Wednesday, March 05, 2008

SINOPSIS DAN OPINI

Untuk makluman pembaca, buku Warkah Cinta Berbau Syurga telahpun siap diprint. Ia akan menemui pembaca bila-bila masa sahaja. Naskah yang dicetak telahpun sampai ke tangan saya. Untuk itu saya letakkan entry ini kerana ada permintaan daripada pihak PTS Millennia. Jadi, selamat membaca sinopsis. Belikan sekali yang asal nanti ya.

UNTUK SIAPA BUKU INI?

Buku ini untuk remaja. Namun ia masih bersifat reseptif untuk pelbagai golongan usia.

APAKAH MATLAMAT UTAMA PENCERITAAN DALAM NOVEL INI?

Memandangkan saya masih dalam lingkungan usia remaja, sudah pasti saya ingin memahamkan remaja apa yang telah saya lalui dan keputusan yang saya buat sepanjang kehidupan. Buku ini mahu mengajar cara berfikir dan cara membuat keputusan mengikut Islam. Secara jujur, ceritanya tidak terlalu ‘indah’. Cerita ini mahu mengajar remaja Islam untuk membentuk prinsip dalam pergaulan, cara memilih pasangan dan bagaimana bertindak apabila masalah perasaan datang bertimpa-timpa. Juga memahamkan konsep takdir dan jodoh. Kita sebagai manusia, hanya mampu berikhtiar dan jodoh itu kita serahkan kepada tuhan. Jangan terlalu mengharap sehingga membuatkan kita kecewa melampau.

APAKAH YANG MENDORONG SAUDARA MENULIS NOVEL INI?

Ikhlas saya katakan, ia berlaku kerana desakan semasa. Saya tidak berpuas hati membaca novel-novel remaja yang ada di pasaran. Ia terlalu mempromosikan cinta murahan, mengajak remaja ke dunia asyik-maksyuk. Tidak ada penerapan ilmu Islam dan tidak ditegaskan soal batasan syariat serta halal dan haram. Ia menjauhkan remaja tentang realiti kehidupan yang bakal mereka tempuh. Terlalu banyak unsur ‘angan-angan’ sekaligus mematikan kefahaman terhadap realiti kehidupan yang pahit dan menyukarkan. Setakat ini, saya sangat menghormati karya Faisal Tehrani. Dia juga sebagai pendorong untuk saya terjun dalam genre ini.

Jom! Perbanyakkan novel islamik bagi membantu remaja kita membina pemikiran yang teguh dan karisma yang mandiri.


Sinopsis novel ‘Warkah Cinta Berbau Syurga’

Amir Mukhlis adalah pelajar maahad tahfiz yang cuba dibentuk oleh gurunya Ustaz Hamdi. Beliau dilatih untuk menjadi penulis dan pemidato. Dalam proses itu, beberapa kesukaran terpaksa dihadapi. Memandangkan bakatnya dalam penulisan agak menonjol, rakan-rakannya sering meminta bantuannya untuk menjadi jurutulis surat atau esei peribadi. Beliau turut dilantik sebagai ajk badan redaksi sekolah, dari situ berlakulah pertemuan secara kebetulan dengan Wardah yang juga ajk badan redaksi di sekolah Naim Lilbanat. Pertemuan itu bukan sahaja merubah suasana dalam dirinya, malah turut memberi impak terhadap diri Wardah.

Wardah adalah pelajar cemerlang, mempunyai ketrampilan dan perawakan yang menarik. Dia bukan sahaja menjadi bualan di sekolah malah di beberapa sekolah agama yang lain. Hal itu menyebabkan Wardah ramai pelajar lelaki dari luar ingin berkenalan dengannya. Walaupun begitu, Wardah mempunyai satu prinsip diri yang agak tegas. Memandangkan dia berasal dari keluarga yang agak bermasalah, ini membuatkan dia payah mempercayai lelaki. Dia benci kepada lelaki yang kurang bertanggungjawab dan jahil. Dia mahukan seorang kawan lelaki yang faham agama dan memahami erti tanggungjawab. Tanpa disedari, Wardah merasakan Amir Mukhlis memiliki ciri yang diinginkannya.

Konflik percintaan mengheret kedua-dua watak kepada beberapa persoalan jiwa. Di sinilah kedua-duanya cuba menjelaskan beberapa perkara yang sering menjadi polemik percintaan remaja. Bolehkah bercinta dalam usia remaja? Adakah Islam mewujudkan batas-batas dalam pergaulan? Sejauh mana keharusan bercinta dalam usia remaja? Jika ingin memilih pasangan, apakah ciri yang seharusnya diutamakan? Persoalan inilah yang dibangkitkan oleh Amir sehingga memenjarakan Wardah dalam satu dinding lutsinar.

Amir memilih universiti Al-Azhar, Kaherah sebagai destinasi ilmu peringkat ijazah. Di sinilah dia mula memahami perjuangan menuntut hak dan keadilan dalam konteks mahasiswa Islam. Di sinilah Balqis muncul dalam hidup Amir, seorang gadis yang banyak menghadapi masalah dan kebetulan Amir mampu menyelesaikannya secara tidak sengaja. Akibat dari ketidaksengajaan itu, Balqis mendapati bahawa Amir adalah seorang yang sangat matang dan mampu memimpinnya untuk meneruskan kehidupan. Sebaik sahaja Balqis menzahirkan kecenderungannya terhadap Amir, teman serumahnya mula bersikap cemburu. Dalam masa yang sama, Amir dibebankan dengan masalah kesihatan. Dan ternyata, saat getir ini digawatkan lagi dengan kemunculan surat dari Wardah.

Dalam kesakitan, kesempitan dan menanggung pengharapan orang, Amir perlu menyelesaikan konflik persahabatan dan hubungan perasaannya. Mampukah dia berdiri dengan kaki sendiri demi menghadapi segala keperitan ini?

3 comments:

hardisk said...

tidak rugi memiliki novel ini.padat dengan nasihat dan pengajaran bagi muda-mudi yang makin sesat barat.

arifRADZI said...

terima kasih di atas kehadiran novel ini.
saya baru baca dan novel ini memang best!
:)

Muhammad Ariff Asyrul bin Adnan said...

muntahan ilham yang sangat menarik..novel ini sarat dengan elemen-elemen Islam yang sukar didapati dalam mana-mana karya.
terima kasih kepada anda kerana menghasilkan sebuah karya yang menarik untuk tatapan pembaca.