF). Peserta berusia 18 tahun dari Ipoh, Perak itu membawakan lagu yang pernah dipopularkan Aishah, Syurga Di Telapak Kaki Ibu pada Konsert Prelude Akademi Fantasia yang berlangsung di Studio 1, Pusat Penyiaran Asia (Astro), di sini, malam tadi.

Turut layak sebagai finalis AF4 ialah peserta Cina, Karen Tan Lee Suan, 21, yang menarik perhatian juri ketika menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan Fauziah Latiff, Di Muara Sepi.


Mamai : Woi! Apa la korang berdua ni. Tak best langsung. Ko plak Kalil, tadi cakap isu Indonesia. Apesal lak tukar topik tiba-tiba? Ni, citer sedih korang patut tengok.

JAMPRIT: Anak perempuan Poniran masih bernafas ketika dia menemuinya di bawah runtuhan rumah mereka. Namun kanak-kanak berusia lima tahun itu meninggal di pangkuannya ketika menunggu rawatan di hospital yang sesak dengan pesakit.

"Dia memanggil saya ayah, ayah, sebelum menghembuskan nafas terakhir. Sekarang saya terpaksa kembali meneruskan hidup sendirian," katanya ketika berehat selepas menggali runtuhan rumahnya untuk mencari barangan yang masih elok.


Zap!

Joji, Kalil dan Mamai : Waaaaaaaa! Uwaaaa! (Menjerit serentak)

Rupanya mereka menangis sebab letrik terputus. Tak leh nak surf internet.

---------------
P/S : Maaf, ada bahagian ayat yang menggunakan tatabahasa yang salah.

Sunday, May 28, 2006

Boleh Kahwin Misyar...Bolehkah?

Kecoh sehari dua ni Tuan Guru Dato Haji Nik Aziz Nik Mat menyatakan kahwin misyar dibolehkan. Iaitu kahwin atas tujuan memenuhi tuntutan batin wanita dan tidak tuntutan zahirnya. Hal ini berlaku di negara kaya yang kebanyakan wanitanya mempunyai pekerjaan yang bergaji tinggi.

Opini masing-masing berbeza dalam hal ni. Yang jelas, syarak membenarkannya. Pun begitu, suka untuk saya berkongsi pengalaman sebagai anak yang dibesarkan dalam keluarga berpoligami.

Isunya bukan pada jenis perkahwinan. Tak kiralah poligami, monogami, misyar atau yang seumpama dengannya. Itu bukan isu utama. Yang penting adalah agama si bapa dan si ibu biarlah benar-benar muslim/ah dahulu sebelum mendirikan rumahtangga. Barulah pasak baitul muslim benar-benar rigid dan tidak bergoyang ditiup dek angin mehnah. Anak-anak yang lahir juga bisa menjadi qurratu a'ayun di dalam keluarga mahupun masyarakat.

Keduanya, bagi lelaki yang benar-benar mahu berpoligami. Wajib(pada pandangan saya) mencari isteri pertama yang benar-benar tinggi agama dan kuat sabarnya. Kerana tidak ada seorang wanita di dunia ini yang sanggup diduakan. Malah tidak ada wanita waras yang tidak cemburu pada suami yang berkahwin lebih dari satu. Ini adalah fitrah dan naluri biasa seorang wanita. Jika suami memilih isteri pertama yang lemah iman dan agamanya, saya yakin jika si suami berpoligami... suasana rumahtangga akan jadi retak menanti belah. Cemburu akan menyebabkan api di dalam jiwa isteri meledak dan rasa iri membuak-buak. Akhirnya? Perang dunia meletus. Anak-anak yang akan jadi korban. Kasihan bukan?

Kerana sepanjang pemerhatian saya, ibu lebih banyak memainkan peranan mendidik anak-anak menjadi manusia. Kehadiran si bapa hanya melengkapkan sekitar 30-40% faktor kasih sayang di dalam jiwa anak. Rata-rata kita melihat anak-anak lebih intim dengan si ibu. Betulkan? Jarang-jarang sahaja anak rapat dengan si bapa. Sebab itu, Nabi saw berpesan sungguh-sungguh "....pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan beruntung."

Saya tidak bersetuju dengan poligami, bererti saya juga kurang bersetuju dengan perkahwinan misyar. Bagi saya, matlamat terbesar perkahwinan adalah melahirkan generasi Islam untuk masa mendatang. Jika institusi ini tidak dijaga dengan penuh prihatin dan konsisten oleh ibubapa. Matlamat yang besar ini akan gagal. Apatah lagi jika si bapa kahwin dua atau tiga, saya sangat percaya anak-anaknya tidak akan mendapat sepenuh perhatian dalam pembentukan sifat dan akhlak. Ini memang kasihan. Makin ramai anak-anak yang nak jadi seperti Mawi, Salima, artis dan penyanyi. Kenapa? Antaranya disebabkan mereka tidak mendapat contoh role model yang baik dari ibubapa sendiri.

Walaupun begitu, saya sangat berbangga pada keluarga yang mampu hidup dengan sentosa walaupun berpoligami. Hal ini menepati seruan nabi "Berkahwinlah dan ramaikanlah bilangan zuriat, sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan umatku yang ramai di hari akhirat". Malah saya sendiri sangat berbangga dengan keluarga saya yang mempunyai seramai 15 beradik dan dua orang ibu. (hebat bukan? :D)

Bukan bermakna saya membantah, tetapi kurang bersetuju dengan kahwin misyar. Apa pula pandangan anda?

