Thursday, March 26, 2009

MELAYU SUSAH SEDAR DIRI

Saya sempat bertemu dengan seorang usahawan muda, pertemuan secara kebetulan. Kata beliau "Enta tahu ke, pengeluar biskut tawar dan biskut gula di Malaysia ini majoriti bukan orang Melayu Islam. Sebaliknya adalah orang Cina?" Saya respon "Benarkah? Tidak pernah tahu" Dia bertanya lagi "Adakah enta tahu bahawa di Kelantan ini, hampir kesemua belacan yang di pasarkan adalah di ambil dari pengedar di Kedah. Juga orang Cina" Saya agak terkasima. Setahu saya belacan adalah makanan orang Melayu, kenapa pula orang Cina yang memasarkan? Adakah orang Cina juga suka makan belacan?

Di Kedah juga, sudah tiada lagi kilang padi milik orang Melayu. Semuanya sudah diambil alih oleh pengusaha Cina. Malang sungguh orang Melayu, adakah kita ditakdirkan menjadi bangsa yang miskin untuk 20 tahun lagi?

Dia menyambung "Sebenarnya banyak lagi produk makanan atau minuman yang diguna oleh orang Melayu adalah dikeluarkan oleh orang bukan Islam. Malah saya pernah menghadiri satu seminar keusahawanan. Hampir 80% yang hadir adalah orang bukan Islam. Hanya 20% sahaja orang Islam yang terlibat. Seolah-olah ia menjadi satu signifikan bahawa orang Melayu malas berusaha atau menjadi usahawan."

Saya respon, "Takkan orang Melayu malas berniaga. Saya rasa, ramai lagi yang menjadi usahawan, cuma tidak menonjol." Lalu dia menjawab "Orang Melayu, sibuk berebut tender dan projek nak buat bangunan. Berebut kontrak jalan dan pembinaan. Sampai bergaduh dan rasuah merasuah. Orang Cina, mereka sibuk keluar produk makanan untuk diberikan kepada orang Melayu makan. Apabila ekonomi jatuh, projek terhenti tetapi orang tetap perlukan makanan. Jadi, dalam situasi macam sekarang ni ramai kontraktor tersangkut sedangkan peniaga cina makin maju."

"Kenapa mereka maju dan kita lemah?" Dia bertanya dan saya biarkan dia menjawab "Kerana kita malas berfikir dan mencari peluang. Kalau orang Melayu rajin berfikir dan mencari peluang berniaga, sudah tentu orang Melayu boleh kaya. Kerana di Malaysia ini adalah satu negara yang kaya dengan bermacam benda. Malangnya, anak melayu kita malas guna otak dan ramai suka berhibur. "

Saya tersenyum dan angguk. Saya bersetuju dengan beliau. Anak melayu sekarang ditipu oleh media. Walhal media ini diuruskan oleh Menteri Melayu. Sepatutnya Menteri kita perlu membuang kandungan program televisyen yang terlalu banyak unsur hiburan hingga merosakkan paradigma Melayu. Malangnya, jika kita menilai paparan media sekarang seolah-olah menteri kita juga mahu anak muda jadi lalai.

Satu hal lagi, orang Melayu susah nak sedar diri. Kalau tegur, cepat merajuk. Kalau puji, terkemut-kemut. Kuat emosi dan banyak dendam. Sesama kitapun berkira, inikan pula orang yang tak dikenali. Sedarlah wahai Melayu islam, sebenarnya kita ditipu oleh Media sendiri. Ditipu oleh sebahagian menteri dan kian kian larut dalam suasana yang merugikan bangsa kita.

Selamat meneruskan kehidupan.

No comments: