Sunday, December 21, 2008

KESESUAIAN MEMILIH JODOH

Petikan dari buku "AKU MAHU JATUH CINTA....Tapi, dengan siapa?"

KESESUAIAN MEMILIH JODOH

Sesekali bila bertafakkur sendirian saya akan bertanya pada diri sendiri “Apakah lagi perkara yang sepatutnya diberitahu kepada remaja?”


Lalu saya dapati masih banyak asas-asas besar yang perlu disedari oleh kebanyakan remaja. Namun perkara itu jarang disebutkan kepada mereka. Justeru, dalam bahagian ini saya akan berbicara kepada anda dari kacamata seorang muslim. Saya mahu memberitahu asas-asas pemilihan dan penyesuaian jodoh yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya.


Kesesuaian atau kesefahaman dalam memilih pasangan adalah merupakan asas dalam membina keluarga Muslim. Sudah tentu segala yang diasaskan atas agama, pasti mencapai bahagia dan sukses! Saya ingatkan remaja, kesesuaian di sini bukan dalam bidang kedudukan, pangkat dan harta kekayaan, akan tetapi kesamaan atau kesefahaman dalam bidang agama.


Ingat, kesamaan di sini ialah kesamaan dalam bidang agama! Inilah yang nabi pesan dalam soal memilih keturunan. Bukan keturunan yang kaya atau berharta, tetapi keturunan yang beragama dan warak.

Di dalam Islam seorang lelaki yang miskin atau seorang budak boleh menikah dengan wanita yang kaya. Orang yang tua boleh menikah dengan wanita atau lelaki yang muda. Akan tetapi orang yang fasiq dan zalim walaupun kaya, tidak boleh menikah dengan seorang wanita yang solehah, taqwa dan baik budi pekertinya.


Jelas tak?


Kesesuaian atau kesefahaman dalam memilih suami mahupun isteri adalah merupakan asas dalam membina keluarga Muslim. Kesesuaian disini bukan dalam bidang kedudukan, pangkat dan harta kekayaan, akan tetapi kesamaan atau kesefahaman dalam bidang agama.



Bersambung dalam buku... :)


MEMILIH APA YANG PATUT

(Petikan buku "HEI KAWAN! JANGAN PATAH SEMANGAT!"


MEMILIH APA YANG PATUT, BUKAN MEMILIH APA YANG DIINGINI


Rakanku,


Setiap hari naluri dan nafsu kita akan berperang dengan akal waras. Setiap hari keinginan kita akan berargumentasi dengan kewajaran. Ramai orang yang tidak sedar perbezaan antara perkara yang diinginkan dan yang diperlukan. Kebanyakan orang lebih suka memilih perkara yang diinginkan daripada memilih perkara yang diperlukan.


Contoh 1


Contohnya mudah. Apabila anda mahu makan sesuatu, anda akan bertanya pada diri sendiri. Soalan pertama “Apa yang aku mahu makan?” atau anda akan bertanya soalan kedua “Apa yang aku perlu makan sekarang?”. Memilih makanan bukanlah sesuatu yang mudah, malah ia juga bukan sesuatu yang terlalu sukar. Namun, jika pemakanan tidak dikawal ia tetap memudaratkan. Justeru, memilih makanan berkait dengan keperluan diri.


Jika anda jenis manusia yang suka mengikut keinginan, pasti anda akan memilih makanan tanpa memeriksa kandungan atau bahan-bahan di dalamnya. Sekiranya anda seorang yang suka makan makanan bergula, anda pasti akan memakan semua makanan manis tanpa memikirkan risiko dan kandungan di dalamnya.


Berbeza pula seandainya anda jenis yang suka mengikut kewajaran, pasti anda akan memilih makanan berdasarkan situasi dan kondisi. Contohnya apabila waktu pagi, anda akan memilih makanan separa berat untuk mengelakkan diri daripada mengantuk. Makanan itu pula pasti kurang berkanji. Lalu anda akan memilih makanan yang wajar agar anda tidak mengantuk diwaktu pagi. Begitu juga apabila anda mahu makan diwaktu malam, maka anda harus memilih makanan yang kurang kalori agar tidak terhasil tenaga berlebihan yang boleh bertukar menjadi lemak.


Contoh 2


Seorang kanak-kanak berusia tujuh atau dan sedang bersekolah dalam darjah satu meminta bapanya membelikan motosikal kerana mahu menggunakannya untuk ke sekolah. Kanak-kanak itu menangis dan meraung-raung agar bapanya membelikan motosikal untuknya. Apa yang sepatutnya dibuat oleh seorang bapa? Membelikannya? Atau membiarkannya?


Sebagai seorang bapa adakah dia perlu menurut keinginan anaknya atau membuat keputusan yang wajar? Bagaimana seorang budak kecil akan mampu mengendalikan sebuah motosikal? Tubuhnya masih kecil dan kakinya tidak sampai untuk berpijak ke tanah apabila duduk di atas pelana motosikal. Jika dia mampu memandunya sekalipun, dia akan berada dalam situasi tidak selamat.


Jika bapa membuat keputusan berdasarkan keinginan anak itu, pasti anak itu akan ditimpa musibah. Sewajarnya bapa membuat keputusan yang wajar untuk anak itu, iaitu dia menangguhkan dahulu pembelian motosikal sehingga anak itu menjadi dewasa. Ini bererti, keinginan dan kewajaran mempunyai kesan yang berbeza dalam membuat keputusan. Keputusan yang dibuat mengikut kesesuaian itu selalunya mendatangkan keuntungan dan kebaikan. Manakala keputusan yang dibuat mengikut keinginan boleh jadi membawa kebaikan atau sebaliknya.


Contoh 3


Seorang remaja yang berada di universiti memerlukan beberapa kemudahan untuk meneruskan pembelajarannya. Memandangkan pembelajaran zaman sekarang banyak memerlukan kemudahan komputer dan teknologi, ini menjadikan permintaan terhadap telefon bimbit dan komputer riba meningkat secara mendadak.


Apa yang ingin dinilai kembali adalah bagaimana remaja memilih untuk membeli komputer riba dan telefon bimbit. Jika anda seorang remaja yang berasal dari keluarga yang menghadapi masalah kewangan, anda pasti perlu menimbang sama ada untuk membeli komputer riba terlebih dahulu ataupun telefon bimbit.


Kebanyakan remaja lebih suka mengutamakan telefon bimbit daripada komputer riba sedangkan komputer amat diperlukan dalam pengajian. Sehingga ada yang sanggup menghabiskan wang beribu ringgit untuk membeli telefon bimbit yang mahal sekalipun terpaksa berhutang. Ini menyebabkan komputer riba gagal dibeli.


Sepatutnya seorang pelajar kampus perlu mengeluarkan wang berdasarkan kemampuannya dan membeli barangan yang benar-benar diperlukan. Namun, akibat terikut-ikut dengan keinginan menyebabkan dia telah memilih barang yang salah. Akibatnya, dia menghadapi masalah kewangan untuk membeli barang yang sepatutnya mampu dia beli semenjak awal-awal lagi.


Sebagai konklusinya, remaja memang mudah dikelirukan oleh keinginan yang tidak berasas. Sehingga kebanyakan remaja gagal membuat keputusan yang betul dalam hidup mereka. Kedangkalan pemikiran dan mudah terikut-ikut dengan persekitaran adalah punca remaja membuat keputusan yang silap. Justeru, kewajaran bertindak dan membuat keputusan itu perlu dilatih dengan cara berfikir secara mendalam. Apabila kita berfikir telebih dahulu, pasti kita akan cuba membuat keputusan yang perlu dan sebaliknya kita meninggalkan keputusan yang diingini oleh nafsu kita.

Thursday, December 18, 2008

BUKU KE - 5 SIAP

Alhamdulillah... syukur kepada Allah.

Buku ke-5 saya "AKU MAHU JATUH CINTA, tapi dengan siapa?" telah siap sepenuhnya. Saya cuma menanti proses submit manuskrip kepada syarikat yang sudi menerimanya. Syukur kepada Allah di atas masa dan ilham yang dianugerahkan kepada saya.

Antara kandungan

KANDUNGAN

PRAKATA

BOLEHKAH SAYA BERCINTA?

PERSIAPKAN SAMPAN MILIK NAKHODA

KISAH TIGA PENCINTA WANITA: SIRI 1

INGIN KUCARI PULAU BAHAGIA

BAHAGIA ATAU CINTA? INFINITI ATAU SEMENTARA?

KISAH TIGA PENCINTA WANITA : SIRI 2

OBLIGASI ATAU EMOSI

UNTUNGKAH BERCOUPLE?

KISAH CINTA TELADAN

PERCINTAAN REMAJA ZAMAN SEKARANG

CARA BERCINTA YANG SEPATUTNYA

KESESUAIAN MEMILIH JODOH

BAHAGIA MILIKNYA & SYURGALAH TEMPATNYA

MENGGAPAI SYURGAWI

SECANGKIR KASIH SEPALIT

MANIS

Moga ia menjadi azimat dan penguat buat ummat. Insya Allah!

Wassalam.

Tuesday, December 02, 2008

4 KARYA SUDAH TERHASIL (6 Lagi Menyusul)

Sepanjang saya menjadi penulis (yang masih baru)... sudah empat karya yang mampu saya siapkan. Bermula tahun 2005 sehingga 2008(lebih kurang tiga tahun). Dua daripadanya sudah memasuki pasaran iaitu :

1- "SEKUDUS NUR ILAHI" (PTS Publications) - Kisah perbandingan agama Islam dan Kristian.
2- "WARKAH CINTA BERBAU SYURGA". (PTS Publications) - Kisah cinta Islami siswa-siswi.

Dan dua lagi akan memasuki pasaran tahun hadapan iaitu :

1- "HEI KAWAN! JANGAN PATAH SEMANGAT!" Buku motivasi remaja yang akan diterbitkan oleh KarnaDya Solutions.
2- Sebuah novel "MENGINTAI CINTA DARI KAMAR AL-KHALIFAH". (PTS Publications) - Kisah percintaan monyet yang cuba diislamisasikan dan perang ideologi antara Islam dan Yahudi.

Saya sudah merancang untuk menyiapkan 10 judul dalam masa lima tahun. Ada 6 buah judul lagi yang bakal saya siapkan. Saya bercita-cita agar pada tahun 2010...saya akan mempunyai 10 buah buku tulisan sendiri. Iaitu 5 buah novel dan 5 buah buku motivasi. Entah mampu atau tidak, saya tidak kisah...asalkan saya mempunyai cita-cita sudah pasti saya akan mengejarnya.

Buat masa sekarang saya sedang menulis sebuah buku motivasi remaja "AKU MAHU JATUH CINTA! Tapi...dengan siapa?" dan bercadang untuk menerbitkannya dengan KarnaDya atau Telaga Biru. Itupun jika manuskripnya bagus. Selain itu, aku sedang merangka novel ketiga ~Jika Tuhan Izinkan~

Semua ini adalah hasrat dan visi yang mahu dicapai. Andai umur panjang...dan jika tuhan izinkan. Aku akan menyiapkannya. Insya Allah.

Doakan saya...

Sunday, November 30, 2008

Manuskrip MENGINTAI CINTA DARI KAMAR AL-KHALIFAH

Manuskrip MCDKA sudah berada ditahap akhir pemerosesannya. Saya sudah mendapat feed back dari pihak PTS untuk diperbaiki beberapa aspek. Hari ini, saya sudahpun siap mengedit dan menambah baik bahagian yang dianggap masih kurang. Alhamdulillah...semuanya berjalan dengan lancar.

Semoga novel ketiga saya akan segera menemui pembaca di pasaran. Insya Allah.

Tuesday, November 25, 2008

WARKAH CINTA Re-Print. Tak kunjung tiba.

Sebenarnya saya sudah berkali-kali ke KB Mall untuk melihat buku saya dipamerkan di atas rak dalam Popular Book Store. Semenjak ia siap dicetak pada pertengahan bulan oktober sehingga hari ini (penghujung november)...buku saya tak kunjung tiba. Ada sedikit hampa dalam diri. Namun saya pasti itu adalah rutin biasa bagi seorang penulis.

Bila agaknya buku saya akan sampai ke KB Mall? Apa yang membuatkan ia masih tersangkut di store PTS? Kenapa ya? Masa yang diambil terlalu lama untuk re-stock. Dan saya percaya mungkin ada banyak perkara yang perlu diuruskan.

Sebenarnya saya jadi segan sendiri apabila ada orang yang bertanya. Ustaz, mana buku cetakan kedua? Tak ada pun kat Book Store? Saya tergagap-gagap nak jawab. Sekadar senyum sahaja.

Semoga ia segera kunjung tiba.

:)

Wednesday, November 19, 2008

Oops! I Fall In Love

Sebetulnya sudah beberapa kali saya menerima undangan menyampaikan kuliah di Surau Pengajian Islam di USM Kubang Kerian. Namun, itu adalah kuliah pengisian biasa. Kandungan ceramah seputar isu akidah dan permasalahan batasan pergaulan lelaki dan wanita. Namun pada 20 haribulan ini, saya perlu menyampaikan sebuah kuliah bertajuk "Oops! I Fall In Love" pada malam Jumaat.

Saya bertanya pada diri sendiri. Apakah yang sewajarnya saya bicarakan untuk menyentuh persoalan cinta dikalangan khalayak remaja kampus? Saya membuat sedikit revision dan study. Saya menemukan beberapa persoalan yang wajar dikupas untuk khalayak remaja.

Perkara yang saya rasakan sesuai untuk dikupas :

1) Bentuk percintaan remaja zaman sekarang dan percintaan zaman salafussoleh. Wujudkah? Bagaimana perbezaannya?
2) Apakah hukum percintaan dan larangannya di dalam agama? Hikmah dan larangan.
3) Apakah krisis yang biasanya berlaku ke atas pasangan dalam perkahwinan yang berasaskan kecantikan, keturunan, harta.
4) Kelemahan lelaki dan keghairahan wanita zaman sekarang.
5) Permasalahan dan persepsi yang biasa berbangkit dikalangan remaja.
6) Membawa cinta ke matlamat sebenar (Perkahwinan dan kebahagiaan sebenar dalam hidup)
7) Kesimpulan.
8) Soal jawab.

Rasanya itu sahaja yang mampu dikupas dalam masa satu jam. Itupun jika sempat. Selebihnya saya perlu serahkan kepada Allah dan kepada remaja sendiri untuk mencari destinasi cinta mereka. Mudah-mudahan mereka menemui jalan mencari bahagia.

All the best!

Sunday, November 16, 2008

BAHAGIA ATAU CINTA? INFINITI ATAU SEMENTARA?

Biar saya tanya anda, mahu bahagia atau mahu cinta?


Anda jawab mahu kedua-duanya atau salah satu?


Adakah cinta dan bahagia itu dua perkara berbeza?


Atau cinta dan bahagia itu serupa, sama dan setaraf?


