Showing posts with label Jurnal majalah KERIS. Show all posts
Showing posts with label Jurnal majalah KERIS. Show all posts

Thursday, March 15, 2007

Jurnal 1 : Aku Akan Tetap di Sini

(Jurnal ini diterbitkan oleh majalah Kelab Karywan Islam (KERIS) iaitu satu unit redaksi di bawah Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir- semestinya di Mesir. Keseluruhan catatan ini adalah sekadar cetusan peribadi yang tidak berniat untuk meremehkan peranan guru)

SAYA ingin berkongsi kisah sendiri pada kalian. Barangkali di sana wujud beberapa peristiwa yang boleh dijadikan peringatan bersama. Sudah tiga bulan saya menjadi pendidik di Maahad Tahfiz Sains, Bustanul Ariffin Tumpat. Benar, kehidupan pelajar dan pekerja sangat berbeza. Sebaik anda memulakan apa jua karier, anda akan menemukan berbagai masalah. Saya juga begitu, sebaik menjawat jawatan guru saya dikerumuni masalah...dan hanya satu mampu saya katakan.

"Saya pasti akan tangani semuanya, kerana itu saya memilih untuk menjadi guru. Jika saya diberi pilihan untuk melepaskan masalah itu atau menyelesaikannya, saya pasti mahu menyelesaikannya. Biarpun saya gagal, ia lebih baik untuk saya daripada langsung tidak cuba berbuat apa-apa"

Terlalu banyak perkara yang ingin saya kongsi. Namun catatan ini terlalu terhad. Saya ringkaskan catatan saya kepada beberapa isu :

1) Krisis kekurangan guru di YIK disebabkan J-QAF.
2) Krisis kemahiran dan kelemahan agamawan.
3) Suasana rakyat dan masyarakat Islam di Kelantan.

Krisis pertama yang saya hadapi, adalah masalah kekurangan guru. Walaupun Maahad Tahfiz Sains adalah sekolah ranking pertama di bawah Yayasan Islam Kelantan(YIK), namun krisis kekurangan guru tetap tidak dapat dielakkan. Puncanya apa? Ramai guru-guru yang menyertai J-QAF dan akhirnya anak-anak didik YIK terkapai-kapai. Saya tidak dapat menyalahkan guru yang mengambil J-QAF, tawaran gaji yang bagus dan status guru tetap adalah suatu perkara yang lumayan. Apatah lagi guru J-QAF ini mengajar anak-anak kecil sekolah rendah, pasti masalah dan kerumitan tidak sama jika dibandingkan dengan guru YIK.

Kekadang, saya bertanya kembali kenapa saya memilih untuk menjadi guru? Sebelum ini saya pernah ditawarkan oleh syarikat untuk bekerja dengan mereka. Antaranya ditawarkan menjadi editor di PTS Millennia Publications dan langsung saya menolak tawaran itu. Kerana syarikat itu berada luar Kelantan. Lagi, saya ditawarkan menjadi supervisor komik Islam di DIAN Darul Naim. Lokasi kompeni itu di jalan Lundang, Kota Bharu. Tuan Hj Fauzi selaku pengarah urusan sudahpun menyediakan tempat dan kadar gaji bulanan saya. Hanya menunggu persetujuan dari saya. Saya tidak menerimanya. Pendek kata, untuk menjadi guru di YIK saya telah menolak dua tawaran lumayan.

Akhirnya?

Saya tetap di sini sebagai seorang guru. Mengapa? Saya mahu melahirkan orang yang faham agama. Bukan hanya belajar agama, tetapi faham agama. Agama itu adalah akhlak dan keperibadian yang mulia. Agama itu adalah meletakkan sesuatu di tempatnya. Agama itu adalah pendidikan yang berterusan dari kecil sehingga mati. Agama itu adalah ketulusan dan keikhlasan dalam bekerja semata-mata untuk Allah Taala. Walaupun saya sedar, saya bukanlah orang terbaik. Saya sedar, saya bukanlah seorang yang sempurna. Namun...sekurang-kurangnya saya dapat melahirkan generasi yang benar-benar berkualiti menerusi sistem pendidikan YIK.

Apa pula pandangan anda? Jika anda diminta pulang ke sini dan bekerja? Apa yang bakal anda lakukan?

Sebetulnya, krisis kekurangan guru di YIK sangat teruk. Dari segi penyusunan guru, pengurusan kemasukan pelajar dan sebagainya. Saya tahu kerana saya sering berhubung dengan pihak YIK. Namun saya tidak mahu cungkilkan kelemahan di YIK. Sekalipun dicungkil masalah itu tidak akan selesai. Saya hanya ingin fokuskan pada J-QAF. Bagi yang bercadang memilih J-QAF. Ada beberapa perkara yang perlu anda jelas.

Pertama, guru yang memilih J-QAF bererti memilih untuk meninggalkan remaja menengah. Sedarkah kita bahawa remaja menengah sekarang adalah golongan yang paling banyak menimbulkan masalah dalam masyarakat? Mereka adalah golongan yang paling wajar untuk dibentuk dan dididik. Jika kita memilih J-QAF bererti kita melepaskan posisi utama kita. Kita melepaskan golongan sasaran sebenar.

Kedua, guru yang memilih J-QAF bererti memilih untuk hidup senang dan melupakan kesusahan guru-guru lain yang berada di YIK. Setakat ini, masih ada guru di YIK yang bekerja bertahun-tahun dengan gaji RM800 sebulan. Ada juga guru di YIK yang mengajar antara 8-10 subjek dalam setahun. Bebanan ini perlu digalas akibat kekurangan guru.

Ketiga, memilih J-QAF bererti mengabaikan pelajar yang sudah memilih SAR sebagai institusi pendidikan menengah mereka. Kebanyakan ibubapa dan pelajar yang belajar di sekolah YIK adalah mereka yang inginkan anak-anak mereka menjadi remaja berakhlak dan beragama. Mereka yang memilih SAR adalah orang yang tidak berkemampuan dan kebanyakan golongan misikin. Berbeza dengan sekolah kementerian yang menitikberatkan soal sijil dan kecemerlangan. Jika kita berada di YIK, kita akan berpeluang lebih untuk memberi sumbangan terhadap agama.

Apapun, kebaikan itu tetap ada. Tidak salah untuk membuat pilihan jika diasaskan dengan niat yang baik. Bagi saya, adalah lebih baik kita memilih berada di bawah YIK sebelum berada di tempat lain. Itupun jika keadaan mengizinkan...jika keadaan tidak mengizinkan, buatlah pilihan yang terbaik.

Saya masih belum bercerita tentang masalah-masalah dalaman di sekolah YIK yang memerlukan kepada kepakaran guru dan persediaan ampuh agamawan. Juga beberapa kisah pelajar yang memerlukan perhatian dan dokongan guru-guru. Diharapkan umur saya cukup panjang untuk menyambung catatan ini dalam siri akan datang. Yang pasti, saya akan tetap di sini selagi hayat dikandung badan.

Bersambung....