Sunday, December 21, 2008

KESESUAIAN MEMILIH JODOH

Petikan dari buku "AKU MAHU JATUH CINTA....Tapi, dengan siapa?"

KESESUAIAN MEMILIH JODOH

Sesekali bila bertafakkur sendirian saya akan bertanya pada diri sendiri “Apakah lagi perkara yang sepatutnya diberitahu kepada remaja?”


Lalu saya dapati masih banyak asas-asas besar yang perlu disedari oleh kebanyakan remaja. Namun perkara itu jarang disebutkan kepada mereka. Justeru, dalam bahagian ini saya akan berbicara kepada anda dari kacamata seorang muslim. Saya mahu memberitahu asas-asas pemilihan dan penyesuaian jodoh yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya.


Kesesuaian atau kesefahaman dalam memilih pasangan adalah merupakan asas dalam membina keluarga Muslim. Sudah tentu segala yang diasaskan atas agama, pasti mencapai bahagia dan sukses! Saya ingatkan remaja, kesesuaian di sini bukan dalam bidang kedudukan, pangkat dan harta kekayaan, akan tetapi kesamaan atau kesefahaman dalam bidang agama.


Ingat, kesamaan di sini ialah kesamaan dalam bidang agama! Inilah yang nabi pesan dalam soal memilih keturunan. Bukan keturunan yang kaya atau berharta, tetapi keturunan yang beragama dan warak.

Di dalam Islam seorang lelaki yang miskin atau seorang budak boleh menikah dengan wanita yang kaya. Orang yang tua boleh menikah dengan wanita atau lelaki yang muda. Akan tetapi orang yang fasiq dan zalim walaupun kaya, tidak boleh menikah dengan seorang wanita yang solehah, taqwa dan baik budi pekertinya.


Jelas tak?


Kesesuaian atau kesefahaman dalam memilih suami mahupun isteri adalah merupakan asas dalam membina keluarga Muslim. Kesesuaian disini bukan dalam bidang kedudukan, pangkat dan harta kekayaan, akan tetapi kesamaan atau kesefahaman dalam bidang agama.



Bersambung dalam buku... :)


MEMILIH APA YANG PATUT

(Petikan buku "HEI KAWAN! JANGAN PATAH SEMANGAT!"


MEMILIH APA YANG PATUT, BUKAN MEMILIH APA YANG DIINGINI


Rakanku,


Setiap hari naluri dan nafsu kita akan berperang dengan akal waras. Setiap hari keinginan kita akan berargumentasi dengan kewajaran. Ramai orang yang tidak sedar perbezaan antara perkara yang diinginkan dan yang diperlukan. Kebanyakan orang lebih suka memilih perkara yang diinginkan daripada memilih perkara yang diperlukan.


Contoh 1


Contohnya mudah. Apabila anda mahu makan sesuatu, anda akan bertanya pada diri sendiri. Soalan pertama “Apa yang aku mahu makan?” atau anda akan bertanya soalan kedua “Apa yang aku perlu makan sekarang?”. Memilih makanan bukanlah sesuatu yang mudah, malah ia juga bukan sesuatu yang terlalu sukar. Namun, jika pemakanan tidak dikawal ia tetap memudaratkan. Justeru, memilih makanan berkait dengan keperluan diri.


Jika anda jenis manusia yang suka mengikut keinginan, pasti anda akan memilih makanan tanpa memeriksa kandungan atau bahan-bahan di dalamnya. Sekiranya anda seorang yang suka makan makanan bergula, anda pasti akan memakan semua makanan manis tanpa memikirkan risiko dan kandungan di dalamnya.


Berbeza pula seandainya anda jenis yang suka mengikut kewajaran, pasti anda akan memilih makanan berdasarkan situasi dan kondisi. Contohnya apabila waktu pagi, anda akan memilih makanan separa berat untuk mengelakkan diri daripada mengantuk. Makanan itu pula pasti kurang berkanji. Lalu anda akan memilih makanan yang wajar agar anda tidak mengantuk diwaktu pagi. Begitu juga apabila anda mahu makan diwaktu malam, maka anda harus memilih makanan yang kurang kalori agar tidak terhasil tenaga berlebihan yang boleh bertukar menjadi lemak.


Contoh 2


Seorang kanak-kanak berusia tujuh atau dan sedang bersekolah dalam darjah satu meminta bapanya membelikan motosikal kerana mahu menggunakannya untuk ke sekolah. Kanak-kanak itu menangis dan meraung-raung agar bapanya membelikan motosikal untuknya. Apa yang sepatutnya dibuat oleh seorang bapa? Membelikannya? Atau membiarkannya?


Sebagai seorang bapa adakah dia perlu menurut keinginan anaknya atau membuat keputusan yang wajar? Bagaimana seorang budak kecil akan mampu mengendalikan sebuah motosikal? Tubuhnya masih kecil dan kakinya tidak sampai untuk berpijak ke tanah apabila duduk di atas pelana motosikal. Jika dia mampu memandunya sekalipun, dia akan berada dalam situasi tidak selamat.


Jika bapa membuat keputusan berdasarkan keinginan anak itu, pasti anak itu akan ditimpa musibah. Sewajarnya bapa membuat keputusan yang wajar untuk anak itu, iaitu dia menangguhkan dahulu pembelian motosikal sehingga anak itu menjadi dewasa. Ini bererti, keinginan dan kewajaran mempunyai kesan yang berbeza dalam membuat keputusan. Keputusan yang dibuat mengikut kesesuaian itu selalunya mendatangkan keuntungan dan kebaikan. Manakala keputusan yang dibuat mengikut keinginan boleh jadi membawa kebaikan atau sebaliknya.


Contoh 3


Seorang remaja yang berada di universiti memerlukan beberapa kemudahan untuk meneruskan pembelajarannya. Memandangkan pembelajaran zaman sekarang banyak memerlukan kemudahan komputer dan teknologi, ini menjadikan permintaan terhadap telefon bimbit dan komputer riba meningkat secara mendadak.


Apa yang ingin dinilai kembali adalah bagaimana remaja memilih untuk membeli komputer riba dan telefon bimbit. Jika anda seorang remaja yang berasal dari keluarga yang menghadapi masalah kewangan, anda pasti perlu menimbang sama ada untuk membeli komputer riba terlebih dahulu ataupun telefon bimbit.


Kebanyakan remaja lebih suka mengutamakan telefon bimbit daripada komputer riba sedangkan komputer amat diperlukan dalam pengajian. Sehingga ada yang sanggup menghabiskan wang beribu ringgit untuk membeli telefon bimbit yang mahal sekalipun terpaksa berhutang. Ini menyebabkan komputer riba gagal dibeli.


Sepatutnya seorang pelajar kampus perlu mengeluarkan wang berdasarkan kemampuannya dan membeli barangan yang benar-benar diperlukan. Namun, akibat terikut-ikut dengan keinginan menyebabkan dia telah memilih barang yang salah. Akibatnya, dia menghadapi masalah kewangan untuk membeli barang yang sepatutnya mampu dia beli semenjak awal-awal lagi.


Sebagai konklusinya, remaja memang mudah dikelirukan oleh keinginan yang tidak berasas. Sehingga kebanyakan remaja gagal membuat keputusan yang betul dalam hidup mereka. Kedangkalan pemikiran dan mudah terikut-ikut dengan persekitaran adalah punca remaja membuat keputusan yang silap. Justeru, kewajaran bertindak dan membuat keputusan itu perlu dilatih dengan cara berfikir secara mendalam. Apabila kita berfikir telebih dahulu, pasti kita akan cuba membuat keputusan yang perlu dan sebaliknya kita meninggalkan keputusan yang diingini oleh nafsu kita.

Thursday, December 18, 2008

BUKU KE - 5 SIAP

Alhamdulillah... syukur kepada Allah.

Buku ke-5 saya "AKU MAHU JATUH CINTA, tapi dengan siapa?" telah siap sepenuhnya. Saya cuma menanti proses submit manuskrip kepada syarikat yang sudi menerimanya. Syukur kepada Allah di atas masa dan ilham yang dianugerahkan kepada saya.

Antara kandungan

KANDUNGAN

PRAKATA

BOLEHKAH SAYA BERCINTA?

PERSIAPKAN SAMPAN MILIK NAKHODA

KISAH TIGA PENCINTA WANITA: SIRI 1

INGIN KUCARI PULAU BAHAGIA

BAHAGIA ATAU CINTA? INFINITI ATAU SEMENTARA?

KISAH TIGA PENCINTA WANITA : SIRI 2

OBLIGASI ATAU EMOSI

UNTUNGKAH BERCOUPLE?

KISAH CINTA TELADAN

PERCINTAAN REMAJA ZAMAN SEKARANG

CARA BERCINTA YANG SEPATUTNYA

KESESUAIAN MEMILIH JODOH

BAHAGIA MILIKNYA & SYURGALAH TEMPATNYA

MENGGAPAI SYURGAWI

SECANGKIR KASIH SEPALIT

MANIS

Moga ia menjadi azimat dan penguat buat ummat. Insya Allah!

Wassalam.

Tuesday, December 02, 2008

4 KARYA SUDAH TERHASIL (6 Lagi Menyusul)

Sepanjang saya menjadi penulis (yang masih baru)... sudah empat karya yang mampu saya siapkan. Bermula tahun 2005 sehingga 2008(lebih kurang tiga tahun). Dua daripadanya sudah memasuki pasaran iaitu :

1- "SEKUDUS NUR ILAHI" (PTS Publications) - Kisah perbandingan agama Islam dan Kristian.
2- "WARKAH CINTA BERBAU SYURGA". (PTS Publications) - Kisah cinta Islami siswa-siswi.

Dan dua lagi akan memasuki pasaran tahun hadapan iaitu :

1- "HEI KAWAN! JANGAN PATAH SEMANGAT!" Buku motivasi remaja yang akan diterbitkan oleh KarnaDya Solutions.
2- Sebuah novel "MENGINTAI CINTA DARI KAMAR AL-KHALIFAH". (PTS Publications) - Kisah percintaan monyet yang cuba diislamisasikan dan perang ideologi antara Islam dan Yahudi.

Saya sudah merancang untuk menyiapkan 10 judul dalam masa lima tahun. Ada 6 buah judul lagi yang bakal saya siapkan. Saya bercita-cita agar pada tahun 2010...saya akan mempunyai 10 buah buku tulisan sendiri. Iaitu 5 buah novel dan 5 buah buku motivasi. Entah mampu atau tidak, saya tidak kisah...asalkan saya mempunyai cita-cita sudah pasti saya akan mengejarnya.

Buat masa sekarang saya sedang menulis sebuah buku motivasi remaja "AKU MAHU JATUH CINTA! Tapi...dengan siapa?" dan bercadang untuk menerbitkannya dengan KarnaDya atau Telaga Biru. Itupun jika manuskripnya bagus. Selain itu, aku sedang merangka novel ketiga ~Jika Tuhan Izinkan~

Semua ini adalah hasrat dan visi yang mahu dicapai. Andai umur panjang...dan jika tuhan izinkan. Aku akan menyiapkannya. Insya Allah.

Doakan saya...