Friday, April 13, 2007

Pernahkah Anda Berdiri di Titik Vakum?

Saya seperti berlari di dalam arus yang deras. Terasa lebuh raya di dalam minda saya macet. Jiwa dan fizikal saya seolah-olah tidak sempat berfikir dan merancang dengan baik. Kerja-kerja-kerja... membuatkan saya terkejar-kejar sesuatu yang tidak pasti.

Saya mengajar, kemudian pulang dan keluar lagi untuk mengajar. Jika ada waktu senggang, saya membantu keluarga. 4 malam dalam seminggu saya isikan dengan program kuliah. Rutin itu berulang dari minggu ke minggu membuatkan otak sempit saya menjadi padat. Saya mengakui bahawa dahulunya saya agak manja dan sering mempunyai masa rehat yang cukup. Sekarang, masa rehat itu sudah dicuri untuk kerja dan mengajar.

Sesekali bila saya dapati diri sendiri terlalu sibuk. Dari subuh ke asar mengajar, selepas asar membantu keluarga, maghrib pula keluar memberi kuliah dan selepas isyak memeriksa buku pelajar, lagi menghubungi rakan-rakan Alumni...betapa saya merasa waktu itu amat berharga. Justeru, saya mencari satu titik vakum untuk berdiri dan menyusun kembali jadual kehidupan saya yang entah apa-apa.

Saya sedar, kini otak sempit saya kian mengembang. Saya sedar, kini tubuh lemah saya makin tegal. Saya sedar bahawa pengurusan waktu saya kian kemas dan tersusun. Hal itu terjadi apabila saya menemui titik vakum setiap hari.

Apa yang saya lakukan pada titik vakum itu? Saya berhenti melakukan segala-galanya kecuali merancang. Ya, itu sahaja. Biasanya dalam perjalanan ke sekolah...saya akan memandu kereta sambil merancang kerja yang bakal disiapkan pada hari itu. Saya cuba cungkilkan semua masalah yang perlu saya hadapi dan sekaligus saya carikan jalan penyelesaiannya. Akhirnya, masalah yang saya temui hari itu mampu diselesaikan dengan pantas.

Begitu juga dalam seminggu, saya akan memilih satu hari untuk menyusun kembali semua agenda dalam seminggu. Saya sering memilih antara hari Jumaat atau hari Ahad. Pada hari Jumaat, kebiasaannya saya akan mengemaskan pakaian dan membersih kenderaan. Seterusnya memeriksa catatan program yang bakal saya hadiri.

Ternyata, selepas saya menemui titik vakum itu kehidupan saya menjadi lebih terurus. Semuanya kerana Allah Taala membantu saya dan memberikan taufiq serta hidayah-Nya. Allahu akbar!

1 comment:

IbnuImam said...

Bagusnya entri ni. Terima kasih! Ia banyak membantu saya dalam merancang semula kehidupan saya sebagai seorang pelajar.