Friday, September 01, 2006

Doa cucu untuk nenek

Hampir 10 hari saya tidak berhubung dengan keluarga di Malaysia. Biasanya saya tetapkan pada hari Jumaat atau Sabtu untuk menghubungi keluarga, namun minggu lepas saya gagal. Kesibukan mengikuti program Perayaan Menyambut Hari Kebangsaan ke-49 menjadikan rutin saya sedikit talar.

Alhamdulillah, saya sempat menghubungi mereka hari ini dan bertanyakan khabar nenek yang gering. Katanya nenek sekarang di hospital, kerap juga dia bertanyakan hal saya pada ibu. Dia mahu tahu bilakah saya akan pulang. Kalau saya berada di rumah, saya sering menjadi temannya di dapur. Jika dia memotong bawang atau menyiang ikan, saya akan buat-buat sibuk di dapur untuk temankannya.

Yang pasti, nenek selalu mengikut saya ke surau untuk solat berjemaah. Saya akan jadi imam dan dia akan jadi makmum. Paling disukainya, apabila Ramadhan datang...dia akan mengikut ke mana sahaja tempat saya menjadi imam. Tahun lepas saya menjadi imam surau di Kampung dan Masjid Besar Salor...nenek tak pernah ketinggalan walaupun terpaksa solat 20 rakaat di belakang saya.

Yang ingin diutarakan di sini, nenek sangat suka mendengar al-Quran. Kerana gemulah atuk saya tidak pernah meninggalkan tahajjud dan sentiasa membaca al-Quran setiap kali bertahajjud. Saya mohon jasa baik kalian yang singgah di sini...untuk mendoakan kesejahteraan nenek saya yang kini beristirehat di hospital kerana sakit tua.

"Nek, cucu doakan nenek sihat. Cucu harap umur dan waktu nenek masih ada untuk kita bersua. Cucu akan pulang 13hb ini, nenek jangan gusar...insya allah cucu akan menemani nenek di kamar istirehat nanti. Cucu doakan nenek baik-baik sahaja hendaknya."

Tuesday, August 22, 2006

Hujankah?

Soifi,

bikin tanah hatiku tandus. Jiwaku pijar dan panas. Aku tidak tahu mengapa, diri seperti tersesat. Aku fikir, diri sendiri adalah tasik yang menakung air. Bisa menyejukkan dan mendamaikan. Rupanya aku tersilap. Aku sebetulnya sebidang tanah kering di dataran sahara. Kononnya aku ini mampu mendamaikan orang, walhal diri sendiri adalah pepasir kering dan kontang.

Wargh!!!!!

Hatiku tandus.

Wargghh!!!!

Kering...panas...

Wargghh!!

Aku terbakar!

Aku terbakar! Hatiku sudah buta akibat api kemarahan. Emosiku berjelaga hitam dan kewarasanku terkatup dalam asap tebal. Sabarku telah hangus. Kewajaranku sudah terbang di bawa asap yang berkepul-kepulan.


Marah! Marah! Api kian marak!

Jangan dekat, nanti kubakar segalanya. Biar jadi arang, biar jadi abu. Kamu tuang minyak benci dan apiku akan merebak. Kamu tuang minyak kemarahan, nyalaku akan bertambah. Aku dalam kemarahan, kegilaan, kecamukan dan kepayahan. Buat apa lagi? Marahlah aku! Panaskan aku! Biar aku meletup...jadi abu dan arang.

Tik...

Tik...tak...tik...tak...

Titik air?

Tik...tik...

Hujankah?

Api mula padam. Marahku kian padam. Kepanasan...akhirnya hilang. Jadi dingin dan nyaman.

Tuhan, kenapa?

Aku mahu dituang minyak dan kepanasan. Kenapa kau berikan aku ini? (Tertunduk dan menangis)


P/S : Teman yang baik itu seharusnya meleraikan kekusutan dan memadamkan perselisihan. Ternyata, aku gagal dalam ujian untuk menjadi seorang teman yang baik. Tuhan, terima kasih kerana turunkan hujan. Untuk jiwaku yang gersang.

List

1) Bermain dalam kejohanan PMHK untuk team bola tampar dan futsal.
2) Menjadi panelis forum bagi kejohanan PMHK.
3) Menjadi hakim untuk pertandingan pantun dan sajak.
4) Membaca buku Falsafah Islam demi menghadapi exam.
5) Membantu SPR menyiapkan beberapa bahan untuk majlis taaruf calon exco akan datang.

Kerja yang baru selesai
1) Telah menyiapkan 3 jurnal Ribut Dari Gurun untuk Suara Hewi PMRAM.
2) Selesai berbengkel penulisan di Rumah Kelantan Baru.

Thursday, August 17, 2006

Titipan Ralat untuk Warga Iskandariah

Titipan ini khusus buat siswi Iskandariah yang menyertai bicarawara sastera di dewan Zajlatul Abidah baru-baru ini. Sepatutnya slot bicawara itu bermula jam 2.00pm tetapi telah teranjak hampir 40 minit. Hingga jam 2.40pm barulah ia dapat dimulakan.

Saya mohon maaf terlebih dahulu. Ada perkara yang ingin saya jelaskan. Saya mendapat maklumat dari blog seorang RAFIK yang menyatakan kelewatan itu disebabkan saya. Baiklah, di sana ada salah faham yang perlu saya perbetulkan.

Rafik tersebut memberitahu, program bicarawara tertangguh selama 40 minit itu disebabkan saya lambat muncul di lokasi. Dia juga husnu zhon dengan menyatakan, barangkali saya tersesat jalan. Ini menyebabkan seorang lagi panelis bagi slot tersebut iaitu ustaz Arif terpaksa menunggu hampir 40 minit di muka pintu dewan. Beliau tidak dibenarkan masuk sehingga saya muncul.

Begitulah cerita rafik saya di blognya.

Saya mahu perbetulkan semuanya. Saya sebenarnya tidak lewat. Saya malah tiba di lokasi bersama ustaz Arif tepat jam 1.55pm iaitu 5 minit sebelum slot saya bermula. Akhirnya, saya terpaksa berdiri di depan dewan Zajlatul Abidah selama 40 minit bersamanya. Saya tidak tahu siapa yang menyatakan saya datang lewat. Saya juga pelik bagaimana mereka boleh menyangka saya tidak muncul di lokasi, padahal saya berdiri dan mengetuk pintu dewan sebaik sampai di lokasi.

Saya sebetulnya rasa terhukum. Bayangkan, saya datang menepati waktu, berdiri di depan pintu dewan selama 40 minit. Yang mana sewaktu kami tiba, dewan kelihatan lengang. Bahkan, sewaktu program bermula jam 2.40pm itu peserta masih ramai yang belum tiba. Akhirnya, setelah program selesai...saya dikatakan punca program bermula lambat.

Pelik juga kan? Seolah-olah saya terkena suatu hukuman. Mula-mula saya dijemput sebagai panelis. Setelah kami datang tepat pada masanya. Di paksa berdiri 40 minit di luar dewan. Akhirnya, setelah semua selesai lalu saya di katakan punca program bermula lambat.

Ala kulli hal. Saya mahu tegur dua perkara.

1) Sila betulkan fakta yang salah itu.

2) Kepada yang membikin cerita bahawa saya datang lambat, harapnya dia berhati-hati. Apatah lagi jika menyalahkan saya pada perkara yang saya langsung tiada kaitan dengannya.

Sekian, wassalam.