Monday, May 08, 2006

Man of Steel 2006


Lepas tengok trailer Man of steel atau Superman return 2006. Tiba-tiba rasa nak menulis.

Saya penggemar filem fiksyen dan setiap kali menonton filem adaptasi Marvel Comic seperti Spiderman, Superman, X-Men atau sebarang genre fiksyen seperti Narnia, Lord of the Ring dan etc saya jadi teruja. Kehebatan protagonist mengatasi musuh dan menyelesaikan masalah benar-benar membuatkan saya terbakar dalam enthusiasm. Yang paling best saat peleraian sebuah klimak yang memaparkan protagonist menjadi the last man standing. Plot sebegitu memberi suntikan motivasi tinggi agar diri sendiri menjadi orang yang tabah berdiri hingga ke saat akhir.

Superman satu-satunya watak favorite saya semenjak kecil. Memang dah tahu ia hanya watak rekaan, cuma yang buat cerita ni menarik sebab ada dua ciri istimewa. Pertama, dia menyembunyikan kehebatan sebenar dan menzahirkan kuasanya disaat waktu benar-benar memerlukan. Dengan kata lain, keluarbiasaan itu menjelma disaat getir. Keistimewaan kedua, dia terpaksa mengorbankan kehendak sendiri demi menjaga keamanan dunia. Dengan kata lain, berkorban untuk mereka yang wajib. Spiderman pun lebih kurang begitu juga.

Secara kesimpulan, sesiapapun boleh memiliki criteria man of steel. Asalkan dia mampu menguasai dua ciri tadi. Sesuaikanlah dua ciri tadi dalam dunia masing-masing. Berdasarkan dua kriteria tadi, jadilah orang yang pandai menyembunyikan keistimewaan sendiri dan menzahirkan disaat yang benar-benar perlu. Jangan duk menunjuk sesuka hati. 24 jam asyik duk perasan depan orang ramai. Kedua, harus berani mengorbankan keinginan peribadi untuk memastikan matlamat agama tercapai.

So. Tak perlu tunggu ada sayap untuk terbang. Tak perlu tunggu kebal sampai tak lut ditembak meriam. Sesiapa yang mampu memiliki dua ciri demikian…dia sudah boleh digelar Superman. Semudah itu bukan? Mudah ke? Kalau mudah...jom pakat jadi Superman.

WATIKAH DARI LANGIT



Langit gharib metah
Udara pijar dan warna jingganya pecah-pecah
Wahai langit…mahu runtuhkah?

Dulu juga pernah
Langit gharib metah
Tika tuhan berfirman dan awan bawa hukuman
A’ad dipanah petir Tho-ghi-ah
Thamud diganyang taufan Sor-sor
Tujuh malam dan lapan siang,
Hingga bergelimpang mayat lompang.

Langit itu juga
Yang kini warnanya pecah-pecah
Habuknya berkenjah-kenjah
Apa rahsia yang kau simpan
Terima watikah lagikah?

(Kamar sepi Abbas Zakzuq)

Glosari :

Gharib : Pelik
A’ad : Kaum nabi Hud
Thoghiah : Kalimah arab bererti melampau-lampau, lafaz ini diambil dari al-Quran.
Thamud : Kaum nabi Soleh.
Sorsor : Juga bererti melampau(overwhelm). Lafaz dipetik dari al-Quran.



6 Mei 2006, kala sore merangkak senja. Langit Kaherah benar-benar kelam. Debu bertabrakan di tiup angin sahrawi. Mungkin sebagai penyata berakhirnya Syita dan bermulanya Soifi.

Ahlan ya soif. Ana fi intizor bi-qudumika.

Saturday, May 06, 2006

Penjara Persepsi

Saya masih menyesali diri sendiri yang tidak begitu peka terhadap buku-buku di sini. Enam tahun saya berada di Kaherah, toko buku yang wujud di Seventh District atau Nasr City sangat kurang saya akrabi. Sejujurnya toko buku sangat karib malah ada di mana-mana. Jika saya ke kuliah, saya bisa sahaja singgah di pustaka Darul Salam yang berada di hujung jejantas berdekatan Khan Khalili untuk melihat buku-buku arab atau Inggeris. Atau saya boleh ke pustaka Halabi di belakang masjid Al-Azhar untuk mencari kitab jawi. Tetapi mata saya tertutup dan minda saya terkurung dalam penjara persepsi. Menyebabkan saya tidak tahu siapakah pengarang yang bagus dan apakah syarikat percetakan terbaik di Mesir.


Mungkin kerana penguasaan nahu saraf saya lemah menyebabkan saya tidak ghairah membaca majalah atau akhbar Arab. Pembacaan saya terbatas kepada kitab kuliah semata. Selebihnya saya akan membaca majalah Suara Kampus atau buku-buku ilmiah terbitan siswa Al-Azhar dalam bahasa Melayu. Secara beransur-ansur situasi itu memadamkan kemesraan saya dengan buku berbahasa Arab. Apatah lagi setelah melihat gelagat orang Mesir yang seolah-olah seperti 'Majhul' dalam segala hal membuatkan saya kurang berminat untuk berbaik-baik dengan orang Arab. Walhal masih terlalu ramai orang Mesir yang Alim dan Arif, mungkin saya sudah terkena peribahasa 'Akibat nila setitik maka rosaklah susu sebelanga'.


Prof Dr Mahmud Zuhdee juga pernah menegur pelajar Mesir dalam satu majlis.


"Saya kecewa kerana anda menganggap Mesir ini sebuah negara miskin dan terkebelakang. Malah anda langsung tidak membaca majalahnya, buku-bukunya dan langsung tidak mengkaji ketamadunan yang ada di sini. Saya yakin jika anda mengambil masa memerhati isi di dalam buku yang ada di sini...persepsi anda akan berubah." (Lebih kurang begitulah isi ucapannya)


Selain hal itu, disaat saya diminta menulis untuk PTS, saya seperti hilang punca. Saya terpaksa mencari buku berkaitan dengan komparatif antara agama Islam dan Kristian. Rujukan saya terbatas malah saya langsung tidak tahu siapakah pengarang buku yang menulis berkaitan hal tersebut kecuali Ahmad Deedat. Apapun, buku itu telah selesai saya uruskan dengan rujukan yang terbatas.


Kebetulan semalam, saya bertemu seorang rakan di simpang Abbas Zakzuq dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat. Saya memberitahu tentang perkembangan diri dan dia segera memberitahu.


"Ada sebuah toko buku di simpang Toiran berhampiran Masjid Nuri. Di situ kamu dapatkan buku tulisan Dr Majdi Marjan yang diterbitkan oleh Maktabah An-Nafizah. Dr Majdi adalah seorang kristian yang akhirnya memasuki Islam. Beliau seorang hakim jenayah di Mahkamah Sivil Kaherah. Beliau banyak menulis buku berkaitan perbezaan agama Islam dan kristian."


Saya memang menyedari bahawa pemikiran saya telah dikurung dek persepsi sempit sendiri. Saya berharap dalam kapasiti waktu yang terbatas, saya akan segera memperbaiki kelaring yang bersempudal di cermin persepsi saya. Saya berharap bagi siswa/siswi Mesir yang masih punya kapasiti waktu yang banyak, manfaatkan waktu itu untuk membaca majalah dan buku Arab. Saya jamin, anda tidak akan rugi!

Monday, May 01, 2006

Dua Buah Novel



Ni sample cover buku Sekudus Nur Ilahi yang akan memasuki pasaran pada penghujung Mei 2006. Pakat2 beli lah yea. :D.




Yang ni pula tak tahu bila agaknya akan masuk pasaran. Mungkin ia hanya sekadar gimik. Hehehe!