Wednesday, October 31, 2007

Belajar dari Kelemahan Diri

Dua hari lepas saya baru menyiapkan satu buku motivasi untuk remaja. Dan saya bercadang untuk menulis beberapa siri lagi. Memang saya bukan motivator, yang penting saya ada pengalaman hidup yang dirasakan berguna untuk dikongsi dengan orang ramai.

Kenapa saya menulis buku motivasi untuk remaja?

Saya sebenarnya suka memerhati kekurangan diri dan orang sekeliling untuk diperbaiki. Ini menyebabkan saya sering kecewa dengan sikap orang lelaki di sekeliling saya. Terutamanya, remaja lelaki dari kelantan yang saya kenali memang banyak kelemahan. Saya cuba berbincang dan selami punca mereka bersikap dengan kekurangan itu. Akhirnya saya mendapat beberapa perkara sebagai kesimpulan. Dari situ...saya siapkan satu buku ringkas bertajuk "5 Paradigma Remaja Muslim Berkualiti". Buku ini belum terbit, entahlah ianya akan terbit atau tidak. Saya siapkan untuk simpanan saya terlebih dahulu. Jika tak ada penerbit yang suka, saya akan terbitkan sendiri. (Itu niat kecil sahaja)

Apa yang mendorong saya untuk menulis lagi ialah...

Suatu hari, kakak saya mengadakan rumah terbuka hari raya dengan menjemput rakan-rakan sepejabat. Kebetulan saya satu-satunya anak teruna yang ada di rumah ibubapa saya di Kelantan. Walaupun suami kakak(abang ipar) dan abah saya ada bersama, namun mereka sibuk melayan tetamu. Adik-beradik saya yang lain sudah pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan kembali ke kampus. Saya bertungkus lumus mengendali urusan hidangan majlis itu bersama adik bongsu yang lebih banyak duduk melayan rakan-rakannya. Hingga seorang rakan perempuan kakak saya menegur “Erm, one man show ke?” Saya hanya tersenyum dan katakan “Kebetulan saya anak teruna. Saya kena uruskan banyak perkara.”

Petang itu, kaki saya sakit dan mata saya menjadi merah. Sedari bahawa mata saya dijangkiti penyakit mata. Saya mula goyah untuk menghadiri satu lagi program pada malam itu. Saya perlu menyampaikan kuliah maghrib dan sekaligus membuat satu sesi recall ataupun muhasabah diri kepada peserta Sukarelawan di Sweet Beach Resort. Program itu bermula dari jam 7.oo malam sampai 12.30mlm. Dalam keadaan kaki yang lenguh dan mata yang kian kemerahan, saya gagahkan diri memandu sejauh 45 minit ke Bachok. Malam itu semuanya berjalan lancar dengan izin Allah.

Masalah yang saya perhatikan pada hari itu ialah...tiada lelaki(yang ada di rumah saya) yang membantu menyediakan hidangan atau mengurus sampah, sehingga saya terpaksa 40 kali turun naik tangga bagi menguruskan makanan tetamu. Lelaki lain memang ada...cuma tak bantu atau tolong2 mana yang patut. Malah sehari sebelum itu, saya perlu bawa nenek ke klinik dan memapahnya sendiri berjumpa doktor...itupun saya bawanya sebaik pulang dari kerja. Bila saya fikir, kenapa tidak minta tolong dari orang lain...jawabannya mudah. Lelaki lain tak sanggup buat, jika buatpun tak berapa harap sangat. Buat sekejap lepas tu diabaikan.

Ada satu kes...nenek saya mecak dan marah2 apabila orang lelaki(anak beranak juga) yang membantunya buat cincai-cincai. Biasalah, berurusan dengan orang tua perlu teliti dan sabar. Sebab mereka mudah terasa dan sangat cerewet.

Masalah lain pada hari itu ialah, orang lain tak endah jadual kita. Orang lain tak fikir kita nak buat apa lepas ni, kita perlu ke mana selepas ini. Saya terpaksa tarik diri dari buat kerja lebih awal sebab mahu ke Sweet Beach Resort. Jadi...sebaik jam 2 ptg. Saya dah kena berhenti bekerja dan reserve energy untuk malam itu. Tapi, iyalah. Orang lain bukan tahu apa kita nak buat, biasanya orang lain hanya tahu bergantung pada kita dan soal kita sendiri...tak tahu nak gantung pada sesiapa.

