Wednesday, June 28, 2006

Di mana Kalian Sekarang?

Kenapa?

Sepanjang soifi...syita'...rabie'...kharif... kami duduk di bangku sendirian. Tafakkur barangkali.

Kenapa?

Barangkali, ada gelora. Kondisi dan situasi bisa berubah metah setiap tahun. Ya, berubah metah. Setahun cuma empat musim. Ada soifi, syita', rabie' dan kharif. Ternyata, empat musim itu sudah memadai untuk merubah banyak perkara.

Kami pernah hidup di zaman bunga kembang setaman dan pohon hijau merendang. Kuntuman-nya mekar dan berjambakan di atas tanah Kinanah. Pohonan-nya teduh dan memungkinkan kami beristirehat di bawah bayangnya. Kami masih rasai mekar dan teduhnya. Tetapi... itu sudah beberapa tahun yang lalu.

Kenapa?

Kami membesar dengan baik. Tapi kenapa? Barangkali kerana kewujudan bunga mekar di sekeliling dan bayangan pohon itu. Maka kami bisa tumbuh jadi begini. Kami tumbuh berdiri dan mekar!

Kenapa?

Kerana ada pengorbanan dari mereka yang terdahulu dari kami. Pengorbanan yang tulus dan ikhlas. Tanpa meminta pujian dan tidak menghiraukan cacian. Mereka melaksanakan apa yang mereka yakini ianya baik untuk kami. Mereka mencipta peluang untuk kami menjadi seperti mereka.

Sekarang?

Kami perlu fikirkan bagaimana orang selepas kami bisa tumbuh dan mekar seadanya. Kerana tugas meneduhi tunas baru ini telah diberikan kepada kami. Oleh orang terdahulu.

P/S : Penggerak KELAP, akademi, kelab karyawan dan penerbitan di Mesir... PMRAM memerlukan bantuan kalian untuk meneruskan agenda penulisan. Di mana kalian sekarang?

Friday, June 23, 2006

Hari Keluarga Haji Hassan Mamat

Ok, keluarga Haji Hassan bin Mamat (Ayoh), iaitu bapa kepada abah saya ni besar jugalah. Kalau di kampung orang panggil ayoh dengan nama Pak Da manakala abah saya pula dipanggil nama Pak Long, mama saya orang panggil Mak Long. Atuk, abah dan mama masing-masing anak pertama dalam keluarga.

Isteri kepada ayoh pula bernama Allahyarhamah Hjh Aminah bt Awang Seman(Mok). Mok baru sahaja meninggal dunia pada 21hb Mac 2006. (Moga rohnya dicucuri rahmat). Saya sempat menyembahyangkan jenazah arwah sebelum berangkat ke Mesir pada 1hb April.

Biasanya dua tahun sekali keluarga Ayoh Hassan akan buat gathering besar-besaran. Uncle, auntie, cousin semua turun memenuhi undangan hari keluarga. Gathering yang latest ni kita buat pada 5&6 november di Perdana Resort. Sewa 18 buah chalet dan sebuah dewan, kehadiran sekitar 60 orang rasanya.

Ini acara pembukaan, ucapan perasmian daripada abah. Dipengerusikan oleh Abe Long saya (Amir Malik). Sambil mendengar ucapan, kat luar dewan ada tukang bakar BBQ. Besh! Besh! Kalau rasa nak makan, boleh ambil bila-bila masa dan bawa masuk dalam dewan.
Actually, banyak acara yang dipersembahkan. Tapi, sebab gambar yang diambil malam tu tak berapa clear...saya letak gambar yang dirasakan ok jer. Di bawah ni acara busana muslim/ah. Sepupu dan anak saudara saya sedang memperagakan pakaian masing-masing dengan gaya tersendiri.
Ini pula acara dikir barat. Dikepalai oleh dua beradik iaitu Akmal Baju Jarang(adik) dan Eming Bunga Tanjung(abang). Mungkin tak ramai lagi yang mengenali nama mereka. Sepupu saya, Akmal yang baju hijau tu. Eming pula yang duduk sebelah akmal sambil pegang dua benda berwarna oren.



Selesai acara dikir barat, majlis malam itupun selesailah. Keesokannya, acara sukaneka. Saya tak sertai satu acarapun sebab kena hantar ayoh balik ke kampung. Dia penat duk chalet...sebab susah nak tidur. Lagipun ayoh ada penyakit lelah, dia tak selesa duduk lama-lama di chalet.

Kat bawah ni antara aksi aunti2 saya menjayakan cabaran bowling padang. Bowling padang ni tak sama dengan yang dipertandingkan di sukan komanwel. Bola dia daripada buah kelapa dan pin daripada botol air mineral.


"Baling comel! Gelek molek! Biar keno!"



Berakhir sudah catatan hari keluarga. Di bawah ni, gambar anak saudara saya yang paling aktif Mohammad Amar Danish bin Sumardie Shan. Setakat ni, belum ada lagi yang berjaya mengalahkan sikap hyperactivenya. Kalau ditegur atau disekat keinginannya, dia akan menggigit dan mengutil anda. Saya dah berparut di bahu kesan gigitannya. Tapi, dia juga antara anak saudara favourite. Sebab lidahnya yang petah dan perangainya yang cerdik tu. Moga membesar dengan matangnya nanti. Khidmat pada abi dan ummi.

(Hiyagghh! Sharingan!)

Wednesday, June 21, 2006

JALAN-JALAN CARI PIZZA



Sebenarnya dah dua minggu lebih aku menunggu untuk ini. Kalau abah aku tahu, dia memang kurang setuju. Dia selalu nasihatkan "Jimat cermat itu sebahagian daripada bukti kecerdikan". Tapi, nak buat macam mana kan dah aku ni jenis boros. Ditambah pula waktu poket tebal, memang tak mampu lagi sesiapa sekat keinginan untuk berbelanja. Apapun, aku sangat berterima kasih pada nasihat abah yang prihatin.

Actually, dah dua minggu aku plan untuk belanja housemate makan Pizza Plus. Sebaik member aku semua dah settle paper terakhir, aku pun melangkah ke Abbas Aqad untuk mendapatkan Pizza Plus. Aku order 4 biji Pizza size L dengan harga LE 60.00 (RM 45.00) sahaja. Murah kan? 4 biji pizza size besar, makan 7 orang pun tak habis. Kalau pizza hut kat Malaysia, RM 45.00 tu baru boleh beli 2 biji pizza yang size M. Huhuhu!