___________________

Baitul muslim : Rumahtangga yang Islam
Qurratu A'ayun : Penyejuk mata

Wednesday, May 24, 2006

Ketabahan yang Masih Kurang


Saya yakin, jika ada kemahuan pasti ada jalan. Saya pasti mereka yang berusaha akan berjaya. Saya percaya jika tabah dan sabar, hasilnya akan bertenaga. Tapi...saya masih kekurangan kuasa ketabahan. Setiap kali saya berteleku di depan kertas putih, saya cepat jemu. Sesekali jika saya berjaya menghasilkan skrip yang baik, lukisan pula yang kurang power. Begitu juga sebaliknya.


Bagi seorang pelukis, suasana sangat mempengaruhi. Moodnya perlu dijaga dan persekitaran tempat kerja(tempat melukis) juga perlu lebih privacy. Mungkin sesetengah pelukis tidak hiraukan mejanya yang berterabur dan bersepah(Saya juga begitu) tetapi sewaktu saya melukis, pantang sekali diganggu. Ia akan mempengaruhi semangat dan menyusutkan fokus.


Apapun saya bersyukur di atas peluang(kepercayaan) yang diberikan oleh PTS Millenia untuk menerbitkan novel grafik saya. Jauh terselit di hati sendiri bahawa hasil karya tersebut masih di bawah dan saya bersedia menerima sebarang kritikan dan komentar. Mudah-mudahan saya mampu menghasilkan karya yang lebih baik dan lebih bertenaga selepas ini. Insya Allah!

Tuesday, May 23, 2006

Surat untuk IBU : Vol 2

Assalamualaikum wrt wbt,

Ibu yang paling kusayangi,

Aku tetap berdoa langit yang meneduhimu sentiasa nyaman dan mengiwir bayu. Bumi yang menghampar di kakimu itu rata dan tidak bergelombang. Andai mungkin, mahu saja kupohon tuhan mengirim sebentuk awan yang bisa memayungimu. Ibu pasti tahu, cuaca Malaysia panas dan terik. Apatah lagi jika Jun mendekati, tanah sekitar jadi kering garing. Justeru, pasti enak sekali jika awan gemawan sering berganti-gantian meneduhimu.

Mesir juga dipanah mentari yang sama. Bila Jun mendekati, bererti musim soifi sudah benar-benar berdiri. Namun, kepanasan di sini tidak sepijar bumi Syiria atau Sudan. Di sini, angin selebu mediteranean masih berpuput langsam. Berhembus dari pesisir Iskandariah lalu ke Kaherah. Pijar di sini menyusut dan teriknya tertahan-tahan. Alhamdulillah, tuhan memberi rukhsah bagi manusia dhaif sepertiku dalam menghadapi cuaca sebegini.

Soifi kekadang mengujiku. Ada waktu pijarnya membahang, maka siang benar-benar kumal dan meresahkan. Aku terpaksa berdiam di rumah dan tidak bisa berbuat apa-apa. Aku pamit saja ke kamar dan cuba melelapkan mata. Tapi, hal itu tidak mungkin. Udaranya panas! Lantas, aku terpaksa menunggu malam. Sebaik mentari terlindung di balik atmosfera bumi, aku mula membaca, menelaah dan menulis nota. Alhamdulillah, siang dan malam itu dijadikan bersilih ganti. Ada waktu panas dan sejuknya, ada waktu terang dan gelapnya. Bererti aku bisa memilih situasi dan kondisi berbeza dalam waktu 24jam itu.

Ibu, malam-malam di Mesir ini tidak seindah di Malaysia. Jika malam muncul, bulan memang sukar kelihatan. Entah kenapa. Jika soal melihat bulan, kukira masih boleh dibilang berapa kali aku melihatnya. Terbatas dan kurang sekali. Malam-malam di sini juga seringkali melekakan. Aku tidak bisa terus-terusan membaca al-Quran atau duduk sambil bermuzakarah. Sedangkan di rumah kita, ibu tidak putus membaca kalam tuhan setiap malam sebelum tidur. Hingga rumah kita terang dengan suara alunan ibu. Malah seringkali kita berbual soal tauhid dan yakin. Memahami takdir dan qadar, sambil memperutuhkan makrifat ketuhanan.

Ibu, rasanya cukuplah dahulu suratku kali ini. Jika ada waktu, aku akan khabarkan lagi kepadamu kisah-kisah Kaherah dan Mesir. Sambil aku mengimbau kenangan di tanah air. Insya allah.

Ibu, aku pamit dulu.

Wassalam.

------------------------------------------
Soifi : Musim panas
Rukhsah : Keringanan

Kisah Teruna(Sambungan Si Teruna Malang)

Hujan mencurah-curah turun dari langit, si teruna basah sebasahnya. Dia melutut di tepi longkang sambil merenung ke dasarnya yang berwarna hijau kecoklatan. Entah ke mana sudah dibawa pergi sampul miliknya. Entah di mana mahu dicari hilangnya. Entah bagaimana mahu dijelaskan pada si dara. Aduh!

Splash!

Mukanya basah.
Si teruna pandang kiri kanan. Kenapa aku di bilik? Oh, bermimpi rupanya? Si teruna memandang wajah temannya yang menyimbah air tadi. Senyum. Mujurlah temannya berbuat begitu, akhirnya dia terlepas dari mimpi NGERI tadi.

