Thursday, November 09, 2006

Kerja Amal

KERJA YANG IKHLAS

Apabila saya menghitung amal kebajikan sendiri, terasa amat kurang. Terlalu kurang. Hampir dikatakan nihil. Apatah lagi jika saya menghitung amal yang dikerjakan dengan IKHLAS iaitu dengan niat mencari redha Allah semata-mata. Saya pasti amat sukar untuk melaksanakan amal sebegitu. Namun, sebagai insan sedaya upaya kita perlu melakukan ibadat dan amal kebajikan seikhlas mungkin.

"Jika kita melaksanakan sesuatu kerja, pilihlah kerja yang baik-baik. Bukan untuk menggembirakan manusia tetapi untuk menggembirakan Allah. Buatlah apa sahaja, dengan niat untuk membuat Allah redha...bukan kerana menyukakan mana-mana manusia yang ada. Apabila Allah suka dengan kerja dan usaha kita...maka harus bagi Allah memberi hidayah kepada orang di sekeliling kita"

MUALLIM DAN MUBALLIGH

Saya membuat komparatif antara bilangan sukarelawan yang wujud dalam profesion muballigh dan muallim. Dari kacamata saya yang sempit serta 'sangkaan' sendiri yang dibut tanpa kajian empirikal...saya mendapati agamawan yang menjadi sukarelawan menyampaikan agama adalah sangat kurang. Benar! Memang ramai yang menjadi muballigh dan muallim tetapi bukan dari latar belakang pengajian agama secara formal.

Maksud muballigh dan muallim di sini bukanlah mereka yang bertugas menjadi USTAZ di sekolah yayasan mahupun kementerian. Bukan juga orang yang bergerak di pentas POLITIK(khususnya yang berjawatan). Tetapi mereka yang membuat usaha menyampaikan dakwah dan mengajar masyarakat setempat di luar waktu kerja rasmi. Sama ada dengan menulis, membuat kerja tertentu atau berceramah. Itu maksud saya. Sehingga kini, saya masih hampa dengan sesetengah(bukan kesemua) yang berstatus ustaz ataupun agamawan kerana ketidak sediaan mereka menunaikan amanah menyampaikah ilmu agama secara percuma. Mereka tidak mahu bersusah payah bekerja jika tiada jaminan keuntungan. (Ini adalah realiti)

MENGGALAS TAKLIFAN

Sebaik syawal menjengah, saya memaklumkan kewujudan saya di Kelantan kepada pihak-pihak ternama. Sama ada Majlis Agama Islam, Yayasan Islam Kelantan dan kenalan-kenalan di tanah air. Pantas saya diberikan tugas dan beberapa taklifan. Antaranya mencari tenaga muda untuk menyampaikan kuliah di masjid-masjid mukim atau surau-surau kecil. Termasuklah diri saya sendiri yang sehingga kini boleh dikatakan kerap kali menjadi pengganti pengkuliah selain menjadi pengkuliah tetap di beberapa tempat. Itu bukan isunya...isu di sini ialah apabila saya menghubungi beberapa kenalan yang saya anggap mempunyai kredebiliti dan ketokohan untuk mengambil taklifan ini...dengan rendah diri mereka memberikan alasan TIDAK BERSEDIA. Mereka tidak bersedia untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah.

Benar! Mereka bukan menolak tetapi belum bersedia. Saya tidak pasti apakah alasan sebenar yang menghalang mereka untuk menyampaikan agama dalam situasi masyarakat yang kian bobrok dan celaru ini. Saya tidak pasti kesibukan apakah yang menjadikan mereka tidak mahu bersuara di tengah masyarakat yang kian punah dan rosak ini. Saya takut...jika taklifan ini tidak digalas mulai sekarang...saya bimbang Allah taala akan menyoal di akhirat kelak dan saya tidak mempunyai alasan untuk menjawabnya.

Apapun...saya tidak menafikan bahawa masing-masing harus menyumbang mengikut kemampuan. Buatlah apa sahaja yang baik, asalkan kita ada sumbangan. Jangan kontang usaha atau kosong ikhtiar untuk membantu agama...namun, fikir-fikirkan juga bagaimana cara kita mahu mendekatkan masyarakat kepada masjid. Tanpa orang muda yang mengisi slot kuliah di masjid atau pengisian-pengisian ilmu di tempat lain...saya bimbang masjid-masjid yang wujud kian suram dan lesu. Masyarakat kian jauh dari rumah Allah dan akhirnya berlakukan khilaf dan fitnah yang membimbangkan.

Hakikatnya...ramai agamawan tidak buat kerja mereka. Sedangkan orang muda yang menjadi penagih berlambak. Penagih tak henti-henti buat kerja mereka, meragut...mencuri kabel dan lain-lain. Mat rempit, mat ganja, mat rogol dan zina serta macam-macam kerja mereka buat. Kalau nak compare bilangan mereka dengan bilangan agamawan...saya rasa terdapat jarak yang agak besar. Pastilah mereka lebih ramai. Jadi? Kenapa kita masih boleh tidak bersedia. Sedangkan kita tahu realiti masyarakat kita yang kian parah?!


MEDIUM

Kekadang saya lemas dengan suasana. Lemas dengan cara dan mentaliti pihak-pihak tertentu. Secara jujurnya saya tidak suka menggunakan medium politik untuk berdakwah. Saya merasa lemas jika saya dikaitkan dengan parti-parti tertentu. Apatah lagi jika saya diminta bekerja untuk parti... bukan bekerja untuk Islam. Kerana terlalu banyak kes-kes keretakan silaturrahim berlaku di dalam masyarakat apabila seorang muballigh dan muallim membawa bendera parti tertentu tanpa menggunakan mizan Islam secara sahih. Berbeza pula dengan muallim dan muballigh yang berdakwah tanpa menjadikan isu politik sebagai titik bengit untuk berdakwah. Mereka ini akan mudah didekati tanpa sebarang prejudis.

Erti sebenar saya di sini...bekerjalah dan beramallah kerana ALlah. Bukan kerana parti atau manusia tertentu. Jika anda memilih parti mana sekalipun, jangan sampai ia meretakkan silaturrahim dalam masyarakat. Gunakanlah kebijaksanaan...bukankah antara sikap nabi itu Sidiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah. Cubalah kita memiliki sifat ini dahulu sebelum kita memiliki sifat yang lain.

Akhlak itu penting bagi seorang agamawan. Silaturrahim itu wajib dijaga. Jangan kerana politik maka akhlak dalam pertuturan dan pergaulan kita abaikan. Sanggup meretakkan silaturrahim dan sebagainya.

1 comment:

HisYamZahRa' said...

banyak-banyak posting yang dihantar, ana paling suka yang ini. Kerana ana dapat melihat satu gambaran realiti. Benar, jika yang dilakar itu benar, ia adalah satu malapetaka. Ana sukakan posting ini kerana ana rasakan inilah sebenarnya yang sepatutnya dilakukan sejak awal. Dan ana sudah begitu lama tercari-cari gambaran realiti ini. Posting ini menggambarkan kita tidak hidup keseorangan. MAlah kita hidup bermasyarakat. We care about our society.
Namun bukan maksud ana untuk menyatakan bahawa ana suka melihat realiti yang tidak baik ini, ana tetap berdoa agar kita semua dapat memperbaikinya. Secara tidak langsung, pendedahan sebegini akan memberi panduan generasi post graduate untuk bertingkah sejurus menamtkan pengajian. Syabas. Teruskan!