Wednesday, May 27, 2009

PENULIS DAN PENCERAMAH SEPENUH MASA

Ia suatu keputusan yang besar dalam hidup saya, kerana ia akan memberi kesan kewangan. Ia juga adalah langkah perlu untuk melangkah lebih jauh. Dalam masa yang sama, untuk menjaga keseimbangan peribadi sebagai al-hafiz dan juga hamba Allah.

Saya hanya punya 24 jam dalam sehari. Tugas saya yang utama adalah beribadah kepada Allah, dalam masa itu saya mahu mencari ilmu dengan belajar. Seterusnya saya wajib menyampaikan ilmu dengan cara menulis dan berceramah. Saya tidak mampu melakukan hal tersebut(Belajar, menulis dan berceramah) jika saya terikat dengan majikan. Ia akan mengganggu saya dan juga mengganggu majikan untuk mendapatkan sumbangan tenaga dari saya. Untuk situasi win-win situation, saya memilih untuk berhenti.

Mulai 1 Jun 2009, saya adalah penulis dan penceramah sepenuh masa. Saya mahu menumpukan tenaga untuk menulis buku dan dalam masa yang sama mengendalikan program pembangunan insan. Atas sebab itu, saya memohon doa dari pembaca blog ini agar mendoakan saya dimurahkan rezeki dan diberikan limpahan berkat rahmat-Nya.

Saya juga ingin memberitahu dengan sukacita bahawa, seandainya saudara-saudari ingin mengadakan program keagamaan seperti seminar solat, ceramah motivasi, atau apa juga program yang memerlukan penceramah. Cubalah hubungi saya di talian 0199884869. Mungkin kita boleh bekerjasama.

Terima kasih.

Monday, May 18, 2009

Mengkaji : Rahsia Menjadi Penulis Prolifik

Saya yakin rakan penulis akan bersetuju dengan kenyataan di atas. Tanpa pengkajian atau pembacaan bahan-bahan yang baik, ilham tidak akan datang. Saya sendiri merasakan selepas mengubah gaya hidup serta rutin pembacaan harian...cempera minda saya kian ligat mendapat idea.

Setakat ini saya sedang menyiapkan satu novel : Warkah Cinta Berbau Syurga-2. Saya merancang agar novel ini dinilai terlebih dahulu oleh PTS Litera. Dan sememangnya PTS adalah penerbit pilihan saya.

Dalam masa yang sama saya sedang menyusun 3 buah buku motivasi. Iaitu :

1) Anakku, Mahu Hafaz Al-Quran? - Pengalaman dan pembacaan saya sebagai guru tahfiz.
2) Pendakwah Versatile dan Efektif. - Pengalaman dan pembacaan saya selama menjadi penceramah dan pengkuliah.
3) Kenapa Agamawan Perlu Berkarya? - Pengalaman dan pembacaan saya selama menjadi penulis muda.

Semua judul itu adalah cadangan asal. Ia mungkin berubah mengikut kesesuaian penerbit dan nilai komersil. Yang penting, saya bercadang menerbitkan menerusi KarnaDya : Inspirasi. Masih ada beberapa judul buku dan bahan yang sedang saya kaji. Saya merancang untuk menerbitkan buku dengan 3 penerbit lagi. Jika KarnaDya kurang berminat, saya mungkin memilih ke Telaga Biru, Hijjaz Publications atau Anbakri Publika.

Rezeki dari Allah dan Allah akan tentukan buku-buku ini bisa terbit atau tidak dengan izinnya. Moga ilham ini menjadi ilham tersurat dan dicetak untuk tatapan umum.

Friday, May 15, 2009

MENGINTAI CINTA KHALIFAH (MCK) bakal dilancarkan oleh MB Kelantan?

Assalamualaikum wrt wbt

Sedikit perkongsian berkaitan dunia penulisan saya. Alhamdulillah sebulan dua ini saya sedang sibuk menulis sambungan 'Warkah Cinta Berbau Syurga'. Jika dikira, panjang novelnya sudah memasuki 110 mukasurat size A4. Dan sudah tentu, saya bercadang menerbitkan novel ketiga ini dengan PTS.

Dua minggu lalu, saya dihubungi oleh saudara Roslan selaku pengurus promosi PTS. Beliau bertanya adakah saya bersedia jika dijemput ke RTM 1 bagi membicarakan soal novel WCBS. Saya pantas sahaja mengatakan itu adalah 'rezeki' dan tidak wajar ditolak sama sekali. Melainkan ada masalah tertentu. Dan beliau sedang mengusahakan agar nama saya dicadangkan ke RTM.

Tiga hari lalu, saya dihubungi oleh kak Salmah Husain salah seorang penggerak Harakah. Katanya, dia tidak menyangka ada guru yang mengajar di sekolah YIK mampu menulis novel. Beliau mencadangkan agar buku novel saya seterusnya(Mengintai Cinta Khalifah) dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan. Saya juga menyatakan bahawa cadangan itu adalah 'rezeki' dan tidak wajar ditolak sama sekali. Beliau akan berbincang dengan Yayasan islam Kelantan terlebih dahulu, lalu mengutarakan hal itu ke setiausaha MB.

Dan untuk makluman saudara-saudari pembaca. Novel MCK akan memasuki pasaran sekitar akhir Jun. Dan jika mahu melihat kulit bukunya, sila klik di sini.

Monday, May 11, 2009

Kenangan Mengikuti Sukarelawan Kemboja

Hujung tahun 2007. Saya menyertai sukarelawan antarabangsa ke Kemboja. Saya diantara 52 peserta yang dipilih seluruh Malaysia menerusi sesi temuduga. Alhamdulillah, tuhan buka peluang kepada saya. Terima kasih kepada kakak2 dan abang2 panel yang memberi peluang ini.

Hari pertama memasuki pra-departure training. Saya diminta memperkenalkan diri dan hasrat besar dalam kehidupan. Sebelah saya adalah rakan dari Kelantan. Lihat perut saya, agak boroi. (klik gambar untuk imej jelas)


Pada awalnya saya pemalu dan agak klasik. Malah, saya juga tidak pandai berbicara dengan peserta yang berbeza bangsa. Sehinggalah Chan(berbangsa cina) memanggil saya abang Ubai. Dan Xavi(Berbangsa india) memanggil saya 'Ustat'. Kami diberi peluang untuk disuratkhabarkan menerusi pelancaran sukarelawan antarabangsa di KL Central.


Gambar di bawah ini adalah hari terakhir sebelum kami bertolak dari tapak latihan ke Kemboja.


Di bawah ini adalah malam pertama saya di Kemboja. Di situ ialah surau Kampung Kandal yang menjadi hotel 5 bintang untuk group lelaki. Pada malam ini, saya diminta berucap di hadapan penduduk kampung Kandal. (Wah, macam wakil duta Malaysia rasanya)


Di dalam gambar di bawah, saya berada di tepi sungai Kandal. Sungai itulah sumber utama rezeki penduduk Islam di situ. Perahu mereka adalah villa mereka. Malah ada yang sudah mendapat 3 orang anak selama menetap di atas villa perahu itu. Boleh anda bayangkan bagaimana hal itu terjadi?


Dalam group saya, ada peserta Berbangsa India. Ganesh dan Xavi. Mereka adalah remaja berhati tulus. Seorang peserta berbangsa Cina iaitu Chan. Dia seorang guru yang baik kepada penduduk Islam Kandal. Selebihnya adalah peserta Melayu.

Di sini, adalah sebuah restoran 5 bintang di Kemboja. Restoran milik orang Islam. Saya diraikan bersama rakan2 lain sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Ketika ini, saya benar-benar terharu dan berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Banyak pengajaran hidup yang saya dapat dari perjalanan ini. Percayalah, sebagai orang Islam yang berilmu...perpaduan itu perlu dibentuk secara Islamiyyah. Bukan secara kebangsaan. Ia akan menjadikan masyarakat kita lebih muafakat.

Tuesday, May 05, 2009

Mengintai Cinta Khalifah (MCK) Masih Dalam Proses

Sebetulnya pihak editor PTS Litera sudah berusaha untuk mempastikan novel terbaru saya iaitu MCK diterbitkan dalam pesta buku. Malangnya, terdapat masalah pada cover novel tersebut dan perlu diperbaiki. Atas sebab itu, novel MCK tidak dapat diterbitkan dalam masa yang ditetapkan.

Apapun, kita berdoa agar prosesnya menjadi lancar selepas ini. Jika novel itu telah terbit, pasti saya akan maklum di sini. Insya allah.