Friday, March 14, 2008

Singgah Sebentar ke Maahad Tahfiz Sains Tumpat

Assalamualaikum

Apa kata jika saudara-saudari meluangkan masa untuk singgah sebentar, sekitar lima minit cuma ke blog http://maahadtahfizsainstumpat.blogspot.com/. Sekadar bertaaruf dan berkenalan, manalah tahu ada maklumat yang menawan hati di situ. Mungkin juga anda boleh menjadi pendakwah yang mempromosikan sekolah tersebut kepada sanak saudara.

Insya allah, anda tidak rugi. Demi saham akhirat...anda pasti mendapat keuntungan membangunkan generasi Al-Quran. Jom sama-sama bangunkan generasi Al-Quran. Bermula dengan seruan...jemputan...dan tarbiah.

Wassalam.

Thursday, March 13, 2008

SISTEMATIK DAN PROFESIONAL

Manusia membina banyak sistem dalam kehidupan untuk memudahkan dan melancarkan sesuatu perancangan. Namun, bagi kebanyakan orang 'kurang berilmu' kewujudan sistem kadang-kadang menyukarkan banyak proses.

Contohnya, dahulu orang kampung tak pernah berurusan dengan bank, kalau nak pinjam wang hanya cari orang kaya. Sekarang bank sudah banyak, nak pinjam wang kena buat loan. Bila nak buat loan ada borang yang perlu diisi dan perlu mengikuti syarat-syaratnya. Ada sistem yang perlu dipatuhi, jika tidak mengikut sistem maka hasrat untuk meminjam akan terbatal. Begitu juga apabila ingin meminta sumbangan dan peruntukan dari sesebuah syarikat untuk kos sesebuah program, kita tidak boleh pergi semberono hanya dengan membawa muka seposen. Mereka mahukan surat rasmi, kertas kerja dan anggaran kos perbelanjaan. Jika tidak ada, mereka tidak akan melayan. Itulah sistem yang diwujudkan untuk memudahkan kedua-dua pihak.

Sistem sebenarnya untuk memudahkan kesemua pihak, namun kerana kejahilan dan ketidakmatangan kita menyebabkan urusan semakin sukar. Akibat kelemahan kita untuk memahami dan ketidakmampuan kita untuk mengikuti sistem kontemporari, akhirnya banyak kemudahan yang wajar kita nikmati tidak sampai ke sisi.

Jika dilihat secara teliti, sistem ini terbentuk dari asas komunikasi secara lisan dan bertulis. Andai kita menguasai teknik komunikasi umum yang melibatkan lisan dan penulisan, pasti urusan kita akan menjadi mudah. Malangnya, ramai orang tidak menguasai teknik komunikasi lisan dan penulisan. Hingga menyebabkan status profesional mereka tergugah! Sijil belajar tinggi, tapi buat urusan tunggang-langgang.

Ada beberapa perkara yang wajar dikuasai untuk hidup dalam zaman sekarang. Pertama :

1) Kemahiran bertutur dengan bahasa melayu standard. Ini memudahkan orang lain segera memahami maksud yang ingin disampaikan. Masalahnya, ramai orang gagal memahami bahasa pengucapan umum. Khususnya orang Kelantan, sukar mencari ayat apabila bertutur dengan orang luar. Ini satu kelemahan besar apabila memasuki temuduga.

2) Kemahiran menulis surat rasmi dan tidak rasmi. Ini penting apabila anda membuat sebarang urusan dengan badan berkanun atau sebarang pihak bertaraf eksekutif.

3) Kemahiran membuat kertas kerja. Ini sangat penting apabila anda mahu menjadi seorang pengarah atau mahu merealisasikan impian anda. Impian itu wajarlah dipaparkan secara bertulis di atas kertas dalam bentuk 'blue print'. Anda tidak boleh membawa cadangan sekadar angin lalu, semuanya perlu dicatat.

4) Anggaran kewangan. Jika anda seorang perancang yang bijak, anda wajar menguasai ilmu kewangan. Tidak perlu belajar akaun dahulu untuk pandai membuat anggaran, yang penting anda tahu apakah harga barang yang anda perlukan. Kemudian buatlah anggaran.

Kegagalan mengikut sistem, adalah punca banyak kemudahan gagal dikecapi. Ketidakcekapan dalam pengurusan serta tahap profesionalisma yang rendah, adalah natijah daripada kemalasan diri sendiri. Untuk mengikut sistem, kita hanya perlukan sedikit kerajinan untuk memahami sistem yang ada, serta sedikit kerajinan untuk mempelajari kemahiran yang ada.

Sekian.

Saturday, March 08, 2008

NEGARA SAYA NEGARA DEMO-KORUPSI

Hadirin sekalian,

Biarlah orang nak kata apa, tapi saya pun ada mata dan telinga. Biarlah orang nak buat spekulasi apa, tapi saya sendiripun ada otak. Soal orang lain tengok, dengar dan pikir itu soal orang. Memandangkan saya sendiri boleh memandang, mendengar dan berfikir maka saya katakan kerajaan pusat ataupun pemerintah Malaysia sekarang adalah orang-orang yang telah korup akal dan senget paradigma. Termasuklah orang-orang yang mengikut pemerintah, adalah orang yang tertutup akalnya dan sepet paradigmanya.

Saya rakyat Kelantan, saya anak Cik Siti Wan Kembang. Saya lihat bumi saya berkat dan berkembang di bawah pemerintahan Tok Guru(ulamak). Tok guru adakan bulan solat dan keluarkan bajet beratus ribu untuk adakan kelas dan consultant ajak rakyat belajar sembahyang. Sedangkan Menteri Besar negeri lain keluarkan duit berjuta ringgit, buat konsert untuk lalaikan rakyat.

Saya rakyat Kelantan, saya penduduk bumi Serambi Mekah. Saya lihat bumi saya BERSIH dari rasuah, arak dan judi. BERSIH di sini bukan bererti tiada 100%, BERSIH di sini ialah PEMIMPINNYA tidak ada rasuah, tidak minum arak dan tidak berjudi. Saya jamin dan saya gerenti, pemimpin negeri kelantan adalah jauh lebih bersih daripada pemimpin negeri lain dalam 3 perkara tadi.

Saya rakyat Kelantan, saya anak didik Yayasan Islam Kelantan. Saya lihat bumi saya tidak membangun dengan maksiat dan pembangunan tidak seghairah negeri lain. Namun, institusi keagamaan dan pendidikan ilmu berkembang dengan stabil dan mapan. Maahad Muhammadi, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Maahad Tahfiz Sains dan juga pondok-pondok. Jika mahu cari maahad tahfiz di negeri lainpun ada...namun bukan hak kerajaan, tapi milik swasta. Kenapa? Sebab negeri lain TAK MAHU generasi Al-Quran dibangunkan!

Saya rakyat Kelantan, saya kenal Tok Kenali, Tok Janggut dan Tok Guru. Orang-orang ini adalah mereka yang tidak bersekongkol dengan penguasa besar yang berniat menjatuhkan agama. Mereka menggunakan pengaruh dan kuasa untuk menentang kebatilan. Saya rela bernaung di bawah orang alim seperti mereka daripada duduk di bawah ketiak orang jahil. Saya rela digunakan untuk orang yang tahu hukum-hakam, halal dan haram. Daripada menjadi pengikut orang jahil dan menyesatkan.

Sekalipun PAS tewas dengan penipuan SPR, sekalipun PAS tewas kerana pengundi hantu dan undi pos, sekalipun PAS tewas dengan wang ringgit, sekalipun PAS tewas dengan kuasa polis dan tentera. Namun, PAS tidak tewas dengan doa, sedekah, pengorbanan dan sokongan rakyat Kelantan termasuk Cina dan India. Memandangkan negara saya negara demo-korupsi, maka saya isytiharkan bahawa saya menentang negara demo-korupsi ini. Saya mahukan demokrasi yang adil dan telus. Dengan itu ...masuklah BARISAN, pangkahlah BULAN, demi KEADILAN!

Takbir!

Allahu akbar!

Takbir!

Allahu Akbar!

Takbir!

Allahu Akbar!

Wednesday, March 05, 2008

SINOPSIS DAN OPINI

Untuk makluman pembaca, buku Warkah Cinta Berbau Syurga telahpun siap diprint. Ia akan menemui pembaca bila-bila masa sahaja. Naskah yang dicetak telahpun sampai ke tangan saya. Untuk itu saya letakkan entry ini kerana ada permintaan daripada pihak PTS Millennia. Jadi, selamat membaca sinopsis. Belikan sekali yang asal nanti ya.

UNTUK SIAPA BUKU INI?

Buku ini untuk remaja. Namun ia masih bersifat reseptif untuk pelbagai golongan usia.

APAKAH MATLAMAT UTAMA PENCERITAAN DALAM NOVEL INI?

Memandangkan saya masih dalam lingkungan usia remaja, sudah pasti saya ingin memahamkan remaja apa yang telah saya lalui dan keputusan yang saya buat sepanjang kehidupan. Buku ini mahu mengajar cara berfikir dan cara membuat keputusan mengikut Islam. Secara jujur, ceritanya tidak terlalu ‘indah’. Cerita ini mahu mengajar remaja Islam untuk membentuk prinsip dalam pergaulan, cara memilih pasangan dan bagaimana bertindak apabila masalah perasaan datang bertimpa-timpa. Juga memahamkan konsep takdir dan jodoh. Kita sebagai manusia, hanya mampu berikhtiar dan jodoh itu kita serahkan kepada tuhan. Jangan terlalu mengharap sehingga membuatkan kita kecewa melampau.