"Kau ni apa kes, tersenyum semacam jer? Tadi bukan main meracau dalam tidur. Jumpa hantu ke ape?"

Senyum.
Si teruna bahagia. Dia yakin suratnya tidak hilang seperti dalam mimpi tadi.

"Nah!" Kawannya menghulur sekeping sampul jenis air mail. Wah! Mata si teruna terbeliak. Dia pantas menyambut huluran itu dan membuka isinya. Dia pun belek punya belek. Hatinya kembang berbunga. Yang ditunggu tiba, yang dihajati menjelma, yang diharap-harapkan terlaksana, dia tak kecewa dan tak merana. Si teruna senyum 14 simpul sampai terpulas-pulas bibirnya.

"Hei! Apa kes kau ni? Dapat surat Puteri Gunung Ledang ke ape?" Rakannya menyampuk.
Si teruna tetap khayal dalam asyik maksyuknya. Hah! Lamunannya tersentak. Dia teringat kata-kata si dara, jika dah terima sampulnya...cepat-cepatlah khabarkan. Jika berkenan, cepat-cepatlah masuk meminang. Tak elok simpan perasaan, nanti terlepas bimbang tak cukup makan. Sebaliknya, jika hati tak jatuh...jangan buat-buat sombong, kena berterus terang agar tak ada yang bingung.

Sekarang
si teruna pasti hatinya sudah terpaut. Tak ada keraguan dan kesangsian. Katak di kolampun bisa meberitahu riak wajahnya itu bererti 'syok'. Sekarang, menjadi tanggungjawab si teruna untuk masuk melamar. Hah! Melamar? Ingat melamar ni kerja senang ke? Siapa yang kena pergi melamar ni? Aku sendiri ke? Orang tua ke? Orang kampung aku ke?

Kalau orang tua yang pergi, tak best ah! Tak gentlemen. Kalau suruh orang kampung pergi, tak masuk akal plak. Apa kata
si teruna pergi sendiri. Berterus terang dengan ibubapa si dara. Fuiyoo! Baru gentleman. Tapi, kalau pergi nak bawa apa? Nak cakap apa?

Arghh!!!! Korang tahu tak nak bawa apa masuk melamar? Lepas tu nak cakap apa? Korang tahu tak? Nanti silap bawa, kena tendang. Kalau tersilap cakap, kena halau. Kes berat juga tu. Si teruna terkesip-kesip memandang sampul surat yang baru diterima. Mimpi ngerinya bersambung semula. Aghhhh!!!

(Bersambung...)

Monday, May 22, 2006

Sekudus Nur Ilahi, Ada Komen?


Assalamualaikum wrt wbt.

Buku(anak) sulong saya dah selamat dilahirkan menerusi PTS Millenia Publication. Kalau ada yang belum beli, cubalah jenguk2 di bookstore. Kalau dah baca atau belek-belek isinya, bolehlah bagi komentar di sini. Harapan, semoga tak kecewa membacanya. Hehehe.

Wassalam.

Friday, May 19, 2006

SELAGI ADA MIMPI


Aku punya fantasi mahu rentasi tujuh benua. Satu persatu akan kusinggahi. Eropah, Asia, Afrika, Antartika, Australia, Utara dan Selatan Amerika. Dengan itu dunia tuhan kuratai, seluruh manusia di bumi kukenali. Pantas aku akan mengerti, derita atau bahagia, senyum atau air mata, ketawa atau sengsara. Lalu segalanya kusimpan, untuk kubawa bersama setelah aku pergi. Namun aku tidak miliki sepasang sayap Jibril. Mustahil aku terbang dan rentasi jalur-jalur benua. Segala itu kucicipi lewat ilusi, dalam tidur dan mimpi. Mimpi itu indah bukan? SELAGI ADA MIMPI, cita-cita tidak akan mati.

PILIHAN DI TANGAN ANDA

Beep! Beep! Razman menarik hansetnya keluar. Klik!

Abang, balik jam berapa hari ni? Tolong belikan bahan mentah yea. Belikan sayuran, ikan dan ayam. Saya nak siapkan untuk dinner malam ni. Jangan lupa malam ni ulangtahun pertama kita. Don’t forget ok?!

Razman menyimpan kembali hansetnya.

“Man, CEO nak jumpa kau lepas ni. Ada masalah katanya.” Rozi berdiri di depan mejanya. Razman meraup muka, terasa guruh dan petir bakal berdentum. dia memang tahu paper work yang baru diserahkan tu tak sempurna. Sepatutnya Khalil yang siapkan paper work tu, entah macam mana Khalil tiba-tiba MC. Akhirnya dia yang perlu siapkan semuanya sehari sebelum dateline. Memang patutpun paper work tu bermasalah. Parah!

Rozi berlalu. Farah pula muncul. Sudah!

“You kosong tak malam ni?” Dah agak! Dia ni memang kacau daun sungguh.

“Kenapa?” Razman angkat dahi.

Urgent ni. CEO nak guna khidmat you.”

“I ada kerja malam ni. Tak boleh excuse ke?”

“Tak boleh! Nanti CEO marah. Inipun disebabkan paper work yang you buat sempoi tu. Kalau nak cover you punya kesalahan, elok tolong siapkan benda ni malam ni juga.”

“Kejap, bagi I masa dua minit untuk berfikir.” Razman melekapkan dua telapak tangan ke wajah. Terdengar keluhan yang berat. Apa yang perlu Razman lakukan?

Jika anda berada di tempat Razman, apa yang akan anda lakukan?

a) Menghantar SMS dan mengatakan anda tidak dapat pulang ke rumah pada malam ini kerana sebab tersebut.

b) Menghantar bunga secara pos dan menulis kad ucapan memohon maaf.
c) Anda pulang ke rumah seketika untuk meminta maaf kerana tidak dapat meraikan malam ulangtahun bersama, kemudian kembali ke tempat kerja.
d) Membatalkan kerja dan menyambut ulangtahun bersama.

e) Cadangan lain?

Wednesday, May 17, 2006

Surat untuk IBU (Dari anakmu yg nakal)

Assalamualaikum ibu,

Apa khabar ibu di sana? Sihatkah? Makan minum ibu baik sajakah? Anakmu di sini baik-baik sahaja. Mahukah ibu mendengar bingkisan dari anak nakalmu ini?

Ibu, sebetulnya aku mahu membeli hadiah paling besar untukmu sempena hari ibu. Sebesar gunung everest! Tapi...aku tak punya wang. Wang hasil tulisanku juga tidak begitu lumayan, sekadar cukup untuk membiayai kos pengajianku sahaja. Sementelah, aku mohon maaf sebanyak-banyaknya. Kerana aku tidak mampu berada di sisimu sekarang, tidak bisa membantumu di dapur atau menemanimu keluar rumah. Kerana aku perlu belajar lagi untuk mendapatkan segulung ijazah. Bisakah ibu bersabar sementara kepulanganku? (Sambil-sambil itu tolong perhatikan jika ada calon yang sesuai untukku)

Ibu, biarlah suratku ini menemanimu bercerita. Bolehkan? Tapi, sarungkan dahulu cermin matamu dan bacalah baris-baris tulisanku. Moga ibu bisa tersenyum membacanya.

Ibu, aku sudah belajar memasak sendiri. Ibu tahu dahulu aku memang malas membantumu di dapur, tapi sekarang aku yang paling rajin. Aku ke pasar sendiri, membeli sayur-sayuran dan bahan mentah. Aku mengupas bawang, memotong sayuran, menyiang ikan dan ayam, kemudian aku memasak. Aku sudah tahu bagaimana menabur garam atau gula secukup rasa. Jika aku pulang nanti, izinkan aku memasak untukmu. Biar ibu rasai bagaimana air tangan masakanku. Pasti menyelerakan. Kalau dulu aku hanya tahu bermain bola, tapi kini aku sudah boleh berada di dapur lama-lama. (Ertinya aku sudah layak untuk berkahwin dan menjadi suami mithali)

Aku tidak lupa, ibu paling sukakan gulai lemak ikan kering. Waktu santai ibu suka makan biskut tawar dan air kopi. Selain itu, ibu suka kunyah kacang butir dan pulut kuning. Jangan bimbang, bila aku pulang ibu tidak perlu mencarinya lagi...aku akan sediakan untuk ibu.

Ibu, aku tahu sendi dan lutut ibu sering sakit dan menyukarkan ibu memandu. Jangan terburu-buru, ibu harus tunggu aku pulang. Aku akan menemani ibu setiap isnin ke pasar basah. Aku akan jinjitkan sayur, ayam, daging atau apa sahaja yang ibu beli di sana. Setiap jumaat ibu ke tempat kuliah, aku akan pandu kereta untukmu. Atau ibu mahu menziarahi jiran-jiran mahupun kerabat ibu, silalah mengajakku bersama. Aku bersedia dan aku memang mahu menemanimu ke mana sahaja. Ke mana sahaja.

Ibu, kalau ibu merasa lenguh tubuh dan sengal sendi. Panggil sahaja namaku, aku akan segera ke sisimu. Mahu urut di mana? Biar aku sapukan minyak angin dan mengurut urat-uratmu yang uzur. Aku mahu dan aku bersedia untuk itu. Kerana kau sudah bergolak bergadai menyabung nyawa mengandung serta melahirkan aku. Bererti, aku juga perlu mengikat janji pada nyawa sendiri untuk bergolok bergadai demi kebahagianmu. (Aku belum belajar lagi menggunakan hikmat golok)

Ibu, aku seorang anak yang nakal bukan? Mahukah kau dengar puisi nakalku? Begini...

Ibu, sekali kau menjadi ibuku...
Selamanya kau adalah ibuku...
Ibu, sekali kalu melahirkan aku...
Selama-lamanya aku adalah anakmu...
Ibu, kau sanggup bergadai nyawa untuk menjagaku...
Hingga hujung nyawa jugalah aku akan menjagamu...

Sedapkah puisiku ibu? Jika sedap, bolehlah ibu andaikan itu sebagai hadiahku untukmu. Jika tak sedap, aku akan bikin sebuah puisi lain di lain hari. Khas untukmu ibu. Ibu tunggu ya. Kalau tak tunggupun tak apa.

Ibu... jaga diri. Tunggu aku pulang. Ok, permisi dulu. Ops...terlupa nak cakap something.

"Ibu, I miss you and i really L..O...V...E... you" (Tak lupa juga untuk bapa. I Love you too)

Wassalam.


Si Teruna Malang

(Kejadian ini benar-benar berlaku beberapa hari yang lalu, di sebuah kepulauan berhampiran dengan pulau antah berantah. Perhatian, jangan baca jika takut rugi masa)

Si teruna meminta sesuatu dari si dara, si dara geleng. Tidak mahu(berani) memberi. Si teruna memujuk...meminta dan memberi janji, yang diberi pasti dipulang kembali. Tidak banyak, sedikitpun memadai. Si dara fikir berputar-putar, sampai berkerut dahi. Si dara angguk. Baiklah, cuma kali ini si dara memberi dan tidak ada lagi kedua kali. Dengan syarat, yang diberi pasti dipulangkan kembali. Si teruna angguk. Berjanji. Bersumpah demi handphone Nokia versi terkini, berjanji bersaksikan simcard Celcom edisi Minute plan.

Si dara mengutus surat, berisi kepingan visual yang diketik menerusi lensa kamera berteknologi tinggi. Dalam gusar dan debar, dia mengirim. Si teruna menanti, hingga waktu memakan hari dan hari memakan minggu. Biasanya surat melintasi benua dan lautan memakan waktu 10 hari. Dan setelah 10 hari berlalu, si teruna berulang alik dari rumah ke kotak posto. Hari ke 10, hampa. Hari ke 11, kecewa. Hari ke 12, frust! Hari ke 13, tiba-tiba ada member mengetuk pintu bilik dan memberitahu "Tak mahukah hamba melihat surat di kotak posto?" Si teruna geleng. Kata si member "Surat hamba dah tiba, ada sampul tertulis nama tuan hamba." Tanpa mengucap terima kasih, teruna melompat keluar dari bilik dan berlari ke kotak posto.

Entah bagaimana, angin bertiup kencang dan badai mengolek-olek kotak posto hingga terjatuh dari tempatnya bergantung. Surat di dalam tercampak ke luar dan hampir terjatuh ke dalam longkang yang sedang menakung air. Si teruna teringat janji. Dia harus menghantar kembali kepingan di dalam surat. Si teruna berlari-lari sekuat hati. Dan kuasa angin mengatasi segala, surat itu benar-benar terjatuh dan tenggelam ke dalam longkang. Warghhhh! Si teruna tergeletak lemah di tepi longkang. Hujan turun lebat tiba-tiba dan air longkang mengalir deras membawa pergi suratnya entah ke mana.

Apa aku nak cakap pada dia? Bagaimana janjiku hendak kukota? Surat tiba dan aku perlu kembalikan isinya. Tapi...surat tak sempat dibuka dan air longkang itu mencurinya dariku. Aduh! Mungkinkah aku meminta sekali lagi darinya? Percayakah dia bahawa surat ini telah dihanyutkan air longkang depan rumahku? Percayakah si dara?

Aku tak menipu, longkang itu yang mencuri suratku. Bukan niatku untuk tidak mengembalikan apa yang telah kau beri. Tapi....aghhh!!! Adakah kau percaya padaku? Korang percaya tak?

Monday, May 15, 2006

Menjadi Lelaki Berkeluarga

Saya lelaki bujang, saya bakal membina keluarga. Saya sering tertanya2 bagaimana menjadi seorang lelaki berkeluarga?


Bagi saya, nilai tertinggi lelaki(khalifah) terletak pada kemampuan mentadbir keluarga. Lelaki perlulah meletakkan perhatian penuh pada pembinaan institusi kekeluargaan khususnya dari sudut pertumbuhan rohani, jasmani, spiritual dan material. Umumnya mengetahui, tamadun yang besar bermula dari tamadun yang kecil. Keampuhan sebuah negara bermula dari keampuhan sebuah keluarga. (Bagaimana anda mahu memimpin dunia jika tidak mampu memimpin keluarga?)

Suami yang baik perlu memiliki skill komunikasi dan negosiasi yang tinggi bagi menghadapi karenah isteri, anak-anak dan saudara mara. Dengan kata lain, suami perlu banyak bercakap berbanding isteri. Samada dalam merancang, menyusun kerja, menyelesaikan masalah dalaman rumah tangga, suami harus menjadi ketua. Justeru, sabar dan tekun sangat perlu dalam menyelesaikan setiap situasi. Jangan mengambil jalan mudah dengan melarikan diri(cth: kahwin sorang lagi).

Suami harus peka dan sensitif dengan naluri isteri dan anak-anak. Tidak semua kesusahan dan rasa gusar anggota keluarga diluahkan kepada suami. Apatah lagi jika ada dikalangan ahli keluarga yang tidak pandai meluahkan masalah diri sendiri. Di sini memerlukan kepekaan dan sensitiviti tinggi seorang ketua bagi menangkap dan menyelesaikan masalah itu. Untuk itu, suami harus kerap bertanya. Ada apa? Mengapa? Betulkah? Benarkah? Dari persoalan akan lahirnya jawapan. Dari persoalan, kesamaran dapat dizahirkan.

Sentiasa kompromi dengan meletakkan sikap egois dan bangga diri ke tepi. Ini yang paling sukar. Memandangkan status ketua terletak dipundak suami, kadang-kadang status itu sering disalahpakai. Suami jadi mudah bosan dengan keletah isteri, cepat panas telinga dan kurang sikap mendengar. Tips, belajarlah mendengar sesuatu yang kurang enak didengar. Dari situ baru kita mudah mengerti sesuatu masalah.

Secara kesimpulan, suami perlu memiliki semua jenis skill dalam menyelesaikan masalah. (Skill buat blog tak penting ya, sekadar rekreasi). Suami harus bersedia menanggung beban ini dan menyelesaikannya dengan baik. Setiap tindakan biarlah benar-benar menjurus ke arah membina, bukan meruntuhkan. Pastikan anak-anak kita mampu menjadikan diri kita sebagai bapa mithali dan model (Jangan biarkan MAWI menjadi idola kepada anak-anak kita).

Oh ya, kemahiran lain juga perlu untuk menambahkan nilai kasih sayang di dalam sebuah keluarga. Contohnya suami perlu pandai memasak, mengemas, menyusun perabot, membeli bahan mentah dan membuat hiasan-hiasan dalaman. Juga harus pandai membeli hadiah yang bersesuain dengan keadaan untuk dijadikan kenang-kenangan untuk ulangtahun perkahwinan.

Sunday, May 14, 2006

Melepaskan Sesuatu Biarlah Berasas



"Yang dikendong keciciran, yang dikejar tak dapat"

Ketamakan nafsu bisa mengakibatkan seseorang terlupa untuk mengukur kemampuan sendiri. Kononnya satu dunia nak dibawa dalam sepasang tangan, mana mungkin sepuluh jari bisa menjunjung gunung?! Sebaliknya pula, sesudah memastikan kemampuan manusia yang begitu terbatas, pasti sahaja terasa ingin melepaskan segala. Wajarkah?

Ingat pesanan ini :

"Andai tak mampu ditakung seperigi, seraup airpun sudah cukup. Barulah qanaah namanya. Tapi, kalau tak bisa menjunjung gunung, jangan pula kepingin menjunjung langit. Itu gila namanya!"

Mengambil atau melepaskan sesuatu biarlah berasas. Secara kalkulatifnya harus mengetahui manfaat dan mudarat sesuatu terlebih dahulu, ketahui untungnya sebanyak mana dan ruginya pula berapa? Sesudah mampu melihat solusi, barulah konklusi diambil.

Setiap tindakan biarlah berkepentingan

Ada yang marah-marah sama aku bila berkata begitu. Mereka bilang aku tidak ikhlas berbuat kebajikan kerana memilih kerja yang untung lebih. Bukankah itu bagus? Bukankah berkepentingan itu wajar dan perlu? Kerana dari titik itu, kita tidak mensia-siakan waktu yang banyak demi manfaat yang sedikit. Zaman ini manusia harus berlari mendapatkan sesuatu, malah kalau ada yang bisa terbang...harus terbang! (Sanggupkah anda berlari setempat?)Tetapi jangan sampai manusiawi dalam diri hilang semata-mata mahu merebut materi. Kepentingan di sini adalah kepentingan agama dan manfaat terhadap manusia sejagat. Selagi kepentingan itu tidak meruntuhkan iman, juga tidak membunuh kemanusiaan. Ayuh! Jangan samar-samar lagi, rebut saja!

Justeru, jika kalian melakukan sesuatu dengan kepentingan maka sebaliknya kalian pasti akan melepaskan sesuatu juga kerana kepentingan. Umpama kalian memilih menjadi guru kerana mahu mengajar ilmu yang berguna, pasti kalian tidak akan mengajar ilmu yang fasad kerana kefasadan itu malapetaka. Berkepentinganlah, kerana ia memastikan setiap tindakan kalian berasaskan sebab yang penting!

(Peringatan: Jangan menjadi seperti doraemon, tindakannya semata-mata demi kepentingan Nobita)

*Qanaah : Merasa cukup dengan apa yang ada.

*Fasad : Rosak, punah.

Saturday, May 13, 2006

Memilih ; Menetapkan Sesuatu

Kehebatan seorang pemimpin adalah kebijaksanaannya membuat keputusan yang tepat!

Setiap pilihan pasti bersebab.(Seperti anda makan sesuatu sebab mahu kenyang) Jika anda mahu memilih sesuatu, pasti anda mempunyai sebab yang jelas kenapa anda memilihnya. Sebab itu sebenarnya yang memudahkan anda memilih. Bagaimana jika berlaku pertembungan dalam beberapa perkara, dalam masa yang sama anda tidak punya sebab yang jelas untuk memilih yang itu atau yang ini. Kala itu anda akan bingung. Lebih gawat lagi jika anda terpaksa memilih satu daripada dua pilihan yang masing-masing mempunyai risiko. Jika tersalah memilih, anda bisa mengakibatkan korban mahupun kecelakaan.


Apa yang akan anda lakukan saat itu? Lari? Berdiam diri? Istikharah? atau pura-pura telah mati?

Memutuskan sesuatu pilihan perlukan pengetahuan yang luas. Setiap thaqafah dan maklumat yang diperolehi mampu mempengaruhi tindakan dan keputusan kita. Lebih banyak yang kita tahu, lebih selamat keputusan yang akan kita ambil. Secara analoginya begini, lebih banyak selok-belok jalanraya yang kita tahu, lebih cepat kita tiba ke destinasi. Kerana kita bisa mengelakkan diri dari kemacetan dengan melalui lorong-lorong lain. Maka, setiap kali ada masalah dan sekatan kita akan pantas sahaja temui jalan keluarnya.

Pemimpin harus memiliki kekuatan logik, mantik dan rasional yang tinggi untuk menolak unsur-unsur emosi atau pengaruh suara sumbang.

