Sunday, September 21, 2008

Warkah Cinta - Diulang Cetak


(Surat daripada editor PTS)

Assalamualaikum...

Semoga Tuan Ubaidillah sihat dan ceria di samping menjalani ibadah puasa.
Saya editor yang menguruskan buku-buku ulang cetak PTS Millennia. Sukacita dimaklumkan, buku Warkah Cinta Berbau Syurga karya Tuan akan diulang cetak sebelum bercuti Hari Raya Aidil Fitri.

Tahniah saya ucapkan!

Justeru, saya ingin meminta jasa baik Tuan agar membuat pembetulan ataupun perubahan sekiranya ada. Ini bagi memudahkan pihak saya membuat pembetulan pada halaman berkenaan. Tuan boleh menge-mel sahaja halaman yang terdapat kesalahan pada alamat ini.
Untuk makluman Tuan juga, pihak PTS Millennia bersetuju menukar saiz buku tersebut daripada 5" x 7.5" kepada mengikut saiz-saiz novel keluaran PTSM yang lain iaitu 4.5" x 7.5". Dan untuk pengetahuan Tuan juga, kulit buku bagi buku ini juga akan ditukar kepada yang baru.

Tuan boleh lihat
attachment file seperti yang dilampirkan. Sebelum itu, sila abaikan sinopsis belakang cover, kerana itu adalah percubaan sahaja. Saya akan minta pihak grafik artis menukarkannya. Dengan itu, besarlah hati saya jika Tuan dapat memaklumkan pada saya sekiranya terdapat apa-apa perubahan pada mana-mana halaman sebelum ataupun pada 19 September 2008 bersamaan hari Jumaat ini.

Sekiranya tiada sebarang perubahan, pihak saya akan terus menghantar buku ini ke pencetak.
Segala kerjasama dan pertimbangan daripada Tuan saya dahulukan dengan jutaan terima kasih.

Assalamualaikum,


Nahddatun Nisaak Othman
Editor PTS MILLENNIA SDN BHD (No. Syarikat 678177-A) 9-1 & 11-1 Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Melawati 53300 Kuala Lumpur MALAYSIA Tel: (+6) 03 4142 7416 Faks: (+6) 03 4142 7415 Mobile: 016 6611754 Website: www.pts.com.my Blog: www.blogpts.com

Tuesday, August 26, 2008

SINOPSIS NOVELKU

Terima kasih kepada saudari Akmal kerana sudi membuat sinopsis terhadap novel saya.

"Warkah Cinta Berbau Syurga"

Sinopsis :

“Aku akan terus menulis walaupun kutahu salam daripada warkah bisumu semakin menjauhi realiti. Tetapi aku tidak mampu hentikan semua ini melainkan kematian sahaja yang dapat memisahkan jiwaku daripadamu. Dan aku tahu, kematianku makin menghampiri...” kata Wardah.

Cinta seorang lelaki yang ditagih dua gadis. Hebat sangatkah Amir Mukhlis hingga dia sanggup mengecewakan impian Wardah dan menolak harapan Balqis.Tidak! dia adalah lelaki yang berpendirian. Dia sangat tegas dalam soal hati dan perasaan dan tidak mahu ada di antara mereka hanyut dibuai badai perasaan yang mampu memesongkan akidah manusia.


(Selanjutnya sila klik di SINI )

Terima kasih saudari Nur Akmal.

SETELAH KAU KUPILIH - LALU KAU SETIA KUKASIH

Sayangku,
Aku mahu menjadi langit di atasmu, yang akan setia memayungimu sepanjang usia ini.
Aku mahu menjadi waktu yang akan berdetik sepanjang zaman.
Aku mahu menjadi udara yang bisa kau hirup sekalipun dibawah sedar.
Aku mahu jadi mentari dikala siang dan bulan dikala malam, yang akan setia memerhatimu.
Aku mahu menjadi nafasmu yang tidak akan mampu dihentikan oleh mana-mana kekuatan kecuali tuhan.
Aku mahu mencipta kesetiaan yang abadi. Aku mahu setia menantimu sekalipun di pintu syurga.

Di sini...titik permulaan, melangkah melayari samudera rumahtangga


Susunlah langkah dengan bismillah, penuhkan dada dengan kesabaran

Kita akan membina kubah cinta yang akan didirikan dengan batu-bata tangisan serta senyuman


Sesukar manapun perjalanan ini, biarlah kita memulakan dengan senyuman

Dan...

Penghujung perjalanan kehidupan ini...kita berdoa dan berusaha

Agar tuhan akan satukan kita

Di jannatul Firdaus

Amin...ya Rabbal A'lamin

Sunday, August 24, 2008

MENYAMBUT ISTERI KE SISI

Selepas berkahwin bulan Jun lepas, baru semalam aku menyambut kehadiran isteri secara rasmi. Ibuku memimpin isteriku masuk ke rumah dan kami terus duduk di atas pelamin. Pelamin itu bukan untuk bersanding, hanya untuk bergambar anak-beranak. Selepas 10 minit bergambar dengan keluarga dan sanak-saudara, aku menjamu selera dengan keluarga mertua. Pelamin itu sekadar ada dan tidak dibuat apa-apa.

Kami makan sambil duduk bersila di ruang tamu rumah. Makan secara ringkas tapi lauk pauk yang bermacam-macam. Acara semalam memang memenatkan, dari pagi aku bangun dan menyiapkan rumah. Tengahari majlis berjalan dan tetamu datang sampai ke malam. Fuh! Selepas isyak, aku menziarahi keluarga mertua di rumah tumpangan dan sempat membawa adik-adik isteriku keluar bersiar-siar sekejap.

Aku kasihan melihat isteri yang kepenatan dan rumah kami agak bersepah setelah diganyang anak-anak saudaraku yang semuanya masih kanak-kanak. Sebelum tidur, aku kemaskan rumah sekali lagi dan minum segelas air tongkat ali. Kemudian aku memilih sepasang baju untuk dipakai ke sekolah. Mataku terasa begitu kantuk, sebaik menyelesaikan beberapa perkara kecil aku langsung masuk ke bilik untuk tidur. Isteriku sudah tertidur kepenatan, kemudian aku pula yang berbaring dan terus lena.

Pagi ini jam 5.30 pagi, aku dikejutkan isteri dan sewaktu itu dia telahpun menggosok pakaianku. Sebetulnya dia memang selalu bangun lebih awal dariku. (Malunya). Alhamdulillah, kehidupan yang sibuk semalam sudahpun kembali kepada suasana seperti sedia kala.