Ramai remaja cakap pasangan yang saling mencintai dan romantik, pasti akan merasai kebahagiaan. Kalau begitu, kenapa orang kahwin tanpa bercinta sebelumnya, malah kedua-duanya tidak romantik namun masih bahagia. Ada juga remaja cakap, hanya saling mencintai baru dapat bahagia. Okey, saya setuju. Dan ketahuilah…bahagia itu adalah satu pulau yang dibentuk oleh pohon-pohon perasaan yang berbagai. Dibentuk oleh tanah-tanah emosi yang bervariasi. Pulau bahagia itu terbina dengan adanya pohon kasih, pohon cemburu, pohon sayang, pohon marah, pohon belai, pohon cinta dan lain-lain. Pulau bahagia itu terbina dari tanah cemburu, tanah setia, tanah waspada, tanah amanah, tanah sabar dan lain-lain. Ini bererti, bahagia itu sebuah pulau yang terbentuk dari berbagai rasa dan cinta adalah salah satu penghuni di atasnya. Setujukah?


Sekarang saya mahu tanya…anda mahu bahagia atau cinta?



Ada orang kata, cinta adalah kekuatan yang membolehkan pasangan hidup bahagia. Tanpa cinta, manusia tidak bisa bersama dan meneruskan kehidupan. Benarkah? Bagi saya. Cinta itu adalah satu batu-bata untuk membina tugu bahagia. Dan untuk mencipta tugu bahagia, kita masih memerlukan berbagai batu-bata yang lain lagi. Ini bererti, memiliki cinta belum tentu bahagia. Jika anda memiliki bahagia, pasti di dalamnya akan tersemat cinta. Ketiadaan cinta tidak bererti kita kehilangan segala-galanya, tetapi…memiliki cinta pasti akan mempercepatkan proses bahagia.


Cuba lihat sepasang kekasih yang bercinta, bukahkah kekadang mereka ketawa kerana gembira, kekadang mereka bergaduh kerana membenci, kemudian mereka senyum kerana mencintai. Sepanjang konflik perasaan berbolak-balik, mereka masih bersama bukan? Selagi mereka kuat memagar perasaan masing-masing pasti mereka akan sentiasa berada di dalam satu ikatan. Sekarang kita baru menyedari bahawa hubungan percintaan seorang nakhoda tidak boleh berasaskan rasa cinta sahaja. Malah ia memerlukan kekuatan lain untuk turut serta. Jika mahu sampai ke pulau bahagia, anda memerlukan lebih dari cinta. Anda memerlukan unsur sabar, tabah, istiqamah, amanah, dan macam-macam lagi.


Sekarang…jika saya. Anda mahu cinta atau bahagia?


Atau dalam soalan lain yang bermaksud sama, anda mahu memiliki satu rasa atau banyak rasa dalam kehidupan?


Atau dalam kata lain lagi…anda mahu menjadi pencinta semata-mata atau mahu menjadi manusia yang memiliki segala rasa manusiawi? Saya yakin anda punya jawapan tersendiri. Bagi saya, kejarlah bahagia. Pasti di dalamnya ada rasa yang berbagai-bagai untuk dikecap bersama kekasih.

Lalu saya lontarkan soalan kedua.



Mahu kejar bahagia yang bagaimana? Infiniti atau sementara?



Kebahagiaan yang mahu anda bina dan miliki ini, adakah mahu yang bersifat abadi hingga ke syurga atau sementara sahaja di dunia?



Secara warasnya, tiada manusia yang mahu sesuatu benda baik yang bersifat sementara. Orang sanggup membeli barang yang mahal kerana kualiti dan ketahanan barang tersebut. Orang sanggup bergolok dan bergadai kerana mahu mempertahankan tanah air yang dianggap milik kekal bagi generasi anak cucu. Sudah jelas, secara waras manusia pasti mahukan kebahagiaan yang tahan lama dan kental. Agar tidak perlu melalui mimpi-mimpi duka dan kekecewaan.



Jika benar mahu mencari keabadian cinta…maka kita perlu mencari suatu kuasa yang mampu membina dan meruntuhkan. Kuasa yang mampu menghidupkan dan mematikan. Hanya yang berkuasa atas membina dan menghidupkan sahaja akan mampu mengabadikan kewujudan sesuatu benda. Dan kekuasan itu sudah pasti adalah milik Allah.


Lalu saya tanyakan anda…sudahkah anda mengenali tuan yang memiliki hati manusia ini?


Sudahkah anda mengenali tuan yang mencipta bahagia ini?



Belum? Jika belum…mungkinkah anda memperoleh bahagia dan keabadiannya jika anda tidak kenal pemiliknya?


Saya beri contoh. Anda mahu dapatkan sebuah kek keladi dari orang tertentu. Sudah pasti anda perlu mengetahui alamatnya, nombor telefonnya, nama pembikin kek itu, harga kek dan cara menempahnya. Jika anda tidak tahu kesemua ini. Bagaimana anda akan dapat memperolehi kek tersebut. Begitu juga jika anda mahu mendapat kebahagiaan abadi. Mampukah anda memperolehinya jika anda tidak tahu sifat pembikinnya, cara menghubungi-Nya, nilai yang perlu anda bayar untuk memperolehinya dan cara mendapatkannya.

Anda mahu bahagia bukan? Bahagia yang abadi…betul tak? Percayalah…hanya Allah yang memilikinya. Dan hanya Allah yang mampu memberikannya. Bukan manusia lain, bukan makhluk lain dan bukan wanita atau lelaki yang anda dampingi. Tetapi dia yang mampu berikan.

Wednesday, November 12, 2008

ILHAM itu Milik Allah, Solat Dhuha adalah Ikhtiar Kita

Alhamdulillah, semenjak saya istiqamah melaksanakan solat dhuha terasa sekali ilham datang mencurah-curah. Memang benar, ilham itu milik Allah dan saya berusaha dengan berdoa kepadanya. Amalkan solat dhuha...pasti anda mendapat banyak keberkatan hidup. Insya Allah!

Amin

Novel Sudah ~ Buku Motivasi Pula

Setelah melihat novel saya mendapat sambutan yang positif, terasa mahu menulis dalam genre rencana ilmiah yang berbentuk motivasi. Setakat ini saya sudah siap menulis sebuah manuskrip dan sudahpun diterima oleh penerbit KarnaDya. Semalam saya berbual panjang dengan Puan Aina Emir melalui telefon. Sungguh Puan Aina Emir berbicara bagai seorang ibu kepada anak. Memberi respon positif dan menanai saya dengan beberapa komentar jujur. Insya allah, buku motivasi untuk remaja akan terbit dalam masa terdekat ini.


Ia menceritakan beberapa pengalaman hidup dan paradigma yang saya bina selama melusuri kehidupan seorang agamawan. Saya benar-benar mahu berkongsi apa yang ada pada titik persepsi saya kepada umum. Buku itu masih belum punya judul yang pasti. Mungkin tajuknya "HEI KAWAN! JANGAN PATAH SEMANGAT!!"


Sekarang, saya sudah merintis buku motivasi kedua. Perihal cinta dan pemilihan pasangan hidup dari kacamata orang yang baru berumahtangga. Tajuknya "Aku Mahu Jatuh Cinta! Tapi, dengan siapa?". Buku ini adalah satu ekspressi santai dan berseloka untuk tatapan remaja. Saya belum tahu penerbit manakah yang akan menerima manuskrip tersebut. Doakan ia sesuai diterbitkan dan bagus untuk tatapan remaja.


Petikan buku 'Aku Mahu Jatuh Cinta! Tapi, dengan Siapa?'


PERSIAPKAN SAMPAN KECIL MILIK NAKHODA

Percintaan ibarat sebuah pelayaran yang berlangsung di atas lautan kehidupan. Percintaan memerlukan kesepakatan antara nakhoda dan kelasinya dalam merentasi lautan walau segetir manapun. Dalam pelayaran ini, seorang nakhoda perlu memahami tiga perkara. Pertama, sampan yang bakal membawanya belayar. Kedua, sifat lautan yang perlu ditempuhnya. Ketiga, destinasi yang ingin dituju dalam pelayaran ini.

Sampan itu, adalah hati.

Lautan itu adalah kehidupan.

Matlamat pelayaran ialah pulau bahagia.

Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi. Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan. Ia membawa cuaca tersendiri dan memberi impak di dalam hati manusia. Hati manusia ibarat sampan kecil yang dipaksa berlayar dalam lautan lepas. Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata dan memulakan pelayaran. Sudah pasti, sampan kecil yang menempatkan sebentuk hati manusia itu bisa ditimpa pelbagai kemungkinan.

Anda mahu jatuh cinta bukan? Jatuh cinta bererti memulakan pelayaran. Andai mahu belayar, anda perlu menjadi seorang nakhoda. Anda perlu memiliki sampan yang mampu membawa anda dan kekasih sampai ke destinasi. Oleh itu, sudahkah anda persiapkan sampan kecil yang kukuh dan utuh itu? Sampan yang akan membawa cinta anda dengan selamat.

Ingat…

Dunia bukan syurga…dunia adalah tempat manusia diuji!

Ingat…

Dunia adalah realiti…bukan tempat untuk mimpi nihil!

Ingat…

Lautan kehidupan itu dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan. Adakah sampan milik nakhoda sudah bersedia untuk membawa kekasihnya demi menakluk pulau bahagia? Sudahkah ia cukup kuat untuk menongkah gelombang? Cukup teguhkah ia untuk membelah taufan? Cukup tegarkah ia untuk menahan goncangan?

Atas sebab itu, nakhoda perlu membina sebuah sampan paling teguh demi berlayar dalam lautan kehidupan itu. Kini, persoalan yang perlu dijawab ialah. Apakah sampan yang paling teguh dan persisten untuk menempuh sebarang cuaca kehidupan?

Jika sampan itu adalah hati. Dan hati itu perlu diperteguhkan. Apakah elemen yang akan memperteguhkan hati itu sehingga ia menjadi tegal dan mapan?

Itulah prinsip dan paradigma!

Prinsip dan paradigma yang betul akan membantu anda membuat keputusan dan membantu anda bertindak dengan betul.


Ada komen? Beritahu saja. Saya amat mengalu-alukannya.

~ Warkah Cinta~Telah dibual bicarakan di Perpustakaan Selangor

Walaupun diluar makluman, catatan ini saya terjumpa di salah satu blog ketika search menerusi google. Dipetik dari laman web http://julianaes.com <--Sila klik untuk paparan lebih menarik.

