Pada 20hb Jun : Sabtu. Jam 2-4.40petang saya telah dijemput memberikan ceramah dan tips penulisan kepada pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Ini bukan kali pertama saya dijemput ke MMP bagi tujuan penulisan. Malah ia sudah memasuki tahun ketiga saya meneruskan rutin ini.
Setiap tahun MMP akan menjemput dua orang penceramah untuk sesi pagi dan petang. Pada tahun 2007, saya bersama dengan saudara Faisal Tehrani. Pada tahun 2008, saya bersama dengan Fatimah Syarha. Pada tahun 2009, saya bersama Cikgu Nik selaku orang kuat YIK yang bertanggungjawab menerbitkan buletin YIK.
Dalam sesi tersebut saya telah memberikan satu ujian ringkas kepada pelajar MMP dengan meminta mereka membuat satu cerpen atau sajak. Daripada 90 orang lebih peserta yang hadir, hanya 10 orang sahaja yang saya kira bernasib baik apabila karyanya saya ambil dan dibawa pulang untuk disiasat. Daripada 10 karya ini, hanya 4 sahaja akan diberikan hadiah.
Dalam masa beberapa hari ini, saya diberitahu oleh beberapa orang peserta program yang mengirimkan emel kepada saya. Bahawa mereka merasa tidak adil apabila sesetengah karya yang diadili itu ada yang di copy paste atau diciplak dari bahan penulisan luar. Sedangkan karya asli tidak pula terpilih.
Apapun...untuk mempastikan karya itu asli atau cetak rompak, ia memang diluar kemampuan saya. Apa yang mahu saya semaikan ialah keberanian menulis dan meluahkan gagasan cerita yang ada di dalam cepu minda untuk tatapan umum(walaupun hari itu ia sekadar diadili oleh saya). Apabila pelajar berani menulis dan meminta orang menilai karya, pasti bakat mereka akan mampu dikembangkan. Hal itulah yang ingin saya semaikan. Jika saya mahu mencari yang benar-benar berbakat dalam penulisan menerusi program sehari...ianya memang MUSTAHIL.
Kepada pelajar MMP yang membaca catatan ini, tidak mengapalah jika ada diantara kalian yang cetak rompak atau plagiat. Kerana karya itu bukan untuk diterbitkan. Ia sekadar satu simulasi latihan menulis dan menguji keyakinan diri. Jika anda kalah sekalipun, tidak bererti anda tiada bakat. Jika menangpun, belum tentu anda akan menjadi penulis berjaya. Yang pentin...konsisten dan istiqamah.
Semoga terus sukses!
No comments:
Post a Comment