Pokoknya, untuk menjadi sebijaksana dan secerdas itu...tidak ada jalan mudah. Harus membaca, memerhati, mengaji dan mencari informasi terkini sedaya upaya. Juga harus berani mencuba sesuatu demi sesuatu untuk mendapatkan sebanyak-banyak pengalaman (Awas! jangan pula menjadi cerdas seperti Shin Chan).

Jangan pula kita cepat membuat keputusan tanpa penilaian dan bukti yang kukuh. Ingat dan pegang kata-kata : Nahnu Du'atun La Qudha. Bererti (Kita adalah penyeru, bukannya penentu). Gunakan akal dan pengalaman untuk menentukan sesuatu, jangan pula berasaskan emosi. Kelak kita akan menyesal jika tersalah membuat keputusan.

Adios!!!

Thursday, May 11, 2006

Komik Bebudak Mesir



Ini bukan terbitan MOY Publication, Tora Aman atau Shonan Jump. Ini terbitan pelajar Malaysia Syibin El-Kom, Universiti Al-Azhar, Mesir. Yang kuning itu 'Saje Nyempe' dan yang merah tu 'Legend Comics'. Jualannya hanya di Mesir.

Menulis cerpen dakwah dan esei ilmiah bukan suatu yang pelik. Sebab benda tu dah ramai orang buat. Yang masih kurang adalah pelukis kartun dakwah dan ilmiah. Di Malaysia makin banyak majalah komik seperti G3, Jom, ujang, APO?, Blues Selamanya, Gempak, Klik dan lain-lain. Namun ia tidak bermotifkan pendidikan malah jauh dari mesej Islam. Rata-rata diterbitkan untuk komersil dan mengaut keuntungan. Of course isi kat dalam banyak yang mengarut dam melalut. Tak kurang juga yang bercampur tahyul dan khurafat.

So, kemunculan pelukis yang mendidik sangat perlu. Malah peluang untuk mencipta arus baru dalam dunia komik sangat terbuka luas di Malaysia. Tapi persaingan memang sengit. Yang penting kena perbaiki mutu persembahan dari masa ke semasa. Dalam masa yang sama juga menjadi pemerhati dan pengkritik secara berhikmah ke atas sikap2 sumbang masyarakat. Jangan sekadar lukis apa yang kita suka dan menegur apa yang kita nak. Pelukis harus lebih berseni dan sensitif dari penulis.

Satu point lagi yang kena pikir, macam mana nak wujudkan generasi penyambung kepada usaha komik Islam ni. Manalah tahu, setelah team Shibin balik Saje Nyempe dan Legend Comics terus terkubur. Itu lebih utama difikirkan rasanya.

Kepada team shibin, tahniah! Mabruk! Bravo! Memang korang asbestos tahap dewa! Ops! Terover plak. Aku harap korang teruskan usaha ini dan jangan sesekali tersasar dari matlamat. Akupun ingat nak tumpang korang dari jauh. Boleh kan? :D hehehe

Monday, May 08, 2006

Man of Steel 2006


Lepas tengok trailer Man of steel atau Superman return 2006. Tiba-tiba rasa nak menulis.

Saya penggemar filem fiksyen dan setiap kali menonton filem adaptasi Marvel Comic seperti Spiderman, Superman, X-Men atau sebarang genre fiksyen seperti Narnia, Lord of the Ring dan etc saya jadi teruja. Kehebatan protagonist mengatasi musuh dan menyelesaikan masalah benar-benar membuatkan saya terbakar dalam enthusiasm. Yang paling best saat peleraian sebuah klimak yang memaparkan protagonist menjadi the last man standing. Plot sebegitu memberi suntikan motivasi tinggi agar diri sendiri menjadi orang yang tabah berdiri hingga ke saat akhir.

Superman satu-satunya watak favorite saya semenjak kecil. Memang dah tahu ia hanya watak rekaan, cuma yang buat cerita ni menarik sebab ada dua ciri istimewa. Pertama, dia menyembunyikan kehebatan sebenar dan menzahirkan kuasanya disaat waktu benar-benar memerlukan. Dengan kata lain, keluarbiasaan itu menjelma disaat getir. Keistimewaan kedua, dia terpaksa mengorbankan kehendak sendiri demi menjaga keamanan dunia. Dengan kata lain, berkorban untuk mereka yang wajib. Spiderman pun lebih kurang begitu juga.

Secara kesimpulan, sesiapapun boleh memiliki criteria man of steel. Asalkan dia mampu menguasai dua ciri tadi. Sesuaikanlah dua ciri tadi dalam dunia masing-masing. Berdasarkan dua kriteria tadi, jadilah orang yang pandai menyembunyikan keistimewaan sendiri dan menzahirkan disaat yang benar-benar perlu. Jangan duk menunjuk sesuka hati. 24 jam asyik duk perasan depan orang ramai. Kedua, harus berani mengorbankan keinginan peribadi untuk memastikan matlamat agama tercapai.

So. Tak perlu tunggu ada sayap untuk terbang. Tak perlu tunggu kebal sampai tak lut ditembak meriam. Sesiapa yang mampu memiliki dua ciri demikian…dia sudah boleh digelar Superman. Semudah itu bukan? Mudah ke? Kalau mudah...jom pakat jadi Superman.

