Monday, June 19, 2006

Rufaqa'

Hadis nabi "Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka ubahlah(tegahlah) ia dengan tanganmu, jika kamu tidak mampu(menggunakan tangan) maka ubahlah dengan lidahmu. Jika kamu tidak mampu (menggunakan lidah) maka ubahlah dengan hatimu. Demikian itu adalah selemah-lemah iman"

Sehari dua ni isu Black Metal, Punk, Skin Head tenggelam seketika. Geng mereka tak lenyap, masih wujud. Cuma berada di bawah radar. Biasanya mereka muncul balik sekitar bulan Ogos, waktu nak sambut kemerdekaan. Juga waktu perayaan-perayaan tertentu, barulah mereka menggila. Ini satu benda yang kerajaan perlu ambil langkah pencegahan(Walaupun memang mereka bukan peduli sangat).

Remaja kita ramai yang jahil, tersangat jahil tentang akidah Islam sehingga mereka menyertai geng Black Metal, Punk, Skin Head dan lain-lain untuk berseronok. Mereka langsung tidak tahu bahaya kumpulan ini. Jadi, tanggungjawab siapa untuk menyedarkan mereka? Pasti ulama' dan orang-orang yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat. Jadi, kerajaan patut usahakan sesuatu agar ulama' dapat menyuarakan teguran kepada geng sesat ini. (Malangnya, kerajaan kita juga anti ulama')

Selain geng itu, sekarang dah muncul kembali Al-Arqam versi kedua ataupun Rufaqa'. Geng ini lagi bahaya dan membahayakan akidah Islam. Saya mengakui, dakwah al-Arqam menerusi hiburan nasyid, ekonomi dan dakwah fardiah mereka cukup bagus. Sayangnya, akidah mereka bermasalah. Jemaah ini membawa kepercayaan atau ketaksuban yang teramat kepada seorang lelaki bernama Abuya(Asha'ari). Mereka menganggap Abuya ini maksum seperti nabi. Kalam abuya itu sudah memadai tanpa perlu merujuk al-Quran dan Hadis nabi. (Sesetengah tariqat sesat di Mesir juga ada yang menanamkan fahaman taksub melampau kepada syeikhnya hingga membelakangkan nabi saw)

Malah, mengikut kepercayaan rufaqa'...pengikut Abuya ini akan terlepas dari mati jika abuya sempat bernegosiasi dengan malaikatul maut. Malah abuya juga mempunyai super power yang dapat melepaskan pengikutnya dari memasuki neraka atau terkena hisab kerana Abuya sendiri boleh memberi syafaat diwaktu getir. Dengan kata lain, Abuya ini setaraf dengan baginda SAW. Kes ini sudah menyamai dengan Musailamah Al-Kazzab!

Abuya juga melarang pengikutnya menghafal al-Quran kerana abuya sendiri sudah memadai untuk menjelaskan isi al-Quran. Abuya tak suka orang lain mendahului Abuya agaknya. Bukankah nabi bersabda :

"Telah aku tinggalkan padamu dua perkara selagi mana kamu berpegang pada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Iaitu kitab Allah(Al-Quran) dan sunnahku(Hadis nabi)"

Maka, mana-mana geng yang tidak mahu/menolak/ tidak suka kepada dua panduan tadi...insya allah, berkemungkinan besar mereka termasuk dikalangan orang yang sesat!

Ini sebahagian maklumat yang saya tahu berkaitan rufaqa', jika saya tersalah fakta saya memohon agar ada sesiapa yang menegur saya. Jika benarlah fakta ini, maka suka saya menyebut wahai saudara-saudariku "Kasihanilah saudara-saudarimu di luar sana yang terjebak dengan fahaman ini. Jika ada sesiapa yang anda kenal telah menyertai geng ini, berbincanglah...tegurlah. Mudah-mudahan mereka bersedia untuk kembali."

MY STUDIO

Selepas berfikir lama dan mencari bahan, rasanya saya sudah mendapat jalan cerita baru untuk NOVIK kedua. Berbekalkan sebiji meja kecil (Tinggi separa betis) dan sepuluh batang pen yang bervariasi, kertas putih mulus yang sedia untuk diconteng...maka siaplah studio saya. Inilah kelengkapan yang saya perlukan untuk menyiapkan NOVIK kedua. NOVIK pertama dulu pun macam ni juga.

Sunday, June 18, 2006

Ada Apa Pada Nama?

Nama biasanya perkara pertama yang kita sebut di awal pertemuan. Sesetengah orang yang saya temui akan menyebutkan namanya tanpa ditanya. Dia akan memberitahu sewaktu berjabat tangan "Saya James Bond" (Contoh) dan saya akan membalas dengan memberitahu nama sendiri. Kebiasaannya mereka adalah orang-orang bisnes dan ada kepentingan.

Begitu juga jika anda ke opis dan pejabat, perkara pertama yang akan ditanya adalah nama. "Apa nama encik?" "Boleh saya tahu encik ni siapa?" dan lain-lain. Bermakna, nama ini penting bagi memudahkan sesuatu urusan. Malah bagi saya(sekadar opini), memberitahu nama sebenar pada awal pertemuan menunjukkan ketelusan dan suci niat. Tidak ada unsur untuk berselindung atau muslihat.

Apapun, hal ini bergantung pada situasi. Jika pertemuan itu berlaku di tempat yang tak sesuai, seperti di tandas awam atau di perpustakaan awam. Memang tak sepatutnya kita memperkenalkan diri. Lagipun perkenalan di tempat begitu tidak ada sebarang kepentingan. Begitu juga jika kita tidak kenal langsung orang yang kita bercakap dengannya, kita pasti dia tidak ada kaitan dengan urusan yang kita sedang lakukan. Maka, tidak perlulah kita memperkenalkan diri.

Berbeza pula dengan orang yang kita sudah kenal nama, status dan kedudukannya. Adalah wajar untuk kita memberitahu nama sendiri kepadanya walaupun tidak ditanya. Sebagai bukti keterbukaan diri kita untuk menerima apa sahaja kebaikan darinya. Mungkin dari titik itu, orang itu tergerak hati untuk menyalurkan sebarang opini dan hal-hal yang bisa membantu kita di hari mendatang. Biarpun ia seolah-olah berkepentingan, namun memang ia sepatutnya begitu.

Contohnya jika saya menemui saudara Faisal Tehrani atau Kak Nisah, saya akan memperkenalkan nama dan diri walaupun tidak ditanya olehnya. Bagi memudahkan dia berhubungan atau menyalurkan maklumat selepas ini.

Kesimpulannya, nama adalah suatu fakta yang tidak perlu disembunyikan dari khalayak. Andai nama kita menjadi makruf di dalam khalayak, ia memudahkan pintu komunikasi dan saluran informasi. Jadi, tak perlulah kita terlalu merahsiakan nama daripada orang lain melainkan orang itu mempunyai ramai musuh dan takut akan ditimpa musibah.

Thursday, June 15, 2006

IMPROVEMENT

Exam...

Ada banyak kerunsingan dalam diri saya sehari dua ni. Pertamanya runsing dengan exam yang baru berlalu. Banyak perkara yang tak terduga berlaku sepanjang exam. Paling buat saya risau, paper last bagi subjek Hadis Tahlili. Kertas soalan tu ditulis secara tulisan tangan, tak bertaip. Manakala soalan yang diajukan... saya tak tahu berasaskan buku yang mana.

Buku teks untuk subjek Hadis Tahlili adalah 'Thimar min Sunnah" (Buah dari sunnah nabi). Buku tersebut saya dah khatamkan dua kali. Dalam buku itu doktor hanya mendatangkan 6 buah hadis yang dihuraikan dengan panjang lebar. Saya salin dan hafal siap-siap hadis tersebut serta menyiapkan nota ringkas yang saya saring 3/4 daripada isi buku. Tiba-tiba soalan yang masuk langsung tak mengandungi satu hadis pun dalam buku thimar min sunnah.

Soalan yang diberikan cuma dua...dan kedua-duanya tidak mengandungi hadis di dalam buku teks yang disediakan. Saya pening! Hairan! Risau dan sedikit gawat. Selepas bertenang seketika, saya mula menulis dan menjawab berdasarkan apa yang saya faham dari soalan tersebut. Saya jawab sampai 4 mukasurat penuh. Selepas itu...titik! Dengan perasaan bercambur baur, saya serahkan kertas jawapan kepada penjaga.

Apapun aku bersangka baik dengan setiap takdir yang dah ditentukan. Malah aku sangat yakin bahawa Allah itu Maha Adil terhadap hambanya yang dhaif seperti diriku ini. Ya Allah! Aku tak mahu gagal lagi! Berikan aku kejayaan!

Amin ya rabb!



Kena Improve Banyak Lagi...

Dua hari lepas aku terima emel dari seorang pembaca. Dia memberi teguran dan kritikan yang baik. Terima kasih kepada empunya diri yang sudi membuat teguran untuk NOVIK pertama saya berjudul Sekudus Nur Ilahi(SNI). Memang betul, terlalu banyak kekurangan di dalam buku itu. Saya mahu mendengar jika ada komentar yang boleh membantu saya mengurangkan kelemahan dan kecacatan di dalam NOVIK akan datang.



Saya tidak tahu bagaimana seorang penulis dan pelukis profesional bekerja. Entah macam mana bilik, perkakas, studio tempat mereka bekerja. Saya yakin, mereka mempunyai tempat dan persekitaran yang lebih baik dari saya yang melukis secara curi-curi. Apapun saya percara, mereka juga pernah mengalami kegagalan dan membuat kesilapan. Lalu mereka belajar dari kesilapan dengan memperbaikinya dari masa ke semasa. Dengan itu, barulah mereka berada di tahap sekarang. Betul tak?

PTS dan Komik Baru

Setahu saya, PTS akan mengeluarkan beberapa komik tebal yang lain. Antaranya karya Tembakau dan Imuda. Tentu anda pernah membaca cerita Kartini, hasil lukisan Tembakau dalam UJANG. Jika betul apa yang saya dengar, buku tersebut akan berada di pasaran pada hujung Julai ini. Cubalah cari. Imuda yang tersohor dengan lakonan sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu juga dengar khabarnya akan menerbitkan koleksi kartun beliau menerusi PTS. Bererti, selepas ini karya sempoi saya terpaksa bersaing dengan penulis profesional. Huhuhu!

Justeru, saya berharap jika ada teguran dan komentar. Silalah ajukan. Lebih-lebih lagi, jika cadangan yang menarik untuk NOVIK akan datang, boleh juga dihantar ke emel saya. Saya amat mengalu-alukan komentar dan cadangan pembaca sekalin.

Wassalam.

Sunday, June 11, 2006

Jangan Mengelak…Lakukan Apa yang Anda Mampu

Pernahkah kalian diminta, atau ditawarkan tugasan untuk menjadi MC, penceramah atau khatib?

10 tahun dahulu…

Saya pernah berziarah ke bumi Mekah demi menunaikan umrah sewaktu di tingkatan tiga. Di hadapan ka’abah itu, saya meminta beberapa doa. Antaranya termasuklah doa agar Allah menjadikan saya seorang mutakallim, katib dan khatib yang berjaya. Selepas hari itu, saya menanti bilakah doa-doa saya akan termakbul.

7 tahun dahulu…

Di MTAQ, saya dilantik menjadi pengawas. Setiap kali giliran saya menyampaikan ‘khutbah’ di perhimpunan pagi ahad. Setiap kali itu juga saya bersembunyi dan hilang dari radar. Pantang sahaja ustaz meminta saya memegang microphone atau naik di pentas, saya akan cepat-cepat disconnect dari area berkenaan. Pernah sekali dua saya tertangkap, akhirnya dipaksa berdiri di pentas sambil berkhutbah dalam keadaan suara terketar-ketar dan peluh memenuhi dahi.

Anda tahu apa yang saya lihat ketika itu?

Ketika itu, saya benar-benar terkesan apabila melihat wajah teman-teman yang tertawa sinis melihatkan diri saya yang gabra dan gelabah. Saya benar-benar marah, bukan pada orang lain…tetapi marah pada diri sendiri. Selepas hari itu, saya membuat suatu janji dalam diri untuk berubah.

Dahulu saya sering pesimis. Saya bersembunyi, saya saya lari…saya cuba cicirkan diri sendiri. Benar, saya mengalami krisis identiti seperti kebanyakan remaja lain. Namun, Allah berikan saya ilham untuk berubah. Semenjak saya keluar dari MTAQ, saya berjanji untuk tidak lari, tidak bersembunyi dan saya tidak akan abaikan diri lagi. Saya akan terima apa sahaja taklifan dan melaksanakannya sedaya upaya.

Akibatnya? Saya benar-benar merasa terbeban dan agak tertekan. Proses membina keyakinan diri tidak berlaku dalam masa yang singkat. Saya tahu diri sendiri tidaklah sehebat orang-orang kenamaan. Saya tidak sekaya jutawan internet. Saya tidak glamour seperti Dr Fadhilah Khamsah. Saya tidak sefasih MC di televisyen. Tapi saya sering nyatakan pada diri…saya BOLEH menjadi seperti mereka jika saya mahu dan mencuba sedaya upaya.

Kini…

Alhamdulillah, saya pasti mampu menjadi MC di majlis rasmi(Berbahasa Melayu). Saya pernah mengendalikan majlis bersama Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan. Saya juga pernah berucap dalam majlis rasmi. Pernah memberi kuliah di masjid-masjid dan mengajar di pejabat kerajaan atau swasta. Allah berikan keizinan untuk saya bercakap dan bersuara di depan khalayak. Saya juga pernah menyampaikan ucapan di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga institusi pengajian tinggi.

Tugas terbaru yang saya terima …

Pada 8hb Jun 2006 iaitu malam jumaat, delegasi dari Malaysia hadir ke Rumah Kelantan Baru(RKB) untuk beramah mesra dengan pelajar Kelantan di musim peperiksaan. Ahli delegasi terdiri daripada pengarah Yayasan Kelantan Darul Naim(YAKIN) iaitu Tuan hj Che Hamat Che Muda, Pengarah Yayasan Islam Kelantan(YIK) iaitu Tuan hj Abdul Wahab b Awang dan dua orang wakil kerajaan negeri Kelantan iaitu Ust Wan Ismail Wan Jusoh dan ustaz Nik Abduh.

Seminggu sebelum malam itu tiba, saya telahpun diminta untuk menjadi MC. Saya kini pantang dijemput sebagai MC atau penceramah, pasti saya menerima. Melainkan tajuk yang diberikan itu diluar bidang saya atau audiennya berada ditahap yang lebih tinggi dari saya. Saya akan menerima apa sahaja, bukan kerana saya tidak takut tetapi…saya akan pasti menerima jika saya mampu lakukan.

---------------------------------------

Catatan ini ditulis kerana ingin menegur sikap exco Kelantan yang tidak berani tampil apabila ditugaskan sebagai MC. Saya fikir tugas MC terlalu kecil dibandingkan dengan tugas penceramah atau pendiskusi. Kenapa perlu takut? Jika MC pun tidak mampu, bagaimana anda akan mampu melakukan yang lebih dari itu? Jika begini sikap kita, memang wajar pengarah YIK menempelak… “Pok-pok Ustaz Mesir meme ghama tak gheti nok ngajar.”(Puak-puak ustaz Mesir memang ramai tak reti nak mengajar)

Kepada sesiapa sahaja. Jangan mengelak jika kita mampu melakukan sesuatu. Anggaplah tugasan dan taklifan itu sebagai latihan untuk memajukan diri. Jangan sesekali mengelak daripada menghadapi realiti. Kecuali jika mengelak itu dapat mengelakkan musibah. So…berubahlah. Jangan lagi bersembunyi, lari atau mencicirkan diri. Berdirilah sebagai diri sendiri dengan seadanya. Insya Allah, tuhan akan membantu jika kita mahu.

Insya Allah.