SIRA LABU

Untuk mengisi kekosongan waktu yang begitu banyak sengkangnya. Member aku seorang lagi pergi beli buah labu air. Bukan main lagi besarnya buah labu tu. Sama besar dengan sebiji bantal tidur, memang boleh buat tidur pun labu tu. Member aku tu rebus untuk dijadikan sira. Bila dah siap, kami share sira labu dengan jiran-jiran Melayu kat sini. Dalam bangunan kami, ada 3 rumah student Melayu yang lain. Dua rumah perempuan dan 1 rumah lelaki. So, apa lagi...masa ni lah nak berbaik-baik dengan jiran kan?

ATABAH

Ni cerita member aku yang satu lagi. Semalam salah seorang jiran aku akan ke United Kingdom. Makan angin musim cuti. Jadi, member aku ni just nak tolong bantu dia carikan barang-barang seperti kasut dan buah-buahan untuk dibawa ke sana. Bukan banyak pun, sekadar nak buat bekal jer. Jadi, mereka pun memulakan misi ke Atabah.

Untuk makluman semua, Atabah ni satu pasar murah paling popular di Kaherah. Kalau anda mahu mencari sesuatu barang atau benda, anda boleh mencubanya di Atabah. Saya yakin, hampir 99.99% barang yang dicari ada di Atabah. Dari segi kualiti, saya tak boleh gerenti lah.


(Inilah suasana di lorong Atabah)

Majoriti penduduk Mesir adalah orang miskin. Jadi, pasar Atabah memang menjadi sasaran penduduk Kaherah. Malah student Melayu kita pun memang sering ke Atabah. Tapi...hati-hati kalau merayau di sana, sila perhatikan dompet dan duit saku anda berada dalam keadaan terjaga dan selamat. Dibimbangi adanya pencopet wang saku. Pun begitu, di sini tak ada kes ragut cam Malaysia.

(Kasut kulit yang murah-murah)

Bila dah selesai bahagian barangan dan pakaian, sampai pula ke segmen mencari buah. Jadi, kedai buah kat Mesir ni memang banyak. Di mana-manapun ada. Tak perlu ke Atabah. Di cabang empat jalan toiran ni pun ada orang jual buah-buahan. Ni antara visual kedai buah-buahan yang diambil.


(Semuanya murah jer tu)

Kalau nak merasai buah-buahan Mesir, jom lah ke sini. Sementara stok masih ada.

Chow dulu!

Wassalam.

DUA IBU?

Pernah kawan bertanya "Enta berapa beradik?"

Aku jawab : 15.

Kawan : Betul ke? Sorang mak ada 15 anak?

Aku : Taklah, 15 beradik tu lahir menerusi dua orang mak. Ibu saya lahirkan 8 beradik including me. Ibu(tiri) saya sorang lagi lahirkan 7 beradik. Semuanya 15 beradik. Ramai kan?

Kawan : Hubungan cam mana? Rapat ke...atau...
Aku : Rapat...sangat rapat. Saya selalu ulang alik ke rumah ibu tiri semenjak umur sebelas tahun lagi. Adik tiri saya yang sulong(Siti Afifah) memang banyak membesar dengan saya. Saya selalu dukung dan bermain(waktu bersama).

Kawan : Uh, respect ah bapa awak. Boleh kahwin dua dan bahagia.

Aku : Errm. Ibu saya pun tabah juga orangnya dan wajar direspect lebih. Dia isteri pertama dan dia tak pernah marahkan ibu muda. Malah kalau ada perkara-perkara mengenai hak, ibu saya yang sering ingatkan bapa supaya berlaku adil.

Kawan : Ish! Biar betul.Aku : Betullah. Kalau ada lelaki kahwin dua dan bahagia. Bagi saya, itu bukan kejayaan si suami semata-mata...tetapi adalah berkat isteri pertama. Dia yang banyak bersabar dan berkorban dalam hal kahwin dua ni. Cemburu memang cemburu, tapi ibu saya sangat sabar kerana dia dididik oleh Atuk saya dengan penuh didikan agama.

Saya tak boleh bayangkan bagaimana keadaan bapa kalau ibu saya kurang didikan agama. Pasti saya juga berada dalam suasana rumahtangga yang kusut. Bapa saya memang beruntung juga, sebab ibu(tiri) saya yang sorang lagi tu juga orangnya baik. Tidak banyak mulut dan sering merendah diri.

Kawan : Saya setuju tu, ramai lelaki kahwin dua yang huru hara. Bergaduh, berbalah sampai cerai berai. Anak-anak yang jadi mangsa keadaan. Sebab utama, isteri pertama tak dapat terima hakikat dan kenyataan suaminya kahwin sorang lagi. Ditambah pula dengan sikap isteri muda yang 'demand'...memang pecah terbelah ler rumahtangga.

So, kesimpulannya. Sesiapa nak kahwin dua... selain masalah duit, paling penting kena fikirkan soal agama. Tak usah fikir soal kahwin misyar atau apa. Agama tu kena tahu dahulu. Mereka yang terdidik jiwanya dengan agama insya allah akan mampu memberi keharmonian dalam rumah tangga.


BETWEEN MY HOUSE AND JAMIEK MUSA IBNU NUSAIR

Jaraknya hanya 200 meter daripada rumah saya(Samy Photo) ke masjid Musa Ibnu Nusair. Tetapi jika anda memerhati sepanjang perjalanan yang pendek itu, anda akan menemukan banyak keunikannya. Mungkin keadaan ini tidak wujud di bandar-bandar di negara membangun.

Perkara pertama yang menarik adalah kedai membuat kerusi di persimpangan jalan. Mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan dua lelaki ini termasuk saya. Tiap-tiap hari saya melalui lorong itu. Sehinggalah suatu hari, saya berdiri di situ sambil memerhati suasana sekelilingnya. Saya baru tersedar wujudnya kedai sebegitu di situ.



(Dua lelaki sedang bertukang menyiapkan kerusi)

Seterusnya, jika anda meneruskan perjalanan dari sini. Anda perlu menyeberang jalan Abdullah Arabie. Sebaik anda melintasinya, anda akan bertemu dengan Kiosk Al-Quds. Kedai yang paling simple. Sepanjang pemerhatian saya, tuan kedai sudah punyai tiga orang anak dan seorang isteri. Jarang-jarang sekali isterinya datang menemaninya menjual. Maklum sajalah, kedainya terlalu kecil.




(Kedai paling kecil di Jalan El-Baramikah)

Seterusnya, saya curi-curi mengambil gambar seorang budak penjual jagung di depan Masjid Musa Ibnu Nusair. Saya sudah berkira-kira untuk turun awal dari masjid selesai solat Maghrib. Ternyata, saya berhasil. Sudah beberapa hari saya mengintai peluang. Kekadang tidak kebetulan. Jika abang atau pakciknya yang menjual, itu perkara biasa. Saya menanti bilakah budak ini akan muncul untuk menjual jagung bakar.

Akhirnya...dia telah saya bawa ke sini. Ke blog ini.



Jadi, kepada yang nak alami sendiri pemandangan ini. Bolehlah bertandang ke teraka Seri Darul Naim di Samy Photo. Ahlannnn! Ahlannnn Wasahlan!

Terima kasih.





Monday, June 19, 2006

Rufaqa'

Hadis nabi "Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka ubahlah(tegahlah) ia dengan tanganmu, jika kamu tidak mampu(menggunakan tangan) maka ubahlah dengan lidahmu. Jika kamu tidak mampu (menggunakan lidah) maka ubahlah dengan hatimu. Demikian itu adalah selemah-lemah iman"

Sehari dua ni isu Black Metal, Punk, Skin Head tenggelam seketika. Geng mereka tak lenyap, masih wujud. Cuma berada di bawah radar. Biasanya mereka muncul balik sekitar bulan Ogos, waktu nak sambut kemerdekaan. Juga waktu perayaan-perayaan tertentu, barulah mereka menggila. Ini satu benda yang kerajaan perlu ambil langkah pencegahan(Walaupun memang mereka bukan peduli sangat).

Remaja kita ramai yang jahil, tersangat jahil tentang akidah Islam sehingga mereka menyertai geng Black Metal, Punk, Skin Head dan lain-lain untuk berseronok. Mereka langsung tidak tahu bahaya kumpulan ini. Jadi, tanggungjawab siapa untuk menyedarkan mereka? Pasti ulama' dan orang-orang yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat. Jadi, kerajaan patut usahakan sesuatu agar ulama' dapat menyuarakan teguran kepada geng sesat ini. (Malangnya, kerajaan kita juga anti ulama')

Selain geng itu, sekarang dah muncul kembali Al-Arqam versi kedua ataupun Rufaqa'. Geng ini lagi bahaya dan membahayakan akidah Islam. Saya mengakui, dakwah al-Arqam menerusi hiburan nasyid, ekonomi dan dakwah fardiah mereka cukup bagus. Sayangnya, akidah mereka bermasalah. Jemaah ini membawa kepercayaan atau ketaksuban yang teramat kepada seorang lelaki bernama Abuya(Asha'ari). Mereka menganggap Abuya ini maksum seperti nabi. Kalam abuya itu sudah memadai tanpa perlu merujuk al-Quran dan Hadis nabi. (Sesetengah tariqat sesat di Mesir juga ada yang menanamkan fahaman taksub melampau kepada syeikhnya hingga membelakangkan nabi saw)

Malah, mengikut kepercayaan rufaqa'...pengikut Abuya ini akan terlepas dari mati jika abuya sempat bernegosiasi dengan malaikatul maut. Malah abuya juga mempunyai super power yang dapat melepaskan pengikutnya dari memasuki neraka atau terkena hisab kerana Abuya sendiri boleh memberi syafaat diwaktu getir. Dengan kata lain, Abuya ini setaraf dengan baginda SAW. Kes ini sudah menyamai dengan Musailamah Al-Kazzab!

Abuya juga melarang pengikutnya menghafal al-Quran kerana abuya sendiri sudah memadai untuk menjelaskan isi al-Quran. Abuya tak suka orang lain mendahului Abuya agaknya. Bukankah nabi bersabda :

"Telah aku tinggalkan padamu dua perkara selagi mana kamu berpegang pada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Iaitu kitab Allah(Al-Quran) dan sunnahku(Hadis nabi)"

Maka, mana-mana geng yang tidak mahu/menolak/ tidak suka kepada dua panduan tadi...insya allah, berkemungkinan besar mereka termasuk dikalangan orang yang sesat!

Ini sebahagian maklumat yang saya tahu berkaitan rufaqa', jika saya tersalah fakta saya memohon agar ada sesiapa yang menegur saya. Jika benarlah fakta ini, maka suka saya menyebut wahai saudara-saudariku "Kasihanilah saudara-saudarimu di luar sana yang terjebak dengan fahaman ini. Jika ada sesiapa yang anda kenal telah menyertai geng ini, berbincanglah...tegurlah. Mudah-mudahan mereka bersedia untuk kembali."

MY STUDIO

Selepas berfikir lama dan mencari bahan, rasanya saya sudah mendapat jalan cerita baru untuk NOVIK kedua. Berbekalkan sebiji meja kecil (Tinggi separa betis) dan sepuluh batang pen yang bervariasi, kertas putih mulus yang sedia untuk diconteng...maka siaplah studio saya. Inilah kelengkapan yang saya perlukan untuk menyiapkan NOVIK kedua. NOVIK pertama dulu pun macam ni juga.

Sunday, June 18, 2006

Ada Apa Pada Nama?

Nama biasanya perkara pertama yang kita sebut di awal pertemuan. Sesetengah orang yang saya temui akan menyebutkan namanya tanpa ditanya. Dia akan memberitahu sewaktu berjabat tangan "Saya James Bond" (Contoh) dan saya akan membalas dengan memberitahu nama sendiri. Kebiasaannya mereka adalah orang-orang bisnes dan ada kepentingan.

Begitu juga jika anda ke opis dan pejabat, perkara pertama yang akan ditanya adalah nama. "Apa nama encik?" "Boleh saya tahu encik ni siapa?" dan lain-lain. Bermakna, nama ini penting bagi memudahkan sesuatu urusan. Malah bagi saya(sekadar opini), memberitahu nama sebenar pada awal pertemuan menunjukkan ketelusan dan suci niat. Tidak ada unsur untuk berselindung atau muslihat.

