Tuesday, August 22, 2006

Hujankah?

Soifi,

bikin tanah hatiku tandus. Jiwaku pijar dan panas. Aku tidak tahu mengapa, diri seperti tersesat. Aku fikir, diri sendiri adalah tasik yang menakung air. Bisa menyejukkan dan mendamaikan. Rupanya aku tersilap. Aku sebetulnya sebidang tanah kering di dataran sahara. Kononnya aku ini mampu mendamaikan orang, walhal diri sendiri adalah pepasir kering dan kontang.

Wargh!!!!!

Hatiku tandus.

Wargghh!!!!

Kering...panas...

Wargghh!!

Aku terbakar!

Aku terbakar! Hatiku sudah buta akibat api kemarahan. Emosiku berjelaga hitam dan kewarasanku terkatup dalam asap tebal. Sabarku telah hangus. Kewajaranku sudah terbang di bawa asap yang berkepul-kepulan.


Marah! Marah! Api kian marak!

Jangan dekat, nanti kubakar segalanya. Biar jadi arang, biar jadi abu. Kamu tuang minyak benci dan apiku akan merebak. Kamu tuang minyak kemarahan, nyalaku akan bertambah. Aku dalam kemarahan, kegilaan, kecamukan dan kepayahan. Buat apa lagi? Marahlah aku! Panaskan aku! Biar aku meletup...jadi abu dan arang.

Tik...

Tik...tak...tik...tak...

Titik air?

Tik...tik...

Hujankah?

Api mula padam. Marahku kian padam. Kepanasan...akhirnya hilang. Jadi dingin dan nyaman.

Tuhan, kenapa?

Aku mahu dituang minyak dan kepanasan. Kenapa kau berikan aku ini? (Tertunduk dan menangis)


P/S : Teman yang baik itu seharusnya meleraikan kekusutan dan memadamkan perselisihan. Ternyata, aku gagal dalam ujian untuk menjadi seorang teman yang baik. Tuhan, terima kasih kerana turunkan hujan. Untuk jiwaku yang gersang.

List

1) Bermain dalam kejohanan PMHK untuk team bola tampar dan futsal.
2) Menjadi panelis forum bagi kejohanan PMHK.
3) Menjadi hakim untuk pertandingan pantun dan sajak.
4) Membaca buku Falsafah Islam demi menghadapi exam.
5) Membantu SPR menyiapkan beberapa bahan untuk majlis taaruf calon exco akan datang.

Kerja yang baru selesai
1) Telah menyiapkan 3 jurnal Ribut Dari Gurun untuk Suara Hewi PMRAM.
2) Selesai berbengkel penulisan di Rumah Kelantan Baru.

Thursday, August 17, 2006

Titipan Ralat untuk Warga Iskandariah

Titipan ini khusus buat siswi Iskandariah yang menyertai bicarawara sastera di dewan Zajlatul Abidah baru-baru ini. Sepatutnya slot bicawara itu bermula jam 2.00pm tetapi telah teranjak hampir 40 minit. Hingga jam 2.40pm barulah ia dapat dimulakan.

Saya mohon maaf terlebih dahulu. Ada perkara yang ingin saya jelaskan. Saya mendapat maklumat dari blog seorang RAFIK yang menyatakan kelewatan itu disebabkan saya. Baiklah, di sana ada salah faham yang perlu saya perbetulkan.

Rafik tersebut memberitahu, program bicarawara tertangguh selama 40 minit itu disebabkan saya lambat muncul di lokasi. Dia juga husnu zhon dengan menyatakan, barangkali saya tersesat jalan. Ini menyebabkan seorang lagi panelis bagi slot tersebut iaitu ustaz Arif terpaksa menunggu hampir 40 minit di muka pintu dewan. Beliau tidak dibenarkan masuk sehingga saya muncul.

Begitulah cerita rafik saya di blognya.

