Sunday, November 19, 2006

Novelku dan Novelmu...Bagaimana?

Sudah lama saya tidak bercerita tentang karya sendiri. Alhamdulillah, setakat ini saya masih giat menulis. Buku kedua saya sudah siap ditulis dan akan dihantar ke syarikat PTS untuk dinilai dan diproof tidak lama lagi. Buku kedua ini berjudul 'Mencari Cinta Khalifah'(MCK). Ia sebuah genre novel Islamik.

Dari segi persembahan, ia hanya sebuah novel biasa tanpa lukisan tangan. Tidak sama dengan 'Sekudus Nur Ilahi' kerana ianya dalam genre Novel Grafik Islamik. Untuk buku MCK ini saya sudah emelkan soft copy novel tersebut kepada PTS Publication untuk membuat penilaian, kata salah seorang editor di sana buku tersebut 'Kemungkinan Boleh Diterbitkan' cuma...

Cuma masalahnya genre novel Islamik belum mempunyai teman di pasaran. Artinya apa? Mereka tidak bercadang untuk segera menerbitkan novel dalam genre Novel Islamik memandangkan tidak ada buku lain terbitan PTS yang satu genre dengannya. Dibimbangi buku tersebut terkontang-kanting sendirian di pasaran dan tidak dapat diletakkan atas rak yang khusus.

Begitulah nasib buku pertama saya "Sekudus Nur Ilahi" yang tidak mempunyai rak khusus. PTS Mengakui sukar untuk mengklasifikasikan buku pertama saya...adakah ianya komik? Atau novel? Jadi...pengklasifikasian itu membuatkan proses pemasarannya agak sukar. Jika saya menerbitkan buku kedua yang satu genre tapi berbeza persembahan ini, dibimbangi nasib yang sama akan menimpanya.

Saya juga hairan. Betulkah saya seorang sahaja yang menulis genre Novel Islamik? Adakah novel-novel lain tidak Islamik? Boleh jadi masalah itu tidak timbul dalam syarikat penerbitan seperti Karangkraf atau Alaf 21. Kerana mereka sudah mempunyai klasifikasi buku yang fleksibel dan setiap klas mempunyai stok judul yang banyak.

Apapun...saya menyarankan kepada penulis Islam...agar beramai-ramai menerbitkan buku Novel Islam. Bertemakan Islam dan berkonsepkan Islam yang 'Murni' dan 'Benar'. Untuk kita edarkan ke dalam masyarakat sebagai bahan bacaan yang membangun minda dan agama.

Setelah kau dan aku sudah mempunyai novel tulisan sendiri. Novelku dan novelmu bisa memasuki pasaran bersama dan novelku tidak lagi sendirian. Ayuh teman...mari menulis novel Islam di PTS.

Wassalam.

Thursday, November 09, 2006

Kerja Amal

KERJA YANG IKHLAS

Apabila saya menghitung amal kebajikan sendiri, terasa amat kurang. Terlalu kurang. Hampir dikatakan nihil. Apatah lagi jika saya menghitung amal yang dikerjakan dengan IKHLAS iaitu dengan niat mencari redha Allah semata-mata. Saya pasti amat sukar untuk melaksanakan amal sebegitu. Namun, sebagai insan sedaya upaya kita perlu melakukan ibadat dan amal kebajikan seikhlas mungkin.

"Jika kita melaksanakan sesuatu kerja, pilihlah kerja yang baik-baik. Bukan untuk menggembirakan manusia tetapi untuk menggembirakan Allah. Buatlah apa sahaja, dengan niat untuk membuat Allah redha...bukan kerana menyukakan mana-mana manusia yang ada. Apabila Allah suka dengan kerja dan usaha kita...maka harus bagi Allah memberi hidayah kepada orang di sekeliling kita"

MUALLIM DAN MUBALLIGH

Saya membuat komparatif antara bilangan sukarelawan yang wujud dalam profesion muballigh dan muallim. Dari kacamata saya yang sempit serta 'sangkaan' sendiri yang dibut tanpa kajian empirikal...saya mendapati agamawan yang menjadi sukarelawan menyampaikan agama adalah sangat kurang. Benar! Memang ramai yang menjadi muballigh dan muallim tetapi bukan dari latar belakang pengajian agama secara formal.

Maksud muballigh dan muallim di sini bukanlah mereka yang bertugas menjadi USTAZ di sekolah yayasan mahupun kementerian. Bukan juga orang yang bergerak di pentas POLITIK(khususnya yang berjawatan). Tetapi mereka yang membuat usaha menyampaikan dakwah dan mengajar masyarakat setempat di luar waktu kerja rasmi. Sama ada dengan menulis, membuat kerja tertentu atau berceramah. Itu maksud saya. Sehingga kini, saya masih hampa dengan sesetengah(bukan kesemua) yang berstatus ustaz ataupun agamawan kerana ketidak sediaan mereka menunaikan amanah menyampaikah ilmu agama secara percuma. Mereka tidak mahu bersusah payah bekerja jika tiada jaminan keuntungan. (Ini adalah realiti)

MENGGALAS TAKLIFAN

Sebaik syawal menjengah, saya memaklumkan kewujudan saya di Kelantan kepada pihak-pihak ternama. Sama ada Majlis Agama Islam, Yayasan Islam Kelantan dan kenalan-kenalan di tanah air. Pantas saya diberikan tugas dan beberapa taklifan. Antaranya mencari tenaga muda untuk menyampaikan kuliah di masjid-masjid mukim atau surau-surau kecil. Termasuklah diri saya sendiri yang sehingga kini boleh dikatakan kerap kali menjadi pengganti pengkuliah selain menjadi pengkuliah tetap di beberapa tempat. Itu bukan isunya...isu di sini ialah apabila saya menghubungi beberapa kenalan yang saya anggap mempunyai kredebiliti dan ketokohan untuk mengambil taklifan ini...dengan rendah diri mereka memberikan alasan TIDAK BERSEDIA. Mereka tidak bersedia untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah.

Benar! Mereka bukan menolak tetapi belum bersedia. Saya tidak pasti apakah alasan sebenar yang menghalang mereka untuk menyampaikan agama dalam situasi masyarakat yang kian bobrok dan celaru ini. Saya tidak pasti kesibukan apakah yang menjadikan mereka tidak mahu bersuara di tengah masyarakat yang kian punah dan rosak ini. Saya takut...jika taklifan ini tidak digalas mulai sekarang...saya bimbang Allah taala akan menyoal di akhirat kelak dan saya tidak mempunyai alasan untuk menjawabnya.

Apapun...saya tidak menafikan bahawa masing-masing harus menyumbang mengikut kemampuan. Buatlah apa sahaja yang baik, asalkan kita ada sumbangan. Jangan kontang usaha atau kosong ikhtiar untuk membantu agama...namun, fikir-fikirkan juga bagaimana cara kita mahu mendekatkan masyarakat kepada masjid. Tanpa orang muda yang mengisi slot kuliah di masjid atau pengisian-pengisian ilmu di tempat lain...saya bimbang masjid-masjid yang wujud kian suram dan lesu. Masyarakat kian jauh dari rumah Allah dan akhirnya berlakukan khilaf dan fitnah yang membimbangkan.

Hakikatnya...ramai agamawan tidak buat kerja mereka. Sedangkan orang muda yang menjadi penagih berlambak. Penagih tak henti-henti buat kerja mereka, meragut...mencuri kabel dan lain-lain. Mat rempit, mat ganja, mat rogol dan zina serta macam-macam kerja mereka buat. Kalau nak compare bilangan mereka dengan bilangan agamawan...saya rasa terdapat jarak yang agak besar. Pastilah mereka lebih ramai. Jadi? Kenapa kita masih boleh tidak bersedia. Sedangkan kita tahu realiti masyarakat kita yang kian parah?!


MEDIUM

Kekadang saya lemas dengan suasana. Lemas dengan cara dan mentaliti pihak-pihak tertentu. Secara jujurnya saya tidak suka menggunakan medium politik untuk berdakwah. Saya merasa lemas jika saya dikaitkan dengan parti-parti tertentu. Apatah lagi jika saya diminta bekerja untuk parti... bukan bekerja untuk Islam. Kerana terlalu banyak kes-kes keretakan silaturrahim berlaku di dalam masyarakat apabila seorang muballigh dan muallim membawa bendera parti tertentu tanpa menggunakan mizan Islam secara sahih. Berbeza pula dengan muallim dan muballigh yang berdakwah tanpa menjadikan isu politik sebagai titik bengit untuk berdakwah. Mereka ini akan mudah didekati tanpa sebarang prejudis.

Erti sebenar saya di sini...bekerjalah dan beramallah kerana ALlah. Bukan kerana parti atau manusia tertentu. Jika anda memilih parti mana sekalipun, jangan sampai ia meretakkan silaturrahim dalam masyarakat. Gunakanlah kebijaksanaan...bukankah antara sikap nabi itu Sidiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah. Cubalah kita memiliki sifat ini dahulu sebelum kita memiliki sifat yang lain.

Akhlak itu penting bagi seorang agamawan. Silaturrahim itu wajib dijaga. Jangan kerana politik maka akhlak dalam pertuturan dan pergaulan kita abaikan. Sanggup meretakkan silaturrahim dan sebagainya.

Wednesday, November 08, 2006

Bagaimana Rasanya Menjadi Lelaki Matang?

Saya masih bingung dengan perkataan matang. Kurang pasti apa itu definisi matang yang paling tepat. Adakah sesudah berkahwin - bekerja - punya rumah dan kereta - barulah dikatakan matang? Betulkah begitu? Atau apabila anda mampu mengurus diri, keluarga dan kerjaya dengan baik, barulah dikatakan matang? Apa sebenarnya definisi matang? Adakah anda boleh memberikan kepada saya satu definisi ringkas dan padat untuk perkataan 'Matang'.

Saya selalu ditegur kerana kurang matang dalam berbelanja. Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak berada. Bukan mewah tetapi berkemampuan. Saya mudah berbelanja besar untuk adik-adik dan ibubapa. Kerana itu, ibubapa saya kerap menegur "Kau tak simpan ke duit tu untuk kegunaan masa depan." Lagi mereka menambah "Tak pandai berjimat...ertinya tak matang lagi dalam mengurus kewangan".

Saya bingung juga. Bingung untuk mendefinisikan apa itu jimat cermat dan apa pula yang dikatakan matang. Memang benar saya suka berbelanja...untuk diri sendiri, untuk adik-adik dan ibubapa. Jarang sekali saya berbelanja untuk rakan-rakan. Banyak menghabiskan wang sendiri untuk membeli barangan dapur dan makanan. Jarang pula membeli pakaian mahal2 dan aksesori yang berjenama. Kerana saya suka yang simple dan kemas.

Beberapa bulan duduk sebumbung dengan orang tua saya banyak goyang kaki (Tak ada kerja) mereka banyak menegur sikap boros(walaupun duit itu saya dapatkan menerusi karya dan usaha sendiri) dan juga sikap berlenggang saya. Saya mengaku...itu memang terkena atas batang hidung. Secara beransur-ansur saya sedar bahawa kemampuan mengurus kewangan saya masih ditahap lemah. Jika begini keadaannya, bagaimana saya mahu mengemudi kewangan keluarga sendiri kelak?

"Jadilah lelaki matang. Jangan muka jer nampak matang tapi perangai macam budak2. Duit tu berawas-awaslah ketika nak berbelanja. Jangan sedap tangan jer nak beli itu ini. Bukankah bermewah-mewah tu boleh membinasakan seseorang?" Itu antara teguran orang tua saya secara telus dan direct. Ia agak berkesan...memang berkesan! Dan saya perlu memandang cara2 untuk memperbaiki kelemahan itu.

Tapi saya masih bingung... "Jadilah lelaki matang" ...errmm...matang yang bagaimana itu?

"Yang tidak seperti kebudak-budakan"

Huh! Pening-pening.