Monday, October 05, 2009

DUNIA SAYA MUNGKIN BERBEZA DENGAN DUNIA ANDA

Setiap orang ada perjalanan hidup sendiri. Perlu memainkan watak di pentas yang telah tersedia. Saya dan anda, kita semua adalah pelakon dalam drama yang kita sendiri lalui dan rasainya.

Pengalaman...
Sudut pandang...
Permasalahan...
Perasaan...
Tugasan...
Konflik...
Kesan...

Semuanya berbeza antara individu. Sekalipun kita dilahirkan dari ibu yang sama, kita tetap melalui hidup yang berbeza. Oleh itu, kita tidak boleh disamakan dengan orang lain. Orang lain juga tidak boleh disamakan dengan kita.

Kejayaan dan kemampuan kita juga berbeza. Sebagai contoh di dalam keluarga sendiri, saya mempunyai 8 beradik kandung. 7 beradik tiri. Abang-abang dan kakak saya semuanya boleh dikatakan berjaya mendapat ijazah dan kerja yang baik. Namun, saya tidak sebagus mereka.

Tapi, kejayaan perlu diukur dengan sudut yang lebih luas. Berjaya bukan sekadar dapat ijazah dengan kepujian. Atau sekadar mendapat pangkat besar. Atau dapat duit banyak. Ada perkara lain lagi yang boleh digunakan sebagai penyukat kejayaan. Antaranya, ada sebahagian perkara yang mampu saya lakukan sedangkan adik beradik yang lain tidak mampu melakukannya.

Keistimewaan saya mungkin...
1) Menjadi imam solat dan membaca khutbah.
2) Mahir dalam penulisan.
3) Boleh berceramah dan memberi kuliah.
4) Memahami Bahasa Arab secara tulisan dan pertuturan.
5) Memiliki kemahiran susun letak atau design buku.

Itu sebahagiannya. saya fikir, adik beradik lain tidak menguasai 5 perkara tersebut yang telah saya kuasai. Itu juga perlu dianggap satu kelebihan dan kejayaan.

Oleh itu, sepatutnya setiap orang melihat kemampuan istimewa dalam dirinya lalu menonjolkan ia untuk kebaikan bersama. Orang lain juga perlu melihat diri kita dengan sudut pandang yang lebih positif. Iaitu melihat kelebihan dan bukannya membesar-besarkan kelemahan.

Kekadang kita jadi mual dan cuak apabila orang hanya tahu membandingkan 'sijil' dan 'pangkat' dalam mengukur kejayaan seseorang. Dunia kita berbeza, kejayaan kita juga tidak serupa.

No comments: