Sunday, November 01, 2009

TIGA MINGGU YANG KALUT DAN RIBUT




Alhamdulillah, selepas anak sulong saya berumur 20 hari barulah saya menemukan ruang dan keinginan untuk mencatat di blog. Sebetulnya sewaktu anak saya dilahirkan, saya sedang sibuk menyelaras beberapa program besar.

Dalam minggu pertama kelahiran, saya sibuk menguruskan hal-hal anak. Bermula dari nama dan surat beranak. Barang-barang keperluan isteri dan hal urut-mengurut. Ia melibatkan kos yang besar.

Selepas seminggu, saya pula bergegas mengikuti seminar ESQ 165 di Perdana Resort selama tiga hari. Selesai sahaja ESQ, saya perlu menganjurkan program untuk kakitangan PKINK di perdana resort selama dua hari. Saya menjadi pengarah program dan melibatkan anggota terpilih dari syarikat anak dan juga ibu pejabat PKINK. Ia adalah proses yang tidak begitu memenatkan tetapi memerlukan ketelitian masa dan arahan yang tepat.

Minggu lepas, saya dijemput secara 'tiba-tiba' untuk menghadiri forum di USM bersama tajuk 'LOVE IS CINTA? Hmmmm' digandingkan bersama dua panelis iaitu Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari dan Ustazah Mazidah. Pada 7hb november ini, saya akan ke Besut untuk satu majlis forum kesihatan jika tiada aral. Insya allah.

Doakan saya dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan baik.

Monday, October 12, 2009

KELAHIRAN PUTERI SULONG

Alhamdulillah...

Saya baru menyambut bayi sulong perempuan saya bersama isteri tepat jam 1.40pm di KBMC. Saya berada di sisi isteri dari awal dia mula turun darah sehingga melahirkan.

Bayi seberat 2.9kg selamat dilahirkan secara normal. Saya sedang bercadang2 meletakkan nama yang simple dan mudah...

"Siti Khadijah Mukhlisah"

Dalam pertimbangan...

Doakan semuanya semakin baik. Aminnn.

Wassalam.

Wednesday, October 07, 2009

Novel MCK - Tempah untuk Harga Murah

Assalamualaikum

Dua hari lepas saya ambil semula stok jualan novel yang telah diberikan kepada pengedar kecil-kecilan. Di dapati masih ada sekitar 25 buah novel Mengintai Cinta Khalifah yang belum terjual. Oleh yang demikian saya bercadang untuk menjualnya dengan harga murah.

Jika ada sesiapa yang berminat, sila tempah atau beli terus dengan saya. Harga jualan RM 13 sahaja. Kalau ada yang nak pesan dan minta di pos. Caj pos RM 4. Jumlahnya RM 17. Harga buku itu dalam pasaran ialah RM 17. So, kalau mahu dapat harga murah...hubungi saya direct atau tuliskan alamat di dalam ruangan komentar.

Sila tulis nama dan no telefon. Pihak saya akan hubungi anda untuk mempastikan alamat dan kiriman itu sampai. Jualan ini berlangsung selagi stok masih ada. Siapa segera, dia dapat.

Buku akan di Pos berdasarkan alamat yang diberikan. Selepas menerima kiriman, sila bank in bayaran ke akaun :

BIMB : 03018020499105
AK MYBNK : 153010445052

Wassalam.

Monday, October 05, 2009

DUNIA SAYA MUNGKIN BERBEZA DENGAN DUNIA ANDA

Setiap orang ada perjalanan hidup sendiri. Perlu memainkan watak di pentas yang telah tersedia. Saya dan anda, kita semua adalah pelakon dalam drama yang kita sendiri lalui dan rasainya.

Pengalaman...
Sudut pandang...
Permasalahan...
Perasaan...
Tugasan...
Konflik...
Kesan...

Semuanya berbeza antara individu. Sekalipun kita dilahirkan dari ibu yang sama, kita tetap melalui hidup yang berbeza. Oleh itu, kita tidak boleh disamakan dengan orang lain. Orang lain juga tidak boleh disamakan dengan kita.

Kejayaan dan kemampuan kita juga berbeza. Sebagai contoh di dalam keluarga sendiri, saya mempunyai 8 beradik kandung. 7 beradik tiri. Abang-abang dan kakak saya semuanya boleh dikatakan berjaya mendapat ijazah dan kerja yang baik. Namun, saya tidak sebagus mereka.

Tapi, kejayaan perlu diukur dengan sudut yang lebih luas. Berjaya bukan sekadar dapat ijazah dengan kepujian. Atau sekadar mendapat pangkat besar. Atau dapat duit banyak. Ada perkara lain lagi yang boleh digunakan sebagai penyukat kejayaan. Antaranya, ada sebahagian perkara yang mampu saya lakukan sedangkan adik beradik yang lain tidak mampu melakukannya.

Keistimewaan saya mungkin...
1) Menjadi imam solat dan membaca khutbah.
2) Mahir dalam penulisan.
3) Boleh berceramah dan memberi kuliah.
4) Memahami Bahasa Arab secara tulisan dan pertuturan.
5) Memiliki kemahiran susun letak atau design buku.

Itu sebahagiannya. saya fikir, adik beradik lain tidak menguasai 5 perkara tersebut yang telah saya kuasai. Itu juga perlu dianggap satu kelebihan dan kejayaan.

Oleh itu, sepatutnya setiap orang melihat kemampuan istimewa dalam dirinya lalu menonjolkan ia untuk kebaikan bersama. Orang lain juga perlu melihat diri kita dengan sudut pandang yang lebih positif. Iaitu melihat kelebihan dan bukannya membesar-besarkan kelemahan.

Kekadang kita jadi mual dan cuak apabila orang hanya tahu membandingkan 'sijil' dan 'pangkat' dalam mengukur kejayaan seseorang. Dunia kita berbeza, kejayaan kita juga tidak serupa.

Thursday, October 01, 2009

KESIBUKAN MEMATANGKAN KARYA

Benar, kesibukan itu boleh jadi penghalang kepada penulis untuk berkarya. Namun, dari satu aspek penulis yang konsisten akan terus mencari waktu dan ruang untuk mempastikan tulisannya sentiasa berlangsung. Proses mencari ruang dan waktu untuk menulis akan melatih seseorang itu menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Sebagaimana yang pernah saya nyatakan beberapa bulan yang lalu, saya sebenarnya sedang merancang untuk menerbitkan tiga buah buku lagi sebelum berakhirnya tahun ini. Selepas novel 'Mengintai Cinta Khalifah' yang diterbitkan pada Julai 2009. Kini saya mengorak langkah untuk buku seterusnya dan insya allah hal itu akan menjadi kenyataan.

Manuskrip seterusnya yang baru saya siapkan ialah pada dua minggu lepas. Bertajuk '5 Sumber Ketenangan, Kecemerlangan dan Keberkatan Pekerja Muslim' yang telah diserahkan kepada Kemilau Publika untuk diterbitkan. Alhamdulillah, pihak penerbit bersetuju dan berpuas hati untuk menerbitkan buku tersebut. Kini dalam proses editing.

Manuskrip terbaru yang baru saya siapkan semalam, bertajuk '7 Prinsip Utama Pendakwah Muda' telahpun saya hantar manuskripnya kepada Kemilau Publika untuk di nilai dan dimurnikan. Harapnya tidak akan ada halangan dalam proses menerbitkan buku tersebut.