WATIKAH DARI LANGIT



Langit gharib metah
Udara pijar dan warna jingganya pecah-pecah
Wahai langit…mahu runtuhkah?

Dulu juga pernah
Langit gharib metah
Tika tuhan berfirman dan awan bawa hukuman
A’ad dipanah petir Tho-ghi-ah
Thamud diganyang taufan Sor-sor
Tujuh malam dan lapan siang,
Hingga bergelimpang mayat lompang.

Langit itu juga
Yang kini warnanya pecah-pecah
Habuknya berkenjah-kenjah
Apa rahsia yang kau simpan
Terima watikah lagikah?

(Kamar sepi Abbas Zakzuq)

Glosari :

Gharib : Pelik
A’ad : Kaum nabi Hud
Thoghiah : Kalimah arab bererti melampau-lampau, lafaz ini diambil dari al-Quran.
Thamud : Kaum nabi Soleh.
Sorsor : Juga bererti melampau(overwhelm). Lafaz dipetik dari al-Quran.



6 Mei 2006, kala sore merangkak senja. Langit Kaherah benar-benar kelam. Debu bertabrakan di tiup angin sahrawi. Mungkin sebagai penyata berakhirnya Syita dan bermulanya Soifi.

Ahlan ya soif. Ana fi intizor bi-qudumika.

Saturday, May 06, 2006

Penjara Persepsi

Saya masih menyesali diri sendiri yang tidak begitu peka terhadap buku-buku di sini. Enam tahun saya berada di Kaherah, toko buku yang wujud di Seventh District atau Nasr City sangat kurang saya akrabi. Sejujurnya toko buku sangat karib malah ada di mana-mana. Jika saya ke kuliah, saya bisa sahaja singgah di pustaka Darul Salam yang berada di hujung jejantas berdekatan Khan Khalili untuk melihat buku-buku arab atau Inggeris. Atau saya boleh ke pustaka Halabi di belakang masjid Al-Azhar untuk mencari kitab jawi. Tetapi mata saya tertutup dan minda saya terkurung dalam penjara persepsi. Menyebabkan saya tidak tahu siapakah pengarang yang bagus dan apakah syarikat percetakan terbaik di Mesir.


Mungkin kerana penguasaan nahu saraf saya lemah menyebabkan saya tidak ghairah membaca majalah atau akhbar Arab. Pembacaan saya terbatas kepada kitab kuliah semata. Selebihnya saya akan membaca majalah Suara Kampus atau buku-buku ilmiah terbitan siswa Al-Azhar dalam bahasa Melayu. Secara beransur-ansur situasi itu memadamkan kemesraan saya dengan buku berbahasa Arab. Apatah lagi setelah melihat gelagat orang Mesir yang seolah-olah seperti 'Majhul' dalam segala hal membuatkan saya kurang berminat untuk berbaik-baik dengan orang Arab. Walhal masih terlalu ramai orang Mesir yang Alim dan Arif, mungkin saya sudah terkena peribahasa 'Akibat nila setitik maka rosaklah susu sebelanga'.


Prof Dr Mahmud Zuhdee juga pernah menegur pelajar Mesir dalam satu majlis.


"Saya kecewa kerana anda menganggap Mesir ini sebuah negara miskin dan terkebelakang. Malah anda langsung tidak membaca majalahnya, buku-bukunya dan langsung tidak mengkaji ketamadunan yang ada di sini. Saya yakin jika anda mengambil masa memerhati isi di dalam buku yang ada di sini...persepsi anda akan berubah." (Lebih kurang begitulah isi ucapannya)


Selain hal itu, disaat saya diminta menulis untuk PTS, saya seperti hilang punca. Saya terpaksa mencari buku berkaitan dengan komparatif antara agama Islam dan Kristian. Rujukan saya terbatas malah saya langsung tidak tahu siapakah pengarang buku yang menulis berkaitan hal tersebut kecuali Ahmad Deedat. Apapun, buku itu telah selesai saya uruskan dengan rujukan yang terbatas.


Kebetulan semalam, saya bertemu seorang rakan di simpang Abbas Zakzuq dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat. Saya memberitahu tentang perkembangan diri dan dia segera memberitahu.


"Ada sebuah toko buku di simpang Toiran berhampiran Masjid Nuri. Di situ kamu dapatkan buku tulisan Dr Majdi Marjan yang diterbitkan oleh Maktabah An-Nafizah. Dr Majdi adalah seorang kristian yang akhirnya memasuki Islam. Beliau seorang hakim jenayah di Mahkamah Sivil Kaherah. Beliau banyak menulis buku berkaitan perbezaan agama Islam dan kristian."


Saya memang menyedari bahawa pemikiran saya telah dikurung dek persepsi sempit sendiri. Saya berharap dalam kapasiti waktu yang terbatas, saya akan segera memperbaiki kelaring yang bersempudal di cermin persepsi saya. Saya berharap bagi siswa/siswi Mesir yang masih punya kapasiti waktu yang banyak, manfaatkan waktu itu untuk membaca majalah dan buku Arab. Saya jamin, anda tidak akan rugi!

Monday, May 01, 2006

Dua Buah Novel



Ni sample cover buku Sekudus Nur Ilahi yang akan memasuki pasaran pada penghujung Mei 2006. Pakat2 beli lah yea. :D.




Yang ni pula tak tahu bila agaknya akan masuk pasaran. Mungkin ia hanya sekadar gimik. Hehehe!