APAKAH YANG MENDORONG SAUDARA MENULIS NOVEL INI?

Ikhlas saya katakan, ia berlaku kerana desakan semasa. Saya tidak berpuas hati membaca novel-novel remaja yang ada di pasaran. Ia terlalu mempromosikan cinta murahan, mengajak remaja ke dunia asyik-maksyuk. Tidak ada penerapan ilmu Islam dan tidak ditegaskan soal batasan syariat serta halal dan haram. Ia menjauhkan remaja tentang realiti kehidupan yang bakal mereka tempuh. Terlalu banyak unsur ‘angan-angan’ sekaligus mematikan kefahaman terhadap realiti kehidupan yang pahit dan menyukarkan. Setakat ini, saya sangat menghormati karya Faisal Tehrani. Dia juga sebagai pendorong untuk saya terjun dalam genre ini.

Jom! Perbanyakkan novel islamik bagi membantu remaja kita membina pemikiran yang teguh dan karisma yang mandiri.


Sinopsis novel ‘Warkah Cinta Berbau Syurga’

Amir Mukhlis adalah pelajar maahad tahfiz yang cuba dibentuk oleh gurunya Ustaz Hamdi. Beliau dilatih untuk menjadi penulis dan pemidato. Dalam proses itu, beberapa kesukaran terpaksa dihadapi. Memandangkan bakatnya dalam penulisan agak menonjol, rakan-rakannya sering meminta bantuannya untuk menjadi jurutulis surat atau esei peribadi. Beliau turut dilantik sebagai ajk badan redaksi sekolah, dari situ berlakulah pertemuan secara kebetulan dengan Wardah yang juga ajk badan redaksi di sekolah Naim Lilbanat. Pertemuan itu bukan sahaja merubah suasana dalam dirinya, malah turut memberi impak terhadap diri Wardah.

Wardah adalah pelajar cemerlang, mempunyai ketrampilan dan perawakan yang menarik. Dia bukan sahaja menjadi bualan di sekolah malah di beberapa sekolah agama yang lain. Hal itu menyebabkan Wardah ramai pelajar lelaki dari luar ingin berkenalan dengannya. Walaupun begitu, Wardah mempunyai satu prinsip diri yang agak tegas. Memandangkan dia berasal dari keluarga yang agak bermasalah, ini membuatkan dia payah mempercayai lelaki. Dia benci kepada lelaki yang kurang bertanggungjawab dan jahil. Dia mahukan seorang kawan lelaki yang faham agama dan memahami erti tanggungjawab. Tanpa disedari, Wardah merasakan Amir Mukhlis memiliki ciri yang diinginkannya.

Konflik percintaan mengheret kedua-dua watak kepada beberapa persoalan jiwa. Di sinilah kedua-duanya cuba menjelaskan beberapa perkara yang sering menjadi polemik percintaan remaja. Bolehkah bercinta dalam usia remaja? Adakah Islam mewujudkan batas-batas dalam pergaulan? Sejauh mana keharusan bercinta dalam usia remaja? Jika ingin memilih pasangan, apakah ciri yang seharusnya diutamakan? Persoalan inilah yang dibangkitkan oleh Amir sehingga memenjarakan Wardah dalam satu dinding lutsinar.

Amir memilih universiti Al-Azhar, Kaherah sebagai destinasi ilmu peringkat ijazah. Di sinilah dia mula memahami perjuangan menuntut hak dan keadilan dalam konteks mahasiswa Islam. Di sinilah Balqis muncul dalam hidup Amir, seorang gadis yang banyak menghadapi masalah dan kebetulan Amir mampu menyelesaikannya secara tidak sengaja. Akibat dari ketidaksengajaan itu, Balqis mendapati bahawa Amir adalah seorang yang sangat matang dan mampu memimpinnya untuk meneruskan kehidupan. Sebaik sahaja Balqis menzahirkan kecenderungannya terhadap Amir, teman serumahnya mula bersikap cemburu. Dalam masa yang sama, Amir dibebankan dengan masalah kesihatan. Dan ternyata, saat getir ini digawatkan lagi dengan kemunculan surat dari Wardah.

Dalam kesakitan, kesempitan dan menanggung pengharapan orang, Amir perlu menyelesaikan konflik persahabatan dan hubungan perasaannya. Mampukah dia berdiri dengan kaki sendiri demi menghadapi segala keperitan ini?