Sunday, April 19, 2009

Warkah Cinta... Antara Cinta dan Perjuangan


Warkah Cinta Berbau Syurga tulisan penulis tempatan A. Ubaidillah Alias mengangkat dan mempersembahkan alihan konsep cinta dan jihad yang segar, kontemporari dan selari dengan syariah Islam yang membenarkan aspek cinta dan jihad yang tepat dan tidak berunsur nafsu. Penceritaan cerita dengan plot yang mengikut kronologi masa, tempat, emosi, konflik dan persoalan remaja disusun kemas dan senang dibaca. Nilai tambah adalah apabila diselitkan terjemahan ayat Quran dan Hadis yang disampaikan bagi menerangkan situasi dan bukan kerana tujuan mengarah dan menunjuk pandai.

Remaja yang mahu mengetahui konsep cinta dan perjuangan emosi remaja yang sebenar perlu mendapatkan rujukan yang tepat dan serasi dengan jiwa remaja mereka. Justeru itu, buku ini hadir membawa sinar harapan beserta kilauan bintang terpilih yang mampu dijadikan medium perantaraan supaya remaja memahami aspek cinta dan jiwa remaja yang sebenar.

Permulaan watak, Amir Mukhlis adalah pelajar Maahad Tahfiz Quran Pulai Chondong yang cuba dibentuk oleh gurunya Ustaz Hamdi. Beliau dilatih supaya menjadi penulis dan pemidato. Dalam proses itu, beberapa kesukaran terpaksa dihadapi. Memandangkan bakatnya dalam penulisan agak menonjol, rakan-rakannya sering meminta bantuannya menjadi jurutulis surat ataupun esei peribadi. Beliau turut dilantik sebagai ajk badan redaksi sekolah, dari situ berlakulah pertemuan secara kebetulan dengan Wardah yang juga ajk badan redaksi di sekolah SMKA Naim Lilbanat. Pertemuan itu bukan sahaja merubah suasana dalam dirinya, malah turut memberi impak pada diri Wardah. Apakah yang berlaku antara mereka berdua?

Wardah adalah pelajar cemerlang, mempunyai keterampilan dan perawakan yang menarik. Beliau bukan sahaja menjadi bualan di sekolah malah di beberapa sekolah agama yang lain. Hal itu menyebabkan ramai pelajar lelaki dari luar ingin berkenalan dengannya. Walaupun begitu, Wardah mempunyai prinsip diri yang agak tegas. Memandangkan beliau berasal dari keluarga yang agak bermasalah, ini membuatkan beliau payah mempercayai lelaki. Beliau benci kepada lelaki yang kurang bertanggungjawab dan jahil. Beliau mahukan seorang kawan lelaki yang faham agama dan memahami erti tanggungjawab. Tanpa disedari, Wardah merasakan Amir Mukhlis memiliki cirri-ciri yang diinginkannya. Perasaan itu dikongsi bersama temannya seperti Rohana dan Tasnim. Adakah Wardah dapat memiliki hati Amir Mukhlis?

Konflik percintaan mengheret kedua-dua watak kepada beberapa persoalan jiwa remaja. Di sinilah kedua-duanya cuba menjelaskan beberapa perkara yang sering menjadi polemik percintaan remaja. Bolehkah bercinta dalam usia remaja? Adakah Islam mewujudkan batas-batas dalam pergaulan? Sejauh mana keharusan bercinta dalam usia remaja? Jika ingin memilih pasangan, apakah ciri yang perlu diutamakan? Bagaimana mahu beri tumpuan pada pelajaran apabila bercinta? Persoalan inilah yang dibangkitkan oleh Amir sehingga memenjarakan Wardah dalam satu dinding lutsinar. Pembaca pasti mahu cara hubungan mereka terjalin secara Islami.


Amir memilih universiti Al-Azhar, Kaherah sebagai destinasi ilmu peringkat ijazah. Di sini beliau mula memahami perjuangan menuntut hak dan keadilan dalam konteks mahasiswa Islam. Balqis muncul dalam hidup Amir, gadis yang banyak menghadapi masalah dan kebetulan Amir mampu menyelesaikannya secara tidak sengaja. Pelbagai insiden yang berlaku secara tidak sengaja seperti takdir menemukan mereka. Namun Amir punya prinsip tersendiri. Akibat daripada itu. Balqis mendapati Amir adalah seorang yang sangat matang dan mampu memimpinnya bagi meneruskan kehidupan. Sebaik sahaja Balqis menzahirkan kecenderungannya kepada Amir, teman serumahnya mula bersikap cemburu. Pada masa yang sama, Amir dibebankan dengan masalah kesihatan. Dan ternyata, saat getir ini digawatkan lagi dengan kemunculan surat daripada Wardah. Ia adalah warkah yang bernoktah pasti dan kekal. Adakah Wardah dapat mengutus surat kepada Amir lagi?


Dalam kesakitan, kesempitan dan menanggung pengharapan orang, Amir perlu menyelesaikan konflik persahabatan dan hubungan perasaannya. Mampukah beliau berdiri dengan kaki sendiri demi menghadapi segala keperitan ini?

A.Ubaidillah Alias adalah penulis buku Sekudus Nur Illahi. Buku tulisan kedua ini adalah manifestasi wawasan beliau mahu memberi nasihat berkenaan cara berfikir dan membuat keputusan mengikut Islam. Ia adalah hadiah daripada remaja untuk remaja. Beliau begitu komited mahu mengubah persepsi remaja yang terpengaruh dengan novel yang mempromosi cinta murahan, tiada tatacara timur dan Islam yang sebenar. Beliau juga menghormati penulisan kreatif penulis terkenal Faisal Tehrani yang dijadikan mentor dalam dunia penulisan kreatif. Penulis percaya novel Islami mampu membina pemikiran remaja yang teguh dan karisma yang mandiri.


Beliau adalah guru Al-Quran dan akademik di Maahad Tahfiz Sains, Tumpat, Kelantan. Beliau menamatkan hafazan 30 juzuk di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong. Seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al-Azhar Kaherah.

dipetik daripada :

Oleh: Roslan

5 comments:

azmi said...

bl nak terbit novel baru??

under syarikat ape???

A. Ubaidillah Alias said...

Novel baru terbit lepas book fair. Under pts litera.

:D

MKriza said...

Teruskan berkarya saudara!!!

mie said...

tahniah..:)

LUKISAN PENA said...

A. Ubaidillah Alias:

tuan,
saya berjaya manghabiskan "warkah cinta berbau syurga" masa pg sabah...sedih betul.. Banyak ilmu tersirat.. masa tu berjauhan dgn family..memang terkesan novel tu..

cover baru color ungu ni nampak lebih emosi..lebih menarik, jeles pun ad gak..

tahniah..cerita pembangunan jiwa yang mantap....

p/s:masih menanti karya seterusnya..