Thursday, October 30, 2008

SUKAR TENTUKAN JUDUL

Sejujurnya, saya adalah penulis yang susah untuk memilih judul bagi karya sendiri. Sebagaimana judul novel saya sebelum ini sentiasa berubah. Seingat saya, hampir 20 kali saya menukar judul untuk novel terbaru yang sedang saya siapkan ini. Pertimbangan saya dalam memilih judul berdasarkan dua aspek. Pertama aspek 'idealisma' yang saya terapkan dalam karya. Kadang-kadang saya seperti mahu mengutarakan tajuk yang memaparkan 'gagasan idealisma' itu dengan terang. Aspek kedua yang saya timbangkan ialah 'Komersil'. Biasanya, tajuk yang terlalu idealis tidak menarik minat pembaca. Judul yang dimasukkan unsur 'cintan-cintun' dan 'jiwang' lebih menarik minat pembaca.

Dua aspek itu sering menjadikan saya sukar memilih judul. Antara judul yang pernah saya cadangkan :

1) Diversi Sebuah Legasi.
2) Legasi Seorang Lelaki.
3) Cinta Al-Khalifah.
4) Mengintai Cinta Dari Kamar Al-Khalifah.
5) Obligasi Cinta.

Antara lima judul ini, adakah anda cenderung memilih salah satu daripadanya. Kenapa? Saya fikir, ramai yang sukakan tajuk nombor 3 dan 4. Mungkin kerana ia lebih syahdu dibaca. Betul tak? Setelah difikir-fikir, barangkali penerbit ada cadangan untuk judul bagi buku terbaru saya.

Kita akan berbincang jika ada ruang nanti.

Wassalam.

Wednesday, October 22, 2008

Sekeping Nota dari Nanda Gracer

Ini adalah petikan dari novel yang sedang saya bikin 'Diversi Sebuah Legasi'. Suatu nota dari Nanda kepada Imran.

.......

KERUNTUHAN ini sudah dirancang bertahun-tahun. Dan semua bangsa sudahpun terjerumus ke dalamnya. Aku hanya ingatkan sahaja, bahawa semua lima elemen (sex, song, smoke, screen and sport) yang dimasukkan ke dalam negara ini bermotifkan diversi.


Diversi; mengalihkan perhatian umum daripada fokus terhadap perkara prioriti. Diversi ini dilakukan untuk membuang rasa tanggungjawab dan obligasi dalam jiwa setiap individu. Agar yang terpenuh dalam mindanya adalah populariti artis, fesyen, trend, hiburan, fantasi dan mimpi-mimpi duniawi. Pantas tugasan memimpin, memikul risiko dan menyelesaikan permasalahan hidup ini akan terpinggir secara automatik.


Lihat saja dalam negara ini, anak-anak muda sudah terbiar kerana ibubapanya mengejar harta dan kenamaan. Ibubapa yang ada sekarang tidak berupaya mendidik dan membentuk peribadi anak mereka, kerana mereka nihil idealisma. Mereka sudah memenuhkan minda dengan materi bukan ideologi. Mereka sudah memfokuskan hidup mereka untuk memperbanyakkan wang dan harta demi mencapai fantasi. Prioriti sebenar adalah mencari ilmu dan melaksanakan obligasi demi mempastikan keluarga mereka selamat. Diversi itu telah menukarkan mereka dari seorang manusia kepada sejenis haiwan. Mereka tidak punya prinsip atau paradigma. Mereka hanya hidup persis lembu dan kambing yang tahu makan dan memenuhi nafsu. Lalu, anak-anak mereka membesar dalam keadaan terkapai-kapai, hingga menjadi sampah-sampah terhormat dalam masyarakat.


Rasuah, seks, rogol, rompak, buli, dera dan segala penyakit sosial sudah menjadi semacam ironi. Tiada rasa pelik dan tiada rasa jakun. Penyakit itu semakin mesra dan mendarah daging dalam perilaku masyarakat ini. Akhirnya, negara akan dipenuhi ketakutan dan kebimbangan. Dibawah sedar, fantasi yang mereka kejar itu menjadi mimpi ngeri yang kompleks, tersimpul bagai benang kusut. Tidak mampu dibuang atau dileraikan dari tabi’e masyarakat ini.


Imran…


Jika kau sempat membaca catatan ini. Kau harus fikirkan cara untuk menyelamatkan pemuda-pemudi dari ditipu oleh lima elemen tadi. Elakkan dari terjerumus ke dalam diversi hingga keciciran obligasi dalam menyempurnakan prioriti. Dunia sudah hampir ke penghujungnya, jangan biar dirimu hanyut dibawa arus akhir zaman ini.


Imran…aku sentiasa berharap, engkau akan menjadi muslim yang baik.


Nanda Gracer.

SUBMIT NOVEL KE-3 BULAN DEPAN

Insya allah!

Saya sudah masuk ke bab akhir penulisan novel terbaru. Judul yang saya pilih setakat ini 'DIVERSI SEBUAH LEGASI'. Dan semahunya saya ingin cuba lari dari judul klise yang bertamakan 'Cintan-cintun'. Ini adalah sebuah novel pendedahan terhadap krisis dunia, agama dan identiti remaja. Ia membawakan tema cinta dan konflik agama.

Petikan 1 :

“Sudah tentu. Senjata kita tidak terhalang oleh sempadan dan ruang. Lima senjata yang kita serapkan iaitu sex, screen, sport, smoke and song begitu efektif. Kesannya jenayah kian meningkat. Kes bunuh dan ragut, kes gangguan seks sama ada rogol dan zina berleluasa, penagih pil dan dadah meningkat, orang mula merasai ketakutan. Ini adalah signifikan kejayaan lima senjata kita.” Agron menghembus asap tembakau yang berkepul-kepul dari mulutnya.

“Jika dahulu kita menjarah menggunakan serangan infantry dan bersenjata, ia menyebabkan kerosakan muka bumi yang banyak. Ia tidak banyak mengubah pemikiran penduduk yang dijarah. Kini, kita menyerang menerusi lima senjata tadi. Impaknya sangat memuaskan. Kita hanya mengubah pemikiran mereka. Akhirnya mereka kehilangan identiti dan secara automatik mereka membuang agama nenek-moyang mereka. Iaitu Islam.” Lelaki di sebelah Agron menyorot anak matanya ke dalam. Seolah dia mampu melihat perkara yang sedang berlaku.


Petikan 2 :

‘Jangan gusar wahai hati, masih ingatkah kamu pada pesanan agama?’ Dia cuba memujuk sendiri. Wajah rakan datang bertindihan, muncul dan hilang bergantian. Wajah guru-guru dan mu’allim turut bergentayangan namun wajah Mustofa muncul dan tersenyum.


“Mengertilah bahawa agama itu satu jalan yang bersifat merungkai dan menyelamat. Ia diperlukan waktu santai dan amat-amat bermanfaat diwaktu tegang. Sudah pasti jika kamu dibelit kebuntuan dan kesuntukan, hanya ada satu kuasa sahaja yang bisa meleburkan kebuntuan itu. Itulah Allah. Mohonlah bantuan menerusi sikap sabar dan bangunlah bersolat. Insya allah dia mampu keluarkan dirimu dari kebuntuan itu.”


Dialog yang pernah terakam dalam memorinya muncul lagi saat hatinya sedang runtuh dilanggar badai kecewa. Memang benar, figura Mustofa begitu banyak memberi kekuatan dalam jiwanya yang sedang pecah dan hancur.


“Ya Imran, kemarahan berpunca dari kekecewaan, dan kekecewaan itu berpunca dari ketidak-puasan hati menerima suatu ketentuan. Atau boleh dianggap bahawa kekecewaan itu lahir apabila kita cuba menolak takdir yang tersurat.”


“Ya Mustofa, bukan mudah untuk menerima takdir yang besar. Apatah lagi untuk menerima hakikat kita kehilangan sesuatu yang berharga”


“Imran, kamu sudah tersilap menilai sesuatu. Sesungguhnya kita tidak pernah memiliki apa-apa, bagaimana kita perlu merasai kehilangan sesuatu? Adakah kamu memahami bahawa segala yang di dunia ini hanya pinjaman, sebagai modal untuk membuat bekal ke akhirat. Adakah kamu mengerti?”


“Pinjaman sebagai modal?”


........


Saya mohon doa dari rakan-rakan agar buku ini mampu menjentik kesedaran dalam sukma kita semua. Insya allah.

Tuesday, October 21, 2008

Melepaskan Sesuatu yang Benar-benar Dalam Genggaman

Apabila anda hampir memiliki sesuatu atau sesudah memiliki sesuatu. Setelah itu diminta melepaskannya atau dipaksa melepaskannya atas sesuatu sebab yang WAJAR. Ia pasti sukar dilakukan. Jika mampu dibuat sekalipun, ia tetap meninggalkan kesan yang besar.

Mencintai dan memiliki cinta, akhirnya terpaksa dilepaskan. Pasti membawa satu impak yang besar di dalam jiwa. Dan itulah yang sepatutnya dilakukan oleh remaja yang sedang bercinta tanpa restu orang tua. Atau sedang melalui zaman-zaman percintaan tanpa ikatan sah. Jika anda tidak bercadang untuk berkahwin, lepaskan cinta yang terlarang itu.

Kenapa?

Saya yakin anda tidak mahu mendapat seorang suami atau isteri yang akan menyusahkan keluarga anda selepas perkahwinan.

Anda juga perlu memahami erti jodoh dengan seertinya. Barulah anda tidak gopoh untuk mengejar cinta yang 'Buta' hakikat atau buta makrifat.


Semoga diberkati.

Saturday, October 18, 2008

Sampaikan Agama Allah

Jika tiap-tiap hari anda pergi ke sekolah dan mengajar Bahasa Arab, tiba-tiba anda diminta untuk mengajar Bahasa Inggeris. Adakah pantas anda menerimanya? Jika setiap hari anda berhadapan dengan anak murid yang lebih muda dari anda, tiba-tiba anda diminta untuk berhadapan dengan orang berbagai peringkat. Tua, muda dan veteran. Adakah anda akan menghadapinya?

Perkara yang perlu dilakukan adalah sama sahaja iaitu mengajar, tetapi bahan yang disampaikan dan pendengarnya yang berlainan. Bagi seorang penceramah, yang penting adalah pendengarnya. Jika dia yakin mampu menguasai pendengar, pasti semuanya akan menjadi lancar.

Beberapa minggu kebelakangan ini saya menilai diri sendiri. Banyak pintu rezeki terbuka dan beberapa perubahan berlaku dalam perjalanan hidup sebagai penceramah. Dahulu saya hanya berada di platform masjid dan sekolah menengah. Kini saya sudah memasuki medan kampus. Berhadapan dengan golongan terpelajar di UM dan USM. Dan secara tidak langsung saya mula dijemput untuk memberi pembentangan di hadapan pembantu halaqat dan pegawai yang mengurus masjid.

Ini adalah cabaran bagi seorang pemuda seperti saya.

Saya boleh memberikan alasan bahawa 'Saya Belum Bersedia', 'Saya Tidak Mampu', 'Saya Sibuk' dan lain-lain lagi. Tapi saya tanya pada diri sendiri. Kenapa kamu memilih jalan ini? Jalan seorang muallim? Kerana saya mahu menyampaikan agama kepada orang lain.

Justeru, apa yang saya lakukan selama ini adalah menyampaikan agama Allah. Adakah saya masih belum bersedia untuk menyampaikan agama Allah? Sudah tentu saya bersedia.

Sunday, October 12, 2008

MAKLUMAN JUALAN 'Warkah Cinta...'

Senarai Top 10 Buku di e-Kedai.net Bagi Bulan Mei 2008

Ini adalah senarari Buku Terlaris di e-Kedai.net bagi bulan Mei 2008.

  1. 55 Silap Mata Mudah
  2. Sains dari Perspektif Kitab Samawi
  3. Ayat-ayat Cinta
  4. Ketika Cinta Bertasbih
  5. Quran Saintifik
  6. Salju Sakinah
  7. Rahsia Bisnes Isteri Nabi : Khadijah
  8. Warkah Cinta Berbau Syurga
  9. Guru Sebagai Penyelidik
  10. Psikologi Kanak-kanak

Senarai top ten jualan tertinggi fiksyen dewasa PTS untuk Pesta Buku Antarabangsa 2008.

Berikut adalah senarai penuh;

1. Salju Sakinah

2. Tunnels - Terowong

3. Warkah Cinta Berbau Syurga

4. Salahudin Ayubi: Penakluk Jerusalem

5. Laskar Pelangi

6. Syahadat Cinta

7. Sang Pemimpi

8. Edensor

9. Opera Angkasa

10.Tariq: Menang ataupun Syahid

Untuk REMAJA - Jemput Ke Sini!

Setelah lama berfikir, rasanya saya mahu berkongsi permasalahan dan polemik yang melibatkan percintaan dengan REMAJA. Malah, jika ada konflik yang mungkin boleh saya bantu. Sila terlebih dahulu ke sawang ustazcinta.com. Secara tidak langsung, saya juga mampu mempelajari sesuatu dari perbincangan yang terbuka ini. Insya Allah.

Ada baiknya kita berbicara soal cinta dalam konteks agama. Kerana cinta yang terarah itu lebih membawa makna untuk sebuah kehidupan sementara.

Kenapa Perlu Istikharah?

Istikharah adalah solat sunat yang meminta petunjuk Allah untuk membuat sesuatu keputusan. Khususnya bagi seseorang yang berada dalam dilema untuk memilih antara dua perkara. Biasanya jawapan istikharah akan datang melalui mimpi, atau ada perkara yang mendorong untuk memilih keputusan tertentu.

Titik.

Ada yang bertanya, kenapa perlu istikharah jika kita ada ilmu dan panduan?

Anda berikan jawapan "Ilmu dan panduan hanya untuk membimbing dan meramal. Namun, kesudahan setiap perancangan dan hal-hal mendatang belum tentu berlaku seperti jangkaan."

Lagi ada yang berkata, bukankah lebih baik kita berusaha dahulu dan membuat keputusan dengan berikhtiar sedaya upaya.

Anda berikan jawapan "Sekuat mana ikhtiar manusia, tuhan lebih mengetahui. Tuhan lebih tahu natijah dan kesudahan sesuatu perkara."

Lalu orang akan tanya, apa kebaikan istikharah?

Anda berikan jawapan "Ia menyelamatkan masa depan. Kerana tiada manusia tahu apakah yang bakal berlaku di hari esok. Ia memberi keberkatan. Kerana hamba yang meminta dari Allah pasti Allah akan merahmatinya. Ia membuang penyesalan. Tiada sebab untuk seseorang menyesal setelah dia berdoa dan meminta dari tuhan sekalian alam."

Kepada remaja, pelajari solat istikharah dan buatlah ketika perlu.

KETENANGAN ADALAH IMPAK BERJEMAAH

Sudah empat bulan saya berumahtangga dan menjadi seorang suami. Memikul bebanan seorang khalifah dan melaksanakan amanah beragama. Sejujurnya dan setulusnya, ia bukan mudah dan prosesnya sukar. Mungkin bagi yang belum berkahwin terasa mahu merasai alam rumahtangga. Saya ingatkan terlebih dahulu khususnya kepada lelaki. Jangan terlalu berkhayal tentang hal yang menyeronokkan. Sebaliknya perlu ada satu sikap untuk memimpin, menjaga dan mendidik pasangan dengan agama. Namun, percayalah setiap kesukaran yang ditempuh hujungnya memberi pengajaran dan menambahkan kecintaan terhadap pasangan. Jika dilalui dengan berhemah dan ikhlas.

Terbukti, sehingga hari ini solat berjemaah benar-benar memberi impak besar kepada jiwa ketua keluarga. Malah berkat berjemaah itu memberi ketelusan dalam komunikasi sepanjang hari. Selama empat bulan ini saya mengamati, solat jemaah subuh adalah kunci ketenangan jiwa untuk hari tersebut. Manakala solat-solat lain adalah penyelesai masalah yang berbangkit di dalam keluarga.

Berdasarkan pengalaman sendiri, jika hari itu saya terlepas jemaah subuh. Akan ada konflik yang berlaku antara saya dan pasangan. Samaada wujud salah faham atau kecacatan dalam pengurusan. Konflik itu tidak besar namun ia menyukarkan proses harian saya.

Menyedari hal itu, saya nasihatkan diri saya dan saudara sekalian. Khususnya yang bernama lelaki. Berjemaahlah setiap waktu. Kerana jika kita membesarkan Allah, pasti Allah mampu membantu kita. Berilah ruang untuk Allah, pasti Allah akan meluangkan masa untuk menyelesaikan masalah kita. Sebaliknya, jika kita membesarkan dunia pasti dunia akan memberi lebih banyak kerumitan.

Ingatlah, ketenangan adalah impak yang tercipta dari konsistensi berjemaah. Tunaikan sedaya upaya.

'Jadilah ketua dan khalifah yang baik. Semoga dirahmati Selalu'