Apapun, hal ini bergantung pada situasi. Jika pertemuan itu berlaku di tempat yang tak sesuai, seperti di tandas awam atau di perpustakaan awam. Memang tak sepatutnya kita memperkenalkan diri. Lagipun perkenalan di tempat begitu tidak ada sebarang kepentingan. Begitu juga jika kita tidak kenal langsung orang yang kita bercakap dengannya, kita pasti dia tidak ada kaitan dengan urusan yang kita sedang lakukan. Maka, tidak perlulah kita memperkenalkan diri.

Berbeza pula dengan orang yang kita sudah kenal nama, status dan kedudukannya. Adalah wajar untuk kita memberitahu nama sendiri kepadanya walaupun tidak ditanya. Sebagai bukti keterbukaan diri kita untuk menerima apa sahaja kebaikan darinya. Mungkin dari titik itu, orang itu tergerak hati untuk menyalurkan sebarang opini dan hal-hal yang bisa membantu kita di hari mendatang. Biarpun ia seolah-olah berkepentingan, namun memang ia sepatutnya begitu.

Contohnya jika saya menemui saudara Faisal Tehrani atau Kak Nisah, saya akan memperkenalkan nama dan diri walaupun tidak ditanya olehnya. Bagi memudahkan dia berhubungan atau menyalurkan maklumat selepas ini.

Kesimpulannya, nama adalah suatu fakta yang tidak perlu disembunyikan dari khalayak. Andai nama kita menjadi makruf di dalam khalayak, ia memudahkan pintu komunikasi dan saluran informasi. Jadi, tak perlulah kita terlalu merahsiakan nama daripada orang lain melainkan orang itu mempunyai ramai musuh dan takut akan ditimpa musibah.

Thursday, June 15, 2006

IMPROVEMENT

Exam...

Ada banyak kerunsingan dalam diri saya sehari dua ni. Pertamanya runsing dengan exam yang baru berlalu. Banyak perkara yang tak terduga berlaku sepanjang exam. Paling buat saya risau, paper last bagi subjek Hadis Tahlili. Kertas soalan tu ditulis secara tulisan tangan, tak bertaip. Manakala soalan yang diajukan... saya tak tahu berasaskan buku yang mana.

Buku teks untuk subjek Hadis Tahlili adalah 'Thimar min Sunnah" (Buah dari sunnah nabi). Buku tersebut saya dah khatamkan dua kali. Dalam buku itu doktor hanya mendatangkan 6 buah hadis yang dihuraikan dengan panjang lebar. Saya salin dan hafal siap-siap hadis tersebut serta menyiapkan nota ringkas yang saya saring 3/4 daripada isi buku. Tiba-tiba soalan yang masuk langsung tak mengandungi satu hadis pun dalam buku thimar min sunnah.

Soalan yang diberikan cuma dua...dan kedua-duanya tidak mengandungi hadis di dalam buku teks yang disediakan. Saya pening! Hairan! Risau dan sedikit gawat. Selepas bertenang seketika, saya mula menulis dan menjawab berdasarkan apa yang saya faham dari soalan tersebut. Saya jawab sampai 4 mukasurat penuh. Selepas itu...titik! Dengan perasaan bercambur baur, saya serahkan kertas jawapan kepada penjaga.

Apapun aku bersangka baik dengan setiap takdir yang dah ditentukan. Malah aku sangat yakin bahawa Allah itu Maha Adil terhadap hambanya yang dhaif seperti diriku ini. Ya Allah! Aku tak mahu gagal lagi! Berikan aku kejayaan!

Amin ya rabb!



Kena Improve Banyak Lagi...

Dua hari lepas aku terima emel dari seorang pembaca. Dia memberi teguran dan kritikan yang baik. Terima kasih kepada empunya diri yang sudi membuat teguran untuk NOVIK pertama saya berjudul Sekudus Nur Ilahi(SNI). Memang betul, terlalu banyak kekurangan di dalam buku itu. Saya mahu mendengar jika ada komentar yang boleh membantu saya mengurangkan kelemahan dan kecacatan di dalam NOVIK akan datang.



Saya tidak tahu bagaimana seorang penulis dan pelukis profesional bekerja. Entah macam mana bilik, perkakas, studio tempat mereka bekerja. Saya yakin, mereka mempunyai tempat dan persekitaran yang lebih baik dari saya yang melukis secara curi-curi. Apapun saya percara, mereka juga pernah mengalami kegagalan dan membuat kesilapan. Lalu mereka belajar dari kesilapan dengan memperbaikinya dari masa ke semasa. Dengan itu, barulah mereka berada di tahap sekarang. Betul tak?

PTS dan Komik Baru

Setahu saya, PTS akan mengeluarkan beberapa komik tebal yang lain. Antaranya karya Tembakau dan Imuda. Tentu anda pernah membaca cerita Kartini, hasil lukisan Tembakau dalam UJANG. Jika betul apa yang saya dengar, buku tersebut akan berada di pasaran pada hujung Julai ini. Cubalah cari. Imuda yang tersohor dengan lakonan sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu juga dengar khabarnya akan menerbitkan koleksi kartun beliau menerusi PTS. Bererti, selepas ini karya sempoi saya terpaksa bersaing dengan penulis profesional. Huhuhu!

Justeru, saya berharap jika ada teguran dan komentar. Silalah ajukan. Lebih-lebih lagi, jika cadangan yang menarik untuk NOVIK akan datang, boleh juga dihantar ke emel saya. Saya amat mengalu-alukan komentar dan cadangan pembaca sekalin.

Wassalam.

Sunday, June 11, 2006

Jangan Mengelak…Lakukan Apa yang Anda Mampu

Pernahkah kalian diminta, atau ditawarkan tugasan untuk menjadi MC, penceramah atau khatib?

10 tahun dahulu…

Saya pernah berziarah ke bumi Mekah demi menunaikan umrah sewaktu di tingkatan tiga. Di hadapan ka’abah itu, saya meminta beberapa doa. Antaranya termasuklah doa agar Allah menjadikan saya seorang mutakallim, katib dan khatib yang berjaya. Selepas hari itu, saya menanti bilakah doa-doa saya akan termakbul.

7 tahun dahulu…

Di MTAQ, saya dilantik menjadi pengawas. Setiap kali giliran saya menyampaikan ‘khutbah’ di perhimpunan pagi ahad. Setiap kali itu juga saya bersembunyi dan hilang dari radar. Pantang sahaja ustaz meminta saya memegang microphone atau naik di pentas, saya akan cepat-cepat disconnect dari area berkenaan. Pernah sekali dua saya tertangkap, akhirnya dipaksa berdiri di pentas sambil berkhutbah dalam keadaan suara terketar-ketar dan peluh memenuhi dahi.

Anda tahu apa yang saya lihat ketika itu?

Ketika itu, saya benar-benar terkesan apabila melihat wajah teman-teman yang tertawa sinis melihatkan diri saya yang gabra dan gelabah. Saya benar-benar marah, bukan pada orang lain…tetapi marah pada diri sendiri. Selepas hari itu, saya membuat suatu janji dalam diri untuk berubah.

Dahulu saya sering pesimis. Saya bersembunyi, saya saya lari…saya cuba cicirkan diri sendiri. Benar, saya mengalami krisis identiti seperti kebanyakan remaja lain. Namun, Allah berikan saya ilham untuk berubah. Semenjak saya keluar dari MTAQ, saya berjanji untuk tidak lari, tidak bersembunyi dan saya tidak akan abaikan diri lagi. Saya akan terima apa sahaja taklifan dan melaksanakannya sedaya upaya.

Akibatnya? Saya benar-benar merasa terbeban dan agak tertekan. Proses membina keyakinan diri tidak berlaku dalam masa yang singkat. Saya tahu diri sendiri tidaklah sehebat orang-orang kenamaan. Saya tidak sekaya jutawan internet. Saya tidak glamour seperti Dr Fadhilah Khamsah. Saya tidak sefasih MC di televisyen. Tapi saya sering nyatakan pada diri…saya BOLEH menjadi seperti mereka jika saya mahu dan mencuba sedaya upaya.

Kini…

Alhamdulillah, saya pasti mampu menjadi MC di majlis rasmi(Berbahasa Melayu). Saya pernah mengendalikan majlis bersama Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan. Saya juga pernah berucap dalam majlis rasmi. Pernah memberi kuliah di masjid-masjid dan mengajar di pejabat kerajaan atau swasta. Allah berikan keizinan untuk saya bercakap dan bersuara di depan khalayak. Saya juga pernah menyampaikan ucapan di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga institusi pengajian tinggi.

Tugas terbaru yang saya terima …

Pada 8hb Jun 2006 iaitu malam jumaat, delegasi dari Malaysia hadir ke Rumah Kelantan Baru(RKB) untuk beramah mesra dengan pelajar Kelantan di musim peperiksaan. Ahli delegasi terdiri daripada pengarah Yayasan Kelantan Darul Naim(YAKIN) iaitu Tuan hj Che Hamat Che Muda, Pengarah Yayasan Islam Kelantan(YIK) iaitu Tuan hj Abdul Wahab b Awang dan dua orang wakil kerajaan negeri Kelantan iaitu Ust Wan Ismail Wan Jusoh dan ustaz Nik Abduh.

Seminggu sebelum malam itu tiba, saya telahpun diminta untuk menjadi MC. Saya kini pantang dijemput sebagai MC atau penceramah, pasti saya menerima. Melainkan tajuk yang diberikan itu diluar bidang saya atau audiennya berada ditahap yang lebih tinggi dari saya. Saya akan menerima apa sahaja, bukan kerana saya tidak takut tetapi…saya akan pasti menerima jika saya mampu lakukan.

---------------------------------------

Catatan ini ditulis kerana ingin menegur sikap exco Kelantan yang tidak berani tampil apabila ditugaskan sebagai MC. Saya fikir tugas MC terlalu kecil dibandingkan dengan tugas penceramah atau pendiskusi. Kenapa perlu takut? Jika MC pun tidak mampu, bagaimana anda akan mampu melakukan yang lebih dari itu? Jika begini sikap kita, memang wajar pengarah YIK menempelak… “Pok-pok Ustaz Mesir meme ghama tak gheti nok ngajar.”(Puak-puak ustaz Mesir memang ramai tak reti nak mengajar)

Kepada sesiapa sahaja. Jangan mengelak jika kita mampu melakukan sesuatu. Anggaplah tugasan dan taklifan itu sebagai latihan untuk memajukan diri. Jangan sesekali mengelak daripada menghadapi realiti. Kecuali jika mengelak itu dapat mengelakkan musibah. So…berubahlah. Jangan lagi bersembunyi, lari atau mencicirkan diri. Berdirilah sebagai diri sendiri dengan seadanya. Insya Allah, tuhan akan membantu jika kita mahu.

Insya Allah.

Friday, June 09, 2006

Nikah Mis-yar: Antara Syara’ dan Adat (Beberapa Pandangan Ulama’ Semasa)

Nikah Mis-yar: Antara Syara’ dan Adat (Beberapa Pandangan Ulama’ Semasa)

Bagi menentukan adakah sesuatu perkahwinan itu boleh diiktibar (dianggap) sah di sisi Syara’ perlulah ianya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syara’. Antara syarat-syarat untuk memastikan bahawa perkahwinan itu sah ialah:

1. Wujudnya keredhaan yang tulus daripada kedua-dua pihak suami dan isteri.

2. Lafaz yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu tidak dibataskan oleh waktu-waktu tertentu.

3. Adanya wali bagi pihak isteri.

4. Perkahwinan itu disaksikan oleh saksi yang melengkapi syarat-syarat persaksian.

5. Perkahwinan tersebut diwarwarkan kepada umum.

Jika lengkap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ ini maka perkahwinan Mis-yar ini adalah perkahwinan yang sah selagimana perkahwinan ini tidak bertempoh walau apa nama perkahwinan ini sekalipun. Namun apabila si isteri rela untuk menggugurkan hak-hak yang berhak untuk diperolehi oleh si isteri tersebut yang telah diberikan oleh syarak seperti nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk suami bermalam di rumah isteri yang bermadu, maka pengguguran hak tersebut adalah harus di sisi syara’ sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidah Sau’dah R.A. Beliau telah menghadiahkan hari yang sepatutnya Rasulullah saw bermalam di rumah beliau kepada Saiyyidah Aisyah R.A.

