Saturday, February 24, 2007

Streamyx

Alhamdulillah, mulai hari ini tidak perlu lagi saya berkayuh kereta dan mengenderai motokar ke siber cafe. Cukup dengan beberapa langkah yang pendek, saya sudah boleh akses ke dunia sawang. Syukur, nikmat ini akan membolehkan saya menerokai lebih banyak info dunia dan berkembang dengan lebih pantas.

Doakan agar saya mampu mengambil peluang dengan kewujudan streamyx di rumah sendiri.

Sunday, February 18, 2007

PERJALANAN YANG PANJANG

Bermula 15 Januari sehingga sekarang, 18 Febuari telah mencukupkan tempoh sebulan 3 hari aku sebagai tenaga pengajar di MTS. Pendek sahaja waktunya, tetapi kurasakan benar-benar panjang. Dengan menggalas beberapa tugasan di kampung, di rumah, peribadi dan sekolah...aku rasa seperti ada rantai besi yang mengikat di betisku. Langkah sejengkal itu terasa sedepa. Seminit itu terasa sejam.

Perjalanan masih panjang dan kesabaran di dadaku sedang diuji dengan berbagai karenah murid dan orang persekitaran. Ya Allah...bukan mudah menjadi seorang guru. Bukan mudah menjadi guru yang ingin berkorban dan mendidik anak bangsa dengan seikhlas hati. Kalau sekadar mahu menjadi guru makan gaji...kan sudah lama dadaku dan jiwaku senang.

Ya Allah...aku mahu menjadi pendidik. Pendidik yang benar-benar tulus. Walaupun aku tidak layak dan perjalanan ini masih panjang. bantulah aku agar berdiri dengan teguh berbekalkan niat yang kudus. Ya Allah. Aku hambamu yang lemah...sangat lemah. Hanya kudrat dan kuasa-Mu sahaja yang bisa membantuku.

Bantulah aku.

Thursday, February 08, 2007

GURU MASIH DIPERLUKAN

Kepada sesiapa yang teringin dan mencukupi syarat untuk menjadi guru. Bolehlah bertanya kepada mana-mana mudir(pengetua) sekolah Yayasan Islam Kelantan. Kerana jawatan yang kosong masih terlalu banyak. Amat banyak....kira ada peluang yang cerah untuk menjawat jawatan guru buat masa sekarang.

Sekian, dimaklumkan.

Monday, February 05, 2007

PERTANDINGAN SYARAHAN BAHASA MELAYU

Pada 31 Januari 2007, saya diminta menyiapkan satu teks pertandingan syarahan Bahasa Melayu. Dalam ripuh yang amat, saya mencuri masa menaip teks sepanjang 3 mukasurat bertajuk ‘Pembinaan Ummah Cemerlang Menurut Perspektif Islam’. Teks tersebut saya serahkan kepada setiap wakil kumpulan yang akan bertanding dikalangan pelajar tingkatan satu.

Saringan dibuat pada 2 Febuari. Pelajar yang terpilih ialah Mohd Afiq bin Amman. Keesokan harinya, pada 3 febuari beliau dihantar ke pertandingan syarahan bahasa Melayu peringkat zon 3. Bayangkan beliau hanya mempunyai masa sehari untuk berlatih dan menghafal teks.

Apa yang mengejutkan saya, peserta yang menyertai pertandingan adalah pelajar tingkatan 1 hingga 5. Ini bererti saingan beliau ada yang sudah berumur 17 tahun. Dalam fikiran saya, mustahil kami akan menang.

Pertandingan berlangsung. Sebaik keputusan diumumkan, pelajar saya mendapat tempat kedua dengan 76 markah. Tempat pertama disandang oleh pelajar tingkatan lima sebanyak 87 markah, manakala tempat ketiga disandang oleh pelajar tingkatan empat sebanyak 75 markah. Alhamdulillah, saya anggap kemenangan itu sedikit sebanyak dapat menutup kelemahan saya yang menjadi guru Bahasa Melayu secara bidan terjun.

BIDAN TERJUN A.K.A. GURU BAHASA MELAYU

15 Januari 2007. Kenyataannya, saya telahpun diminta mengajar subjek Bahasa Melayu. Buat masa sekarang, Maahad Tahfiz Sains Bustanul Ariffin mempunyai dua orang guru Bahasa Melayu dan saya salah satu daripadanya. Sekolah yang menampung pelajar seramai 190 orang itu hanya mempunyai dua orang guru Bahasa Melayu. Manakala guru matematik belum ada.

Saya berpendidikan Tahfiz, mempunyai diploma dalam ilmu qiraat serta mengambil pengkhususan dalam bidang tafsir. Tup-tup saya mengajar subjek Bahasa Melayu. Apakah makna semua ini? Ini menyatakan bahawa sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) masih memerlukan guru akademik.

Kita sudah maklum, kebanyakan guru telah beralih ke J-QAF atau ke sekolah kementerian. Ada kata-kata yang menyebut bahawa tidak ada guru yang terliur untuk duduk di sekolah YIK melainkan terpaksa. Benarkah begitu?

Jawapannya tidak benar. Saya juga ditawarkan beberapa jawatan di syarikat swasta dan pejabat kerajaan. Semuanya ditolak demi untuk menjadi tenaga pengajar di sekolah Yayasan. Tak kira apa subjek yang saya ajar…saya akan mengajarnya dengan sepenuh hati. Insya Allah.

Tapi…mampukah saya?