Saya mahu perbetulkan semuanya. Saya sebenarnya tidak lewat. Saya malah tiba di lokasi bersama ustaz Arif tepat jam 1.55pm iaitu 5 minit sebelum slot saya bermula. Akhirnya, saya terpaksa berdiri di depan dewan Zajlatul Abidah selama 40 minit bersamanya. Saya tidak tahu siapa yang menyatakan saya datang lewat. Saya juga pelik bagaimana mereka boleh menyangka saya tidak muncul di lokasi, padahal saya berdiri dan mengetuk pintu dewan sebaik sampai di lokasi.

Saya sebetulnya rasa terhukum. Bayangkan, saya datang menepati waktu, berdiri di depan pintu dewan selama 40 minit. Yang mana sewaktu kami tiba, dewan kelihatan lengang. Bahkan, sewaktu program bermula jam 2.40pm itu peserta masih ramai yang belum tiba. Akhirnya, setelah program selesai...saya dikatakan punca program bermula lambat.

Pelik juga kan? Seolah-olah saya terkena suatu hukuman. Mula-mula saya dijemput sebagai panelis. Setelah kami datang tepat pada masanya. Di paksa berdiri 40 minit di luar dewan. Akhirnya, setelah semua selesai lalu saya di katakan punca program bermula lambat.

Ala kulli hal. Saya mahu tegur dua perkara.

1) Sila betulkan fakta yang salah itu.

2) Kepada yang membikin cerita bahawa saya datang lambat, harapnya dia berhati-hati. Apatah lagi jika menyalahkan saya pada perkara yang saya langsung tiada kaitan dengannya.

Sekian, wassalam.

Monday, August 14, 2006

Menulis untuk Menyumbang

Minggu lepas, saya dihubungi ustaz Hud selaku BPP PMRAM. Dia mengkhabarkan satu berita baik. Novel saya 'Izinkan Aku Pergi' (IAP) telah siap disemak dan telah mendapat kelulusan. Saya gembira. Mudah-mudahan doa dan harapan saya selama 5 tahun terkabul.

5 tahun yang lalu saya budak kampung yang tak tahu apa itu dunia penulisan dan perbukuan. Saya menyertai WARTA PMRAM dan bergiat cergas kerana minat. Kemudian, beberapa orang rakan mahu menaikkan saya sebagai exco penerbitan. Saya jadi gawat.

Saya bertemu beberapa orang senior yang arif dalam dunia penerbitan, antaranya ustaz Rosdi Abdullah. Iaitu penyusun antologi cerpen 'Sinar Di Horizon Nil' yang diterbitkan oleh DBP. Dia berpesan pada saya. Ambil ilmu persatuan ini secukupnya, sebelum anda pulang ke Malaysia sebagai graduan...pastikan anda tinggalkan jasa di sini. Dengan kata lain, menghasilkan buku sendiri untuk pelajar Mesir.

Buat masa ini, saya perlu siapkan kata pengantar dan menyerahkan design kulit novel IAP. Kemudian, sebaik persetujuan dibuat...buku itu akan saya lepaskan sepenuhnya untuk manfaat PMRAM. Novel IAP ini saya bikin khas untuk PMRAM, keuntungannya akan dibahagi antara PMRAM dan KPKM. Saya cuma mahukan 10 naskah percuma novel IAP sebagai upah menulis. Itu sahaja. Dari awal lagi saya tidak bercadang menulis untuk keuntungan, saya menulis untuk menyumbang. Iya...menyumbang.

Memang ia masih hak milik saya, namun saya melepaskan hak itu untuk PMRAM. Terserah pada PMRAM untuk mengubah isi dan percetakannya. Ia bukan lagi hak saya. Oh ya! Hanya dengan PMRAM sahaja saya berlapang dada, dengan penerbit lain saya tidak akan bersikap begini.

Apapun...masing-masing perlu ingat. Bakat adalah pinjaman dari Allah SWT. Ia bersifat pinjaman dan tidak kekal. Jadi, tiada gunanya saya menguasai segala bahan yang ditulis sendiri kerana itu juga datang dari Allah. Mudah-mudahan, Allah menerima cara saya ini.

Wassalam.

Satu...Dua...Tiga...

Satu...

Sebenarnya saya baru memadam satu entry yang panjang. Lalu menggantikan ia dengan entry ini.

Dua...

Kekadang, saya juga hilang kewajaran dan mudah meradang.

Tiga...

Mohon maaf pada sesiapa yang terlibat. Saya hanya kanak-kanak dewasa. Yang belum cukup matang untuk membezakan antara teguran dan herdikan.

Setiap hari kita membikin berpuluh kesalahan, tetapi kita cuma mampu memohon ampun dengan beberapa ungkapan sahaja yang seerti dengan maaf. Memang benar, satu ungkapan 'maaf' tidak cukup untuk memadamkan sepuluh kesilapan. Tetapi...hanya itu sahaja yang mampu diucapkan.

"Maafkan saya, dalam hal ini...saya memang tersilap menghukum."

Sunday, August 13, 2006

RIBUT DARI GURUN

Fuh! Saya benar-benar ribut sehari dua ini.

Malah saya hampir terlupa kunci masuk ke blog sendiri. Maklumlah, lama benar tidak mencoret sampai ingat-ingat lupa password. Yosshhh! Inilah kehidupan mahasiswa tua yang belum pulang ke Malaysia. Perlu banyak berkongsi dan membantu mahasiswa muda. Juga belajar dari rakan-rakan yang bekerja sama-sama.

Memang! Apa jua ilmu sama ada ilmu akademik(hard skill) dan organisasi(soft skill), kita tak boleh lokek berkongsi. Kerana yang untung akhirnya kita juga. Kita akan menjadi semakin mahir dan cekap dengan ilmu tersebut.

Sebetulnya, saya menulis catatan ini ketika subuh dalam perjalanan. Sekarang 4.42am subuh pula sekitar jam 4.50am. Sementara menunggu azan, saya ingin berkongsi cerita. Kelmarin saya menelefon ayahanda untuk memberitahu keputusan exam. Saya pass dua subjek dan masih berbaki satu subjek. Subjek tersebut akan diduduki kali kedua pada 2 september ini. Doakan saya sukses dan pulang sebagai graduan.

Petang semalam saya bertanya ketua editor Suara Hewi, ustazah Suzana berkaitan dateline bagi jurnal saya. Katanya saya perlu siapkan pada 15hb ini. Buat makluman, saya kini sedang menulis jurnal 'Ribut Dari Gurun' sebanyak 4 siri untuk diterbitkan menerusi Suara Hewi PMRAM. Jika di Malaysia, 4 jurnal akan dibayar paling kurang RM 160. Tapi, jika diterbitkan menerusi karangkraf, satu jurnal saja sudah dibayar RM 150 - RM 300. Apapun, di sini bukan seperti di Malaysia. Di sini kita belajar untuk memantapkan paradigma sebagai mahasiswa Islam. Kita korbankan masa dan tenaga demi mengharapkan ganjaran dari Tuhan.

Hari ini, bengkel penulisan akan berlangsung di Rumah Kelantan Baru pada jam 9.00am. Saya diberitahu bahawa peserta seramai 20 orang. Jika benar seramai itu, maka jumlah itu adalah cukup ramai. Setakat ini, saya sudah bersiap sedia untuk berbengkel. Namun, malam semalam juga saya ditawar secara mengejut untuk menjadi pengisi program yang akan diadakan pada hari ini, jam 8.30am di Rumah Penang. Bererti di sana akan ada pertembungan antara bengkel saya dan program yang baru diterima.

Apa yang perlu saya buat? Tolak tawaran itu?

Tidak sama sekali. Saya terima. Saya benar-benar mahu memenuhi jemputan itu, justeru saya diminta menyiapkan kertas kerja. Apa lagi, dari jam 2.00am hingga 3.45am saya ralit menaip kertas kerja. Doakan agar saya sukses dalam pembentangan kertas kerja yang saya karang dalam masa 1 jam setengah. Berbekalkan persediaan masa yang kurang saya tetap mahu melakukan yang terbaik. Harapnya saya tidak tersungkur atau rebah ketika pembentangan. Maklum sajalah, tak tidur lagi dari semalam.

Penat, memang penat. Lebih baik saya menolak sahaja tawaran itu. Tapi, dalam soal ini saya optimis. Saya yakin, apa jua tawaran yang datang kepada kita sebetulnya ia datang dari Allah.

