Thursday, April 26, 2007

MALAS

Sebenarnya saya tidak pasti mahu menulis apa. Sekadar mengambil sedikit waktu senggang untuk berkongsi catatan. Sehari dua ni saya memang dilanda rasa malas yang amat berat. Bukan bererti tak buat kerja langsung, cuma buat kerja dalam keadaan terpaksa.

Jika dihitung, banyak kerja yang telah dibereskan. Tetapi semuanya dibuat dengan separuh hati. Tak bersungguh-sungguh dan tidak sepenuh perhatian. Insya allah, selepas ini harus perbetulkan niat dan perkuatkan semangat.

Saturday, April 14, 2007

Pergikah?

Telah banyak yang ditemui, tapi masih banyak yang perlu dicari.

Semakin cuba menyendiri, makin banyak yang menghurung diri.

Tak pergi, ertinya takut.

Pergikah? Masih tak pasti.

Pergikah? Tak mahu!

Kalau tunggu? Tunggu apa? Tunggu mati?

Dari menunggu...lebih baik pergi!

Baiklah! Aku pergi.

Friday, April 13, 2007

Pernahkah Anda Berdiri di Titik Vakum?

Saya seperti berlari di dalam arus yang deras. Terasa lebuh raya di dalam minda saya macet. Jiwa dan fizikal saya seolah-olah tidak sempat berfikir dan merancang dengan baik. Kerja-kerja-kerja... membuatkan saya terkejar-kejar sesuatu yang tidak pasti.

Saya mengajar, kemudian pulang dan keluar lagi untuk mengajar. Jika ada waktu senggang, saya membantu keluarga. 4 malam dalam seminggu saya isikan dengan program kuliah. Rutin itu berulang dari minggu ke minggu membuatkan otak sempit saya menjadi padat. Saya mengakui bahawa dahulunya saya agak manja dan sering mempunyai masa rehat yang cukup. Sekarang, masa rehat itu sudah dicuri untuk kerja dan mengajar.

Sesekali bila saya dapati diri sendiri terlalu sibuk. Dari subuh ke asar mengajar, selepas asar membantu keluarga, maghrib pula keluar memberi kuliah dan selepas isyak memeriksa buku pelajar, lagi menghubungi rakan-rakan Alumni...betapa saya merasa waktu itu amat berharga. Justeru, saya mencari satu titik vakum untuk berdiri dan menyusun kembali jadual kehidupan saya yang entah apa-apa.

Saya sedar, kini otak sempit saya kian mengembang. Saya sedar, kini tubuh lemah saya makin tegal. Saya sedar bahawa pengurusan waktu saya kian kemas dan tersusun. Hal itu terjadi apabila saya menemui titik vakum setiap hari.

Apa yang saya lakukan pada titik vakum itu? Saya berhenti melakukan segala-galanya kecuali merancang. Ya, itu sahaja. Biasanya dalam perjalanan ke sekolah...saya akan memandu kereta sambil merancang kerja yang bakal disiapkan pada hari itu. Saya cuba cungkilkan semua masalah yang perlu saya hadapi dan sekaligus saya carikan jalan penyelesaiannya. Akhirnya, masalah yang saya temui hari itu mampu diselesaikan dengan pantas.

Begitu juga dalam seminggu, saya akan memilih satu hari untuk menyusun kembali semua agenda dalam seminggu. Saya sering memilih antara hari Jumaat atau hari Ahad. Pada hari Jumaat, kebiasaannya saya akan mengemaskan pakaian dan membersih kenderaan. Seterusnya memeriksa catatan program yang bakal saya hadiri.

Ternyata, selepas saya menemui titik vakum itu kehidupan saya menjadi lebih terurus. Semuanya kerana Allah Taala membantu saya dan memberikan taufiq serta hidayah-Nya. Allahu akbar!

Saturday, April 07, 2007

Angin dari Timur

(Catatan ini ditulis untuk seorang rakan penulis)

Assalamualaikum warahmatullah

Temanku...

Penat bukan? Duduk dahulu dan ambil beberapa nafas yang panjang. Jangan pusing kepala dengan masalah yang tidak mampu diselesaikan. Anda berhak mendapat waktu rehat kerana anda juga manusia biasa. Anda juga bukan manusia super yang boleh buat segala-gala...anda dan saya....kita semua manusia biasa sahaja. Jangan risau kalau orang kata kita lemah, kita kurang dan kita tak cukup terer. Sebab kata-kata itu adalah bukti bahawa kita adalah manusia.

Temanku...sebagai seorang rakan...dan saudara seagama...

Saya meluangkan masa untuk menulis catatan ini agar kita kembali kepada hakikat sebenar seorang hamba Allah. Kita bekerja kerana Allah adalah untuk pahala dan keabadian syurga. Tiada yang selain-Nya. Kerja kita bukan bermatlamatkan kesempurnaan, kemenangan besar, pujian melata atau keuntungan berganda. Kita cuma mencari PAHALA. Di mana ada pahala, di situ kita akan pergi. Sekalipun kita gagal melaksanakannya dengan sempurna, sekurang-kurangnya kita tahu pahala tetap ada untuk kerja itu. Jika kita sedar hakikat itu, bererti kita adalah orang yang tidak pernah walah.

Temanku... jangan lumpuh semangat dalam mencari pahala...kerana semangat seorang muslim itu tidak pernah lumpuh dalam mencari pahala...melainkan dia sudah mengubah niat itu untuk mencari sesuatu yang lain.

Bangunlah...bekerjalah...kerana duduk sahaja atau mengalah itu bukan pilihan kita. Dan pastinya kita tidak mahu memilih jalan untuk berdiam diri dan putus asa.

Ingat...Bukan kita yang menentukan siapa bakal menjadi pemimpin masa depan. Bukan kita penentu siapa yang bakal jadi penulis di masa depan. Kita tidak tahu...kerana itu kita hanya seorang penyeru(da'ie) ataupun muballigh. Hidayah dan kesedaran serta takdir itu semuanya milik Allah. Kita hanya bekerja dengan bakat dan kemahiran yang ada dalam diri kita. Kita hanya bekerja kerana kita mampu melakukannya. Soal kejayaan dan hasil, itu bukan ditangan kita. Soal masa depan itu kita serahkan segalanya kepada Allah.

Oleh itu...janganlah bersedih...janganlah bermurung...janganlah tertunduk dan merasa terpinggir...itu bukan tugas kita sekarang. Itu bukan perkara yang sesuai untuk kita buat sekarang.

Yang perlu kita lakukan sekarang ialah...tunjukkan kepada Allah bahawa kita adalah hamba-Nya yang sedia diuji dan akan terus berdiri. Kita akan tunjukkan kepada Allah bahawa kita termasuk dikalangan hamba-Nya yang ikhlas dan tidak pernah mengharapkan ganjaran duniawi. Kita adalah hamba yang bekerja untuk-Nya dan bertawakal kepada-Nya.

Temanku...sebelum itu...jika anda penat. Tidurlah dahulu. Jika anda merasa walah, berehatlah seketika. Tetapi jangan kecewa dan jangan mengalah. Menangis dalam berjuang itu adalah lebih baik daripada tersenyum dalam ketewasan. Dan...saya meyakini anda adalah seorang yang tahu memilih apa yang terbaik.

Anda adalah pemimpin untuk diri anda. Setiap keputusan yang anda pilih...wajar dihormati.
Sekian.

A. Ubaidillah bin Alias
Seorang rafiq