Saturday, September 22, 2007

BAKAT CILIK DICUNGKIL

Ketika saya memutuskan untuk menerbitkan Buletin Al-Qiadah di sekolah Maahad Tahfiz Sains, saya tidaklah begitu optimis terhadap sambutan yang bakal diterima. Setelah mencecah sebanyak 3 keluaran, jualannya meningkat daripada 50 kepada 60 naskah. Sedangkan pembacanya adalah seramai 182 orang. Bererti 1/3 daripada 182 orang pelajar telah membeli buletin itu. Seandainya bilangan ini bertambah, saya kira itu adalah satu kejayaan yang besar.

Apa yang begitu mengujakan saya, sumbangan karya dari pelajar adalah begitu menggalakkan. Buletin yang saya bikin diterbitkan sebanyak 2 kali sebulan. Dengan jumlah mukasurat sebanyak 8 muka sahaja. Setakat ini, saya menerima 1 karya seni khat, 3 buah sajak dan 18 buah karya kartun. Bererti, sumbangan daripada pelajar melebihi ruangan yang disediakan. Saya mengalami masalah untuk memuatkan karya kerana bilangan mukasurat yang terhad.

Jika dibanyakkan mukasurat, harga buletin akan naik. Buletin yang mahal akan menjejaskan pasaran. Mahu tak mahu, saya perlu fikirkan jalan untuk mempastikan semua karya ini tembus dan mendapat komentar yang baik daripada saya. Itulah tugas saya, memperbetulkan kekurangan di dalam karya anak didik.

Ternyata, saya melihat beberapa bakat baru yang begitu berpotensi walaupun kesemua anak didik saya baru berusia 13 tahun. Saya memang teruja. Dengan lebih tepat saya merasa ghairah untuk terus menerbitkan buletin. Jika karya ini semakin bertambah, tidak hairan jika saya mampu keluarkan antologi karikatur pelajar Maahad Tahfiz Sains Tumpat.

Go! Go!

Friday, September 21, 2007

MEMAHAMI APA KEHENDAK SEBENAR NALURI

Hati kita ibarat sebuah buku yang mempunyai berhelai-helai lipatan mukasurat. Hanya dengan sekali belek, ia boleh berubah-ubah. Setiap helaian juga tidak sama, setiap helaian juga mempunyai maksud dan erti yang berbeza. Hati yang mempunyai banyak muka dan helaian yang tebal adalah sangat rumit untuk ditilik.

Hati sentiasa bertukar-tukar halaman dan menjadikan wajah hati sering berubah-ubah. Apa yang penting di sini, setiap mukasurat mempunyai kekuatan yang tidak serupa. Bererti naluri yang sebenar pasti tersimpan dalam mukasurat tertentu sahaja. Tidak semua lintasan hati itu merupakan keinginan yang sejati. Kita harus menilai dan mencari di manakah naluri sebenar kita.

Mempastikan mukasurat sebenar memerlukan kemahiran. Memerlukan pengalaman dan kesungguhan. Dengan memahami apakah kehendak naluri sendiri akan membuatkan kita tidak serba salah dalam membuat keputusan. Ibarat kata, apabila kita mahukan sesuatu benda...perlu diteliti adakah kemahuan itu berasaskan naluri dari dalam atau dipengaruhi unsur dari luar. Jika kita tahu membezakan kehendak naluri dan pengaruh luar...bererti kita benar-benar memahami naluri sendiri.

Sebagai penulis, terlalu banyak yang aku mahu tetapi aku sendiri kekadang bingung apakah kemahuan itu adalah kesan pengaruh luar ataupun itu adalah keinginan naluri sebenar di hatiku.

Aku masih cuba memahami...

Wednesday, September 19, 2007

ESKAPISM - Mahu Jadi Orang Lain

Entah kenapa, sehari dua ni hati selalu wara-wiri. Tertanya-tanya sedapkah menjadi orang lain? Sedapkah jadi orang yang tak ada kerja dan bebas ke mana-mana? Dengan kata lain, kekadang terasa penat menjadi diriku yang sekarang ini.

Banyak yang ingin dikejar, banyak pula yang datang mengejar. Banyak kerja dan perkara yang ingin dibuat...dalam masa yang sama banyak juga kerja lain yang disuruh buat. Sesekali hati duk tanya pada diri sendiri, tak ada orang lain kah yang hendak disuruh?

Dalam masa yang sama, diri ini mengakui bahawa kerja adalah peluang untuk meningkatkan kemahiran diri. Jika banyak kerja yang mampu dibuat, bererti kecekapan juga bertambah. Namun, atas kapasiti sebagai seorang manusia kekadang hati kita mengeluh juga mahu sedikit ruang untuk berbuat perkara yang disukai. Mahu tak mahu, kita tetap perlu menyatakan bahawa eskapism bukanlah suatu benda yang boleh dipakai dalam diri.

Kita tak boleh jadi orang lain. Itu hakikat yang telah kekal semenjak azali. Maka, belajarlah menjadi diri sendiri dan menerima segala tanggungan dengan besar hati. Bukan lemah hati.

Monday, September 03, 2007

Buletin Al-Qiadah

Sudah lama saya terfikir untuk menerbitkan buletin di sekolah tempat saya bertugas. Bagi saya, media cetak penting untuk membentuk pola pemikiran dan juga mengajar cara berfikir yang betul. Apatah lagi di sekolah baru ini tidak mempunyai bahan bacaan yang cukup...maka saya terfikir ini adalah satu situasi yang bagus untuk memperkenalkan bahan bacaan baru.

Setelah berbual dengan mudir dan penolong kanan, mereka semua bersetuju untuk menerbitkan buletin. Saya nama Buletin Al-Qiadah(Kepimpinan). Pada awal Ogos saya telah terbitkan edisi pertama dan akhir ogos pula saya telah terbitkan edisi kedua. Mengikut perancangan, saya akan terbitkan buletin tersebut sebulan dua kali.

Sekarang...saya dalam proses mengajar anak buah untuk membikin buletin dengan kemampuan mereka sendiri. Mudah2an mereka mampu melakukannya.