--------------

Hari ini, Selasa 13 Zulkaedah 1429H, bersamaan 11 November 2008, saya akan mengendalikan program Buku Kegemaran Saya di Perpustakaan Kuala Selangor, insya Allah. Program tersebut bakal dimeriahkan oleh 4 orang panelis jemputan seperti berikut:

  1. Dato’ Yusoff Hassan - mantan Pengerusi Lembaga Pengarah PPAS (1991-1993)
  2. Tuan Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim - pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang juga merupakan ikon pencinta buku tanahair
  3. Puan Saridah Hamid - editor bebas, penulis Selembut Bicara, dan Bahtera Nabi Nuh (terbitan PTS)
  4. Tuan Mohd Jamali Salamon - Ahli Lembaga Pengarah PPAS (kini).

Buku-buku yang akan dibual-bicarakan ialah:

  1. Musafir (Hasan Ali)
  2. Flushed: How the Plumber Saved Civilization (W. Hodding Carter)
  3. Warkah Cinta Berbau Syurga (A. Ubaidillah Alias)
  4. Saga (Abdul Talib Hassan)

*Nota: Saga tidak dapat dipaparkan kerana imej kulit buku tersebut tidak terdapat di Internet.

-----------

P/S : Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur program ini kerana memberi peluang kepada Novel Warkah Cinta Berbau Syurga di diskusikan. Terima kasih!



Monday, November 10, 2008

6 perkara yang menjadi rahsia Allah

Setelah Allah s.w.t. selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat ( ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:

"Wahai tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?"

Lalu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud.. "tidak"

Kemudian Jibrail a.s. berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah s.w.t. Dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud.

"Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannku dan ketinggianku, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmuitu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahku, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahku."

Kemudian Jibrail a.s. berkata:

"Ya tuhanku, apakah yang engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud:

"Ya Jibrail, akan aku berikan syurga ma'waa sebagai tempat tinggal..."

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah s.w.t. maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud.

Kepada Allah s.w.t. lalu ia berkata dalam sujud :

"Ya tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

"Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluhdari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan...."

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah s.w.t telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

Allah s.w.t telah menyembunyikan redha-nya dalam taat.
Allah s.w.t telah menyembunyikan murka-nya di dalam maksiat.
Allah s.w.t telah menyembunyikan nama-nya yang maha agung di dalam al-quran.
Allah s.w.t telah menyembunyikan lailatul qadar di dalam bulan ramadhan.
Allah s.w.t telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
Allah s.w.t telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam
semua hari.

Sunday, November 09, 2008

Describing ME

Me?

Extraversion |||||||||||||||||||| 82%
Stability |||||||||||||||||| 78%
Orderliness |||||||||||||||| 62%
Accommodation |||||||||||| 50%
Interdependence |||||||||||||||| 63%
Intellectual |||||||||||||||| 70%
Mystical |||||||||||| 50%
Artistic |||||||||||||||| 70%
Religious |||||||||||||||||||| 90%
Hedonism |||||||||| 36%
Materialism |||||||||||||||||||| 83%
Narcissism |||||||||||||||| 70%
Adventurousness |||||||||||||| 56%
Work ethic |||||||||||||||||| 76%
Humanitarian |||||||||||||||| 70%
Conflict seeking |||||||||| 36%
Need to dominate |||||||||||||||||| 76%
Romantic |||||||||||||||||| 76%
Avoidant |||||||||||| 43%
Anti-authority |||||||||||||||| 63%
Wealth |||||||||| 36%
Dependency |||||||||||| 50%
Change averse |||||||||||| 50%
Cautiousness |||||||||||||||| 70%
Individuality |||||||||||||||||||| 83%
Sexuality |||||||||||||| 56%
Peter pan complex |||||| 30%
Family drive |||||||||||||||| 63%
Physical Activity |||||||||||||||||| 76%
Histrionic |||||||||||||||||||| 83%
Paranoia |||||||||| 36%
Vanity |||||| 30%
Honor |||||||||||||||||||| 83%
Thriftiness |||||||||||| 50%

Stability results were high which suggests you are very relaxed, calm, secure, and optimistic..

Orderliness results were moderately high which suggests you are, at times, overly organized, reliable, neat, and hard working at the expense of flexibility, efficiency, spontaneity, and fun.

Extraversion results were high which suggests you are overly talkative, outgoing, sociable and interacting at the expense too often of developing your own individual interests and internally based identity.


trait snapshot:
clean, likes large parties, outgoing, makes friends easily, optimistic, positive, social, high self control, traditional, assertive, rarely irritated, self revealing, open, finisher, high self concept, controlling, rarely worries, tough, likes to stand out, does not like to be alone, semi neat freak, fearless, dominant, trusting, organized, resolute, strong, practical, craves attention, adventurous, hard working, respects authority, brutally honest, realist, altruistic.

Agak-agak bleh faham ke?

:)

Monday, November 03, 2008

Mengintai Cinta Dari Kamar Al-Khalifah

Saya berkira-kira sendiri. Akhirnya hari ini saya telah menghantar novel ketiga dengan judul "Mengintai Cinta Dari Kamar Al-Khalifah"


Petikan Novel :


Laila,

Jangan sesekali kau memetik bintang cinta dari langit kegelapan, lalu kau sematkan ia di dalam hatimu yang majhul hakikat. Kerana ia akan membawamu ke lubang zulmat. Jangan sesekali kau menyeru kata rindu tanpa kefahaman dan melagukan mantera kasih tanpa tujuan, kerana ia akan menjadi taufan yang meruntuhkan tugu keperibadian yang sedia berdiri di atas tapak pekertimu. Cinta itu seperti titisan jernih air hujan yang perlu ditadah dalam bekas suci, ditatap atas piring agama hingga memahamkan dirimu hakikat tuhan. Ia perlu difahami dan diselami dengan satu erti seertinya.

Laila,

Cinta itu…satu misteri yang hanya mampu dibiaskan oleh nur ilahi. Hanya yang mengerti amanah khalifatullah akan mampu mengutip nur ilahi dan menyelamatkan manusia dari kebutaan cinta nafsu. Dan seharusnya setiap lelaki, menanai pekerti Al-Khalifah dan menatang cinta yang terkelarai dalam wadah kebenaran. Barulah nur ilahi akan menerangi setiap cebisan rindu, setiap keluhan resah, setiap sekelumit kasih yang mengguyur dalam jiwa manusia. Mudah-mudahan segala sengsara duniawi yang terhasil dari mimpi-mimpi manusiawi akan mampu diusir jauh dari realiti.

Laila,

Jika engkau benar-benar mahu bahagia, intailah cinta yang tersembunyi di dalam kamar Al-Khalifah. Jika bisa kau rebut ia dengan kekuatanmu, capailah semahunya. Mudah-mudahan resah yang kau tanggung, pilu yang kau usung, pedih yang menghurung, akan sirna dari lubuk kalbumu. Lalu kau perolehi damai abadi.


Sekarang novel dalam proses 'Pending' dan jika penerbit berpuas hati, insya allah akan menemui anda di pasaran tahun hadapan. Dan, kini saya sudah merancang buku seterusnya. Ia lebih kepada skrip komik untuk dijadikan novel grafik.


All the best!

Thursday, October 30, 2008

SUKAR TENTUKAN JUDUL

Sejujurnya, saya adalah penulis yang susah untuk memilih judul bagi karya sendiri. Sebagaimana judul novel saya sebelum ini sentiasa berubah. Seingat saya, hampir 20 kali saya menukar judul untuk novel terbaru yang sedang saya siapkan ini. Pertimbangan saya dalam memilih judul berdasarkan dua aspek. Pertama aspek 'idealisma' yang saya terapkan dalam karya. Kadang-kadang saya seperti mahu mengutarakan tajuk yang memaparkan 'gagasan idealisma' itu dengan terang. Aspek kedua yang saya timbangkan ialah 'Komersil'. Biasanya, tajuk yang terlalu idealis tidak menarik minat pembaca. Judul yang dimasukkan unsur 'cintan-cintun' dan 'jiwang' lebih menarik minat pembaca.

Dua aspek itu sering menjadikan saya sukar memilih judul. Antara judul yang pernah saya cadangkan :

1) Diversi Sebuah Legasi.
2) Legasi Seorang Lelaki.
3) Cinta Al-Khalifah.
4) Mengintai Cinta Dari Kamar Al-Khalifah.
5) Obligasi Cinta.

Antara lima judul ini, adakah anda cenderung memilih salah satu daripadanya. Kenapa? Saya fikir, ramai yang sukakan tajuk nombor 3 dan 4. Mungkin kerana ia lebih syahdu dibaca. Betul tak? Setelah difikir-fikir, barangkali penerbit ada cadangan untuk judul bagi buku terbaru saya.

Kita akan berbincang jika ada ruang nanti.

Wassalam.

Wednesday, October 22, 2008

Sekeping Nota dari Nanda Gracer

Ini adalah petikan dari novel yang sedang saya bikin 'Diversi Sebuah Legasi'. Suatu nota dari Nanda kepada Imran.

.......

KERUNTUHAN ini sudah dirancang bertahun-tahun. Dan semua bangsa sudahpun terjerumus ke dalamnya. Aku hanya ingatkan sahaja, bahawa semua lima elemen (sex, song, smoke, screen and sport) yang dimasukkan ke dalam negara ini bermotifkan diversi.


Diversi; mengalihkan perhatian umum daripada fokus terhadap perkara prioriti. Diversi ini dilakukan untuk membuang rasa tanggungjawab dan obligasi dalam jiwa setiap individu. Agar yang terpenuh dalam mindanya adalah populariti artis, fesyen, trend, hiburan, fantasi dan mimpi-mimpi duniawi. Pantas tugasan memimpin, memikul risiko dan menyelesaikan permasalahan hidup ini akan terpinggir secara automatik.


Lihat saja dalam negara ini, anak-anak muda sudah terbiar kerana ibubapanya mengejar harta dan kenamaan. Ibubapa yang ada sekarang tidak berupaya mendidik dan membentuk peribadi anak mereka, kerana mereka nihil idealisma. Mereka sudah memenuhkan minda dengan materi bukan ideologi. Mereka sudah memfokuskan hidup mereka untuk memperbanyakkan wang dan harta demi mencapai fantasi. Prioriti sebenar adalah mencari ilmu dan melaksanakan obligasi demi mempastikan keluarga mereka selamat. Diversi itu telah menukarkan mereka dari seorang manusia kepada sejenis haiwan. Mereka tidak punya prinsip atau paradigma. Mereka hanya hidup persis lembu dan kambing yang tahu makan dan memenuhi nafsu. Lalu, anak-anak mereka membesar dalam keadaan terkapai-kapai, hingga menjadi sampah-sampah terhormat dalam masyarakat.