Keesokan harinya, sehari selepas open house saya mula berfikir. Andai saya sakit selepas ini, tidak mampu berjalan atau demam teruk. Siapa yang akan menguruskan saya ke klinik atau menjaga saya? Ibubapa saya sudah tua dan kakak saya sibuk menjaga anak-anaknya. Sedari kemungkinan itu, saya membuat keputusan untuk tidak menunggu dan berharap pada sesiapa. Kecuali Allah. Saya akui bahawa saya memerlukan orang lain untuk hidup, namun saya perlu menguruskan diri saya dengan bijak tanpa banyak menyusahkan orang lain. Hanya Allah sahaja saya memohon agar diberikan kesihatan untuk menjaga orang sekeliling saya.

Lagi, apa yang ingin saya Sampaikan?

Lalu saya terlintas untuk mencatat apakah kualiti yang perlu wujud dalam diri saya demi mempastikan saya mampu melepasi halangan dan kesusahan hidup ini. Tanpa merungut dan menyalahkan takdir. Saya berpendapat bahawa setiap remaja muslim perlu mempunyai kualiti diri yang tinggi sebelum berumahtangga. Dengan kualiti itu mereka akan bersedia menjadi nakhoda pelayaran di dalam lautan rumahtangga nanti. Saya juga mahu mencatat sesuatu untuk membantu remaja, khususnya golongan rakan sebaya yang melalui kehidupan dunia akhir zaman yang mencabar.

Apapun, saya bersyukur atas segala pemberian Allah swt sama ada yang baik ataupun yang buruk. Kerana setiap perjalanan hidup yang saya tempuhi mempunyai nilai yang besar dalam membentuk jati diri saya hari ini. Saya pernah dianugerahkan kejayaan, saya bersyukur. Saya pernah dihadapkan dengan kegagalan, saya mencari jalan untuk bangun dari ketewasan. Saya pernah bertemu dengan orang baik, saya belajar dari mereka. Saya bertemu dengan manusia yang jahat, saya berikhtiar untuk tidak mengulangi sikap dan perbuatan mereka. Benar, ujian hidup kita tidak serupa dan penyelesaian terhadap setiap perkara juga tidak sama. Namun, untuk melepasi setiap kesusahan hidup pasti di sana wujud asas-asas utama yang boleh diguna-pakai oleh setiap remaja Muslim demi melepaskan diri dari gumpalan permasalahan itu.

Saturday, October 20, 2007

Lelaki yang akan Menjadi Suami

Sebagai seorang lelaki yang akan menjadi suami, apakah perkara yang sepatutnya aku lakukan?

Sebagai lelaki yang akan menjadi suami, apakah persediaan yang seharusnya aku buat?

Pertama, merancang dari sudut kewangan. Aku mahu menjadi lelaki yang sekurang-kurangnya tidak pokai. Tidak bergantung kepada orang lain dalam hal kewangan. Aku mahu perkahwinan yang bakal dilangsungkan ini, jika boleh biarlah sepenuhnya menggunakan wang usahaku sendiri. Malah, aku perlu fikir bagaimana untuk membina keluarga menerusi kewangan yang sedia ada. Wang, adalah isu besar yang akan membantu melestarikan banyak perkara lain dalam rumahtangga.

Kedua, apabila kewangan stabil...jiwa dan mental akan dapat merancang banyak perkara. Malah, ilmu dan amal juga akan menjadi lancar. Selain persediaan mental dan ilmu, aku perlu bersedia untuk mengajar bakal isteri tentang beberapa perkara utama. Antaranya... (1) Memperbetulkan bacaan di dalam solat. (2) Memperjelaskan perihal bersuci dari hadas kecil dan besar (3) Memperjelaskan hukum aurat dan pemakaian yang dibenarkan dalam Islam. Buat masa sekarang ini, aku sendiri masih mendalami perkara ini dengan sebaik-baiknya.

Ketiga, paling besar sekali dalam berumahtangga ialah suami perlu menghayati setiap amanah yang telah terpundak di atas bahu. Walaupun berat sekalipun, ia perlu digalas dengan baik dan penuh suci hati. Terutamanya dalam saat-saat getir rumahtangga, perlu kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Di sinilah gunanya iman. Iman perlu diperkasakan barulah ia mampu memandu jiwa manusia agar mentaati Allah dan rasul. Hal ini hanya mampu dirasai dan dilalui setelah berumah tangga.

Bagi lelaki yang akan menjadi suami. Perlu bersedia dengan semua ini mulai sekarang.

Tuesday, October 09, 2007

Tugasan Hari Raya

Sehingga hari ini, kepala saya berputar ligat. Banyak tugasan yang perlu disenaraikan kembali kerana takut keciciran. Saya menyenaraikan tugas yang sedang dibuat dan yang akan dibuat.

Sedang :
1) Imam terawih - tiada komentar.

2) Kuliah setiap malam - tiada komentar.

3) Menyediakan persiapan untuk majlis Alumni pada hari raya ketiga - Setakat ini, semua persiapan terakhir disiapkan secara sendirian. Walaupun ada rakan-rakan yang boleh membantu, namun saya tidak fikir mereka mempunyai keluangan masa yang banyak untuk Alumni.

4) Menyiapkan keperluan hari raya untuk ahli keluarga yang bakal pulang berhari raya - Saya satu-satunya anak lelaki yang tinggal sebumbung dengan ibubapa. Urusan membeli barang-barang, menempah makan, membuat persiapan menyambut abang-abang yang pulang beraya perlu dibereskan.


Akan buat :
1) Khutbah raya - Sekarang saya belum mempunyai teks khutbah hari raya. Perlu mencarinya di mana-mana dan memeriksa ayat serta melatih pembacaannya. Kerja ini ringkas tetapi perlukan fokus yang baik.

2) Persiapan Rumah terbuka - Sebagai anak yang duduk di rumah, saya sedari banyak kerja yang perlu saya buat berbanding adik beradik yang 'pulang jarang-jarang'. Setiap kali dibuat kenduri atau rumah terbuka, hampir keselurhan tugas persiapan terpaksa saya uruskan terlebih dahulu. Bukan senang hendak set-up rumah untuk majlis kenduri-kendara. Kalau tak cukup perkakas dan persiapan awal, boleh jadi haru-biru.

3) Tukang Jaga Makanan dan Minuman - Banyak kerja yang perlu dibuat di hari terbuka. Hampir semua kerja di dapur orang perempuan lakukan termasuk menyusun dan membasuh pinggan-mangkuk. Kebanyakan adik beradik yang lain sibuk melayan tetamu. Melayan tidak penat berbanding dengan kerja 'Tambah makan dan minuman'.

4) Majlis Jalinan Jiwa (JANJI07) - Hari raya ketiga nanti, saya perlu mempastikan semua persiapan majlis tersebut siap-sedia. Tempahan - Jemputan - Pamplet - Borang Pendaftaran - Kamera - Banner - hampir kesemuanya disiapkan sendirian. Doa-doakan agar semuanya lancar.

Kecewa Berkali-kali, Putus Asa Tidak Sekali

Hidup ada banyak cerita. Ditayangkan di pentas yang berbeza-beza. Kita berlakon dalam dunia masing-masing dan memegang watak yang telah siap ditulis. Saya tidak akan menjadi anda. Anda tidak akan menjadi saya. Saya ada tanggungjawab untuk dibuat dan tanggungjawab itu tidak boleh diambil oleh anda atau orang lain.

Kita tidak pernah meminta dilahirkan untuk jadi orang begitu atau begini. Kini dilahirkan untuk menerima ketentuan. Ketentuan itu perlu kita fahami. Kefahaman itu perlu diterjemahkan dengan pelaksanaan. Pelaksanaan itu memakan masa, tenaga dan fikiran atau dengan erti kata yang lain "Pelaksanaan itu memerlukan pengorbanan". Justeru, kita tidak boleh menolak dan mengatakan "Ini bukan kerja saya". Setelah menyedari apa yang perlu dibuat dan apa yang wajib dibuat, kita cuma miliki satu pilihan "Kita akan lakukan semuanya. Buat sehabis baik dan sekadar yang termampu."

Setiap kali kita bekerja...kita kepenatan. Kita meminta bantuan rakan-rakan, berharap akan ada yang menolong. Akhirnya tiada sesiapa menolong. Wang habis, tenaga keluar, masa terbuang dan kita kecewa. Berhenti? Tak mungkin! Kita melangkah lagi, teruskan usaha walaupun seorang diri. Akhirnya, kita minta bantuan kawan-kawan lagi. Mereka kata mereka sanggup tolong dan bila tiba masa diperlukan mereka tidak juga muncul. Kecewa lagi! dan lagi! Berhenti? Tidak sama sekali.

Kita dilahirkan untuk bekerja dan memimpin ummah. Kita tidak dilahirkan untuk memarahi orang lain. Kita dilahirkan untuk menyempurnakan amanah yang ada, bukan untuk sibuk merepek kepada orang yang tidak menjalankan tugas. Kita adalah kita. Tugas kita adalah tanggungjawab kita. Jangan fikir tentang orang selagi tugas kita belum selesai. Kerana dengan menyelesaikan tugas kita, bererti kita tidak menjadi seperti orang-orang itu.

Layar yang teguh mampu memagar angin kencang,
Nakhoda berhati sali tidak akan tewas di tengah gelombang,

Tanpa cabaran seseorang tidak akan menjadi kuat,
Tanpa halangan seseorang tidak akan menjadi hebat.

Ramai Muslimin Buta Al-Quran

Sepanjang Ramadhan saya menghadiri beberapa majlis tadarus dan sempat memantau kadar kemampuan membaca Al-Quran bagi orang kampung serta kaum kerabat terdekat. Saya menyedari bahawa kaum lelaki sangat bermasalah dalam pembacaan Al-Quran. Sepanjang saya menghadiri majlis tadarus, belum pernah saya menemui lelaki yang lancar bacaan serta kena hukum tajwidnya kecuali imam masjid atau pelajar tahfiz. Pendek kata, semua lelaki (selain dari dua kategori tadi) yang menghadiri majlis tadarus bermasalah dalam pembacaan Al-Quran.

Kekurangan itu kita lihat hanya pada mereka yang hadir dalam majlis tadarus. Bagaimana pula dengan lelaki yang tidak hadir? Saya yakin, mereka lebih bermasalah. Malah, saya berani katakan mereka sebenarnya masih buta Al-Quran. Jangan terkejut, ini kenyataan. Ramai Muslimin masih buta Al-Quran. Mereka cuma tahu baca Al-Fatihah, Surah Lazim dan Surah Yasin. Selain itu, mereka tak dapat baca.

Berbeza pula dengan kaum muslimat, hampir 50% muslimat boleh membaca Al-Quran dengan baik. Cuma sebahagian besar mereka tidak tahu jenis hukum, hanya tahu membacanya sahaja. Walaupun begitu, itu sudah bagus berbanding tidak tahu membacanya. Sehingga sekarang, bila dibanding-bandingkan antara kemampuan muslimin dan muslimat ternyata muslimat lebih baik prestasinya.

Kenapa boleh jadi begini? Kenapa kaum lelaki lemah dalam pembacaan Al-Quran. Jawapannya sudah jelas. Kerana mereka kurang atau malas membacanya. Sehingga kini, di kampung saya majlis tadarus hanya dibuat di dalam bulan Ramadhan. Sedangkan di bulan lain, kaum lelaki tidak membaca Al-Quran(Atau mungkin membaca dalam jumlah yang terlalu sedikit). Sudah tiga tahun saya duduk di dalam majlis tadarus Ramadhan di kampung sendiri dan ternyata tiada seorangpun yang bertambah maju prestasi pembacaannya. Jika tahun lepas mereka gagap dan tidak lancar, maka tahun ini juga begitu. Ini bererti mereka tidak memperkemaskan bacaan di bulan lain.

Bagi kaum muslimat, sebahagian besar daripada mereka sudah boleh membaca Al-Quran tanpa perlu ditegur lagi. Lancar, sebutan bagus dan cukup panjang-pendek madnya. Sebahagian muslimat lagi masih perlu dibimbing. Boleh jadi pembacaan Al-Quran semakin baik kerana kaum muslimat tidak perlu keluar bekerja dan mereka hanya duduk di rumah. Mereka mempunyai masa untuk membelek Al-Quran lebih lama. Sedangkan lelaki perlu keluar ke sana sini. Namun, itu bukan alasan.

Konklusinya, ramai lelaki buta Al-Quran. Jika tidak buta, hampir-hampir buta Al-Quran. Walhal salah satu tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah mengajarkan Al-Quran. Jika mereka sendiri buta Al-Quran sudah tentu mereka gagal dalam menggalas tanggungjawab itu.

Saya begitu hampa.

Friday, October 05, 2007

LAILATUL QADAR

Semalam, 23 Ramadhan memang berbeza dari malam yang lain. Mungkinkah semalam lailatul qadar.

Mungkin?

Wednesday, October 03, 2007

Tuhan Masih Ada

Ketika awal tahun, sewaktu saya mula-mula diberi pilihan untuk memilih kerjaya. Abah cakap "Peluang kerja yang datang serentak sampai dua tiga kerja ni, bukan datang senang-senang jer... Peluang biasanya datang pada waktu tertentu dan mungkin sekali ini sahaja. Boleh jadi sudah tiada peluang kedua. Jadi, pilihan perlu tepat dan jangan ingat lepas ni nak undur-undur lagi."

