PAGI YANG RIPUH
Selasa 28hb Julai 2009, di Dewan PUTIK, Pengkalan Chepa berlangsung satu gimik perasmian Pelancaran Novel Mengintai Cinta Khalifah(MCK). Sebenarnya, novel MCK sudah memasuki pasaran pada awal Julai lagi. Gimik ini diadakan bagi memperkenalkan buku penulis kepada warga Kelantan. Salah satu sebab kenapa majlis ini diadakan adalah untuk membuka mata orang Kelantan. Maklum sahaja kebanyakan orang Kelantan tak berapa suka membaca novel, terutamanya yang berada di kawasan luar bandar. Ini kerana majoriti orang Kelantan menganggap novel mempunyai banyak unsur maksiat dan sosial. Atas tanggapan itu, jarang orang Kelantan membaca novel kerana mereka merasakan ianya kurang mendidik jiwa.
Pagi itu memang saya ripuh dan kalut. Saya ke PUTIK awal jam 7.15 pagi dan tiba di sana jam 7.50 pagi. Saya menyiapkan gerai sendirian dan memasang replika buku serta riben. Bersama saya ketika itu dua orang sepupu, saya tidak izinkan mereka membantu banyak. Risau jika berlaku ralat. Banyak urusan saya bikin sendiri, tambahan pula kos untuk pengurusan adalah sepenuhnya dari kocek kering saya. Pihak YIK hanya menyediakan meja dan tempat, selebihnya saya yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk mempastikan semua bahan berkaitan tersedia.
Saya menggunakan khidmat tiga orang pelajar MTS iaitu Mahir, Luqman dan Shafiq untuk membantu menjaga gerai lelaki. Dua orang sepupu saya iaitu Syahirah dan Syazwani turut bersama membantu saya menjaga gerai bahagian perempuan. Proses berjalan lancar walaupun tuan guru Nik Aziz yang dirancang tiba jam 9.30pagi akhirnya kelewatan sehingga jam 10.30pagi. Kelewatan hampir sejam itu disebabkan ada tetamu khas yang berkunjung ke pejabat beliau secara tidak langsung.
ISTERIKU MEMECUT KE PUTIK
Pagi yang sama, isteri saya ke Pusat Kesihatan untuk rutin pemeriksaan ibu mengandung. Asalnya dia mahu ikut serta dalam majlis perasmian, lalu dia ke Pusat Kesihatan pada hari semalam, malangnya doktor tiada. Jadi, dia terpaksa pergi pada hari berikutnya. Selepas pemeriksaan, dia hubungi saya di lokasi. Saya maklumkan bahawa Tuan Guru belum sampai lagi.
Kebetulan isteri saya selesai cek rutin kesihatan jam 9.30 pagi, dia bergegas pulang bersiap dan memecut ke PUTIK bersama ibu saya. Alhamdulillah, tepat jam 10.30 pagi dia tiba di PUTIK bersama kereta YAB Tuan Guru. Ibu dan isteri sempat memasuki dewan dan saya segera menarik mereka menghampiri meja perasmian. Sebaik tok guru tiba dan melangkah ke dewan. Ibu dan isteri berdiri berhampiran tok guru, saya pula mengiringi tok guru merasmikan replika buku MCK.
TEGURAN SEORANG USTAZAH
Alhamdulillah... dalam ribuan pendidik YIK yang hadir dalam majlis itu. Tuhan datangkan seorang ustazah untuk menegur saya tentang beberapa perkara berkaitan isi novel. Saya pada awalnya merasa agak terkilan...namun, selepas berbicara dengan ustazah itu saya dapat merasai ketulusan nasihatnya. Beliau adalah ustazah yang memegang unit Tarbiah di MMP Kota Bharu.
Paling jelas, ustazah itu menghampiri saya sewaktu kesemua hadirin sudah pulang. Ketika itu saya sendirian di meja jualan sambil mengemas barang-barang terakhir. Ustazah itu datang dalam senyuman dan memilih waktu paling sesuai untuk menyampaikan teguran. Dalam hal ini, saya memuji sikap berhemah ustazah tersebut sebab beliau tak tegur depan orang ramai. Beliau jumpa face to face. Ini bukti beliau ikhlas mahu menegur. Kemudian, beliau menyatakan rasa tidak puas hati atas kandungan novel MCK yang saya tulis. Oh ya, ustazah itu sudah berusia 40an barangkali. Dia bukan sebaya dengan saya. Dia lebih berpengalaman dalam proses tarbiah.
Beliau menegur tentang beberapa bahagian yang ada unsur sensual dan agak merangsang. Beliau meminta saya mengubahnya agar mempastikan novel MCK itu sepenuhnya solid. Seingat saya, tiada babak yang begitu merangsang kecuali bab pertama yang memperlihatkan pertemuan Imran dan Laila. Lalu perbuatan mereka bercouple itu segera ditegur melalui watak ustaz ketika mereka bertemu di KB Mall.
Satu plot lagi adalah sewaktu Izani dan Laila duduk berduaan di pantai dan HAMPIR berpeluk. Bukan berpelukan ya, tapi hampir. Lalu skuad AMRU iaitu pencegah maksiat tampil menangkap pasangan itu. Dan sejujurnya, watak Laila dan Izani diwujudkan untuk memperlihatkan beberapa tindakan mazmumah dan kebiasaan remaja zaman ini yang salah di sisi agama...lalu saya datangkan teguran dan hujjah daripada Islam yang melarang perbuatan seperti yang diperlihatkan oleh Izani dan Laila.
Tujuan saya mewujudkan watak Izani yang gatal dan jahil adalah untuk mempastikan remaja kenali apakah jenis lelaki yang tidak sesuai dijadikan suami. Izani dalam MCK adalah label dan model lelaki yang tidak sesuai dijadikan suami. Dalam masa yang sama, saya datangkan contoh lain melalui perbualan ustazah dengan pelajarnya tentang ciri-ciri yang sewajarnya dimiliki oleh seorang suami. Beberapa kesilapan dan tindakan negatif yang sengaja saya wujudkan, saya datangkan nas atau hadis yang melarang perbuatan itu dilakukan. Ibaratnya, saya datangkan contoh perbuatan mazmumah lalu saya datangkan hukumnya. Jika dibandingkan secara keseluruhan, contoh perbuatan mazmumah itu amat sedikit jika dibandingkan contoh perbuatan mahmudah yang disampaikan dalam MCK. Watak Imran banyak memperlihatkan kematangan seorang muslim yang beragama. Jika dibandingkan watak Izani hanya bercerita 10% dan watak Imran membawa mesej agama hampir 60%.
Ustazah juga mengatakan bahawa saya tidak perlu menulis sebegitu rupa dan perlu menulis perkara baik-baik belaka. Beliau mendatangkan ibarat “Jika madu dicampur racun, semuanya akan menjadi racun” katanya. Dengan maksud lain, jika buat novel Islam tapi ada unsur maksiat...maka ia tak jadi novel Islam dah. Ia akan jadi novel maksiat. Saya agak terkasima juga apabila perbandingan itu yang dibawa olehnya.
Saya bertanya dalam diri “Adakah semua orang dalam dunia ini baik? Adakah semua orang tahu apakah itu benda baik? Adakah semua remaja dalam dunia ini tahu apakah itu perkara sunat secara detail? Setahu saya... SANGAT RAMAI remaja yang jahil tentang apa itu amal yang BAIK. Sebab itu mereka belajar agama kan? Betul tak?
“Begitu juga perbuatan yang JAHAT. Semua remaja tahu ke apa perbuatan yang JAHAT? Saya yakin ramai remaja sudah keliru antara perkara yang JAHAT dan BAIK. Ramai remaja sekarang yang buat MAKSIAT, tapi tidak sedar mereka sedang buat MAKSIAT. Kenapa? Sebab ustaz dan ustazah tak pernah sebut contoh JAHAT dan MAKSIAT itu apa. Mereka hanya tahu dosa dan pahala, tapi perbuatan yang mendatangkan dosa tidak diceritakan. Betul tak?”
Kerana itu saya jelaskan di sini, plot negatif ditampilkan atas tujuan memberitahu bahawa inilah gambaran sebenar dosa. Yang mana perbuatan dosa itu masih ramai REMAJA yang TIDAK TAHU. Sebab itu, dalam pengajaran perlu ada contoh yang jelas berserta hukumnya. Kerana apa? Kerana ramai tak tahu dosa dan maksiat itu sebenarnya bagaimana? ANDA SETUJU DENGAN HUJJAH SAYA?
Kata ustazah lagi “Jika duit yang saya beli novel ini boleh membawa kepada dosa(maksiat), saya takut ianya akan membawa saya kepada neraka. Esok-esok tuhan tanya saya kenapa beli novel ada unsur maksiat, apa saya nak jawab”. Dari kenyataan itu, saya menyedari bahawa ustazah belum membaca sepenuhnya novel saya. Ustazah belum memahami tujuan watak2 itu diwujudkan dan tidak menguasai matlamat novel itu ditulis. Apapun, saya insafi kalam itu. Saya sedar bahawa ustazah tegur saya seolah menulis novel yang ada ‘unsur maksiat’ dan boleh membawa ke ‘neraka’.
Itu baru pandangan ustazah. Bagaimana dengan pembaca yang lain? Apa pandangan tuan-puan? Saya mohon tuan-puan habiskan bacaan MCK dan berilah teguran ikhlas. Saya bukan penulis yang sempurna. Dari teguran dan kritikan ini saya akan belajar sesuatu. Sebagai kesimpulan...saya perlu mengakui bahawa novel saya tidak sempurna. Saya memuji dua sikap ustazah iaitu berhemah waktu menegur dan berani menyampaikan teguran. Ramai orang kutuk belakang jer. Betul tak? Saya fikir, saya masih perlu bertanya dan berhubung dengan ustazah tersebut. Saya mahu memahami sudut pandangnya untuk saya serasikan dengan novel seterusnya. Kekadang kita rasa bagus, tapi orang kata tak bagus. Jadi...saya nak tahu, apa lagi yang tidak bagus tentang novel saya. Tolong sampaikan. Jangan kutuk belakang jer.
No comments:
Post a Comment