Malam dah bolong, embun jantan menitis di hujung daun. Cengkerik tak putus menyanyi lagu Siti yang dilamar datuk K. Entahlah, barangkali cengkerik dah putus asa kerana Siti sudah berpunya. Pungguk betina pula merayu-rayu, memanggil nama Mawi yang telah meninggalkan tunangnya Diana. Mungkinkah Mawi akan datang kepadanya? Pungguk seolah ternampak sinar. Iya, dia ternampak sinar harapan bahawa Mawi akan menjadi miliknya. Hidup memang sering kehilangan yang dirindu dan yang merindui. Tidak ada siapa yang pasti apakah penghujung sebuah kerinduan.
Itulah yang berputar dalam fikiran Si teruna, sambil terperuk di bucu dinding dalam keadaan duduk mencangkung memeluk tubuh. Kalau ikutkan hati dia memang nak melamar terus si dara. Kalau ikutkan kemahuan, dia nak terus buat akad nikah. Tak payah bertunang, tak payah tangguh perkahwinan lama-lama. Tapi, dia kena fikirkan semua perkara. Keadaan si dara dan keluarga si dara. Dia perlu berbincang bila dan menimbangkan banyak benda. Tak boleh terburu-buru untuk bina masjid, barulah bisa kukuh!
Teruna garu kepala yang berkelemumur, hujung kukunya jadi putih terlekat kelemumur. Makin lama digaru, terasa makin sedap. Kulit yang tak gatal itu mula terasa gatal. Dia terus garu dan garu dengan penuh nasu, hingga kelemumur di kepalanya jatuh berguguran seperti salju.
Ahhhh! Lega...
Risiko memang ada, samada diterima atau ditolak itu masih lagi menjadi kemungkinan. Yang penting, dia harus cuba...cuba...dan cuba. Setiap masalah akan ada penyelesaiannya. Kalau kita tak cuba, sampai bila-bila kita tidak tahu bagaimana cara untuk menyelesaikannya.
Teruna bangun dari duduk mencangkung dan berjalan ke jendela. Dia buka pintu jendela dan pantas angin malam masuk menerpa ke wajahnya. Salju di kepala gugur lagi. Mata teruna jadi merem melek, terpejam tercelik seperti mata orang termasuk habuk.
Nak! Dia memang nak! Jadi, dia kena cuba pastikan sangkaan buruknya itu salah. Dia perlu yakin, si dara akan jadi miliknya. Insya Allah!
Akhirnya teruna membuat keputusan yang dianggap begitu patriotik. Iaitu dia akan menggunakan syampu Sun Silk untuk menghilangkan salju di kepalanya. Itulah keputusan yang telah diambil untuk menghilangkan masalah-masalah di kepalanya. Dia yakin, dengan kehilangan kelemumur itu...bukan sahaja si dara, malah keluarga si dara juga akan terpegun melihat kebersihan dan kekemasan rambutnya. Dia tidak perlu hairan dengan Mawi yang hampir botak kerana rambutnya lagi power dari Mawi.
He! He! He!
Teruna tersengih sambil menampakkan gigi taringnya.
"Aku pasti berjaya"
No comments:
Post a Comment