Aku termenung juga bila abah kata begitu. Maklumlah, ada kerja yang gajinya bagus, tapi manfaat ilmu aku terbengkalai. Ada kerja yang gajinya biasa jer, tapi dalam masa yang sama boleh dimanfaatkan ilmu yang aku belajar selama ni. Ada kerja gaji ok dan kena dengan minat aku pula. Pening juga nak pilih. Selepas dibuat pertimbangan berdasarkan ilmu dan agama, aku kembali kepada kehendak Allah dan RasulNya iaitu menyampaikan agama dan mengajarkan Al-Quran kepada manusia.

Habis fikir, akhirnya aku pilih untuk mengajar di sekolah YIK iaitu tempat aku berteduh mencari ilmu waktu di alam menengah dahulu. Masa mula-mula kerja, tiga bulan gaji tak masuk. Aku masih boleh hidup dan bawa sebuah kereta kancil. Alhamdulillah, tuhan beri kemudahan untuk aku menumpang dalam kesenangan keluargaku. Selepas gaji masuk, aku mula menyimpan dan merancang untuk banyak perkara.

Simpan duit nak sambung belajar, nak kahwin, nak pergi naik haji dan lain-lain. Namun, status bayaran gaji di YIK rupanya sangat membimbangkan. Tarikh bayaran gaji guru sandaran tidak menentu, kekadang masuk awal kekadang masuk lambat. Lebih malang lagi gaji guru ganti masih ada yang belum dibayar walaupun sudah enam bulan bekerja. Malah, gaji bulan September belum masuk lagi walaupun hari ni dah masuk 4 oktober(Dah masuk bulan lain!) Jadi, kalau nak dapatkan status guru tetap dalam masa setahun dua ini memanglah seperti pungguk rindukan bulan.

Aku mula rasa beruntung kawan-kawan aku yang masuk JQAF, KPLI, DPLI dan apa jua jenis profesion di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Gaji maintain, bayaran tinggi, tarikh masuk gaji dah tetap. Pendek kata banyak kelebihan yang mereka dapat. Aku mula bermimpi alangkah baiknya jika aku juga ikut jejak mereka. Maklumlah, ramai kawan aku yang ke sana orang yang hebat-hebat. Orang yang mempunyai banyak kelebihan.

Kalau aku duduk terus menerus di bawah YIK, dahlah gaji tak menentu kemudian banyak pula sekatan dan kekangan daripada pihak tertentu. Pendek kata, tak banyak keistimewaan duniawi bagi orang yang mengajar di YIK. Lalu aku tatap wajah anak didik yang ada di sekolah YIK. Aku terfikir, aku dahulunya sama macam mereka. Aku masuk ke sekolah YIK ingin belajar dan mendapat didikan dari guru-guru yang ikhlas. Malah, aku juga temui banyak ketenangan dalam diri berbanding sepupu-sepupuku yang belajar di MRSM dan sekolah kementerian yang lain.

Di sekolah YIK, walaupun penuh dengan kedhaifan namun aku beruntung kerana ditarbiah oleh guru yang mengenal erti pengorbanan. Walaupun YIK banyak kekurangan, aku beruntung kerana mengenal guru-guru yang sabar dengan ujian kebendaan. Aku sudah lihat berapa ramai guru-guruku yang dahulu sehingga kini masih tetap di situ. Di sekolah yang sama dan terus konsisten dalam mendidik anak-anak watan. Mereka tak goyah berteduh di bawah bumbung YIK yang sudah bocor dan tiris.

Aku mula sedar, di YIK aku akan memahami erti pengorbanan, tarbiah, kejujuran, kesabaran, keikhlasan dan paling besar aku yakin di YIK aku menemui keberkatan yang lebih. Mungkin YIK tidak mampu memberi apa yang aku mahu (Duit dan material)...tapi, aku sedar YIK memerlukan sumbangan dariku. Jika orang yang belajar agama sepertiku tidak bersedia menyumbang untuk sekolah di bawah YIK, maka siapa lagi yang boleh diharapkan? Jika aku tidak memilih jalan ini....siapa lagi yang akan sanggup?

Mungkin aku akan jadi manusia miskin harta, kurang kemewahan dan dhaif dari sudut material. Namun, aku berharap tuhan tidak memandang kekurangan itu. Malah aku mohon tuhan curahkan keberkatan hidup dan ketenangan dalam hari-hari yang aku lalui. Dan aku sentiasa yakin, tuhan sentiasa membantu orang yang sabar.

Dan memang telah terbukti, tuhan itu ada. Dan dia pasti bersama orang yang sabar.

Bersabarlah wahai diriku.

"Sesungguhnya jalan jihad itu panjang dan berliku...di atasnya ada duri dan racun, di pinggirnya ada kepahitan dan kesusahan...namun dihujungnya pasti adalah syurga."