Friday, August 04, 2006

Tiga Kesibukan

Lama benar rasanya tidak menulis di sini. Walaupun sering menjenguk, tapi tak punya masa mencoret. Saya kesuntukan masa untuk menulis di blog sendiri. Walaupun pada hakikatnya, saya sentiasa menulis setiap hari. Tapi bukan di sini, di ruangan yang lain.

Sehingga kini, saya salah seorang jururunding di website http://drcinta.com dengan memakai nickname ustazcinta. Berbanyak terima kasih pada abang Fauzul di atas peluang yang diberikan. Sejujurnya, saya menerima banyak persoalan dari pengunjung website. Kebanyakannya berkaitan dengan masalah cinta yang memerlukan konsultansi. Mereka bertanya menerusi emel, kekadang saya hampir tidak menang tangan untuk membalas emel yang muncul di mailbox.

Ini kesibukan yang pertama. Kesibukan yang tak putus-putus dari masa ke semasa. Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara seagama. Sekalipun sekadar berutus emel. Seterusnya...

Memandangkan KPKM(persatuan anak kelantan di Mesir) juga memerlukan tenaga, saya tidak mahu lepas peluang untuk membantu. Baru selesai satu kem yang berlangsung sebanyak 3 siri. Kini saya menerima tugasan sebagai pegawai SPR sempena menghadapi muktamar pada bulan sembilan. Juga menjadi ajk khas untuk konvokesyen di peringkat kedutaan. Hal ini, memang membuatkan otak jadi sedikit lesu.

Ini kesibukan yang kedua. Kerja yang saya terima dengan niat meringankan beban kawan yang lain. Lagi...

Sebagai penulis amatur, saya sering dijemput untuk menjadi penceramah, panelis, moderator dan mentor bagi genre penulisan. Kebiasaannya jika saya menyanggupi untuk menerima tawaran tersebut, maka saya akan diminta untuk menyiapkan kertas kerja. Jika makluman lewat diberitahu, saya terpaksa berkelam kabut menyiapkan kertas kerja yang akhirnya menjadi agak sempoi!

Ini kesibukan ketiga. Ini berkait dengan minat saya sendiri. Ia tidak membebankan saya.

Maka...tiga jenis kesibukan ini, saya kumpul menjadi satu. Selaku hamba yang dhaif, saya berharap moga tuhan membantu saya mengurus dengan baik.

Hidup, mustahil sunyi dari pekerjaan. Kerja, tak pernah khali dari masalah. Ia merupakan bahan eksperimentasi yang mematangkan jiwa. Hidup adalah sebuah jalan yang perlu kita lusuri dengan sabar. Mana mungkin hidup ini tidak berbuat apa-apa.

Oh ya, doakan saya sukses dalam siri-siri program di sini.

5hb Ogos : Menghadiri program Talkshow di Iskandariah. Dari jam 2.00-5.00 petang.

9hb Ogos : Mesyuarat SPR kali kedua.

13hb Ogos : Bengkel penulisan anjuran Kelab Karyawan Islam, di rumah Kelantan. (Jom pakat sertai)

Jika ada gambar, insya allah saya akan letakkan di blog.

Wassalam.

No comments: