Tuesday, January 23, 2007

Kerja Bertimbun

Memang terlalu sedikit waktu senggang untuk saya menulis buat masa sekarang. Sebaik menjawat jawatan guru di Maahad Tahfiz Sains Tumpat, saya terus diamanahkan dengan beberapa tugas. Menjadi guru Disiplin dan Setiausaha Mesyuarat guru-guru. Ini bererti, komitmen yang perlu diberikan kian bertambah.

Jangan kata untuk menulis di sini, malah masa untuk menulis karya sendiri juga tidak ada. Masa memang ada bukan langsung nihil, tetapi terlalu sedikit, tidak memadai atau mencukupi. Pernah beberapa kali saya cuba untuk menulis, tetapi akibat kepenatan bekerja akhirnya saya terlentuk di depan laptop. Bukan sekali, malah beberapa kali.

Nampaknya, saya harus berfikir cara terbaik untuk menyusun waktu bagi menguruskan kehidupan saya. Agar waktu untuk berkarya mencukupi. Hmmm...memang sukar agaknya bagi saya mencari waktu itu sekarang.

Setiap hari, waktu siang saya berada di sekolah dari jam 7.30pagi hingga 3 petang. 4 malam dalam seminggu, saya perlu mengajar di surau dari jam 7.00malam hingga 8.45malam. Dimana ruang untuk saya menulis?

Sekarang masih bujang, kalau sudah berkahwin. Entah bagaimana pula keadaannya? Huhuhu!

Saturday, January 13, 2007

Mendung di Langit Jiwa

Mendung itu artinya redup dan suram. Perkataan itu melambangkan hilang cahaya mahupun ceria. Mendung berlaku tatkala awan gelap berbondong-bondong melitupi ruang langit yang leluasa itu. Mengakibatkan cahaya tidak bisa bolos ke bumi.

Awan gelap itu persis masalah yang datang entah dari mana. Berkumpul di dalam cepu minda dan mengakibatkan kita kekadang hilang ikhtiar. Saat itu, kita cuba sedaya upaya mencari jalan penyelesaian. Dari satu cara ke satu cara. Hingga bila kita benar-benar menempuh jalan buntu. Ingatan kita akhirnya bertangkup dengan satu zat.

Allah!

Rupanya, mendung itu bukan semata-mata menutup cahaya. Malah ianya untuk menarik ingatan kita agar kembali mencari cahaya-Nya. Masalah itu bukan semata-mata ujian, malah seruan agar kembali mengadap-Nya.

Ya Allah! Aku memerlukan pertolongan-Mu. Bantulah hamba-Mu.

Thursday, January 11, 2007

Tuhan Penentu Segalanya, bukan?

Saya berkira-kira akan memulakan tugasan sebagai seorang mu'allim di MTS, Tanah Merah. Dua hari lepas, saya baru dihubungi oleh pihak MTS, Berangan agar melaporkan diri sana. Bererti, apa yang saya harapkan tidak berlaku. Saya akan menjadi guru di Berangan(Tumpat) bukan di Tanah Merah.

Majlis makan malam bersama MB Kelantan sepatutnya diadakan pada 25 Januari, telahpun dipindah ke tarikh 8 Febuari.

Semalam, saya mendapat makluman bahawa PTS Publication akan menerbitkan satu naskah I-Novela(Novel Islam) tiga bulan sekali. Saya diberitahu novel saya 'Mencari Cinta Khalifah' akan diterbitkan pada bulan Jun 2007.

Kita merancang, tuhan juga yang menentukan segalanya. Bukankah begitu?

Sunday, January 07, 2007

LAGI ISU RUFAQA'

Saya menulis kepada Azizi Abdullah :

Assalamualaikum wrt wbt

Bagi saya, Al-Arqam ini didokongi oleh ramai orang-orang yang ikhlas untuk membawa Islam. Cuma, majoriti orang yang memasuki al-Aqram adalah orang yang tidak punya asas agama yang kukuh pada awalnya. Sebab itu, saya jarang menemukan nama ulama besar yang menyertai al-Arqam.

Saya ingin bercerita, semenjak kecil lagi saya bertadika di tadika Al-Arqam. Muallim dan muallimah yang mendidik saya adalah orang yang wajar dipuji atas akhlak dan keikhlasan mereka.

Namun, saya tidak dapat menafikan bahawa golongan atasan Al-Arqam khususnya Asy'ari sendiri mengambil kesempatan ke atas orang2 baik ini. Mereka dipergunakan untuk tujuan-tujuan tertentu.

Ketika tahun 1986, sebuah tadika Al-Arqam ditubuhkan di sebelah rumah saya. Orang2 kuat al-Arqam sering singgah di rumah saya sebagai tempat transit, termasuk Asy'ari sendiri pernah bermalam di rumah saya.

Sepanjang tempoh itu saya memerhati dalam banyak hal.

Perkara pertama yang saya temui di dalam Al-Arqam ialah kasta. Setiap pakaian dan warna jubah mereka adalah mewakili kedudukan tertentu. Contohnya serban warna sekian, hanya layak dipakai oleh orang sekian. Sedangkan di dalam Islam tidak ada kasta dalam apa jua keadaan.