Pendapat daripada Fadhilah Al-Syeikh Dr. Nasr Farid Wasil(Bekas Mufti Mesir)Perkahwinan di dalam Islam adalah di antara hubungan kemanusiaan dan sosial yang paling suci yang dijaga oleh Islam dan Islam turut menyuruh untuk diambil segala jalan. yang boleh memudahkan perkahwinan di kalangan manusia, lelaki dan wanita malahan syarak turut meminta untuk menjaga perkahwinan dengan mewujudkan satu perjanjian yang kukuh yang menjelaskan hak-hak dan kewajipan rumahtangga dan kekeluargaan. yang diberkati dengan kalimah Allah.

Perkahwinan adalah dituntut berdasarkan nas Al-Quran melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 32: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.

Allah swt juga berfirman didalam surah al-Rum ayat 21: Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda yang orang-orang yang berfikir.

Rasulullah saw juga bersabda dengan kalamnya yang mulia:“Perkahwinan itu adalah sunnahku. Barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka daripada golonganku.”Melalui perkahwinan, berlakulah perlaksanaan Syariat Islam yang dikehendaki oleh Allah bagi kepentingan manusia menelusuri firman Allah taala yang bermaksud:"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"(Al Baqarah ayat 30)

---------------------------

Sehubungan dengan itu, pihak Dar al-Ifta’ (Majlis Fatwa Mesir) berpandangan bahawa nikah mis-yar jika ia memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukun ini iaitu keredaan yang sempurna daripada pihak suami dan isteri, lafaz akad nikah yang mengandungi maksud perkahwinan yang berterusan, wali daripada pihak pengantin wanita, saksi-saksi yang memenuhi kriteria yang penuh sebagai seorang saksi yang sempurna dan peisytiharan perkahwinan tersebut dengan cara yang pelbagai maka perkahwinan tersebut adalah perkahwianan yang sah di sisi syara’ dengan kita tidak perlu memandang kepada apa sahaja jenis istilah yang diberikan terhadap nama perkahwinan itu selama mana perkahwinan itu tidak diterhadkan kepada tempoh tertentu atas sebab-sebab berikut:

1. Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan risalah Muhammad SAW ini sebagai penutup segala risalah dan Allah swt telah menurunkan al-Quran sebagai penunjuk kepada kesejahteraan seluruh umat sehingga waktu di mana Allah akan mewarisi bumi ini dan insan yang berada di dalamnya (hari kiamat).

Oleh itu tidak ada satupun perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia melainkan manusia akan mendapati penyelesaiannya di dalam kitab kepada risalah Nabi Muhammad SAW (Al-Quran) Allah berfirman:"Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini"(Al An`am ayat 38)

Istilah Mis-yar terdapat hukum padanya jika kita meneliti secara terperinci di dalam sejarah-sejarah para ulama terdahulu dan sekarang. Sesiapa yang meneliti sejarah pengembaraan umat Islam terdahulu, dia akan mendapati bahawa terdapat di kalangan generasi terdahulu insan-insan yang mengembara keluar daripada tanah air demi menuntut ilmu atau berniaga. Jika mereka singgah di sesuatu negara di tengah perjalanan maka mereka akan menetap di situ dalam beberapa masa tertentu, lama atau sekejap seterusnya berkahwin dengan penduduk negeri tersebut dan mendapat zuriat kemudian menyambung kembali perjalanannya dengan meninggalkan isterinya sama ada dengan jalan talak atau sebagainya dalam keadaan isterinya rela dengan perkara tersebut.

2. Di sana hanya ada satu jalan sahaja tanpa ada jalan yang kedua yang membenarkan kepuasan seks dapat disalurkan. Jalan ini ialah perkahwinan yang menepati syarak. Oleh itu selain daripada perkahwinan yang sah di sisi syarak, maka ia adalah dilarang oleh syariat-syariat Allah dalam semua agama malahan syariat-syariat Allah Taala menganggap jalan selain perkahwinan adalah jalan-jalan yang mungkar. Al-Quran telah menerangkan perkara ini di dalam firman Allah Taala :"Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas"(Al-Mukminun ayat 5-7)

Syariat Islamiah telahpun menerangkan bahawa perkahwinan yang menepati Islam sahaja yang dapat mengumpulkan antara lelaki dan wanita dengan kalimat Allah di atas akad yang berterusan dan perjanjian yang kukuh. Oleh itu setiap kehendak yang jauh daripada perkahwinan yang menepati syarak adalah satu penderhakaan terhadap Allah dan satu pelampauan batas terhadap garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah.

3. Seseorang isteri itu mempunyai hak di sisi syariat untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sepatutnya mereka perolehi seperti memohon nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk bersama dengan suami bagi isteri yang bermadu. Perkara ini secara jelas telah ditunjukkan oleh isteri Rasulullah saw iaitu Sayyidah Saudah yang secara rela telah memberikan hari yang sepatutnya Rasulullah saw bersama dengannya kepada Saiyyidah Aisyah r.a. Seandainya kerelaan ini tidak menepati syarak maka pasti Rasulullah akan tidak bersetuju dengan tindakan Sayyidah Saudah.

Oleh itu setiap syarat yang dibuat yang tidak menafikan tujuan asas dan maksud utama bagi perkahwinan, maka syarat tersebut adalah sah dan tidak akan sama sekali mencacatkan akad nikah atau membatalkannya.Dar al-Ifta’ (Majlis Fatwa Mesir) tidaklah bermaksud melalui fatwa ini untuk menyuruh masyarakat memilih jalan perkahwinan sebegini. Namun begitu, pihak Dar al-Ifta’ hanya bertanggungjawab untuk bersungguh-sungguh menerangkan hukum-hukum syarak yang betul dengan bersumberkan sumber-sumber hukum daripada Al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah saw serta pendapat para ulama muktabar daripada mazhab terdahulu.

Pendapat daripada Fadhilat al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi : Perkahwinan Mis-yar adalah perkahwinan yang seperti kita selalu perhatikan. Cuma yang berbeza di sini ialah istilah mis-yar yang digunakan. Sesuatu perkara itu bukanlah diambil hukumnya daripada nama dan ibaratnya tetapi dilihat kepada apakah yang terkandung didalam perkara tersebut.

----------------------------------

Saya bukanlah dikalangan orang yang mencanangkan perkahwinan sebegini, dan saya juga bukanlah dikalangan orang yang menulis risalah untuk menyokong kearah perlaksanaan perkahwinan sebegini. Namun bukanlah saya mampu untuk mengharamkan sesuatu perkara yang telah dihalalkan oleh Allah swt. Bilamana ditanya kepada saya, apakah hukum perkahwinan sebegini? Saya pasti akan berkata saya tidaklah mengetahui akan perkahwinan sebegini. Tetapi cubalah kamu berikan gambaran secara jelas kepada saya berkenaan perkahwinan tersebut. Maka kata lelaki tersebut, Perkahwinan tersebut terdapat akad yang sah, terdapat saksi yang memenuhi syarat, terdapat juga didalam perkahwinan ini walimatulurus, dan pendek kata kesemua hukum yang ditetapkan syara’ memenuhi pekahwinan ini.Bagaimana mungkin bagi seorang fakih yang mendengarkan permasalahan sebegini akan mengatakan perkahwinan sebegini adalah haram?

Walaupun ianya mengundang ketidakpuasan hati dikalangan masyarakat. Terdapat perkara yang tidak disepakati oleh masyarakat tetapi ianya adalah harus bagi syara’. Contohnya ialah seperti perkahwinan antara seorang hamba dengan tuannya Perkara ini tentulah tidak mendapat persetujuan daripada masyarakat tetapi jika ianya sempurna syarat-syaratnya dan rukunnya maka tentulah saya akan mengatakan bahawa perkara adalah harus bagi syara’.Contoh lain yang dapat saya berikan disini ialah perkahwinan seorang perempuan dengan seorang lelaki yang sudah tua seperti datuknya (hanya kerana lelaki itu kaya) tentulah akan mendapat tentangan daripada masyarakat. Adakah perkahwinan antara perempuan muda tersebut dengan lelaki tua itu haram? Jawabnya Tidak!

Kita tidak pernah mengatakan perkara itu haram. Bahkan saya mengatakan perkara ini dibenci oleh masyarakat.Tetapi untuk mengatakan sesuatu perkara itu haram atau halal bukanlah satu perbuatan yang mudah. Mahu tidak mahu bagi si alim perlulah senantiasa takutkan Allah dan senantiasa berjaga-jaga didalam mengistinbatkan (mensabitkan) sesuatu hukum berkaitan dengan agamanya. Kita tidak mengatakan bahawa perkahwinan sebegini haram melainkan jika terdapatnya dalil-dalil yang menguatkan bahawa perkahwinan sebegini adalah haram!!

Pendapat daripada Fadhilah al-Syeikh Dr. Ali Jum’ah Al-Syafie(Mufti Mesir Sekarang)Syarat perkahwinan di dalam Islam adalah perlunya ada ijab dan qabul serta tidak bercanggah dengan larangan syara’ pada suami, isteri, wali, dan saksi. Apabila telah sempurna syarat-syarat dengan akad di antara lelaki dan wanita, maka sempurnalah pernikahan tersebut. Sebaliknya apabila tidak cukup syarat tersebut, maka pernikahan tersebut terbatal.Orang Islam diminta untuk menunaikan syarat yang telah dipersetujuinya. Oleh itu seorang wanita dibenarkan untuk menggugurkan hak yang berhak diperolehinya dalam masalah kewajipan suami untuk bermalam dengan si isteri kerana Sayyidah Saudah Binti Zam`ah telah tidak mengambil hak bermalam bersama Rasulullah SAW dan memberikan hak tersebut kepada ‘Aisyah R.A. Wanita juga dibenarkan untuk memulangkan maharnya atau nafkah yang berhak diperolehinya kerana Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat 4 yang bermaksud :"Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya"

Pendapat Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaily (Universiti Damsyiq, Syria)Perkahwinan Mis-yar adalah satu perkahwinan dimana seorang wanita tidak mengambil sebahagian daripada hak-haknya. Perkahwinan ini walaupun tidak menyampaikan hasrat dan maksud perkahwinan, namun perkahwinan ini harus tetapi makruh dan tidak sepatutnya diamalkan melainkan pada beberapa keadaan tertentu.

Telah berkata Prof Dr Wahbah Az-Zuhaily, pensyarah Syariah di Universiti Damsyiq, Syria. “Perkahwinan disyariatkan oleh Allah SWT untuk merealisasikan beberapa tujuan”. Di antaranya adalah :

1. Untuk menambah keturunan dan memelihara kelangsungan zuriat.

2. Adalah untuk mendatangkan kebahagiaan.

3. Memelihara diri daripada terjebak ke kancah maksiat dan zina.

4. Mewujudkan kerjasama dan keserasian hidup antara lelaki dan wanita untuk kehidupan berumahtangga.

5. Perkahwinan juga adalah untuk mewujudkan kebahagiaan, dan ketenangan di antara suami dan isteri selain bertujuan untuk mendidik anak-anak dengan didikan yang sempurna.

*Artikel asal adalah dalam Bahasa Arab, sila rujuk dalam www.islam online.

P/S: Diharapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat tidak mudah melatah dengan segala persoalan berkaitan dengan hukum-hakam Islam, sebaliknya bertanyalah kepada pihak yang sepatutnya iaitu mereka dari kalangan ahlinya (para Alim Ulama’) bagi mendapatkan penjelasan yang sebenar!Bukan berdasarkan pandangan peribadi atau individu yang bukan ahli agama kelak padah jadinya.

Sunday, June 04, 2006

RALAT



Pembetulan, sebelum ini saya memberikan maklumat salah dengan mengatakan buku SNI telah berada di pasaran. Saya mendapat maklumat tersebut daripada staf PTS, mungkin kerana saya yang tersilap faham ketika chating di YM. Apapun, buku tersebut baru sahaja selamat dicetak dan dimasukkan ke stor pada penghujung Mei. Dan akan berada di pasaran selepas tiga minggu ia selesai dicetak. Bererti mungkin pada pertengahan Jun akan memasuki pasaran.