'La yukallifullahu nafsan illa wus'aha' Maksudnya : Allah tidak akan (sama sekali) mentaklifkan (Ke atas hamba-Nya) melainkan dia mampu melaksanakannya.

Saya yakin dan saya percaya, saya mampu melakukan hal tersebut. Walaupun di sana kemungkinan terdapat kecacatan dan kekurangan, anggaplah itu sebagai pengajaran untuk mematangkan kehidupan saya. Justeru, jika terdapat teguran dan kritikan selepas ini, saya akan hadapi dengan senyuman.

Ribut pun ributlah. Asalkan orang lain tidak rugi buat program, saya juga tidak rugi kerana dapat belajar sesuatu darinya. Hidup memang begini, saling perlu memerlukan. Saling perlu bantu membantu. Bukankah manusia itu lemah?

Ya Allah! Bantulah aku dalam membantu hambamu yang lain.

Amin!




Friday, August 04, 2006

Tiga Kesibukan

Lama benar rasanya tidak menulis di sini. Walaupun sering menjenguk, tapi tak punya masa mencoret. Saya kesuntukan masa untuk menulis di blog sendiri. Walaupun pada hakikatnya, saya sentiasa menulis setiap hari. Tapi bukan di sini, di ruangan yang lain.

Sehingga kini, saya salah seorang jururunding di website http://drcinta.com dengan memakai nickname ustazcinta. Berbanyak terima kasih pada abang Fauzul di atas peluang yang diberikan. Sejujurnya, saya menerima banyak persoalan dari pengunjung website. Kebanyakannya berkaitan dengan masalah cinta yang memerlukan konsultansi. Mereka bertanya menerusi emel, kekadang saya hampir tidak menang tangan untuk membalas emel yang muncul di mailbox.

Ini kesibukan yang pertama. Kesibukan yang tak putus-putus dari masa ke semasa. Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara seagama. Sekalipun sekadar berutus emel. Seterusnya...

Memandangkan KPKM(persatuan anak kelantan di Mesir) juga memerlukan tenaga, saya tidak mahu lepas peluang untuk membantu. Baru selesai satu kem yang berlangsung sebanyak 3 siri. Kini saya menerima tugasan sebagai pegawai SPR sempena menghadapi muktamar pada bulan sembilan. Juga menjadi ajk khas untuk konvokesyen di peringkat kedutaan. Hal ini, memang membuatkan otak jadi sedikit lesu.

Ini kesibukan yang kedua. Kerja yang saya terima dengan niat meringankan beban kawan yang lain. Lagi...

Sebagai penulis amatur, saya sering dijemput untuk menjadi penceramah, panelis, moderator dan mentor bagi genre penulisan. Kebiasaannya jika saya menyanggupi untuk menerima tawaran tersebut, maka saya akan diminta untuk menyiapkan kertas kerja. Jika makluman lewat diberitahu, saya terpaksa berkelam kabut menyiapkan kertas kerja yang akhirnya menjadi agak sempoi!

Ini kesibukan ketiga. Ini berkait dengan minat saya sendiri. Ia tidak membebankan saya.

Maka...tiga jenis kesibukan ini, saya kumpul menjadi satu. Selaku hamba yang dhaif, saya berharap moga tuhan membantu saya mengurus dengan baik.

Hidup, mustahil sunyi dari pekerjaan. Kerja, tak pernah khali dari masalah. Ia merupakan bahan eksperimentasi yang mematangkan jiwa. Hidup adalah sebuah jalan yang perlu kita lusuri dengan sabar. Mana mungkin hidup ini tidak berbuat apa-apa.

Oh ya, doakan saya sukses dalam siri-siri program di sini.

5hb Ogos : Menghadiri program Talkshow di Iskandariah. Dari jam 2.00-5.00 petang.

9hb Ogos : Mesyuarat SPR kali kedua.

13hb Ogos : Bengkel penulisan anjuran Kelab Karyawan Islam, di rumah Kelantan. (Jom pakat sertai)

Jika ada gambar, insya allah saya akan letakkan di blog.

Wassalam.