Terakhir untuk tahun ini, saya akan menyambung penulisan 'novel sambungan' bagi Warkah Cinta dan jika tiada halangan saya mahu mempastikan ianya siap pada hujung tahun ini dan penerbitannya akan dibuat pada awal tahun 2010. Insya allah.

Kita merancang dan tuhan menentukan.

Doakan saya terus mapan.

Monday, September 14, 2009

KESIBUKAN HALANG BERKARYA?

Adakah kesibukan sebenarnya yang menghalang seseorang berkarya? Atau perkara lain?

Kekadang masa yang sempit memang melemaskan penulis untuk menulis, tetapi jika idea banyak dan datang mencurah-curah mungkin ia tetap mampu diteruskan. Secara perlahan-lahan.

Tapi...bila terlalu sibuk, masa kosong yang tersisa itu membuatkan kita ingin berehat. Kenapa? Mungkin kerana penat.

Rasanya PENAT itu yang menghalang seseorang berkarya. Bila menaip aje mata dah layu. Nak tulis benda lain, jadi benda lain. Haru....

Bulan puasa ini memang membuatkan mata dan idea jadi layu. Terutamanya bila dah berada di penghujung Ramadhan. Hu hu hu.

Thursday, September 03, 2009

GAMBAR-GAMBAR BERHARGA RM 50

Sekejap tadi saya menerima sekeping CD dari jurugambar profesinonal, nama mesranya Che Mat. Dia menyerahkan kepada saya CD yang mengandungi 10 keping gambar yang diambil sempena gimik perasmian novel Mengintai Cinta Khalifah. Saya pun memberikan RM 50 sebagai upah perkhidmatan. Di sini, saya hanya letakkan beberapa keping sahaja.

Klik untuk imej lebih jelas.



Ust Mohammed bin Ya memperkenalkan saya kepada MB

Sayapun bersalaman sambil menyerahkan gunting untuk memotong ribbon.

Tok guru memotong riben sambil diperhatikan tetamu.

Tok Guru meminta saya menandatangani autograph, saya bilang 'Sudahpun ditandatangani' khas untuk Tok Guru.

Tok guru tanya, kenapa berikan dua buah novel kepadanya? Saya jawab, satu untuk Tok Guru dan satu lagi untuk cucunya.

Tok guru bilang, mana cukup...cucunya ada berpuluh orang. Kami ketawa kecil.

KESUKARAN MENDAPATKAN NOVEL MCK

Semalam seorang bekas pelajar dari Maahad Tumpat menghubungi saya. Sewaktu itu saya berada di pejabat dan dia pula berada di bandar Kota Bharu. Dia bertanya kedai manakah yang menjual buku Mengintai Cinta Khalifah?

Lalu saya beritahu MCK boleh didapati di Syarikat Muda Osman sama ada cawangan KB Mall, Stesen Bas KB, depan Bazar dan lain2. Katanya dia sudah singgah di kesemua kedai tersebut dan buku itu telah habis dijual. Katanya, ada dua orang rakan yang mahukan novel tersebut dan sudah membayar harga buku itu kepadanya. Dia mahu stok buku dalam simpanan saya. Malangnya, saya juga kehabisan stok sudah dua minggu lalu.

Saya beritahunya, ada satu cawangan SMO di pinggir bandar berhampiran pasaraya Ceria. Mungkin dia boleh dapatkannya di situ. Dia bergegas ke sana. Sejurus saja dia sampai, buku MCK kelihatan cuma tiga naskah terakhir. Kebetulan ada pelanggan sebelumnya membeli dua naskah dan dia berkesempatan membeli satu naskah terakhir.

Dia hampa, tetapi sekurang-kurangnya dia tidak pulang dengan tangan kosong. Selepas itu, saya sudah menghubungi pihak PTS memaklumkan perkara tersebut. Katanya, hal itu bergantung kepada pihak SMO untuk membuat tempahan berikutnya. Jika mereka tidak bercadang membuat tempahan maka PTS tidak boleh berbuat apa-apa.

So...kena tunggu dan lihat.

Wassalam.

MAJLIS IFTOR & INFAQ PKINK

2 Sept, semalam saya ke Tahfiz Institut Pendidikan Al-Balaghul Mubin Rong Chenok. Pihak PKINK telah bersetuju memilih tempat tersebut untuk menerima sumbangan sebanyak RM 3K. Ia bukan satu angka yang besar, tetapi sudah cukup berbaloi.


(Kanan) Tuan Hj IR Mustafa Salleh, Timbalan Ketua Eksekutif PKINK menyerahkan cek sumbangan kepada wakil sekolah tahfiz

Dalam majlis tersebut, YB Ustaz Abdul Halim turut hadir sewaktu hampir berbuka.


(Gambar bawah) Sewaktu majlis ucapan berjalan, inilah suasana pelajar di sana. Seramai 71 orang sahaja. 40 orang lagi pelajar mereka sudah bertebaran ke serata negeri untuk mengimamkan terawih. Ada juga yang ke Pahang, menjadi imam jemputan di sana.




Friday, August 28, 2009

QARYAH RAMADHAN & INTERAKTIF NISA'

Hari khamis 27hb baru ini saya ke Qaryah Ramadhan untuk sesi bual bicara bersama Interaktif Nisa'. Membicarakan hal penulisan dan juga isu 'Wanita dan Ramadhan'. Selain daripada itu, ada perbincangan dan temubual berkaitan buku-buku yang saya tulis. Jemput ramai2 ke stadium kerana setiap hari ada satu slot ambang iftor dari jam 5.45pm ke 6.45ptg. Sambil membeli juadah, boleh singgah ke situ sekejap.

Ini pula surau bersebelahan pentas yang disediakan untuk 2ribu jemaah terawih. Katanya, setiap malam penuh. Subhanallah.

Bersama Dr Tengku Asmady Muhammad(Pakar Motivasi MAP)


Rumah Baru Nik Nur Madihah

Dua hari sebelum Ramadhan, saya ke lokasi penyerahan kunci rumah kepada Nik Nur Madihah di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa. Rekaan rumah itu agak menarik sebagaimana yang anda dapat lihat dalam gambar di bawah.


Paling kiri adalah Tn Hj Mohd Sabri bin Abdullah, Ketua Eksekutif PKINK. Itu bos besar saya.

Klik gambar untuk imej yang lebih besar. No komen.

Berprogram di Kelantan Trade Centre (KTC)

Pada 4 Ogos bersamaan hari ketiga saya mula bekerja, saya sudah melibatkan diri sebagai penyelaras program di KTC. Iaitu seminar pengurusan organisasi yang dihadiri oleh Dato', Dr, YB, ahli lembaga kerjaan negeri dan lain2. KTC atau Kelantan Trade Centre adalah bangunan eksklusif yang terdiri daripada dewan seminar dan hotel. Lokasinya bersebelahan stadium KB sahaja. Harga sewa dewan sehari ialah RM 7K. Mahal bukan?
Meja pendaftaran peserta. Saya jadi penyambut tetamu yang majoritinya saya sudah kenali melalui akhbar Harakah dan media perdana.
Ini adalah suasana dewan KTC sewaktu awal pendaftaran pagi. Masih kosong dan lengang dari peserta.

Ini pula suasana dewan yang sudah dipenuhi peserta. Saya juga terlibat bagi mengacara satu slot dalam Seminar ini. Jadi pengerusi adalah suatu yang biasa, tapi apabila anda berada di hadapan orang berprofil tinggi...kekadang anda gugup. Tapi, so far saya dapat uruskan dengan baik.

Ruang Bilik Pejabat

Alhamdulillah, aku sudah punya bilik pejabat sendiri yang tertutup. Lebih peribadi berbanding pekerja lain. Jika tiada halangan, awal tahun depan aku akan mempunyai satu bilik khusus yang lebih baik. Sekarang tingkat 10 tempat aku bekerja dalam proses renovasi. Apapun, ini sudah cukup 'hebat' bagiku yang serba dhaif ini.


Ini pula adalah ruang kerja kakitangan lain. Mereka hanya diberikan satu ruang terbuka. Privacy agak kurang.

Wednesday, August 26, 2009

LEBIH SELESA, LEBIH MENCABAR

Suasana kerja di PKINK adalah lebih selesa berbanding tempat kerja dahulu. Ada bilik sendiri, penghawa dingin dan ruang kerja yang luas. Namun, tugasannya juga bertambah dan tanggungjawabnya lebih besar.

Ia mencabar kemampuan saya berfikir dan merancang. Ia mencabar saya untuk lebih berdaya saing dan kreatif.

Selebihnya...no komen.

Wassalam.

PENOLONG PENGURUS, PENGURUSAN SUMBER MANUSIA (LATIHAN)

Penolong pengurus adalah jawatan saya di PKINK. Dan saya masih terkail-kial untuk memahami bidang tugas dan prosedur kerja.

'Saya perlu masuk banyak kursus lagi...'

Tuesday, August 11, 2009

MENJADI PEGAWAI TADBIR (N41)

Saya bukan lagi guru, saya adalah pembantu pegawai bahagian latihan. Di mana? Di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) atau Kelantan State Economic Development Corporation (KSEDC).

Sebenarnya saya masih lagi dalam keadaan terpinga-pinga dan mabuk(agaknya), jika dahulu saya berada di maahad tahfiz yang hanya menguruskan pelajar menengah. Kini saya berada di perbadanan terbesar di Kelantan yang menguruskan hartanah, perumahan, perlombongan, minyak dan sebagainya. Dahulu saya hanya memikirkan apakah subjek yang akan saya ajarkan kepada pelajar, hari ini saya perlu mengurus program berstatus belasan atau puluhan ribu.

Minggu pertama saya masuk bekerja, saya sudah perlu mengendali Seminar Pengurusan Organisasi yang melibatkan YB dan Senator. Seminar itu diadakan di Kelantan Trade Centre(KTC), kos sewa dewan sahaja memakan belanja RM 7k. Saya bagai terkasima...bukan! Saya bagai rusa masuk kampung. Lebih tepat lagi...saya seperti orang kampung Ulu Kelantan yang pergi naik KL Tower.

Dahulu saya pulang kerja jam 3pm, sekarang saya pulang kerja jam 5.30pm atau 7pm. Ia adalah suatu perbezaan rutin yang ketara. Ia adalah suatu suasana kerja yang amat berbeza apabila kita berada bersama pegawai yang 'high class' namun dari segi jiwa 'islamik' cukup tinggi. Saya amat bersyukur berada di sini kerana saya dapat merasakan keinginan membawa agama di dalam jiwa pekerja di PKINK begitu ketara. Budaya solat berjemaah dan talaqqi Al-Quran serta tafaqquh fid Deen wujud di dalam bangunan pejabat PKINK. Hebat bukan?

Saya dan pegawai lain perlu merancang program kerohanian, peningkatan skill, pembentukan kerjasama dan kaunseling kepada kakitangan SEDC di ibu pejabat. Ditambah pula dengan kakitangan anak syarikat yang keseluruhannya berjumlah hampir 1,500 orang. Terbukti, ini bukan kerja main-main.

Bagi rakan-rakan dari Mesir atau di mana sahaja yang mengenali diri saya, jika anda sedang menguruskan program consultant yang berkaitan dengan latihan dan motivasi. Sudilah kiranya berhubung dengan saya di talian 0199884869. Barangkali kita boleh bekerjasama di masa akan datang. Insya Allah. Saya mohon doa kepada semua pembaca....doakan saya mapan dan terus tekal berdiri. Insya Allah.

Monday, August 03, 2009

Komentar Pembaca

Sejujurnya saya menerima beberapa pujian berkaitan novel terbaru iaitu Mengintai Cinta Khalifah. Namun, dalam memperbaiki diri dan mutu penulisan saya perlu mencari komen dan teguran daripada pembaca.

Salah seorang daripada kakak ipar saya sudah membaca MCK dan beliau memberi komen secara jujur. Katanya, MCK mempunyai jalan cerita yang lebih bagus dari Warkah Cinta. Cuma, dalam mukasurat 161 terdapat sedikit kekeliruan pada hasrat Imran yang ingin menjaga ibubapanya. Sedangkan ibubapa Imran sudah meninggal dunia.

Sememangnya di situ ada kesilapan kecil, itu adalah kesilapan penulis yang tidak sempat cek dan edit semula. Mungkin untuk cetakan kedua penulis akan melakukan perubahan. Mohon kepada pembaca yang menemui beberapa kesalahan yang serupa...sila maklum terus kepada penulis.

Komen berikutnya daripada senior saya, katanya beliau teruja membaca Ayat2 Cinta berbanding MCK. Kerana antara perkara yang terkandung dalam MCK lebih menerapkan isu seputar remaja dan kurang perkaitan dengan golongan dewasa.

Saya fikir, kesemua komentar ini adalah wajar dan kena dengan masanya. Insya Allah saya akan membuat perubahan jika diizinkan Allah. Kalau ada teguran berkaitan MCK, sila hantar ke ruang komen di bawah ini.

Terakhir...Anda juga boleh memberi cadangan kisah atau isu yang sesuai untuk saya bawakan bersama dalam penulisan novel saya seterusnya. Dengan harapan, ia akan memberi kesan positif kepada pembangunan dan pembinaan generasi Islam. Maaf atas kekurangan diri. Tegurlah demi Islam. Semoga tinta yang terhasil dari tangan saya ini bukanlah kerana usaha 'keseorangan' tetapi adalah hasil usaha berjemaah. Insya Allah.

Terima Teguran dan Lakukan Perubahan

Pertamanya ana memohon maaf atas kekurangan peribadi ana. Menerusi teguran daripada pengunjung yang membahasakan dirinya sebagai SAYA, ana menyedari bahawa itu adalah lumrah kehidupan. Ana terima segala kritikan itu dan kita sama2 doakan ada perubahan yang lebih baik.

Rasanya, soal hormat itu sememangnya perlu. Apapun...sebagai menghormati yang menegur. Ana mohon maaf atas kesilapan tutur bicara. Untuk selepas ini, kita boleh berbincang dalam perkara yang lebih besar dan membicarakan kritikan yang lebih membina. Ana mohon maaf atas ketidak sempurnaan ana sebagai insan.

Diharapkan kepada semua pembaca blog yang mahu menegur, memberi komen, memberi kritikan...silalah ajukan. Jangan simpan belakang. Insya allah...ana sebagai manusia biasa, akan melihat dan menilai dengan jujur. Kalau rasional, kita diskusikan bersama. Jika kurang rasional, kita abaikan.

Apapun...terima kasih. Ayuh, kita teruskan semangat ukhuwwah Islamiyah. kepada pengunjung yang bernama saya, tak mengapalah hilang rasa hormat pada ana. Yang penting, silaturrahim wajib di jaga. Jangan sampai berbalah perkara kecil, sampai kita sanggup memutuskan silaturrahim. Tegurlah pihak ana jika masih ada perkara yang perlu diperbaiki.

Syukran...wajazakallahu khair.

Thursday, July 30, 2009

GALERI PERASMIAN NOVEL MCK

Sila klik imej untuk paparan lebih jelas.

Replika buku ini sepenuhnya dibikin menggunakan barang terpakai. Seperti kotak dan gabus. Memandangkan modal amat ciput, jadi...pepandai la save bajet.

Setelah siap, orang pun tak perasan apa jenis material yang kita gunakan.

Meja yang disediakan oleh pihak YIK, saya menyusun dan menghiasnya sendirian pada pagi peristiwa. Kalut juga.
Dua orang sepupu yang turut membantu menjaga gerai. Syahirah dan Syazwani.

Sahabat satu sekolah sempat bergambar, ustaz Mukhlis.

Bersama anak murid dari MTS yang menjaga gerai. Mahir, Loqman dan Shafiq.

Ini dia wajah ketiga2 jejaka hensem dari MTS.

Suasana di hadapan gerak sebelum perasmian, ramai ustaz dan ustazah berkumpul.

Ini juga gambar yang sama, suasana di hadapan gerai perasmian.

Sewaktu Tok Guru datang ke meja, suasana gamat. Nak tangkap gambar pun payah. Dalam perebutan itu, dapatlah ambil beberapa gambar yang 'boleh tahan' ler.

Tok guru sempat mendengar kalam daripada Ustaz Mohammed bin Ya, bercerita tentang penulis(saya)

Sebaik merasmikan replika buku, Tok guru membelek buku saya dan mengambil dua naskah percuma. Satu untuk simpanannya, satu lagi untuk cucunya. (Seloroh jer)


PERASMIAN NOVEL MENGINTAI CINTA KHALIFAH

PAGI YANG RIPUH

Selasa 28hb Julai 2009, di Dewan PUTIK, Pengkalan Chepa berlangsung satu gimik perasmian Pelancaran Novel Mengintai Cinta Khalifah(MCK). Sebenarnya, novel MCK sudah memasuki pasaran pada awal Julai lagi. Gimik ini diadakan bagi memperkenalkan buku penulis kepada warga Kelantan. Salah satu sebab kenapa majlis ini diadakan adalah untuk membuka mata orang Kelantan. Maklum sahaja kebanyakan orang Kelantan tak berapa suka membaca novel, terutamanya yang berada di kawasan luar bandar. Ini kerana majoriti orang Kelantan menganggap novel mempunyai banyak unsur maksiat dan sosial. Atas tanggapan itu, jarang orang Kelantan membaca novel kerana mereka merasakan ianya kurang mendidik jiwa.

Pagi itu memang saya ripuh dan kalut. Saya ke PUTIK awal jam 7.15 pagi dan tiba di sana jam 7.50 pagi. Saya menyiapkan gerai sendirian dan memasang replika buku serta riben. Bersama saya ketika itu dua orang sepupu, saya tidak izinkan mereka membantu banyak. Risau jika berlaku ralat. Banyak urusan saya bikin sendiri, tambahan pula kos untuk pengurusan adalah sepenuhnya dari kocek kering saya. Pihak YIK hanya menyediakan meja dan tempat, selebihnya saya yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk mempastikan semua bahan berkaitan tersedia.

Saya menggunakan khidmat tiga orang pelajar MTS iaitu Mahir, Luqman dan Shafiq untuk membantu menjaga gerai lelaki. Dua orang sepupu saya iaitu Syahirah dan Syazwani turut bersama membantu saya menjaga gerai bahagian perempuan. Proses berjalan lancar walaupun tuan guru Nik Aziz yang dirancang tiba jam 9.30pagi akhirnya kelewatan sehingga jam 10.30pagi. Kelewatan hampir sejam itu disebabkan ada tetamu khas yang berkunjung ke pejabat beliau secara tidak langsung.

ISTERIKU MEMECUT KE PUTIK

Pagi yang sama, isteri saya ke Pusat Kesihatan untuk rutin pemeriksaan ibu mengandung. Asalnya dia mahu ikut serta dalam majlis perasmian, lalu dia ke Pusat Kesihatan pada hari semalam, malangnya doktor tiada. Jadi, dia terpaksa pergi pada hari berikutnya. Selepas pemeriksaan, dia hubungi saya di lokasi. Saya maklumkan bahawa Tuan Guru belum sampai lagi.

Kebetulan isteri saya selesai cek rutin kesihatan jam 9.30 pagi, dia bergegas pulang bersiap dan memecut ke PUTIK bersama ibu saya. Alhamdulillah, tepat jam 10.30 pagi dia tiba di PUTIK bersama kereta YAB Tuan Guru. Ibu dan isteri sempat memasuki dewan dan saya segera menarik mereka menghampiri meja perasmian. Sebaik tok guru tiba dan melangkah ke dewan. Ibu dan isteri berdiri berhampiran tok guru, saya pula mengiringi tok guru merasmikan replika buku MCK.

TEGURAN SEORANG USTAZAH

Alhamdulillah... dalam ribuan pendidik YIK yang hadir dalam majlis itu. Tuhan datangkan seorang ustazah untuk menegur saya tentang beberapa perkara berkaitan isi novel. Saya pada awalnya merasa agak terkilan...namun, selepas berbicara dengan ustazah itu saya dapat merasai ketulusan nasihatnya. Beliau adalah ustazah yang memegang unit Tarbiah di MMP Kota Bharu.

Paling jelas, ustazah itu menghampiri saya sewaktu kesemua hadirin sudah pulang. Ketika itu saya sendirian di meja jualan sambil mengemas barang-barang terakhir. Ustazah itu datang dalam senyuman dan memilih waktu paling sesuai untuk menyampaikan teguran. Dalam hal ini, saya memuji sikap berhemah ustazah tersebut sebab beliau tak tegur depan orang ramai. Beliau jumpa face to face. Ini bukti beliau ikhlas mahu menegur. Kemudian, beliau menyatakan rasa tidak puas hati atas kandungan novel MCK yang saya tulis. Oh ya, ustazah itu sudah berusia 40an barangkali. Dia bukan sebaya dengan saya. Dia lebih berpengalaman dalam proses tarbiah.

Beliau menegur tentang beberapa bahagian yang ada unsur sensual dan agak merangsang. Beliau meminta saya mengubahnya agar mempastikan novel MCK itu sepenuhnya solid. Seingat saya, tiada babak yang begitu merangsang kecuali bab pertama yang memperlihatkan pertemuan Imran dan Laila. Lalu perbuatan mereka bercouple itu segera ditegur melalui watak ustaz ketika mereka bertemu di KB Mall.

Satu plot lagi adalah sewaktu Izani dan Laila duduk berduaan di pantai dan HAMPIR berpeluk. Bukan berpelukan ya, tapi hampir. Lalu skuad AMRU iaitu pencegah maksiat tampil menangkap pasangan itu. Dan sejujurnya, watak Laila dan Izani diwujudkan untuk memperlihatkan beberapa tindakan mazmumah dan kebiasaan remaja zaman ini yang salah di sisi agama...lalu saya datangkan teguran dan hujjah daripada Islam yang melarang perbuatan seperti yang diperlihatkan oleh Izani dan Laila.

Tujuan saya mewujudkan watak Izani yang gatal dan jahil adalah untuk mempastikan remaja kenali apakah jenis lelaki yang tidak sesuai dijadikan suami. Izani dalam MCK adalah label dan model lelaki yang tidak sesuai dijadikan suami. Dalam masa yang sama, saya datangkan contoh lain melalui perbualan ustazah dengan pelajarnya tentang ciri-ciri yang sewajarnya dimiliki oleh seorang suami. Beberapa kesilapan dan tindakan negatif yang sengaja saya wujudkan, saya datangkan nas atau hadis yang melarang perbuatan itu dilakukan. Ibaratnya, saya datangkan contoh perbuatan mazmumah lalu saya datangkan hukumnya. Jika dibandingkan secara keseluruhan, contoh perbuatan mazmumah itu amat sedikit jika dibandingkan contoh perbuatan mahmudah yang disampaikan dalam MCK. Watak Imran banyak memperlihatkan kematangan seorang muslim yang beragama. Jika dibandingkan watak Izani hanya bercerita 10% dan watak Imran membawa mesej agama hampir 60%.

Ustazah juga mengatakan bahawa saya tidak perlu menulis sebegitu rupa dan perlu menulis perkara baik-baik belaka. Beliau mendatangkan ibarat “Jika madu dicampur racun, semuanya akan menjadi racun” katanya. Dengan maksud lain, jika buat novel Islam tapi ada unsur maksiat...maka ia tak jadi novel Islam dah. Ia akan jadi novel maksiat. Saya agak terkasima juga apabila perbandingan itu yang dibawa olehnya.

Saya bertanya dalam diri “Adakah semua orang dalam dunia ini baik? Adakah semua orang tahu apakah itu benda baik? Adakah semua remaja dalam dunia ini tahu apakah itu perkara sunat secara detail? Setahu saya... SANGAT RAMAI remaja yang jahil tentang apa itu amal yang BAIK. Sebab itu mereka belajar agama kan? Betul tak?

“Begitu juga perbuatan yang JAHAT. Semua remaja tahu ke apa perbuatan yang JAHAT? Saya yakin ramai remaja sudah keliru antara perkara yang JAHAT dan BAIK. Ramai remaja sekarang yang buat MAKSIAT, tapi tidak sedar mereka sedang buat MAKSIAT. Kenapa? Sebab ustaz dan ustazah tak pernah sebut contoh JAHAT dan MAKSIAT itu apa. Mereka hanya tahu dosa dan pahala, tapi perbuatan yang mendatangkan dosa tidak diceritakan. Betul tak?”

Kerana itu saya jelaskan di sini, plot negatif ditampilkan atas tujuan memberitahu bahawa inilah gambaran sebenar dosa. Yang mana perbuatan dosa itu masih ramai REMAJA yang TIDAK TAHU. Sebab itu, dalam pengajaran perlu ada contoh yang jelas berserta hukumnya. Kerana apa? Kerana ramai tak tahu dosa dan maksiat itu sebenarnya bagaimana? ANDA SETUJU DENGAN HUJJAH SAYA?

Kata ustazah lagi “Jika duit yang saya beli novel ini boleh membawa kepada dosa(maksiat), saya takut ianya akan membawa saya kepada neraka. Esok-esok tuhan tanya saya kenapa beli novel ada unsur maksiat, apa saya nak jawab”. Dari kenyataan itu, saya menyedari bahawa ustazah belum membaca sepenuhnya novel saya. Ustazah belum memahami tujuan watak2 itu diwujudkan dan tidak menguasai matlamat novel itu ditulis. Apapun, saya insafi kalam itu. Saya sedar bahawa ustazah tegur saya seolah menulis novel yang ada ‘unsur maksiat’ dan boleh membawa ke ‘neraka’.

Itu baru pandangan ustazah. Bagaimana dengan pembaca yang lain? Apa pandangan tuan-puan? Saya mohon tuan-puan habiskan bacaan MCK dan berilah teguran ikhlas. Saya bukan penulis yang sempurna. Dari teguran dan kritikan ini saya akan belajar sesuatu. Sebagai kesimpulan...saya perlu mengakui bahawa novel saya tidak sempurna. Saya memuji dua sikap ustazah iaitu berhemah waktu menegur dan berani menyampaikan teguran. Ramai orang kutuk belakang jer. Betul tak? Saya fikir, saya masih perlu bertanya dan berhubung dengan ustazah tersebut. Saya mahu memahami sudut pandangnya untuk saya serasikan dengan novel seterusnya. Kekadang kita rasa bagus, tapi orang kata tak bagus. Jadi...saya nak tahu, apa lagi yang tidak bagus tentang novel saya. Tolong sampaikan. Jangan kutuk belakang jer.

Monday, July 20, 2009

Perubahan Tarikh

Gimik perasmian novel Mengintai Cinta Khalifah dipinda dari tarikh 26hb kepada 28hb Ogos, bertempat di PUTIK. Insya Allah YAB tuan guru Nik Abdul Aziz yang akan merasmikan gimik perasmian buku selama 5 minit(sahaja). Gerai jualan novel akan dibuka pada hari itu.

Saya benar-benar penat.

20 dan 21hb, terlibat sebagai hakim pertandingan multimedia peringkat negeri Kelantan di SUK.

Bzzzzz.

Tuesday, July 07, 2009

NOVEL & ROYALTI

Sekadar mahu berkongsi SMS yang saya terima daripada seorang ibu kepada beberapa anak perempuan. Telah diubah dari short font kepada tulisan penuh.

Salam.Anak kak dah dapatkan biku MCK(Mengintai Cinta Khalifah),baginya kebanyakan kawan2 remajanya suka dengan semua aspek dalam novel ini,semua prngkat usia, dari remaja till ibu2 berkata "kenapa baru sekarang ada novel macamni,if dari dulu kan bgus".Bg kak,smua karya cik ubai sgt bgus utk ank2 rmaja spt ank2 kak, ada yg kata x nk baca nvl2 lain yg temanya hanya cinta unsur mksiat.syabas utk pnulis muda!Doa kami semoga terus berkarya demi anak bangsa kita.Letak kan kami di atas jalan yang lurus.Slm utk istri....

Demikian mesej SMS dari seorang ibu yang saya kenali hanya menerusi telefon. Alhamdulillah...syukur banyak2.

Di bawah ini pula adalah emel daripada pihak editorial PTS bahagian kewangan. Saya paste di sini.


Semoga tuan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan tenang dalam urusan seharian.

