Sunday, December 21, 2008

MEMILIH APA YANG PATUT

(Petikan buku "HEI KAWAN! JANGAN PATAH SEMANGAT!"


MEMILIH APA YANG PATUT, BUKAN MEMILIH APA YANG DIINGINI


Rakanku,


Setiap hari naluri dan nafsu kita akan berperang dengan akal waras. Setiap hari keinginan kita akan berargumentasi dengan kewajaran. Ramai orang yang tidak sedar perbezaan antara perkara yang diinginkan dan yang diperlukan. Kebanyakan orang lebih suka memilih perkara yang diinginkan daripada memilih perkara yang diperlukan.


Contoh 1


Contohnya mudah. Apabila anda mahu makan sesuatu, anda akan bertanya pada diri sendiri. Soalan pertama “Apa yang aku mahu makan?” atau anda akan bertanya soalan kedua “Apa yang aku perlu makan sekarang?”. Memilih makanan bukanlah sesuatu yang mudah, malah ia juga bukan sesuatu yang terlalu sukar. Namun, jika pemakanan tidak dikawal ia tetap memudaratkan. Justeru, memilih makanan berkait dengan keperluan diri.


Jika anda jenis manusia yang suka mengikut keinginan, pasti anda akan memilih makanan tanpa memeriksa kandungan atau bahan-bahan di dalamnya. Sekiranya anda seorang yang suka makan makanan bergula, anda pasti akan memakan semua makanan manis tanpa memikirkan risiko dan kandungan di dalamnya.


Berbeza pula seandainya anda jenis yang suka mengikut kewajaran, pasti anda akan memilih makanan berdasarkan situasi dan kondisi. Contohnya apabila waktu pagi, anda akan memilih makanan separa berat untuk mengelakkan diri daripada mengantuk. Makanan itu pula pasti kurang berkanji. Lalu anda akan memilih makanan yang wajar agar anda tidak mengantuk diwaktu pagi. Begitu juga apabila anda mahu makan diwaktu malam, maka anda harus memilih makanan yang kurang kalori agar tidak terhasil tenaga berlebihan yang boleh bertukar menjadi lemak.


Contoh 2


Seorang kanak-kanak berusia tujuh atau dan sedang bersekolah dalam darjah satu meminta bapanya membelikan motosikal kerana mahu menggunakannya untuk ke sekolah. Kanak-kanak itu menangis dan meraung-raung agar bapanya membelikan motosikal untuknya. Apa yang sepatutnya dibuat oleh seorang bapa? Membelikannya? Atau membiarkannya?


Sebagai seorang bapa adakah dia perlu menurut keinginan anaknya atau membuat keputusan yang wajar? Bagaimana seorang budak kecil akan mampu mengendalikan sebuah motosikal? Tubuhnya masih kecil dan kakinya tidak sampai untuk berpijak ke tanah apabila duduk di atas pelana motosikal. Jika dia mampu memandunya sekalipun, dia akan berada dalam situasi tidak selamat.


Jika bapa membuat keputusan berdasarkan keinginan anak itu, pasti anak itu akan ditimpa musibah. Sewajarnya bapa membuat keputusan yang wajar untuk anak itu, iaitu dia menangguhkan dahulu pembelian motosikal sehingga anak itu menjadi dewasa. Ini bererti, keinginan dan kewajaran mempunyai kesan yang berbeza dalam membuat keputusan. Keputusan yang dibuat mengikut kesesuaian itu selalunya mendatangkan keuntungan dan kebaikan. Manakala keputusan yang dibuat mengikut keinginan boleh jadi membawa kebaikan atau sebaliknya.


Contoh 3


Seorang remaja yang berada di universiti memerlukan beberapa kemudahan untuk meneruskan pembelajarannya. Memandangkan pembelajaran zaman sekarang banyak memerlukan kemudahan komputer dan teknologi, ini menjadikan permintaan terhadap telefon bimbit dan komputer riba meningkat secara mendadak.


Apa yang ingin dinilai kembali adalah bagaimana remaja memilih untuk membeli komputer riba dan telefon bimbit. Jika anda seorang remaja yang berasal dari keluarga yang menghadapi masalah kewangan, anda pasti perlu menimbang sama ada untuk membeli komputer riba terlebih dahulu ataupun telefon bimbit.


Kebanyakan remaja lebih suka mengutamakan telefon bimbit daripada komputer riba sedangkan komputer amat diperlukan dalam pengajian. Sehingga ada yang sanggup menghabiskan wang beribu ringgit untuk membeli telefon bimbit yang mahal sekalipun terpaksa berhutang. Ini menyebabkan komputer riba gagal dibeli.


Sepatutnya seorang pelajar kampus perlu mengeluarkan wang berdasarkan kemampuannya dan membeli barangan yang benar-benar diperlukan. Namun, akibat terikut-ikut dengan keinginan menyebabkan dia telah memilih barang yang salah. Akibatnya, dia menghadapi masalah kewangan untuk membeli barang yang sepatutnya mampu dia beli semenjak awal-awal lagi.


Sebagai konklusinya, remaja memang mudah dikelirukan oleh keinginan yang tidak berasas. Sehingga kebanyakan remaja gagal membuat keputusan yang betul dalam hidup mereka. Kedangkalan pemikiran dan mudah terikut-ikut dengan persekitaran adalah punca remaja membuat keputusan yang silap. Justeru, kewajaran bertindak dan membuat keputusan itu perlu dilatih dengan cara berfikir secara mendalam. Apabila kita berfikir telebih dahulu, pasti kita akan cuba membuat keputusan yang perlu dan sebaliknya kita meninggalkan keputusan yang diingini oleh nafsu kita.

No comments: