Thursday, March 13, 2008

SISTEMATIK DAN PROFESIONAL

Manusia membina banyak sistem dalam kehidupan untuk memudahkan dan melancarkan sesuatu perancangan. Namun, bagi kebanyakan orang 'kurang berilmu' kewujudan sistem kadang-kadang menyukarkan banyak proses.

Contohnya, dahulu orang kampung tak pernah berurusan dengan bank, kalau nak pinjam wang hanya cari orang kaya. Sekarang bank sudah banyak, nak pinjam wang kena buat loan. Bila nak buat loan ada borang yang perlu diisi dan perlu mengikuti syarat-syaratnya. Ada sistem yang perlu dipatuhi, jika tidak mengikut sistem maka hasrat untuk meminjam akan terbatal. Begitu juga apabila ingin meminta sumbangan dan peruntukan dari sesebuah syarikat untuk kos sesebuah program, kita tidak boleh pergi semberono hanya dengan membawa muka seposen. Mereka mahukan surat rasmi, kertas kerja dan anggaran kos perbelanjaan. Jika tidak ada, mereka tidak akan melayan. Itulah sistem yang diwujudkan untuk memudahkan kedua-dua pihak.

Sistem sebenarnya untuk memudahkan kesemua pihak, namun kerana kejahilan dan ketidakmatangan kita menyebabkan urusan semakin sukar. Akibat kelemahan kita untuk memahami dan ketidakmampuan kita untuk mengikuti sistem kontemporari, akhirnya banyak kemudahan yang wajar kita nikmati tidak sampai ke sisi.

Jika dilihat secara teliti, sistem ini terbentuk dari asas komunikasi secara lisan dan bertulis. Andai kita menguasai teknik komunikasi umum yang melibatkan lisan dan penulisan, pasti urusan kita akan menjadi mudah. Malangnya, ramai orang tidak menguasai teknik komunikasi lisan dan penulisan. Hingga menyebabkan status profesional mereka tergugah! Sijil belajar tinggi, tapi buat urusan tunggang-langgang.

Ada beberapa perkara yang wajar dikuasai untuk hidup dalam zaman sekarang. Pertama :

1) Kemahiran bertutur dengan bahasa melayu standard. Ini memudahkan orang lain segera memahami maksud yang ingin disampaikan. Masalahnya, ramai orang gagal memahami bahasa pengucapan umum. Khususnya orang Kelantan, sukar mencari ayat apabila bertutur dengan orang luar. Ini satu kelemahan besar apabila memasuki temuduga.

2) Kemahiran menulis surat rasmi dan tidak rasmi. Ini penting apabila anda membuat sebarang urusan dengan badan berkanun atau sebarang pihak bertaraf eksekutif.

3) Kemahiran membuat kertas kerja. Ini sangat penting apabila anda mahu menjadi seorang pengarah atau mahu merealisasikan impian anda. Impian itu wajarlah dipaparkan secara bertulis di atas kertas dalam bentuk 'blue print'. Anda tidak boleh membawa cadangan sekadar angin lalu, semuanya perlu dicatat.

4) Anggaran kewangan. Jika anda seorang perancang yang bijak, anda wajar menguasai ilmu kewangan. Tidak perlu belajar akaun dahulu untuk pandai membuat anggaran, yang penting anda tahu apakah harga barang yang anda perlukan. Kemudian buatlah anggaran.

Kegagalan mengikut sistem, adalah punca banyak kemudahan gagal dikecapi. Ketidakcekapan dalam pengurusan serta tahap profesionalisma yang rendah, adalah natijah daripada kemalasan diri sendiri. Untuk mengikut sistem, kita hanya perlukan sedikit kerajinan untuk memahami sistem yang ada, serta sedikit kerajinan untuk mempelajari kemahiran yang ada.

Sekian.

No comments: