Tuesday, January 29, 2008

Buletin Edaran Ke Maahad Tahfiz Seluruh Kelantan

Alhamdulillah, Setelah 3 minggu bertungkus-lumus akhirnya buletin pertama akan terbit esok hari. Ia akan diedarkan ke sekolah tahfiz di seluruh Kelantan (Insya Allah). Ini adalah usaha sendiri dengan sokongan moral rakan-rakan yang lain. Biarpun tugasan lain masih banyak, namun bagi saya buletin ini sangat penting ke arah pembentukan minda generasi di sekolah Yayasan Islam Kelantan.

Jauh di hati saya masih berharap agar Allah memberikan kesihatan yang baik kepada saya untuk meneruskan kerja ini. Malah, ada beberapa rakan penulis dan pelukis yang sudah menghulurkan bantuan dari jauh, itu juga besar harganya di sisi saya. Memandangkan kerja penerbitan ini dilakukan oleh saya sendiri, maka untuk mempastikan keluarannya berjalan setiap bulan memerlukan satu sikap dedikasi yang tinggi.

Maaflah, tak sempat nak tunjuk isi dan cover buletin di sini.

Buletin ini berjumlah 36mukasurat. Hitam putih. Ia diterbitkan sebulan sekali. Jika ada guru-guru sekolah Yayasan yang berminat untuk menjadi pengedar dan penjual, hubungilah saya. Insya allah saya akan hantar sendiri ke tangan anda. Jika ada peluang.

Sekian, wassalam.

Tuesday, January 15, 2008

TAHUN BARU YANG RIBUT (Aku Girang)

2008 sudah diterobos sejauh separuh purnama, ternyata lembaran baru ini diiring rusuh dan kalut. Jadual bertugas jadi berganda kerana anak didikku bertambah. Tugasan juga sudah tentu turut bertimbun.

Dalam kesibukan itu, alhamdulillah tuhan memberiku kelapangan untuk merangka majalah terbitan bulanan yang akan diedarkan ke 3 buah sekolah tahfiz di Kelantan. Gerak kerja sudah bermula dan sekarang waktu bekerja dan tidak lama lagi akan menuai hasil. Aku sudah melantik dua orang wakil daripada pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, 4 orang wakil dari Maahad Tahfiz Sains (Tanah Merah) untuk menjadi koresponden sekaligus penulis jemputan bagi majalah perdana ini.

Mungkin sasaran awal hanya ke 3 buah sekolah ini. Insya allah, tahun depan kita akan mengedarkannya ke seluruh sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan. Sikit-sikit dahulu, lama-lama nanti buatlah besar-besar.

Selain itu, aku juga menanti kalau-kalau ada sokongan daripada penulis baru yang berminat untuk menulis kepada remaja hafiz (Belasan tahun). Karya anda boleh sahaja dikirim dalam apa jua bentuk. Alamatkan ke cairostudent9306@gmail.com. Aku akan setia menadah tangan menyambut karya anda.


Ya Allah! Jika ini satu usaha yang baik. Bantulah hambamu. Amin!

Friday, January 04, 2008

BUKU KEDUA AKAN TERBIT (TAK PASTI BILA)

Memang benar, lama benar, sangat benar sudah lama tak melontar bicara di papan blog ni. Kenapa?

Malas + Sibuk + Line Internet Down = Tak sempat tulis.

Apapun, kerja kat luar masih juga bertimbun. Pada 7hb 12 - 14hb Disember, saya ke Kemboja membawa misi sukarelawan. Memang ada laporan dalam akhbar. Wajah saya terpampang dalam Metro bertarikh 3hb Disember. Sebaik selesai urusan ke Kemboja, saya terus bergegas ke sekolah.

15hb Disember, saya perlu menyusun program Kem Injeksi Al-Quran 2007 (KIARA 07) anjuran sekolah saya. Saya menjadi pengarah dan dibantu oleh 4 orang rakan seperjuangan. Alhamdulillah, program yang bermula 23hb - 28hb Disember berjalan dengan lancar. Walaupun agak memenantkan.

Selepas itu, saya perlu siapkan markah student. Menguruskan kehadiran pelajar baru dan sekarang. Sedang bekerjasama dengan penerbit (PTS Millennia) untuk buku kedua saya. Sebuah Novel biasa bertajuk "Warkah Cinta Berbau Syurga" (Tajuk ini adalah kesepakatan antara penulis dan sidang mesyuarat pihak PTS Millennia...iaitu pilihan secara syura, bukan peribadi). Ia akan diterbitkan awal tahun 2008 ini. Tarikhnya....saya tak pasti bila.

Sekian dahulu laporan ringkas dan teramat ringkas.

Wassalam.

Monday, November 05, 2007

Memulakan Gagasan Penulis di Kalangan Remaja Menengah

Assalamualaikum wrt wbt

Setelah hampir setahun saya berkelana dalam dunia perguruan. Saya menyedari pola pemikiran remaja Islam di Kelantan agak sempit dan dipersempitkan dengan hujan hedonisma. Sikap kritis dan analitis menyusut dalam jiwa remaja, malah sikap kepimpinan dikalangan remaja lelaki juga agak sukar dicungkil dek melebatnya budaya mazmumah. Masing-masing lebih suka buat hal sendiri dan tak suka ambil sikap bertanggungjawab atas keperluan ummah. Ramai suka ambil jalan mudah dan lepas tangan. Inilah budaya yang cuba dibentuk oleh acuan puak2 maddiyyah(Material).

Saya sudah merangka kertas kerja cadangan untuk diangkat ke pihak berkaitan. Saya bercadang untuk menerbitkan satu majalah bulanan atau dwi bulanan untuk edaran di sekolah menengah khususnya sekolah YIK. Demi membentuk satu gagasan pemikiran dan juga halatuju remaja, disamping menghidangkan bacaan berkualiti kepada remaja. Saya lihat, otak budak sekarang walaupun di sekolah YIK sudah menjadi songsang. Banyak definisi baik sudah tunggang terbalik. Banyak definisi jahat sudah terputar habis. Mereka keliru.

Saya melihat, ramai masyarakat luar Kelantan menghantar anak-anaknya untuk belajar di Kelantan. Ini disebabkan keamanan dan kesentosaan Serambi Mekah dari kebejatan moral. Di sini, tiada Hard Rock Cafe, tiada planet Hollywood, tiada bar dan pub, serta kurang komplek beli-belah. Namun, kebanyakan ibubapa yang mengirim anak belajar di sini turung mengirim bersama saki-baki perangai orang bandar. Menyebabkan integrasi budaya semakin teruk dan perangai budak-budak kampung bercampur dengan budak-budak bandar yang moden. Lalu, unsur cacamarba kian merebak.

Apapun, saya melihat perlu ada inisiatif dikalangan orang yang menyedari pertambahan unsur cacamarba ini. Perlu ada yang membentuk pola pemikiran remaja secara perlahan-lahan. Jika tidak mampu merubah semua, jangan dibiarkan begitu saja. Kalau tak boleh ubah banyak, ubah sedikitpun tak apa. Yang penting, usaha tetap diteruskan. Dan saya melihat, media cetak adalah elemen paling efisien dalam menghadapi isu mentaliti remaja yang sedang keliru. Bagi saya, majalah yang baik akan mampu menjernihkan kekeruhan di minda pembaca.

Justeru, saya akan berusaha sedaya upaya agar satu majalah bulanan yang dijual di seluruh sekolah YIK kawasan bandar akan diterbitkan pada tahun depan. Jika ada tangan yang sudi membantu, amatlah diharap-harapkan. Insya allah.