Saturday, April 07, 2007

Angin dari Timur

(Catatan ini ditulis untuk seorang rakan penulis)

Assalamualaikum warahmatullah

Temanku...

Penat bukan? Duduk dahulu dan ambil beberapa nafas yang panjang. Jangan pusing kepala dengan masalah yang tidak mampu diselesaikan. Anda berhak mendapat waktu rehat kerana anda juga manusia biasa. Anda juga bukan manusia super yang boleh buat segala-gala...anda dan saya....kita semua manusia biasa sahaja. Jangan risau kalau orang kata kita lemah, kita kurang dan kita tak cukup terer. Sebab kata-kata itu adalah bukti bahawa kita adalah manusia.

Temanku...sebagai seorang rakan...dan saudara seagama...

Saya meluangkan masa untuk menulis catatan ini agar kita kembali kepada hakikat sebenar seorang hamba Allah. Kita bekerja kerana Allah adalah untuk pahala dan keabadian syurga. Tiada yang selain-Nya. Kerja kita bukan bermatlamatkan kesempurnaan, kemenangan besar, pujian melata atau keuntungan berganda. Kita cuma mencari PAHALA. Di mana ada pahala, di situ kita akan pergi. Sekalipun kita gagal melaksanakannya dengan sempurna, sekurang-kurangnya kita tahu pahala tetap ada untuk kerja itu. Jika kita sedar hakikat itu, bererti kita adalah orang yang tidak pernah walah.

Temanku... jangan lumpuh semangat dalam mencari pahala...kerana semangat seorang muslim itu tidak pernah lumpuh dalam mencari pahala...melainkan dia sudah mengubah niat itu untuk mencari sesuatu yang lain.

Bangunlah...bekerjalah...kerana duduk sahaja atau mengalah itu bukan pilihan kita. Dan pastinya kita tidak mahu memilih jalan untuk berdiam diri dan putus asa.

Ingat...Bukan kita yang menentukan siapa bakal menjadi pemimpin masa depan. Bukan kita penentu siapa yang bakal jadi penulis di masa depan. Kita tidak tahu...kerana itu kita hanya seorang penyeru(da'ie) ataupun muballigh. Hidayah dan kesedaran serta takdir itu semuanya milik Allah. Kita hanya bekerja dengan bakat dan kemahiran yang ada dalam diri kita. Kita hanya bekerja kerana kita mampu melakukannya. Soal kejayaan dan hasil, itu bukan ditangan kita. Soal masa depan itu kita serahkan segalanya kepada Allah.

Oleh itu...janganlah bersedih...janganlah bermurung...janganlah tertunduk dan merasa terpinggir...itu bukan tugas kita sekarang. Itu bukan perkara yang sesuai untuk kita buat sekarang.

Yang perlu kita lakukan sekarang ialah...tunjukkan kepada Allah bahawa kita adalah hamba-Nya yang sedia diuji dan akan terus berdiri. Kita akan tunjukkan kepada Allah bahawa kita termasuk dikalangan hamba-Nya yang ikhlas dan tidak pernah mengharapkan ganjaran duniawi. Kita adalah hamba yang bekerja untuk-Nya dan bertawakal kepada-Nya.

Temanku...sebelum itu...jika anda penat. Tidurlah dahulu. Jika anda merasa walah, berehatlah seketika. Tetapi jangan kecewa dan jangan mengalah. Menangis dalam berjuang itu adalah lebih baik daripada tersenyum dalam ketewasan. Dan...saya meyakini anda adalah seorang yang tahu memilih apa yang terbaik.

Anda adalah pemimpin untuk diri anda. Setiap keputusan yang anda pilih...wajar dihormati.
Sekian.

A. Ubaidillah bin Alias
Seorang rafiq

1 comment:

Az-Zahra said...

Siapa agaknya temanmu itu ye? :)