Kedua, wujud kezaliman ke atas kaum wanita. Mereka berkahwin ramai dan tanggungan diabaikan. Khususnya lelaki, hasil gaji dan wang mereka banyak disalurkan kepada jemaah. Sedangkan ibu2 ini perlu mencari rezeki sendiri untuk menyara anak. Malah, ramai isteri diceraikan dan dikahwinkan semula kepada rakan-rakan al-Arqam. Malah ada juga yang menjanda.

Saya ulangi lagi, ramai orang yang ikhlas di dalam Al-Arqam untuk membawa agama. Tetapi mereka dipergunakan dalam aspek tertentu.

Apapun, Islam tidak boleh diambil secara taklid sahaja. Ia perlu dikaji dan diteliti. Soal wirid dan zikir, itu perkara penting dalam agama. Memang Al-Arqam menekankan perkara ini.

Tetapi, soal ketaksuban kepada abuya ini adalah perkara 'bahaya' yang boleh menjejaskan akidah.Saya masih ingat, ketika Al-Arqam membuat jualan suatu masa dulu. Gambar asya'ari ditampal di semua sudut. Malah dibutang baju jubah juga terdapat gambar abuya ini.Bukankah nabi tidak menggalakkan kita menggantung gambar? Apatah lagi memuja gambar itu?

Saya juga tidak pasti adakah Tuan Haji Azizi melihat rakaman yang disampaikan oleh Abu Zarim dan mendengar bicaranya.(Rakaman boleh didapat dalam ahkam.net sebelum ini) Jika boleh, saya ingin mendapatkan kepastian siapakah sebenarnya Abu Zarim itu. Benarkah dia ini sekadar boneka atau orang kuat asya'ari. Kerana kalamnya di dalam rakaman tersebut benar-benar menyeleweng dari akidah Islam.

Saya tegaskan, catatan ini saya tulis dengan naluri yang inginkan kebenaran. Saya pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran di Kelantan. Juga bekas penuntut di Universiti Al-Azhar bahagian Usuluddin. Jika saya salah. Mohon dibetulkan. jika saya benar. Mohon diperakukan.

------- catatan saya kepada beliau berakhir di sini------

Tambahan :

Saya tidak menafikan jika wujud perancangan politik pihak tertentu dengan 'meletupkan' isu Rufaqa' demi menutup isu-isu seperti Al-Tantuya dan sebagainya.

Saya tidak menafikan bahawa Rufaqa' mengamalkan sistem ekonomi dan perniagaan yang sangat positif dalam membantu Umat Islam. Saya tidak menafikan bahawa terlalu banyak kemurnian akhlak yang ditampilkan dalam Rufaqa' ini.

Semua catatan saya sebelum ini bukan untuk menafikan kebaikan-kebaikan itu. Apa yang ingin saya minta ialah penelitian semula dalam Akidah Rufaqa'. Kerana di sana timbulnya beberapa 'kekeliruan' dalam hal akidah. Ini kerana akidah adalah soal akar(Asas) dalam agama Islam. Jika rantingnya, cabangnya sahaja baik, tetapi akarnya rosak. Dibimbangi kebaikan itu juga tidak menjadi.

Saya menyayangi saudara/saudari seakidah dengan saya. Cukuplah kita berbalah soal wahabi-syi'ah-sunni. Yang penting sekarang kita bukan membuka kesalahan dan membesarkannya. Yang penting sekarang ialah kita kembali mencari kekurangan ini untuk diperbaiki. Ya, untuk diperbaikinya. Itu sahaja.

Tuesday, January 02, 2007

Ikhlaskan Diri Dalam Mencari Agama

Rasanya saya perlu menjelaskan sekali lagi isu ini. Setelah saya membaca majalah I edisi Disember...banyak perkara yang saya sadur dari majalah tersebut. Saya syorkan tetamu yang menggelarkan dirinya 'as' untuk membeli majalah tersebut.

Apapun, saya tidak mahu membela diri atau membela sesiapa. Saya cuma mahu Islam berada di landasan yang sepatutnya. Saya tidak mahu ada umat Islam yang terpesong disebabkan kejahilan mereka sendiri.

Tetamu yang menggunamakan nama 'as' mengatakan saya ini 'Golongan Wahabi' atau 'Menyebarkan Fitnah'. Jika saya ini golongan Wahabi, minta didatangkan bukti ataupun ayat yang saya tulis seolah-olah menyatakan saya ini Wahabi. Jika benar saya penyebar fitnah, sila datangkan balik frasa ayat yang saya tulis yang berbaur fitnah itu. Biar saya betulkan balik secara jelas dan berfakta.

Saya tidak takut untuk memperbetulkan kesilapan sendiri. Memang saya mahu belajar dari kesilapan sendiri. Saya cuma bimbang jika saya tersesat, tiada orang yang mahu menarik saya ke jalan yang benar. Itu sahaja.

Saya minta satu sahaja kepada seluruh pembaca. Ikhlaskan diri dalam mencari kebenaran beragama.

Wassalam.