Friday, September 01, 2006

Doa cucu untuk nenek

Hampir 10 hari saya tidak berhubung dengan keluarga di Malaysia. Biasanya saya tetapkan pada hari Jumaat atau Sabtu untuk menghubungi keluarga, namun minggu lepas saya gagal. Kesibukan mengikuti program Perayaan Menyambut Hari Kebangsaan ke-49 menjadikan rutin saya sedikit talar.

Alhamdulillah, saya sempat menghubungi mereka hari ini dan bertanyakan khabar nenek yang gering. Katanya nenek sekarang di hospital, kerap juga dia bertanyakan hal saya pada ibu. Dia mahu tahu bilakah saya akan pulang. Kalau saya berada di rumah, saya sering menjadi temannya di dapur. Jika dia memotong bawang atau menyiang ikan, saya akan buat-buat sibuk di dapur untuk temankannya.

Yang pasti, nenek selalu mengikut saya ke surau untuk solat berjemaah. Saya akan jadi imam dan dia akan jadi makmum. Paling disukainya, apabila Ramadhan datang...dia akan mengikut ke mana sahaja tempat saya menjadi imam. Tahun lepas saya menjadi imam surau di Kampung dan Masjid Besar Salor...nenek tak pernah ketinggalan walaupun terpaksa solat 20 rakaat di belakang saya.

Yang ingin diutarakan di sini, nenek sangat suka mendengar al-Quran. Kerana gemulah atuk saya tidak pernah meninggalkan tahajjud dan sentiasa membaca al-Quran setiap kali bertahajjud. Saya mohon jasa baik kalian yang singgah di sini...untuk mendoakan kesejahteraan nenek saya yang kini beristirehat di hospital kerana sakit tua.

"Nek, cucu doakan nenek sihat. Cucu harap umur dan waktu nenek masih ada untuk kita bersua. Cucu akan pulang 13hb ini, nenek jangan gusar...insya allah cucu akan menemani nenek di kamar istirehat nanti. Cucu doakan nenek baik-baik sahaja hendaknya."

2 comments:

tintaHati said...

Semoga nenek ubaid cepat sembuh. Saya juga merindui nenek saya. Rindu untuk berbual-bual dan bermanja dengannya. Baru semalam dapat menghubunginya. Alhamdulillah masih sehat lagi.

A. Ubaidillah Alias said...

terima kasih kerana sudi mendoakan, jazakumullah atas ingatan dan doa itu.

-Ubaid-