Sunday, August 24, 2008

MENYAMBUT ISTERI KE SISI

Selepas berkahwin bulan Jun lepas, baru semalam aku menyambut kehadiran isteri secara rasmi. Ibuku memimpin isteriku masuk ke rumah dan kami terus duduk di atas pelamin. Pelamin itu bukan untuk bersanding, hanya untuk bergambar anak-beranak. Selepas 10 minit bergambar dengan keluarga dan sanak-saudara, aku menjamu selera dengan keluarga mertua. Pelamin itu sekadar ada dan tidak dibuat apa-apa.

Kami makan sambil duduk bersila di ruang tamu rumah. Makan secara ringkas tapi lauk pauk yang bermacam-macam. Acara semalam memang memenatkan, dari pagi aku bangun dan menyiapkan rumah. Tengahari majlis berjalan dan tetamu datang sampai ke malam. Fuh! Selepas isyak, aku menziarahi keluarga mertua di rumah tumpangan dan sempat membawa adik-adik isteriku keluar bersiar-siar sekejap.

Aku kasihan melihat isteri yang kepenatan dan rumah kami agak bersepah setelah diganyang anak-anak saudaraku yang semuanya masih kanak-kanak. Sebelum tidur, aku kemaskan rumah sekali lagi dan minum segelas air tongkat ali. Kemudian aku memilih sepasang baju untuk dipakai ke sekolah. Mataku terasa begitu kantuk, sebaik menyelesaikan beberapa perkara kecil aku langsung masuk ke bilik untuk tidur. Isteriku sudah tertidur kepenatan, kemudian aku pula yang berbaring dan terus lena.

Pagi ini jam 5.30 pagi, aku dikejutkan isteri dan sewaktu itu dia telahpun menggosok pakaianku. Sebetulnya dia memang selalu bangun lebih awal dariku. (Malunya). Alhamdulillah, kehidupan yang sibuk semalam sudahpun kembali kepada suasana seperti sedia kala.

No comments: