Tuesday, October 31, 2006

MENJADI SEORANG PENDIDIK

Saya putuskan untuk TIDAK terlibat dalam dunia perbukuan secara langsung. Saya putuskan untuk TIDAK membuka kelas sendiri. Bererti saya akan memulakan karier saya sebagai guru sepenuh masa di maahad tahfiz sains, Bustanul Arifin. Mulai tahun depan saya akan membawa status pendidik.

Saya terbaca sebuah hadis ketika berumur 14 tahun "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa, kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibuabap". Setelah saya bertanya kepada ibubapa saya dari hati ke hati...mereka lebih redha dan bahagia jika saya menjadi guru. Dengan itu saya sebagai anak sangat-sangat menginginkan kebahagiaan mereka. Saya putuskan untuk mengambil profesion perguruan sebagai kerjaya.

Saya akan menulis secara sambilan dan menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan. Pun begitu, minat saya yang mendapat terhadap penulisan ini tidak akan mematikan usaha saya di tengah jalan. Doakan saya mapan.

:)

Sunday, October 29, 2006

KEPUTUSAN

Saya sudah memutuskan untuk menjadi pendidik seumur hidup. Tidak kira bergerak atau bekerja di mana-mana lapangan, namun menjadi pendidik itu adalah satu kemestian. Tidak kira yang dididik itu diri sendiri atau orang lain. Saya akan cuba membina karismatik seorang yang pandai memupuk, menyokong dan memberi galakan kepada diri sendiri dan orang sekitar. (Itu adalah hasrat di hati, tiada siapa yang tahu ianya akan mampu direalisasikan atau tidak)

Mulai tahun depan saya akan bekerja sebagai guru al-Quran di Maahad Tahfiz Sains, Bustanul Arifin. Lokasi sekolahnya adalah di Bukit Panau, Tanah Merah. Bagi mereka yang berhasrat untuk mendapatkan informasi dan borang kemasukan sesi baru, bolehlah menghubungi saya di sini.

Selamat berhari raya kepada semua, pandu cermat dan jiwa akan selamat.


Friday, October 20, 2006

Perjalanan Membina Kerjaya

Sudah beberapa minggu saya tidak mengarang di sini, agaknya sudah ada sarang labah-labah di bucu atau di sudut sawang. Siapa tahu kan? Ceritanya begini, saya sedang bertungkus lumus mencari jalan hidup. Hal itu membuatkan saya tidak mampu mengarang di blog.

Sebaik pulang ke tanah air baru-baru ini, saya mendapat dua tawaran.

1) Ditawarkan menjadi guru tahfiz di Maahad Tahfiz Sains Bustanul Ariffin, Tumpat. Kerja sebagai guru akan bermula pada awal tahun depan. Waktu bekerja dari jam 7.30 pagi hingga 2.00 petang. Kemudian di sambung balik dari jam 8.00 malam hingga 10.00 malam bagi kelas quran sahaja.

2) Di tawarkan menjadi supervisor komik Islam, Salahuddin Al-Ayubi di syarikat Dian Darul Naim. Bermula bulan 3 tahun depan. Waktu bekerja dari jam 8.00 pagi sehingga 4.00petang. Tiada sesi malam.

Sehingga sekarang saya masih menimbang untuk menerima yang mana satu. Pun begitu, saya lebih cenderung untuk mencari pengalaman lebih dalam dunia penerbitan. Setakat ini jika ditanya, apa yang saya inginkan? Pasti saya akan memilih Dian Darul Naim. Lagipun, saya mempunyai waktu senggang di waktu malam untuk berehat bersama keluarga.

Lagi, saya diminta oleh saudara mara di kampung untuk mengambil alih sepenuhnya tugas mengimamkan masjid Kampung Belukar. Saya sendiri tidak tahu apa tugas yang wajar diberikan untu taklifan sebegitu. Mudah kata, jadi imam muda di kampung. Setakat ini kampung saya menghadapi krisis pak imam. Ada yang boleh jadi imam, tapi terlalu sibuk atau tak sempat nak jenguk masjid. Manakala yang jadi makmum kebanyakan masih kurang bagus tahap penguasaan tajwidnya. Setakat ini, alhamdulillah allah berikan kekuatan untuk mengimamkan solat terawih dan juga kuliah subuh tiap-tiap hari sepanjang ramadhan. Itupun tidak sepenuhnya, kekadang saya keluar ke bandar atau sibuk dengan urusan tertentu menyebabkan tidak sempat pulang ke masjid.

Sayang benar, kariah saya yang ramai muda mudi ini tidak banyak yang boleh di bawa ke masjid. Rata-rata masih melepak di tepi jalan atau lepak di kedai kopi. Memandangkan situasi kariah/kampung yang agak membimbangkan, saya mengakui keberadaan sendiri di kampung adalah penting. Bahkan saya mengharapkan jika ada rakan-rakan kita yang di Mesir berada sekitar kampung belukar, beta hilir atau mulong untuk turut sama menyumbang tenaga dan ilmu buat kampung belukar. Mudah-mudahan akan ada pakatan yang lebih baik suatu masa nanti.

Oh ya, sempena musim cuti sekolah ini saya akan terlibat secara langsung dengan rakan muda jiran muda, anjuran kementerian belia dan sukan sebagai penyelaras bahagian agama. Tak pasti lagi bagaimana bentuk program yang bakal diadakan, yang pasti saya akan belajar sesuatu daripadanya.

Sebetulnya masih banyak benda yang ingin dikongsi, tapi waktu tidak mengizinkan saya duduk bercerita dengan begitu lama. Sekadar ini sahaja yang mampu saya coretkan buat tatapan saudara dan saudari. :) Kepada rakan-rakan pembaca. Selamat menyambut Syawal dan doakan keberkatan hidup dunia dan akhirat. Amin!

Saturday, October 07, 2006

MANDOM

Garu-garu...pening. Bangun dan berjalan keliling bilik, tapi duduk kembali. Bersandar dan memandang laptop, lepas tu berbaring. Memang sah!

Aku bangun keluar bilik. Cari majalah, baca dan baca. Cari buku, baca dan baca. Terasa kosong. Memang sah!

Aku dah mandom! Tolong weiii! Aku nak buat sesuatu yang benar-benar memberi anjakan paradigma. Tapi apa...? Memang sah!

Aku dalam kemandoman yang amat!!!

Sunday, October 01, 2006

ENTRY yang Sukar

Inilah kali pertama saya merasakan terlalu sukar untuk menulis satu entry. Bukan kerana ketiadaan idea, tetapi kerana ketiadaan masa dan peluang. Saya terpaksa merancang masa dengan baik untuk menjengah ke cyber cafe dan menulis dengan pantas semua yang berada di dalam cepu otak sendiri.

Jika di mesir, saya tidak perlu gusar untuk mencari tempat. Di mana-mana sahaja ada siber cafe. Sekitar rumah saya sudah ada 2 siber cafe. Tetapi, setelah balik ke kampung...saya perlu mencari siber cafe dengan menaiki kereta terlebih dahulu. Paling dekat jaraknya ialah 5km. Sungguh jauh rasanya.

Sekarang, saya mempergiatkan proses pembikinan novel grafik kedua. Dalam masa yang sama, menjadi imam terawih di kampung. Tahun ini, adalah tahun yang paling melegakan selaku imam terawih. Jika tahun lepas, saya perlu bergilir ke masjid Besar Salor. Tahun sebelumnya juga begitu. Apapun, mudah-mudahan saya diberikan kesihatan untuk menjalankan tugas imam terawih dengan baik.

Selamat Berpuasa dan Selamat Berterawih!

Siru ala barakatillah.

Wassalam.