Untuk makluman tuan, jumlah royalti tuan bagi tahun 2008 adalah:

1) Warkah Cinta Berbau Syurga - RM#,###.## (Jumlah jualan tahun 2008 = 3531Copy)
2) Sekudus Nur Ilahi - RM###.## (Jumlah jualan tahun 2008 = 126copy)

Insya Allah pembayaran royalti untuk buku tuan akan dibuat dalam bulan Julai ini.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau permasalahan, bolehlah emailkan kepada saya. Terima kasih.

Saya bersyukur, walaupun ini hanya royalti bagi jualan buku tahun 2008. Ia sudah dikira cukup baik. Bagaimana pula dengan royalti tahun 2009? Harapnya makin bertambah baik. Insya Allah. Moga rezeki bertambah. di sebalik usaha yang murni ini, Allah juga berikan insentif dunia. Semoga kita sama2 beroleh kebajikan, berkat dan kejayaan dunia akhirat.

Saturday, July 04, 2009

TUMPUAN & PENYELARASAN

Saya sedang menumpukan perhatian terhadap modul bagi diskusi mingguan yang akan dibentangkan kepada pihak PKINK. Bahan itu perlu kepada suatu pengkajian dan penyesuaian, kerana ia akan digunakan sebagai bahan utama dalam small gathering every week dengan orang-orang yang bergelar usahawan.

Atas sebab itu, saya perlu mengosongkan masa dari terlibat dengan aktiviti luar. Dan saya kurang lapang untuk menerima jemputan ceramah. Apapun, saya berharap semua tugasan ini akan mematangkan saya dalam memahami agama.

Dalam keadaan sebegini, saya perlu berusaha menepati waktu solat dan sentiasa menjaga solat dhuha. Malah cuba istiqamah untuk bangun malam dan berdoa. Hanya Allah sahaja yang mampu membantu saya menyiapkan bahan yang berat. Hanya Allah sahaja yang mampu membantu saya menyusun masa senggang agar terisi dengan ilham.

Tanpa allah, saya akan lalai dan tidak akan mampu menyudahkan sebarang kerja.

Semoga saya kekal dan istiqamah.

Thursday, July 02, 2009

NEW TASK

Saya sempat bersama dengan Ketua Eksekutif Bahagian Sumber Manusia, Cik Mohamad Adilan pada hari Isnin lepas. Setelah pulang dari Besut, saya dipanggil terus ke sana. Dalam keadaan terkejar-kejar saya terus ke Kota Bharu.

Setibanya di sana, kami berbual. Alhamdulillah, 1 Ogos nanti jawatan Pegawai Tadbir Bahagian Latihan telah tersedia untuk saya terima. Ia menanti masa dan beberapa persediaan awal. Apa yang paling utama untuk saya fikirkan ialah bagaimana saya akan menyelaraskan tugasan baru itu.

Saya dimaklumkan bahawa PKINK sebelum ini tidak pernah menerima seorang kakitangan bertaraf ustaz. Memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang perkaitan secara khusus untuk profesion itu. Namun, atas dasar merubah beberapa perkara terutamanya kefahaman staf dan juga penyerapan nilai fikrah Islam. Barulah jawatan pegawai tadbir bahagian latihan diwujudkan secara khusus. Dan mereka mahukan seorang bertaraf ustaz berada di situ.

Ini bertujuan pegawai tersebut akan diminta untuk menyusun program keagamaan termasuk menyusun diskusi ilmiah. Bertujuan memahamkan Islam secara asas dan mempastikan kefahaman Islam itu menjadi pencetus semangat bekerja. Dalam masa yang sama, perlu kepada penghakisan budaya-budaya yang tidak perlu semasa bekerja.

Atas dasar itu, saya diminta memikirkan kandungan diskusi yang bakal dilaksanakan secara berkala. Pihak PKINK mahu menyusun small gathering setiap minggu dengan dimasukkan perbincangan ke arah kesucian hati, jiwa dan spiritual pekerja. Sekaligus menerapkan nilai karisma kerja dalam mencetuskan momentum yang lebih positif.

Saya fikir, Allah telah memilih saya untuk berada di situ. Saya pasti dan yakin, Allah jualah yang akan membantu saya menyelsaikan tugasan ini. Saya bersyukur, saya akan belajar, saya akan berusaha, saya tidak akan melepaskan peluang melusuri pengalaman yang bermakna ini.

Semoga kita mendapat balasan baik di akhirat nanti. Insya Allah.

Sunday, June 28, 2009

Berbeza...tapi tetap sama.

Jika dahulu saya bekerja untuk sekolah, berjasa kepada pelajar.

Selepas ini, saya bakal bekerja untuk Perbadanan, berjasa untuk usahawan.

Jika dahulu saya menyusun program untuk membina generasi pelajar.

Selepas ini, saya bakal bekerja untuk membentuk kecemerlangan usahawan Islamik.

Dahulu...dan sekarang. Berbeza. Tapi tetap sama. Saya masih seorang muslim yang mahu membentuk dunia yang lebih baik dari kelmarin. Saya mahu menjadi seorang yang Rabbani, Islamik dan Optimistik! (RIO)

Friday, June 26, 2009

TEMUDUGA & NOVEL

Alhamdulillah, temuduga di PKINK berjalan dengan baik. Setakat ini saya optimis, namun Allah jua yang menentukan. Bertawakkal kepadanya.

Novel Mengintai Cinta Khalifah akan diedarkan dalam masa terdekat secara tidak rasmi. Hanya sekolah tertentu sahaja akan mendapatkannya. Selebihnya akan dijual pada hari terbuka YIK pada 26hb Julai.

Tentatif program hari YIK belum jelas. Bila sudah ada susun atur program, saya akan maklumkan kepada pihak umum. Sabar menanti ya.

Wassalam.

Monday, June 22, 2009

MCK Setuju Untuk Dilancarkan

22hb Jun, jam 10 pagi saya berada di Klinik Ibu Mengandung. Menghantar isteri bagi pemeriksaan kesihatan rutin bagi ibu yang hamil. Ketika itu saya dihubungi oleh Ustaz Muhamed bin Ya selaku Timbalan Pengarah YIK, beliau memberitahu bahawa Novel Mengintai Cinta Khalifah telah dibawa ke dalam mesyuarat YIK. Dari situ, pengarah dan ahli mesyuarat bersetuju agar novel tersebut dilancarkan oleh YB atau MB Kelantan pada 26hb Julai sempena Hari Terbuka YIK 2009.

Saya amat berbesar hati menerima berita tersebut. Kata ustaz Muhamed bin Ya.

"Ana bui cadangan sajo dan ahli mesyuarat pon setuju. Lagipun oghe mace enta ni jaghe nok jupo. Jadi, apo salahnyo kito buat majlis tersebut."

"Insya allah kita akan buat majlis khusus untuk pelancaran novel enta. Dalam masa yang sama kita buka gerai jualan. Enta jual la novel enta yang lain-lain sekali. Jual murah-murah biar semua boleh beli. Pastikan enta order novel tu dan kita akan berbincang dari masa ke semasa."

"Ada masa, enta hubungi ana. Kita berbincang di pejabat sama ada nak buat pamplet ke atau iklan promosi. Ok?"

Itu antara kalam yang sempat saya ingat dari perbualan di telefon. Atas sebab itu, Novel Mengintai Cinta Khalifah tidak akan diedarkan lagi ke mana-mana sekolah. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang sudah mendapatkan naskah dari penulis. Harap semua pembaca sabar menunggu, hanya sebulan sahaja lagi. Semoga kita panjang umur. Insya allah.

PRAKTIKAL PENULISAN DI MMP

Pada 20hb Jun : Sabtu. Jam 2-4.40petang saya telah dijemput memberikan ceramah dan tips penulisan kepada pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Ini bukan kali pertama saya dijemput ke MMP bagi tujuan penulisan. Malah ia sudah memasuki tahun ketiga saya meneruskan rutin ini.

Setiap tahun MMP akan menjemput dua orang penceramah untuk sesi pagi dan petang. Pada tahun 2007, saya bersama dengan saudara Faisal Tehrani. Pada tahun 2008, saya bersama dengan Fatimah Syarha. Pada tahun 2009, saya bersama Cikgu Nik selaku orang kuat YIK yang bertanggungjawab menerbitkan buletin YIK.

Dalam sesi tersebut saya telah memberikan satu ujian ringkas kepada pelajar MMP dengan meminta mereka membuat satu cerpen atau sajak. Daripada 90 orang lebih peserta yang hadir, hanya 10 orang sahaja yang saya kira bernasib baik apabila karyanya saya ambil dan dibawa pulang untuk disiasat. Daripada 10 karya ini, hanya 4 sahaja akan diberikan hadiah.

Dalam masa beberapa hari ini, saya diberitahu oleh beberapa orang peserta program yang mengirimkan emel kepada saya. Bahawa mereka merasa tidak adil apabila sesetengah karya yang diadili itu ada yang di copy paste atau diciplak dari bahan penulisan luar. Sedangkan karya asli tidak pula terpilih.

Apapun...untuk mempastikan karya itu asli atau cetak rompak, ia memang diluar kemampuan saya. Apa yang mahu saya semaikan ialah keberanian menulis dan meluahkan gagasan cerita yang ada di dalam cepu minda untuk tatapan umum(walaupun hari itu ia sekadar diadili oleh saya). Apabila pelajar berani menulis dan meminta orang menilai karya, pasti bakat mereka akan mampu dikembangkan. Hal itulah yang ingin saya semaikan. Jika saya mahu mencari yang benar-benar berbakat dalam penulisan menerusi program sehari...ianya memang MUSTAHIL.

Kepada pelajar MMP yang membaca catatan ini, tidak mengapalah jika ada diantara kalian yang cetak rompak atau plagiat. Kerana karya itu bukan untuk diterbitkan. Ia sekadar satu simulasi latihan menulis dan menguji keyakinan diri. Jika anda kalah sekalipun, tidak bererti anda tiada bakat. Jika menangpun, belum tentu anda akan menjadi penulis berjaya. Yang pentin...konsisten dan istiqamah.

Semoga terus sukses!

Thursday, June 18, 2009

BERSIAP SEDIA UNTUK DIPASARKAN

15hb Jun saya sudah menerima 10 naskah percuma novel 'Mengintai Cinta Khalifah' dan orang pertama yang membacanya adalah kakak saya. Dalam satu malam, dia khatamkan novel tersebut dan memberitahu "Isinya lebih tersusun, bahasanya lebih matang dan ceritanya lebih rigid. Bagus...ada kemajuan"

Dan saya juga telah menyerahkan novel tersebut kepada Ustaz Mohamed bin Ya, selaku Timbalan Pengarah YIK untuk dilihat isi. Jika sesuai dan wajar, dia akan mewujudkan satu slot khas untuk melancarkan novel tersebut di hari terbukaYIK pada 9hb Julai 2009. Saya tidak tahu adakah ianya akan dilancarkan...atau...tiada apa-apa yang berlaku. Terserah pada Allah menentukannya.

Saya juga baru menempah sebanyak 100 naskah dari PTS. 100 Naskah itu akan saya jual di beberapa Maahad yang sering saya kunjungi. saya yakin, dengan harga RM 17.00. Ia jauh lebih murah berbanding warkah cinta RM 23.50. Saya fikir, novel itu akan sampai pada minggu hadapan, dan saya akan mula membuat promosi dengan segera. Insya allah.

Oh ya! 24hb ini saya akan melalui satu proses temuduga di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan saya mohon pada Allah agar hal tersebut berjalan lancar. Apapun...hal itu adalah rahsia antara saya dan keluarga saja. Belum bersedia untuk diberitahu kepada umum.

Sekian, wassalam.

Wednesday, June 17, 2009

PAMPLET SENDIRI

(Klik gambar untuk imej yang lebih jelas)

(Klik gambar untuk imej yang lebih jelas)

Monday, June 15, 2009

PENYESUAIAN JADUAL BARU KEHIDUPAN

Saya sudah melangkah ke alam baru...alam tanpa majikan. Terlalu banyak perkara yang saya fikir untuk dilaksanakan. Terlalu banyak pilihan kerja dan peluang. Saya jadi sedikit keliru. Biasalah, semua manusia yang baru memasuki suatu dimensi baru dalam kehidupan akan melalui proses kebuntuan. Sudah tentu kebuntuan itu perlu dipecahkan dengan segera.

Sebetulnya ada beberapa hal yang sudah saya terokai secara tidak langsung. Seperti dunia penerbitan dan pemasaran buku. Namun, kini saya perlu meneroka dengan kritis dan meninjau peluang yang ada untuk saya. Kini saya sedang meninjau potensi penerbitan menerusi Yayasan Islam Kelantan. Pada 16 Jun ini saya akan menyertai mesyuarat Penerbitan Suara YIK di Nilam Puri. Saya berharap Allah akan membuka peluang yang luas untuk saya menyumbang idea dan tenaga dalam membawa anjakan paradigma kepada YIK.

Selain itu. Apa yang betul-betul saya mahu lakukan sekarang ialah melihat peluang untuk menjadi penceramah bebas dan motivator. Sasaran saya adalah remaja menengah. Saya merancang untuk menyiapkan beberapa modul yang bersesuaian dengan remaja. Juga beberapa buah buku motivasi ringan untuk remaja. Yang mana sudah ada dua judul saya siapkan. Kemudian saya akan membuat pamplet dan mengirimnya kepada sekolah-sekolah yang berpotensi untuk saya bekerjasama.

Dalam masa yang sama, saya meneruskan perjalanan hidup seorang penulis. Saya sedang menyiapkan novel ketiga dan sedang merangka buku motivasi ketiga. Doakan ia berterusan dan lancar.

Semoga sukses.

Wednesday, May 27, 2009

PENULIS DAN PENCERAMAH SEPENUH MASA

Ia suatu keputusan yang besar dalam hidup saya, kerana ia akan memberi kesan kewangan. Ia juga adalah langkah perlu untuk melangkah lebih jauh. Dalam masa yang sama, untuk menjaga keseimbangan peribadi sebagai al-hafiz dan juga hamba Allah.

Saya hanya punya 24 jam dalam sehari. Tugas saya yang utama adalah beribadah kepada Allah, dalam masa itu saya mahu mencari ilmu dengan belajar. Seterusnya saya wajib menyampaikan ilmu dengan cara menulis dan berceramah. Saya tidak mampu melakukan hal tersebut(Belajar, menulis dan berceramah) jika saya terikat dengan majikan. Ia akan mengganggu saya dan juga mengganggu majikan untuk mendapatkan sumbangan tenaga dari saya. Untuk situasi win-win situation, saya memilih untuk berhenti.

Mulai 1 Jun 2009, saya adalah penulis dan penceramah sepenuh masa. Saya mahu menumpukan tenaga untuk menulis buku dan dalam masa yang sama mengendalikan program pembangunan insan. Atas sebab itu, saya memohon doa dari pembaca blog ini agar mendoakan saya dimurahkan rezeki dan diberikan limpahan berkat rahmat-Nya.

Saya juga ingin memberitahu dengan sukacita bahawa, seandainya saudara-saudari ingin mengadakan program keagamaan seperti seminar solat, ceramah motivasi, atau apa juga program yang memerlukan penceramah. Cubalah hubungi saya di talian 0199884869. Mungkin kita boleh bekerjasama.

Terima kasih.

Monday, May 18, 2009

Mengkaji : Rahsia Menjadi Penulis Prolifik

Saya yakin rakan penulis akan bersetuju dengan kenyataan di atas. Tanpa pengkajian atau pembacaan bahan-bahan yang baik, ilham tidak akan datang. Saya sendiri merasakan selepas mengubah gaya hidup serta rutin pembacaan harian...cempera minda saya kian ligat mendapat idea.

Setakat ini saya sedang menyiapkan satu novel : Warkah Cinta Berbau Syurga-2. Saya merancang agar novel ini dinilai terlebih dahulu oleh PTS Litera. Dan sememangnya PTS adalah penerbit pilihan saya.

Dalam masa yang sama saya sedang menyusun 3 buah buku motivasi. Iaitu :

1) Anakku, Mahu Hafaz Al-Quran? - Pengalaman dan pembacaan saya sebagai guru tahfiz.
2) Pendakwah Versatile dan Efektif. - Pengalaman dan pembacaan saya selama menjadi penceramah dan pengkuliah.
3) Kenapa Agamawan Perlu Berkarya? - Pengalaman dan pembacaan saya selama menjadi penulis muda.

Semua judul itu adalah cadangan asal. Ia mungkin berubah mengikut kesesuaian penerbit dan nilai komersil. Yang penting, saya bercadang menerbitkan menerusi KarnaDya : Inspirasi. Masih ada beberapa judul buku dan bahan yang sedang saya kaji. Saya merancang untuk menerbitkan buku dengan 3 penerbit lagi. Jika KarnaDya kurang berminat, saya mungkin memilih ke Telaga Biru, Hijjaz Publications atau Anbakri Publika.

Rezeki dari Allah dan Allah akan tentukan buku-buku ini bisa terbit atau tidak dengan izinnya. Moga ilham ini menjadi ilham tersurat dan dicetak untuk tatapan umum.

Friday, May 15, 2009

MENGINTAI CINTA KHALIFAH (MCK) bakal dilancarkan oleh MB Kelantan?

Assalamualaikum wrt wbt

Sedikit perkongsian berkaitan dunia penulisan saya. Alhamdulillah sebulan dua ini saya sedang sibuk menulis sambungan 'Warkah Cinta Berbau Syurga'. Jika dikira, panjang novelnya sudah memasuki 110 mukasurat size A4. Dan sudah tentu, saya bercadang menerbitkan novel ketiga ini dengan PTS.

Dua minggu lalu, saya dihubungi oleh saudara Roslan selaku pengurus promosi PTS. Beliau bertanya adakah saya bersedia jika dijemput ke RTM 1 bagi membicarakan soal novel WCBS. Saya pantas sahaja mengatakan itu adalah 'rezeki' dan tidak wajar ditolak sama sekali. Melainkan ada masalah tertentu. Dan beliau sedang mengusahakan agar nama saya dicadangkan ke RTM.

Tiga hari lalu, saya dihubungi oleh kak Salmah Husain salah seorang penggerak Harakah. Katanya, dia tidak menyangka ada guru yang mengajar di sekolah YIK mampu menulis novel. Beliau mencadangkan agar buku novel saya seterusnya(Mengintai Cinta Khalifah) dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan. Saya juga menyatakan bahawa cadangan itu adalah 'rezeki' dan tidak wajar ditolak sama sekali. Beliau akan berbincang dengan Yayasan islam Kelantan terlebih dahulu, lalu mengutarakan hal itu ke setiausaha MB.

Dan untuk makluman saudara-saudari pembaca. Novel MCK akan memasuki pasaran sekitar akhir Jun. Dan jika mahu melihat kulit bukunya, sila klik di sini.

Monday, May 11, 2009

Kenangan Mengikuti Sukarelawan Kemboja

Hujung tahun 2007. Saya menyertai sukarelawan antarabangsa ke Kemboja. Saya diantara 52 peserta yang dipilih seluruh Malaysia menerusi sesi temuduga. Alhamdulillah, tuhan buka peluang kepada saya. Terima kasih kepada kakak2 dan abang2 panel yang memberi peluang ini.

Hari pertama memasuki pra-departure training. Saya diminta memperkenalkan diri dan hasrat besar dalam kehidupan. Sebelah saya adalah rakan dari Kelantan. Lihat perut saya, agak boroi. (klik gambar untuk imej jelas)


Pada awalnya saya pemalu dan agak klasik. Malah, saya juga tidak pandai berbicara dengan peserta yang berbeza bangsa. Sehinggalah Chan(berbangsa cina) memanggil saya abang Ubai. Dan Xavi(Berbangsa india) memanggil saya 'Ustat'. Kami diberi peluang untuk disuratkhabarkan menerusi pelancaran sukarelawan antarabangsa di KL Central.


Gambar di bawah ini adalah hari terakhir sebelum kami bertolak dari tapak latihan ke Kemboja.


Di bawah ini adalah malam pertama saya di Kemboja. Di situ ialah surau Kampung Kandal yang menjadi hotel 5 bintang untuk group lelaki. Pada malam ini, saya diminta berucap di hadapan penduduk kampung Kandal. (Wah, macam wakil duta Malaysia rasanya)


Di dalam gambar di bawah, saya berada di tepi sungai Kandal. Sungai itulah sumber utama rezeki penduduk Islam di situ. Perahu mereka adalah villa mereka. Malah ada yang sudah mendapat 3 orang anak selama menetap di atas villa perahu itu. Boleh anda bayangkan bagaimana hal itu terjadi?


Dalam group saya, ada peserta Berbangsa India. Ganesh dan Xavi. Mereka adalah remaja berhati tulus. Seorang peserta berbangsa Cina iaitu Chan. Dia seorang guru yang baik kepada penduduk Islam Kandal. Selebihnya adalah peserta Melayu.

Di sini, adalah sebuah restoran 5 bintang di Kemboja. Restoran milik orang Islam. Saya diraikan bersama rakan2 lain sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Ketika ini, saya benar-benar terharu dan berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Banyak pengajaran hidup yang saya dapat dari perjalanan ini. Percayalah, sebagai orang Islam yang berilmu...perpaduan itu perlu dibentuk secara Islamiyyah. Bukan secara kebangsaan. Ia akan menjadikan masyarakat kita lebih muafakat.