Rasuah, seks, rogol, rompak, buli, dera dan segala penyakit sosial sudah menjadi semacam ironi. Tiada rasa pelik dan tiada rasa jakun. Penyakit itu semakin mesra dan mendarah daging dalam perilaku masyarakat ini. Akhirnya, negara akan dipenuhi ketakutan dan kebimbangan. Dibawah sedar, fantasi yang mereka kejar itu menjadi mimpi ngeri yang kompleks, tersimpul bagai benang kusut. Tidak mampu dibuang atau dileraikan dari tabi’e masyarakat ini.


Imran…


Jika kau sempat membaca catatan ini. Kau harus fikirkan cara untuk menyelamatkan pemuda-pemudi dari ditipu oleh lima elemen tadi. Elakkan dari terjerumus ke dalam diversi hingga keciciran obligasi dalam menyempurnakan prioriti. Dunia sudah hampir ke penghujungnya, jangan biar dirimu hanyut dibawa arus akhir zaman ini.


Imran…aku sentiasa berharap, engkau akan menjadi muslim yang baik.


Nanda Gracer.

SUBMIT NOVEL KE-3 BULAN DEPAN

Insya allah!

Saya sudah masuk ke bab akhir penulisan novel terbaru. Judul yang saya pilih setakat ini 'DIVERSI SEBUAH LEGASI'. Dan semahunya saya ingin cuba lari dari judul klise yang bertamakan 'Cintan-cintun'. Ini adalah sebuah novel pendedahan terhadap krisis dunia, agama dan identiti remaja. Ia membawakan tema cinta dan konflik agama.

Petikan 1 :

“Sudah tentu. Senjata kita tidak terhalang oleh sempadan dan ruang. Lima senjata yang kita serapkan iaitu sex, screen, sport, smoke and song begitu efektif. Kesannya jenayah kian meningkat. Kes bunuh dan ragut, kes gangguan seks sama ada rogol dan zina berleluasa, penagih pil dan dadah meningkat, orang mula merasai ketakutan. Ini adalah signifikan kejayaan lima senjata kita.” Agron menghembus asap tembakau yang berkepul-kepul dari mulutnya.

“Jika dahulu kita menjarah menggunakan serangan infantry dan bersenjata, ia menyebabkan kerosakan muka bumi yang banyak. Ia tidak banyak mengubah pemikiran penduduk yang dijarah. Kini, kita menyerang menerusi lima senjata tadi. Impaknya sangat memuaskan. Kita hanya mengubah pemikiran mereka. Akhirnya mereka kehilangan identiti dan secara automatik mereka membuang agama nenek-moyang mereka. Iaitu Islam.” Lelaki di sebelah Agron menyorot anak matanya ke dalam. Seolah dia mampu melihat perkara yang sedang berlaku.


Petikan 2 :

‘Jangan gusar wahai hati, masih ingatkah kamu pada pesanan agama?’ Dia cuba memujuk sendiri. Wajah rakan datang bertindihan, muncul dan hilang bergantian. Wajah guru-guru dan mu’allim turut bergentayangan namun wajah Mustofa muncul dan tersenyum.


“Mengertilah bahawa agama itu satu jalan yang bersifat merungkai dan menyelamat. Ia diperlukan waktu santai dan amat-amat bermanfaat diwaktu tegang. Sudah pasti jika kamu dibelit kebuntuan dan kesuntukan, hanya ada satu kuasa sahaja yang bisa meleburkan kebuntuan itu. Itulah Allah. Mohonlah bantuan menerusi sikap sabar dan bangunlah bersolat. Insya allah dia mampu keluarkan dirimu dari kebuntuan itu.”


Dialog yang pernah terakam dalam memorinya muncul lagi saat hatinya sedang runtuh dilanggar badai kecewa. Memang benar, figura Mustofa begitu banyak memberi kekuatan dalam jiwanya yang sedang pecah dan hancur.


“Ya Imran, kemarahan berpunca dari kekecewaan, dan kekecewaan itu berpunca dari ketidak-puasan hati menerima suatu ketentuan. Atau boleh dianggap bahawa kekecewaan itu lahir apabila kita cuba menolak takdir yang tersurat.”


“Ya Mustofa, bukan mudah untuk menerima takdir yang besar. Apatah lagi untuk menerima hakikat kita kehilangan sesuatu yang berharga”


“Imran, kamu sudah tersilap menilai sesuatu. Sesungguhnya kita tidak pernah memiliki apa-apa, bagaimana kita perlu merasai kehilangan sesuatu? Adakah kamu memahami bahawa segala yang di dunia ini hanya pinjaman, sebagai modal untuk membuat bekal ke akhirat. Adakah kamu mengerti?”


“Pinjaman sebagai modal?”


........


Saya mohon doa dari rakan-rakan agar buku ini mampu menjentik kesedaran dalam sukma kita semua. Insya allah.