Sunday, June 24, 2007

MASIH CELARU

GURU BM

Saya baru selesai menghadiri kursus guru Bahasa Melayu. Secara automatiknya ada tugasan baru yang menunggu. Jika dihitung sudah seminggu lebih berada di Malaysia (selepas pulang dari Mesir) namun rutin harian dirasakan masih tidak teratur. Saya masih mamai dan tidak pasti apakah kerja yang perlu dibuat mengikut keutamaan...itukah dulu? Atau yang ini dahulu?

Ya...sepertinya diri ini orang baru terjaga dari tidur dan disuruh berlari. Mata belum benar-benar terbuka nafas sudah tercungap-cungap kelelahan. Belum sempat menyelesaikan kerja yang tersedia, kerja baru sudah memanggil-manggil. Semakin difikir, semakin memenatkan. Uhm! Saya cuma perlukan sedikit ruang untuk memeriksa dan merancang kembali rutin harian.

Apa yang saya sedari, rupanya tugasan menjadi guru akademik(termasuk guru Bahasa Melayu) meletihkan berbanding dengan guru subjek agama. Malah, setelah saya menyelidik jadual beberapa orang guru akademik...terbukti rutin mereka lebih memenatkan berbanding guru subjek agama. Entahlah. Mungkin saya yang tersalah hitung atau ianya memang benar. Sementelah saya kini sedang mengajar subjek akademik dan juga agama sekaligus. Pasti rutin saya menjadi macet.

NEXT AGENDA

Mengikut perkiraan saya sebagai siswa Al-Azhar, saya berpuas hati dengan peperiksaan Falsafah Islam yang saya duduki di Mesir. Insya Allah...saya sangat optimis bahawa saya akan lulus. Justeru, saya mula merancang agenda seterusnya dalam kehidupan saya. Antaranya :

-Bilakah dan siapakah orang yang bakal saya kahwini?
- Adakah saya akan menyambung master? Dalam bidang apa dan di mana?
- Jika saya tidak jadi sambung master, adakah saya akan memilih profesion lain seperti menjadi Pegawai Tadbir Negeri atau terus kekal sebagai guru?

Semua itu persoalan yang belum diketemui jawapannya. Maklum sajalah, saya masih celaru dan seperti orang mamai yang disuruh berlari. Mudah-mudahan saya mendapat cukup oksigen untuk terus berdiri. Jangan pula tersungkur dan pitam, akibat kelemasan.

Friday, June 15, 2007

BEBERAPA TUGASAN

Catatan ini ditulis di Airport Qatar, ketika sedang menunggu waktu berlepas. Semalam saya bermalam di Hotel Movenpick (4 bintang). Sebaik sampai di airport, flight delayed. So...saya memutuskan untuk surf internet sementara mengisi masa yang boring.

NOVEL

Saya sudahpun menyerahkan manuskrip novel kedua kepada PTS Millennia untuk dinilai. Alhamdulillah, setakat ini proses berjalan dengan baik. Cuma...saya perlu membuat beberapa penambahan plot dan pembaikian untuk plot tertentu.

Saya tidak pasti bagaimana hendak menguruskan masa setelah berada di Malaysia nanti. Maklum sahaja, kerja di sekolah pasti bertimbun-timbun setelah saya bercuti selama sebulan. Jika tuhan mengizinkan, saya pasti mampu menyelesaikannya pada hujung bulan lapan. Ya, bulan lapan ini saya perlu serahkan manuskrip yang telahpun diperbaiki kepada pihak PTS.

Semoga sukses.

POSMEN TAK BERGAJI

Saya menerima banyak barang kiriman daripada rakan di Mesir untuk disampaikan kepada orang Malaysia. Ada yang mengirim untuk rakan, keluarga dan pihak tertentu. Ada yang mengirim bersama wang pos dan ada yang mengirim barang dan minta ianya dihantar byhand ke rumah.

Saya tidak tahu berapa lama saya akan mengambil masa untuk menyampaikan barang-barang itu. Yang pasti...saya berharap orang yang dikirim sudahpun dimaklumkan oleh pengirim. Dan orang yang dikirim dapat datang mengambil barang tersebut dari saya. Bukan saya yang terpaksa mencari dan menyampaikan barangan itu.

Entahlah...kita tidak tahu bagaimana semua urusan akan selesai. Tapi...kita memang tahu, semua urusan yang melibatkan ramai orang memerlukan kesabaran.