Friday, June 13, 2008

KAD JEMPUTAN KAHWIN

ASSALAMUALAIKUM

Sekadar makluman kepada pengunjung. Walimah ini akan dibuat di Batu Pahat, sebagaimana yang tertera di kad jemputan di atas. Manakala majlis menyambut menantu akan diadakan pada 23hb Ogos (Kenduri pihak lelaki). Jadi, kawan-kawan dipersilakan datang pada 23hb Ogos 2008. Insya allah kita akan edarkan kadnya pada akhir bulan Julai. Bukan apa, kalau edar kad awal sangat nanti hilang entah ke mana.

Wednesday, May 14, 2008

TERUNA SENJA

Saya sudah berada di penghujung senja dalam zaman teruna. Sudahpun mengikat perjanjian dengan gadis pilihan pada 3 Mei dan bakal menjengah ke alam 'berdua'. Sejujurnya, rancangan mahu membina masjid ini tidak mahu diuar-uarkan kerana ada beberapa hal yang masih kabur. Namun, dengan takdir tuhan insya allah 15 Jun 2008 itu akan menjadi tarikh keramat. Mudah-mudahan andai panjang umur dan tidak ada sebarang aral melintang. Itulah tarikh saya akan bergelar suami.

Mohon doa dan restu dari semua. Agar dimudahkan dan dilancarkan segala urusan.

Wednesday, April 16, 2008

Watawasou Bil Haq - Watawasou Bis-Sobr

Sudah jelas, manusia perlukan teguran. Dengan teguran manusia itu akan berkembang dan matang. Adakalanya teguran datang dalam bentuk keras, ada pula dalam bentuk lembut. Ada waktunya teguran terasa pedas, ada pula terasa pahit. Usah peduli apa bentuk dan rasanya, selagi isi teguran itu baik, kita wajar menerimanya.

Begitu juga halnya andai saya yang berbuat silap, saya berharap akan ada yang menegur. Saya menghargai dan menghormati orang yang suka menegur. Bagi saya, orang yang suka menegur dan memperbetulkan kesilapan orang adalah manusia 'BERANI' dan 'BERPRINSIP'. Malah jika teguran itu bagus dan bernas, makin tinggilah rasa hormat saya kepada orang itu.

Dan itulah yang Islam mahu, agar umatnya watawasou bil haq watasou bis-sobr (Saling berwasiat dalam perkara kebenaran dan saling berwasiat dalam perkara kesabaran). Mohon maaf jika tulisan saya agak kasar sebelum ini. Namun, saya akan memperbaikinya selalu melalui teguran yang bernas dari semua pihak.

KEPADA AGAMAWAN

Kepada agamawan dan ilmuwan, jika kita tidak mampu menyumbang ilmu melalui lisan atau tulisan...masih ada cara lain. Sumbanglah ilmu anda melalui cara yang ada mampu. Yang penting, ilmu itu tidak beku atau hilang begitu sahaja.

Friday, April 11, 2008

ANDA SIBUK UNTUK MENULIS?

Enty yang belum diedit

Adakah anda sangat sibuk hingga tidak sempat menulis?

Soalan itu saya tujukan untuk orang berilmu dan mempunyai banyak pengetahuan. Saya mahu bertanya pada mereka, adakah anda terlalu sibuk belajar dan mencari ilmu sehingga anda tidak sempat untuk menulis?

Biar saya jawab.

Menulis tidak sukar, ia hanya sukar pada awalnya. Tetapi, akhirnya ia mudah dan sangat menyenangkan.

Pernahkah anda merasa tertekan kerana tidak tahu hendak berkongsi dan meluahkan perasaan. Anda malu untuk meluah dan tidak tahu cara untuk meluahkan. Memang pada awalnya, anda segan dan terasa malu. Tetapi, bila anda sudah tahu cara berkongsi dan meluahkan perasaan...pasti anda antara manusia yang lega kerana sudah mampu melepaskan tekanan dan beban emosi.

