Showing posts with label Guru. Show all posts
Showing posts with label Guru. Show all posts

Saturday, March 10, 2007

Guru III : Prihatin

Saya menilai beberapa karekter yang perlu ada pada seorang guru. Ternyata, saya baru tersedar bahawa sikap prihatin sangat sukar dimiliki oleh kebanyakan guru.

Kenapa?

Prihatin itu lahir daripada sikap 'tafakkur' terhadap masa depan anak-anak didik. Bagi seorang guru yang sentiasa menilai dan cuba mentaksir masa depan anak didiknya, dia akan tahu apakah keperluan sebenar bagi anak didiknya. Lantas dia akan berusaha untuk mencukupkan keperluan itu.

Guru yang tiada wawasan, tiada pentaksiran untuk masa depan anak didiknya pasti tidak akan memiliki sikap prihatin. Boleh jadi, keprihatinannya hanya pada periuk nasi atau pada sikap goyang kaki. Otaknya hanya memikirkan jumlah pendapatan dan peluang untuk bersantai. Kalau boleh, dia langsung tidak mahu bertanggungjawab terhadap masa depan anak didiknya.

Saya bertanya lagi.

Sebanyak manakah masa yang digunakan oleh seorang guru untuk memikirkan masalah anak didiknya?

Selain kita memikirkan masalah rumahtangga dan masalah masyarakat, adakah kita memikirkan juga masalah peribadi anak didik kita?

Entahlah, jawapan itu berbeza-beza mengikut individu. Terserah pada kita untuk menjawabnya.

Wednesday, March 07, 2007

Guru II : Komunikasi Guru

Sudah beberapa bulan berdepan dengan karenah pelajar, ternyata kesabaran dan keteguhan di dada teruji. Alhamdulillah, sepanjang berdepan dengan beberapa kes pelajar, tuhan masih berikan kepadaku hati yang lapang dalam menghukum. Pantas aku tidak terburu-buru memarahi atau merotani mereka yang dianggap bersalah.

Anak didikku masih muda, terlalu mentah untuk memahami erti kepatuhan dan kesopanan. Apatah lagi jika bagi sesetengah pelajar yang berasal dari keluarga mewah dan kaya. Ibubapa masing-masing sibuk mencari rezeki, hingga tiada masa mengajar anak sendiri perihal adab dan akhlak. (Jangan salahkan pelajar semata-mata)

Kecetekan ilmu dan kerendahan akal membuatkan mereka sering bersikap kurang rasional. Kekadang, jika ditegur mereka merajuk dan mecak. Jika dirotan, mereka langsung menangis dan menjadi agresif. Kenapa begitu? Kerana di fikiran mereka ada dua perkara yang sukar dijawab. Pertama, mereka tidak tahu apa salah mereka. Kedua, ada yang merasakan dirinya tidak bersalah dan menganggap ustaz merotan tanpa usul periksa.

Justeru, dalam mendidik pelajar. Guru-guru harus mempunyai skill komunikasi dan memiliki keikhlasan hati. Jelaskan kepada pelajar setiap kesalahan, agar mereka faham apakah salah mereka. Kedua, yakinkan mereka bahawa tindakan mereka itu adalah tidak betul dengan membawa bukti dan fakta. Kemudian, rotanlah mereka dengan niat untuk membetulkan, bukan mendera.

Selain daripada itu, ada baiknya jika guru sendiri menjadi contoh. Menunjukkan akhlak yang baik. Menjaga waktu, memasuki kelas yang diamanahkan, tidak merokok, tidak bercakap celupar dan lucah, tidak membebel, tidak suka melepaskan geram dan lain-lain. Jika guru berakhlak mulia, insya Allah anak didik juga akan tahu menilik perangai mereka. Sebaliknya jika guru berperangai hantu. Anak didik akan menjadi pelesit yang berpeleseran.

Sekian kelas guru hari ini.

Monday, March 05, 2007

Guru I : Yang Bergelar Guru

Yang bergelar guru itu harus ada 10 ciri

Guru harus mempunyai empat sifat nabi, iaitu :
1) Sidiq ---> Benar dan ikhlas dalam pertuturannya.
2) Amanah ---> Tidak pernah ponteng dan lari dari waktu mengajar.
3) Tabligh ---> Sentiasa menyampaikan ilmu baru.
4) Fatonah ---> Sentiasa bijak dan berhikmah.

Guru harus mempunyai empat sifat pembimbing, iaitu :
1) Pendengar yang baik.
2) Penasihat yang baik.
3) Memahami sebelum menghukum.
4) Menunjukkan jalan yang betul.

Guru harus mempunyai dua karisma yang kental, iaitu :
1) Bercita-cita besar untuk melihat anak didiknya berjaya.
2) Berani menanggung segala kerugian dan risiko dalam memastikan kejayaan anak didiknya.

Yang bergelar guru itu tidak boleh mempunyai 10 ciri.

Guru tidak boleh mempunyai empat sifat munafiq.
1) Kazib ----> Bercakap tanpa ilmu dan kajian.
2) Khianat --> Sering tidak memasuki kelas dan mengabaikan amanah.
3) Kitmu ---> Tidak gemar berkongsi dan menabur ilmu.
4) Safih ---> Bodoh. Tanda-tandanya : Kurang pertimbangan dan mudah melatah.

Guru tidak boleh mempunyai empat ciri peruntuh :
1) Malas mendengar.
2) Pemarah.
3) Menghukum tanpa usul periksa.
4) Tidak tahu menyelesaikan masalah malah menambahkan masalah.

Guru tidak boleh mempunyai dua karismatik yang terkutuk :
1) Mempunyai cita-cita untuk melihat kegagalan anak didiknya.
2) Kedekut dan sangat takut untuk berkorban demi kejayaan anak didiknya.

Sesiapa yang memiliki 10 ciri yang di atas, maka dia layak untuk menjadi pendidik. Walaupun tanpa kelulusan dan latar belakang pendidikan formal. Tetapi, mereka yang memiliki 10 ciri di bawah, maka dia perlu menyedari kekurangan diri dan memperbaikinya secepat mungkin. Jangan biar anak bangsa runtuh dan berpecah disebabkan kebodohan manusia yang bergelar guru.