Sunday, September 03, 2006

PMHK dan masalah seputar

PMHK adalah akronim bagi Perayaan Menyambut Hari Kebangsaan. Antara agenda yang wujud di dalam PMHK adalah pertandingan dewan (sprt debat ala parlimen, berbalas pantun, sajak dan sebagainya). Acada padang (sprt bola sepak, bola tampar, futsal dan sebagainya)

Di sini saya ingin menegur beberapa kelemahan sepanjang PMHK ke-49, tanpa mengkhususkan mana-mana individu.

Masalah Pertama (Makluman)

Maklumat pertandingan berubah-ubah dan tidak tetap. (Seperti tarikh penyerahan borang dan jumlah peserta) Syarat penyertaan yang dibuat secara semberono dan remeh. Walaupun pada asalnya sudah ditetapkan oleh pihak penganjur, namun...ia berubah di hari pertandingan. Ini menyukarkan pihak BKAN/DPM untuk mencukupkan bilangan kontijen dan menggenapkan bilangan penyertaan.

Masalah Kedua (Peraturan)

Juga berkaitan masalah komunikasi yang teruk sehingga menimbulkan salah faham antara peserta dan penganjur. Boleh dikatakan dalam semua acara yang berlangsung terdapat masalah. Seperti masalah untuk mencari hakim, menetap peraturan dan menentukan giliran. Malah terdapat kes-kes tertentu pihak penganjur terpaksa berbincang semula dengan peserta untuk menyusun syarat pertandingan.

Apa yang saya hairankan, di mana rujukan dan catatan syarat pertandingan tahun lepas? Hilangkah? Tercicirkah? atau bagaimana?

Masalah Ketiga (Penghakiman)

Catatan pemenang dipihak penganjur juga tidak lengkap sehingga menjejaskan mutu penghakiman. Terdapat kesalahan dalam keputusan pertandingan yang begitu besar seperti tersilap menyebut Johan dan Naib Johan. Lebih malang, keputusan itu tidak dibuat ralat. Dan pemenang tidak dapat menerima hadiah yang layak diperolehinya. Jika saya menjadi pemenang, saya akan merasa amat dukacita. Amat-amat dukacita.

Ini bukti bahawa pihak penganjur tidak membuat semakan rapi sebelum pengumuman dibuat. Saya berpesan agar ajk PMHK jangan main-main dalam bekerja. Harus serius!

Masalah Keempat (Rujukan dan Sistem)

Masalah terbesar dan utama pada PMHK kali ini ialah ajk tidak membuat sebarang rujukan pada laporan yang lepas. Jika dibuat sekalipun, ia tidak menyeluruh. Walaupun saya orang luar, namun kelemahan ini begitu ketara. Saya dapati setiap tindakan dan pelaksanaan pertandingan dibuat tanpa sistem yang pasti. Kerana itulah timbulnya masalah-masalah di atas.

Apa yang dikesalkan adalah kurangnya kerjasama adik-adik baru dengan abang-abang lama. Sepatutnya, junior perlu merujuk laporan dan orang terdahulu untuk mengambil pandangan. Malangnya hal itu tidak berlaku dan kesannya...program PMHK tahun ini terlalu banyak khalal dan talar.

Cadangan :

1) Sila kemaskini setiap laporan unit PMHK sebagai rujukan Badan Pengurus sesi depan.
2) Pastikan, setiap kelemahan dan kesalahan pengurusan dicatat dan disampaikan kepada penganjur akan datang.
3) Elakkan setiap ajk unit daripada menangguh kerja atau membuat kerja last minute.

Perhatian :

Kepada Badan Pengurus yang terlibat secara khusus dalam hal ini, haruslah meningkatkan lagi fleksebiliti pengurusan. Jangan sekadar memantau, tetapi perlu kreatif dalam mencari penyelesaian bagi masalah yang timbul. Sekalipun anda sudah melakukan yang terbaik, namun PMHK kali ini belum cukup baik jika dibandingkan dengan PMHK sebelumnya. Tahniah! Baiki yang kurang dan cuba lagi!

Saturday, September 02, 2006

Tugasan di luar dan di dalam rumah

Sekarang waktu paling sibuk untuk kesemua house mate saya. Semuanya terlibat dengan Unit Sambutan Mahasiswa Baru(USMB 2006) dan sebahagiannya terlibat dengan Muktamar Sanawi(MS) KPKM bagi tahun ini. Manakala saya dan Lokman pula terlibat dengan SPR.

Nazeri - Exco Pengetahuan dan memangku jawatan Exco Perumahan
Faizal - Ketua unit Pembekalan untuk USMB.
Rosaimi - Timbalan Pengarah USMB dan juga Ketua editor bagi Album Kenangan.
Lokman - Setiausaha SPR dan ajk unit pembekalan.
Muaz - Bendaharai Muktamar Sanawi.
Wan Chu (Iskandar) - Setiausaha USMB.

Sekarang ini, hanya saya yang punyai banyak kelapangan waktu. Bermakna, saya perlu menampung hal-hal pengurusan rumah. Cuma, seperti kebanyakan mahasiswa...saya mendapati sesetengah house mate saya meletakkan keutamaan pada tugas di luar rumah dan mengabaikan tugas di dalam rumah. Saya fikir, cara begitu tidak kena.

Jika anda menguruskan sesuatu tugasan di luar rumah, anda tetap perlu tahu apa yang berlaku di dalam rumah. Khususnya perkara yang melibatkan penggunaan wang, bekalan makanan dan peralatan. Seorang suami, sekalipun sudah mempunyai isteri yang membantu di rumah...dia tetap perlu mengetahui masalah dan perkara-perkara yang berlaku di dalam rumah. Supaya dia dapat membantu si isteri mengurus dengan lebih baik.

Sepanjang waktu, saya menilai diri dan house mate. Saya mendapati, kelemahan paling ketara yang ada pada diri seorang lelaki ialah untuk menyeimbangkan masa antara tugasan di dalam dan di luar rumah. Majoriti lelaki lebih meletakkan prioriti pada kerja di luar rumah. Kononnya bekerja di luar rumah itu tampak hebat dan bergaya. Justeru, ramai lelaki yang melupakan dan mengabaikan tugasan di dalam rumah. Ini adalah satu kesilapan besar! Khususnya bagi umat Islam yang dilantik menjadi khalifah di muka bumi.

Sejujurnya, saya kurang bersetuju dengan sikap lelaki yang (kononnya) terlalu sibuk sehingga menjadikan sibuk sebagai alasan untuk tidak bertugas di rumah. Apatah lagi jika timbul masalah komunikasi di dalam rumah, mereka ini langsung tidak mahu meluangkan masa untuk berbincang. Sesetengah menganggap tidak perlu berbincang dan negosiasi adalah perkara remeh.

Ini bukan salah sesiapa, ini salah kita semua(kaum lelaki) yang diberi rasa ego dalam diri. Jika ego diletakkan di tempatnya, ia akan menampakkan izzah. Tapi jika tidak, ia akan menjadi sebaliknya. Yang penting sekarang adalah kita perlu seimbangkan tugasan di dalam dan di luar rumah. Mudah-muadahan, apabila kita berkahwin nanti kehidupan rumah tangga masing-masing akan lebih teratur. Insya allah.

Insya allah!

Kisah Si Teruna (Episod 4)

Wahai dara, sabarlah... masa akan pantas berlalu dan jarak yang memisahkan kita akan hilang.

Si teruna wara-wiri dalam kamar, garu-garu kepala sendiri. 13hb adalah tarikh penerbangan pulang ke Malaysia, masa makin singkat. Esok, si teruna menduduki exam untuk subjek Falsafah Islam. Lusa, dia perlu menyelesaikan tugasan berkaitan SPR. Barang-barang belum dibeli untuk dibawa pulang. Nak beli apa?

Untuk keluarga, rasanya elok jika dibeli kurma dan jus buah-buahan. Untuk diminum bersama. Terutamanya jus mangga yang fresh. Untuk si dara, nak beli apa ye? Beli jubah? Ermm...duit tak banyak. Beli loket kristal? Elok juga. Teruna sengih sendirian. Dia yakin, pasti si dara akan suka... He! He! He!

Si teruna kira duit yang ada di tangan. Duit untuk uruskan kenderaan ke air port, duit sewa rumah, duit RM yang bakal digunakan sebaik tiba di KLIA. Setakat ni semuanya mencukupi. Buat masa ini, si teruna hanya boleh menunggu tarikh penerbangan pulang ke tanah air.

"Si dara, tunggu...aku datang kepadamu."

Friday, September 01, 2006

Doa cucu untuk nenek

Hampir 10 hari saya tidak berhubung dengan keluarga di Malaysia. Biasanya saya tetapkan pada hari Jumaat atau Sabtu untuk menghubungi keluarga, namun minggu lepas saya gagal. Kesibukan mengikuti program Perayaan Menyambut Hari Kebangsaan ke-49 menjadikan rutin saya sedikit talar.

Alhamdulillah, saya sempat menghubungi mereka hari ini dan bertanyakan khabar nenek yang gering. Katanya nenek sekarang di hospital, kerap juga dia bertanyakan hal saya pada ibu. Dia mahu tahu bilakah saya akan pulang. Kalau saya berada di rumah, saya sering menjadi temannya di dapur. Jika dia memotong bawang atau menyiang ikan, saya akan buat-buat sibuk di dapur untuk temankannya.

Yang pasti, nenek selalu mengikut saya ke surau untuk solat berjemaah. Saya akan jadi imam dan dia akan jadi makmum. Paling disukainya, apabila Ramadhan datang...dia akan mengikut ke mana sahaja tempat saya menjadi imam. Tahun lepas saya menjadi imam surau di Kampung dan Masjid Besar Salor...nenek tak pernah ketinggalan walaupun terpaksa solat 20 rakaat di belakang saya.

Yang ingin diutarakan di sini, nenek sangat suka mendengar al-Quran. Kerana gemulah atuk saya tidak pernah meninggalkan tahajjud dan sentiasa membaca al-Quran setiap kali bertahajjud. Saya mohon jasa baik kalian yang singgah di sini...untuk mendoakan kesejahteraan nenek saya yang kini beristirehat di hospital kerana sakit tua.

"Nek, cucu doakan nenek sihat. Cucu harap umur dan waktu nenek masih ada untuk kita bersua. Cucu akan pulang 13hb ini, nenek jangan gusar...insya allah cucu akan menemani nenek di kamar istirehat nanti. Cucu doakan nenek baik-baik sahaja hendaknya."