Menulis juga begitu. Bagi orang yang banyak membaca dan belajar, dia akan terasa otaknya penuh dengan maklumat. Kenapa tidak dikongsi maklumat itu? Ambil masa sekejap dan cuba menulis. Pada awalnya mungkin sukar, namun apabila sudah melalui beberapa proses try and error. Anda akan masuk ke daerah baru.

Bila anda sudah pandai menulis. Anda mendapat dua keuntungan. 1) Anda merasa puas kerana dapat berkongsi ilmu. 2) Anda akan mendapat pahala kerana menaburkan ilmu.

**************

Adakah anda sibuk untuk menulis?

Jika tidak silap, ulamak dahulu sangat rajin menulis. Imam Syafie, Imam Maliki, Imam Ghazali, Imam Nawawi, Imam Jalaluddin dan ramai lagi. Mereka itu dikenali kerana buku-buku mereka. Mereka adalah penulis kepada kitab-kitab yang hebat. Adakah mereka tidak sibuk?

Bahkan mereka jauh lebih sibuk dari kita. Sibuk belajar, sibuk mengajar, sibuk melayan persoalan orang awam, sibuk membetulkan masyarakat, sibuk menangani masalah Raja dan orang-orang jahat. Tapi, mereka ada ruang untuk menulis. Kita sibuk dengan apa? sibuk menonton astro, sibuk bercakap tentang duit dan loan, sibuk memikirkan soal kahwin dan dunia.

Cuba lihat zaman sekarang...

Masih ada orang sibuk yang mampu menulis bukan? Ya! Memang ada! Kerana apa? Kerana mereka ada sikap dedikasi yang tinggi. Ada disiplin dan kesungguhan. Paling utama, mereka ada ilmu dan ilmu itu mereka mahu kongsikan kepada umum.

Dan anda? Adakah anda terlalu sibuk belajar dan mengaji hingga ilmu itu tidak sempat untuk ditulis?

Saya mahu katakan begini...kepada orang terpelajar yang tidak pandai 'berceramah' dan tidak tahu 'menulis'. Anda perlu berubah sikap. Atau anda selayaknya saya gelar manusia 'BAKHIL' dan 'PRIMITIF'. Anda tidak layak hidup dizaman ini malah wajar anda kembali ke zaman batu.


Enty yang telah diedit

Catatan saya tujukan untuk orang berilmu dan mempunyai banyak pengetahuan. Saya mahu bertanya pada mereka, adakah anda terlalu sibuk belajar dan mencari ilmu sehingga anda tidak sempat untuk menulis? Biar saya jawab. Menulis tidak sukar, ia hanya sukar pada awalnya. Tetapi, akhirnya ia mudah dan sangat menyenangkan.


Adakah anda sibuk untuk menulis?

Ulamak dahulu sangat rajin menulis. Imam Syafie, Imam Maliki, Imam Ghazali, Imam Nawawi, Imam Jalaluddin dan ramai lagi. Mereka itu dikenali kerana buku-buku mereka. Mereka adalah penulis kepada kitab-kitab yang hebat.

Adakah mereka tidak sibuk?

Bahkan mereka jauh lebih sibuk dari kita. Sibuk belajar, sibuk mengajar, sibuk melayan persoalan orang awam, sibuk membetulkan masyarakat, sibuk menangani masalah Raja dan orang-orang jahat. Tapi, mereka ada ruang untuk menulis. Kita sibuk dengan apa? mungkin banyak berehat dan kurang berfikir, ataupun kita lebih suka berhibur.

Zaman sekarang masih ada orang sibuk yang mampu menulis. Kerana apa? Kerana mereka ada sikap dedikasi yang tinggi. Ada disiplin dan kesungguhan. Paling utama, mereka ada ilmu dan ilmu itu mereka mahu kongsikan kepada umum. Dan kita perlu meramaikan orang-orang sebegini. Malah saya terasa, diri saya belum lagi sebaris dengan penulis mapan yang begitu ilmuwan. Kerana itu saya mencatat catatan ini untuk diri saya sendiri. Agar diulang baca.

Kepada orang terpelajar yang tidak 'berceramah' dan tidak 'menulis'. Anda perlu berubah sikap. Anda tidak boleh 'BAKHIL' ilmu dan hidup seperti manusia 'PRIMITIF'.