Saya mohon kemaafan kepada semua jika membuatkan anda tercari-cari dan HAMPA berkali-kali. Maafkan saya. Untuk melihat cover terbaru dan cover original buku SNI, silalah jenguk ke laman web
http://www.ptsmillenia.com. Anda juga boleh memberikan komen terhadap buku tersebut selepas ini di laman web itu. Buku tersebut sudahpun memasuki senarai list pts untuk dipasarkan dalam masa terdekat. Terima kasih.

Wassalam.

Saturday, June 03, 2006

NOVIK ke 2

Dalam dua minggu terakhir ini, saya beransur-ansur memulakan pembikinan novel grafik(NOVIK) kedua (Fuh! Macam projek besar aje bunyinya).

Pertamanya, saya bercadang karya kali ini akan bersifat lebih santai dan tidak begitu akademik berbanding karya pertama saya. Ayat-ayatnya juga akan ditambahkan nilai humoristik dan mengandungi perkataan slanga(bahasa pasar) seperti : sempoi-hampeh-kantoi-dll. Namun, saya masih terfikir samada untuk tidak berbuat begitu. Kerana tindakan sedemikian akan merosakkan bahasa Melayu baku.

Keduanya, saya tidak mempunyai bilik khusus untuk melukis. Sehingga sekarang, bilik saya dipenuhi dengan buku-buku dan perkakas lain termasuklah komputer. Jika saya mahu melukis, terpaksalah meminjam meja rakan-rakan. Aduh! Mungkin seusai exam, meja member2 saya akan kembali kosong dan saya akan berpeluang untuk mengambil fungsi meja itu sepenuhnya. (Betapa berharganya sebuah bilik yang mempunyai meja bagi seorang pelukis!!!)

Ketiganya, saya tertanya-tanya juga siapakah golongan sasaran? (pastinya remajakan!) Dan apakah tema yang diinginkan oleh PTS Millenia? (Ini tak sure) Walaupun begitu, saya yakin jika isinya islamik dan mempunyai nilai ilmu. PTS tidak akan menolak hasil karya tersebut. (Betul tak abang fauzul?) Sebaik exam tamat pada 12hb ini, saya akan memulakan proses bertungkus lumus untuk menyiapkan novel grafik kedua. Saya fikir, novel kali ini akan muncul dalam 250ms. Dengan persembahan kartun yang lebih baik serta stroke yang lebih mantap. Insya allah.

Keempatnya, masalah utama saya dalam lukisan adalah tidak mahir melukis gambar perempuan. Justeru, sehingga sekarang saya tidak henti-henti mengasah jari jemari saya dengan melukis figura(wanita) dan landskap. Saya yakin jika mempunyai perkakas dan masa yang mencukupi, hasil kali ini akan benar-benar memuaskan. Insya allah.

Akhirnya...kalau ada masa, saya akan scan beberapa hasil terbaru lukisan sendiri. Errm...mungkin sukar sedikit nak scan. Sebab scanner memang susah nak cari kat mesir. Budak Malaysia jarang yang beli scanner. Kalau nak scan di kedai, sekeping gambar kena bayar le1.00. Hu! Hu! Hu! Hu! Pokailah wang saku kalau macam tu!

Oh ya. Ini ada info tambahan.

Selepas menerawang seketika di sawang yang wujud. Saya tergerak hati untuk mempromosikan laman web UKHWAH.COM. Yang dikhususkan untuk penulis amatur/pro mendapatkan nasihat/tips penulisan secara terus daripada penulis mapan saudara Zaid Akhtar. Selain daripada anda cuba menghantar karya anda seperti cerpen, esei, puisi dan luahan hati ke E-SASTERA. Ada baiknya juga kalian menghantar karya ke ukhwah.com bagi mendapat pandangan, teguran dan komentar daripada ahli forum di sana.

Wassalam.

Friday, June 02, 2006

Bola dan Exam

BOLA

Jika ditanya apakah sukan kegemaran saya. Jawapannya pasti bola sepak. Saya memang suka bermain bola sepak semenjak sekolah rendah lagi. Di sekolah menengah, saya sempat mewakili Maahad Tahfiz untuk ke peringkat zon. Posisi kegemaran saya adalah midfielder dan sayap kanan. Saya sempat menjadi striker untuk team B(15 tahun kebawah). Setelah saya memasuki team A (15 tahun keatas), saya bermain di posisi tengah atau kanan padang.

Sekarang, sana sini orang perkatakan tentang BOLA SEPAK piala dunia. Sesetengah rakan saya menjadi gundah jika terlepas menonton perlawanan bola piala dunia. Malah ada yang sanggup berpakat wang saku untuk membeli televisyen baru demi menonton piala dunia. Hebat! Semangat kesukanan yang cukup hebat! Errmm...hebat ke begitu?

Anda bagaimana?

Saya? Saya tidaklah begitu gemar menonton perlawanan bola sepak. Jika anda memberikan kepada saya dua pilihan antara makan di restoran lima bintang atau menonton perlawanan akhir piala dunia, saya akan memilih untuk makan di restoran. Kenapa? Kerana saya bisa menonton siaran ulangannya jika saya mahu, atau sekadar melihat keputusan akhir perlawanan. Tetapi, jika saya tidak diberikan pilihan ke restoran lima bintang...saya pasti akan menonton bola juga. Hehehe.

EXAM

Oh ya, exam saya akan berakhir pada 12hb dan piala dunia akan berlangsung tidak sampai 10 hari lagi. Bagaimana? Teman rumah saya antara peminat suka bola sepak juga. Jika lisan mereka sering menuturkan tentang bola...bagaimana saya bisa fokus pada exam? Doakanlah saya tidak dihanyutkan oleh sukan piala dunia ini.

Exam kali ni saya cuma menduduki tiga paper. Just three?! Sikit bukan? Itulah, sudah rezeki saya begitu. Apapun, saya berharap tahun ini saya lulus dan mendapat segulung ijazah. Saya
sudah tidak sabar untuk pulang membantu ibubapa dan orang kampung. Saya sudah tidak mahu berpisah dari keluarga hingga terpaksa datang sejauh ini. Tak mahu lagi berjauhan.

Apapun, takdir bukan di tangan saya. Saya tidak bisa merubahnya melainkan sekadar berusaha sedaya upaya. Doakan saya. Saya mengharapkan doa kalian juga.