Thursday, February 28, 2008

DAKWAH PENULISAN SATU KEMESTIAN

Assalamualaikum W.B.T.

Alhamdulillah! Pertamanya marilah kita bersyukur atas pertemuan kedua menerusi catatan bisu ini, sekalipun kita tidak bersua muka namun catatan ini sudah mewakili maksud di hati saya. Seterusnya, saya berterima kasih kerana anda masih mengikuti perkembangan buletin Al-Qiadah untuk kesekian kalinya. Dalam sesi kali ini, saya mahu berkongsi pengalaman sebagai penulis.

Saya pernah bekerjasama dengan Faisal Tehrani untuk menjadi tenaga pengisi bagi program penulisan di Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Program tersebut dibuat pada September 2007 (jika tidak silap). Anda kenal Faisal Tehrani? Pemenang hadiah pertama Sastera Utusan bagi kategori novel remaja selama tiga tahun berturut-turut. Mungkin anda pernah membaca novel 1511, Bila Tuhan Berbicara atau Tuhan Manusia. Kebanyakan novel belia laris dan hebat-hebat belaka. Seorang penulis yang berfikrah Islam dan sangat mahir menjadikan sesuatu bahan ilmiah menjadi sebuah naratif mengasyikkan.

Dalam program itu beliau menekankan kepentingan penulisan Islam dan betapa perlunya golongan agamawan menjadi penulis. Kerana penulisan adalah satu-satunya media sebaran yang paling mudah dan efisien. Penulis muda yang berfikrah Islam juga perlu dilatih dan dibangunkan untuk menentang kebejatan sosial yang mewarnai dunia media cetak. Penulis perlu menerbitkan bahan-bahan berguna untuk menyaingi majalah hiburan seperti Manga, URTV, Hai dan komik-komik tahyul. Paling utama setiap penulis Islam perlu menekankan konsep tauhid serta amar makruf dan nahi mungkar dalam setiap karya yang dihasilkan. Ini sangat penting untuk memperbetulkan minda muda-mudi yang telah dipesongkan pemikirannya akibat media kontemporari.

Jujur saya katakan, penulis Islam sangat dialu-alukan dalam dunia penulisan kreatif mutakhir ini. Untuk makluman pembaca, saya salah seorang penulis sambilan di PTS Millennia Publications. Abang Fauzul Naim selaku pengarah urusan PTS pernah memaklumkan bahawa dia sedang mencari bakat baru dalam penulisan novel Islam. Setakat ini sangatlah sukar untuk mencari manuskrip novel yang benar-benar mencerminkan Islam secara hakiki. Kebanyakan penulisan hanya menempelkan Islam dalam karya dan bukan menjadi Islam sebagai satu cara hidup di dalam penceritaan.

Jika anda pernah membaca novel karangan penulis Indonesia bernama Habiburrahman Asy-Syirazi iaitu ‘Ayat-ayat Cinta’, novel beliau adalah yang terlaris sepanjang tahun 2007. Akhirnya ia telah difilemkan awal tahun 2008. Itu adalah bukti bahawa ramai orang sekarang mencari novel yang ilmiah dan berisi. Orang merasa rugi untuk membeli novel percintaan semata-mata tetapi sifar manfaat. Oleh yang demikian, saya menyarankan kepada pembaca agar belajar menulis sama ada bermula dari membuat karangan biasa dan kemudian menulis cerita yang panjang.

Bukan mudah untuk menjadi penulis, tetapi jika anda berminat untuk menjadi penulis maka anda perlu memulakan latihan mulai sekarang. Tulislah apa sahaja asalkan benda itu bermanfaat. Sedikit demi sedikit anda akan mula mencipta jalan hidup sebagai penulis. Insya Allah.

No comments: