Friday, April 24, 2009

BERFIKIR dan BERAMAL vs KRITIK dan LEPAS TANGAN

Biasanya...Manusia dilahirkan dengan kecenderungan dan kemahiran yang bervariasi. Semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Apabila kita diminta untuk menyumbang kepada Islam, kita tidak perlu melahirkan pendokong yang semuanya pandai berceramah, malah kita perlu lahirkan pendokong yang fleksibel dan takaful. Iaitu mampu berada di semua posisi dan saling melengkapi. Ada yang susun kertas kerja, ada yang cari sponsor, ada yang pasang khemah, ada yang jaga PA system, ada yang buat promosi dan ada yang berceramah.

Biasanya...golongan pekerja dan pengikut adalah lebih ramai dari golongan perancang dan pemikir. Sudah terbukti secara empirikal bahawa watak 'Pemikir' dan 'Pemimpin' sangat minoriti dalam sesuatu kelompok. Jadi, sesiapa yang memiliki kebolehan berfikir, merancang dan memimpin...mereka adalah golongan penting yang perlu memusatkan tenaga dalam hal tersebut. Jangan pula dibiarkan masa tafakkur golongan ini terganggu dengan tugas-tugas rutin. Ini akan merugikan kelompok itu sendiri.

Biasanya...Apabila adanya golongan pemikir yang mampu melahirkan idea bagus dan bernas. Mereka perlu diberi ruang untuk mencambahkan kualiti idea ini. Agar memberi impak yang lebih kepada sesuatu kelompok. Jangan dipaksa mereka buat kerja macam kebanyakan orang. Ini akan menyempitkan idea dan kreativiti pemikir itu sendiri.

Biasanya...Setelah idea yang dicadangkan itu dibahas, dibincang dan dinilai sehingga benar-benar masak. Barulah ia dihidangkan kepada orang lain atau orang kebanyakan. Agar mereka faham dan menerimanya dengan baik. Setelah itu ia dilaksanakan secara berjemaah.

Masalahnya...tak ramai orang mengenali golongan pemikiran dan pemimpin. tak ramai orang menghargai idea yang bernas dan berkualiti. Orang sekarang suka terkejar-kejar dan buat kerja tergesa-gesa. Tak berfikir atau menilai sampai masak.

Masalahnya...ramai orang sekarang tidak bersedia untuk bekerja. Tidak bersungguh-sungguh dalam beramal. Ramai yang suka komplain atau kritik cadangan asal. Dalam masa yang sama mereka tidak memberi cadangan baru atau alternatif.

Sepatutnya... kita saling berbincang setiap waktu. Lihat pada kekurangan yang ada. Nilai dan halusi setiap komentar yang lahir dari pekerja dan pendokong. Satukan idea dan pendapat. Setelah itu sepakat, lalu sama-sama bekerja mendapatkan hasil yang diingini.

Malangnya...Orang sekarang, ramai yang MALAS berfikir...dan MALAS beramal...suka KRITIK dan suka MENYALAHKAN orang. bila orang kalut perlukan cadangan dan tenaga, mereka buat apa? Merekapun LEPAS TANGAN. Betul tak? Akhirnya siapa yang kena tanggung masalah ini? Orang-orang yang tidak berkemampuan atau orang-orang yang tidak sepatutnya. Akhirnya, masalah tak selesai dan berlarutan.

Ini adalah putaran dan akibat dari sikap KRITIK, MENYALAHKAN ORANG dan LEPAS TANGAN sesama kita.

Bilakah budaya ini akan hilang?

Sunday, April 19, 2009

Warkah Cinta... Antara Cinta dan Perjuangan


Warkah Cinta Berbau Syurga tulisan penulis tempatan A. Ubaidillah Alias mengangkat dan mempersembahkan alihan konsep cinta dan jihad yang segar, kontemporari dan selari dengan syariah Islam yang membenarkan aspek cinta dan jihad yang tepat dan tidak berunsur nafsu. Penceritaan cerita dengan plot yang mengikut kronologi masa, tempat, emosi, konflik dan persoalan remaja disusun kemas dan senang dibaca. Nilai tambah adalah apabila diselitkan terjemahan ayat Quran dan Hadis yang disampaikan bagi menerangkan situasi dan bukan kerana tujuan mengarah dan menunjuk pandai.

Remaja yang mahu mengetahui konsep cinta dan perjuangan emosi remaja yang sebenar perlu mendapatkan rujukan yang tepat dan serasi dengan jiwa remaja mereka. Justeru itu, buku ini hadir membawa sinar harapan beserta kilauan bintang terpilih yang mampu dijadikan medium perantaraan supaya remaja memahami aspek cinta dan jiwa remaja yang sebenar.

Permulaan watak, Amir Mukhlis adalah pelajar Maahad Tahfiz Quran Pulai Chondong yang cuba dibentuk oleh gurunya Ustaz Hamdi. Beliau dilatih supaya menjadi penulis dan pemidato. Dalam proses itu, beberapa kesukaran terpaksa dihadapi. Memandangkan bakatnya dalam penulisan agak menonjol, rakan-rakannya sering meminta bantuannya menjadi jurutulis surat ataupun esei peribadi. Beliau turut dilantik sebagai ajk badan redaksi sekolah, dari situ berlakulah pertemuan secara kebetulan dengan Wardah yang juga ajk badan redaksi di sekolah SMKA Naim Lilbanat. Pertemuan itu bukan sahaja merubah suasana dalam dirinya, malah turut memberi impak pada diri Wardah. Apakah yang berlaku antara mereka berdua?

Wardah adalah pelajar cemerlang, mempunyai keterampilan dan perawakan yang menarik. Beliau bukan sahaja menjadi bualan di sekolah malah di beberapa sekolah agama yang lain. Hal itu menyebabkan ramai pelajar lelaki dari luar ingin berkenalan dengannya. Walaupun begitu, Wardah mempunyai prinsip diri yang agak tegas. Memandangkan beliau berasal dari keluarga yang agak bermasalah, ini membuatkan beliau payah mempercayai lelaki. Beliau benci kepada lelaki yang kurang bertanggungjawab dan jahil. Beliau mahukan seorang kawan lelaki yang faham agama dan memahami erti tanggungjawab. Tanpa disedari, Wardah merasakan Amir Mukhlis memiliki cirri-ciri yang diinginkannya. Perasaan itu dikongsi bersama temannya seperti Rohana dan Tasnim. Adakah Wardah dapat memiliki hati Amir Mukhlis?

Konflik percintaan mengheret kedua-dua watak kepada beberapa persoalan jiwa remaja. Di sinilah kedua-duanya cuba menjelaskan beberapa perkara yang sering menjadi polemik percintaan remaja. Bolehkah bercinta dalam usia remaja? Adakah Islam mewujudkan batas-batas dalam pergaulan? Sejauh mana keharusan bercinta dalam usia remaja? Jika ingin memilih pasangan, apakah ciri yang perlu diutamakan? Bagaimana mahu beri tumpuan pada pelajaran apabila bercinta? Persoalan inilah yang dibangkitkan oleh Amir sehingga memenjarakan Wardah dalam satu dinding lutsinar. Pembaca pasti mahu cara hubungan mereka terjalin secara Islami.


Amir memilih universiti Al-Azhar, Kaherah sebagai destinasi ilmu peringkat ijazah. Di sini beliau mula memahami perjuangan menuntut hak dan keadilan dalam konteks mahasiswa Islam. Balqis muncul dalam hidup Amir, gadis yang banyak menghadapi masalah dan kebetulan Amir mampu menyelesaikannya secara tidak sengaja. Pelbagai insiden yang berlaku secara tidak sengaja seperti takdir menemukan mereka. Namun Amir punya prinsip tersendiri. Akibat daripada itu. Balqis mendapati Amir adalah seorang yang sangat matang dan mampu memimpinnya bagi meneruskan kehidupan. Sebaik sahaja Balqis menzahirkan kecenderungannya kepada Amir, teman serumahnya mula bersikap cemburu. Pada masa yang sama, Amir dibebankan dengan masalah kesihatan. Dan ternyata, saat getir ini digawatkan lagi dengan kemunculan surat daripada Wardah. Ia adalah warkah yang bernoktah pasti dan kekal. Adakah Wardah dapat mengutus surat kepada Amir lagi?


Dalam kesakitan, kesempitan dan menanggung pengharapan orang, Amir perlu menyelesaikan konflik persahabatan dan hubungan perasaannya. Mampukah beliau berdiri dengan kaki sendiri demi menghadapi segala keperitan ini?

A.Ubaidillah Alias adalah penulis buku Sekudus Nur Illahi. Buku tulisan kedua ini adalah manifestasi wawasan beliau mahu memberi nasihat berkenaan cara berfikir dan membuat keputusan mengikut Islam. Ia adalah hadiah daripada remaja untuk remaja. Beliau begitu komited mahu mengubah persepsi remaja yang terpengaruh dengan novel yang mempromosi cinta murahan, tiada tatacara timur dan Islam yang sebenar. Beliau juga menghormati penulisan kreatif penulis terkenal Faisal Tehrani yang dijadikan mentor dalam dunia penulisan kreatif. Penulis percaya novel Islami mampu membina pemikiran remaja yang teguh dan karisma yang mandiri.


Beliau adalah guru Al-Quran dan akademik di Maahad Tahfiz Sains, Tumpat, Kelantan. Beliau menamatkan hafazan 30 juzuk di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong. Seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al-Azhar Kaherah.

dipetik daripada :

Oleh: Roslan

Wednesday, April 08, 2009

RESUME TERBUKA

Assalamualaikum

Saya seorang guru tahfiz yang suka menulis, berceramah dan berprogram. Saya berhasrat untuk menjadi penceramah bebas. Sekaligus mahu melibatkan diri dengan pihak consultant yang mampu memberi saya bimbingan dan pengalaman.

Adakah di luar sana pihak-pihak yang berminat untuk melatih seseorang macam saya? Kalau anda tahu peluang untuk bekerja dengan mana-mana consultant... mohon memberi cadangan dan makluman.

Terima kasih.

Wednesday, April 01, 2009

WCBS - Akan Masuk Cetakan Ke-3

Alhamdulillah...

Pagi ini 1 April 2009, saya baru sahaja menerima makluman daripada editor PTS Litera iaitu Kak Norhafizah bahawa Warkah Cinta akan diulang cetak sekali lagi dalam masa terdekat. Ini bererti buku itu akan memasuki cetakan ketiga.

Saya bersyukur kepada Allah dan berdoa agar tuhan menggandakan segala usaha saya di masa mendatang. Terima kasih kepada adik, ibu, kakak, abang, abah dan semua pembaca yang telah membeli novel tersebut. Mudah-mudahan, buku itu akan memberi pulangan yang baik dari segi ilmu dan manfaat kepada tuannya. Amin.

Wassalam.