Monday, January 05, 2009

WAWANCARA BERSAMA WEBMASTER BUKURIA-MALAYSIA.COM

Wawancara ini telahpun tersiar di http://bukuria-malaysia.com/. Saya cuma copy paste sahaja.


1. Bagaimana maklum balas novel 'Warkah Cinta Berbau Syurga'. Dengarnya sudah dicetak ulang?


Alhamdulillah dan terima kasih atas kesudian Kak Najibah memberi ruang untuk saya berbicara di dalam ruangan bukuria-malaysia. Secara jujurnya ini kali pertama saya menyedari kewujudan laman web bukuria dan ia suatu site yang bagus untuk pencinta buku.


Saya bersyukur lantaran novel kedua saya iaitu Warkah Cinta Berbau Syurga(WCBS) sudahpun diulang cetak. Cetakan pertama sebanyak 3 ribu unit telahpun habis dijual dan cetakan kedua juga sebanyak 3 ribu unit. Sebagai penulis yang masih hijau saya tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa daripada pasaran novel. Cuma, saya sendiri masih mengkaji market buku dan membuat pemantauan sekitar Kota Bharu (Sahaja).

Dari situ saya sedari bahawa novel WCBS menjadi tumpuan kalangan pelajar sekolah agama (maahad) dan sekolah menengah kebangsaan. Hal ini terjadi begitu disebabkan saya sendiri turun padang mempromosikan buku tersebut menerusi ceramah motivasi di kebanyakan sekolah agama dan sekolah menengah kementerian. Seingat saya sekitar sepuluh buah sekolah yang sempat saya promosikan buku tersebut dan secara tidak langsung pelajar berkenaan yang membeli buku itu memberi respon yang baik. Malah mereka turut mempromosikan buku itu kepada rakan-rakan yang lain.


Dari segi pasaran umum, rasanya buku itu biasa sahaja. Namun saya tetap menerima kritikan dan teguran daripada pembaca. Ramai pembaca tidak berpuas hati dengan kesudahan cerita itu. Ada yang beranggapan bahawa cerita itu romantis. Ada juga yang kata jiwang. Namun bagi penulis baru, saya menerimanya sebagai satu teguran membina.


2. Dahulu Ubai bermula dengan novel grafik. Tidak melukis lagi sekarang @ sudah meninggalkan genre tersebut sepenuhnya?


Benar, saya bermula dengan novel grafik. Saya masih melukis dan belum bersara daripada genre itu. Namun setelah novel grafik saya iaitu Sekudus Nur Ilahi (SNI) bergerak lembab di pasaran, saya mula menilai kelemahan dan juga kekurangan buku tersebut. Saya sedari ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki.


Secara diam saya masih membuat skrip dan juga lakaran untuk novel grafik yang akan datang. Skill saya saya dalam genre itu masih bagus dan berkembang. Namun, genre itu saya bekukan seketika manuskripnya daripada terbit di mana-mana media. Kerana saya punya perancangan sendiri dalam genre ini. Saya merancang, setelah saya siap menulis 10 buah judul buku bertulis (Bukan grafik). Saya akan kembali fokus pada genre novel grafik dan juga penulis skrip kartun animasi. Itupun jika saya sudah mempunyai pulangan royalti yang bagus dan masa yang luas untuk melukis.


3. Ubai sangat produktif dengan sasaran 10 buah buku dalam masa terdekat (5 tahun daripada...?). Bagaimana membahagi masa menulis dan biasanya waktu bila yang paling kondusif?

Bermula tahun 2005 saya memulakan penggarapan novel grafik Sekudus Nur Ilahi (SNI) dan ia terbit pada tahun 2006. Seterusnya saya mula menggarap novel WCBS pada tahun 2007 dan ia terbit pada 2008. Pergerakan saya ketika permulaan menceburi bidang ini sangat lembab, kerana sewaktu itu saya tidak mempunyai kemudahan sendiri. Sehinggalah tahun 2008 setelah WCBS terbit, saya mula mempunyai platform dan kemudahan yang memuaskan. Dari situ saya sudah punya jadual yang konsisten dan saya mampu menyusun jadual penulisan dengan baik.


Waktu menulis saya adalah waktu saya bekerja. Saya tidak mempunyai waktu yang benar-benar spesifik, saya fikir saya adalah penulis yang boleh menulis bila-bila masa sahaja asalkan saya tidak diganggu atau penat. Senang kata, waktu menulis saya adalah setiap hari bekerja iaitu di antara jam 7.30 pagi sehingga 3 petang. Setelah pulang, saya simpan sahaja idea di dalam otak dan biarkan ia berkembang sendiri untuk dicurahkan pada keesokan harinya.


Maaf jika ada guru-guru yang tidak setuju dengan cara saya mengurus masa. Semenjak saya menjadi guru di Maahad Tahfiz Sains, saya akan memperuntukkan masa 2 jam sehari untuk menulis. Contohnya jika hari itu saya perlu mengajar di waktu pagi dan tengahari, maka selepas semua waktu mengajar selesai barulah saya akan duduk di hadapan komputer sendiri dan menaip. Kadang-kadang saya balik lewat dari sekolah kerana mencukupkan masa 2 jam menulis itu. Semenjak saya konsisten menulis, saya kurangkan masa makan, berbual dan bersantai dengan guru-guru lain. Sehingga ada rakan saya cakap “Ustaz ubai ni dah masuk alam lain”.


4. Ramai penulis mencedok pengalaman peribadi sebagai bahan karya. Misalnya A Samad Said dengan pengalaman perang dan Abdullah Hussin dengan pengalaman di laut. Sejauh mana pengalaman peribadi Ubai tertuang dalam buku-buku Ubai?


Ya, saya juga begitu. Menggunakan pengalaman peribadi yang telah diubahsuai lalu dituangkan ke dalam penulisan. Saya mendapat beberapa tips bestseller dan antara tips itu ialah penulis perlu menulis sesuatu yang dekat dengan dirinya agar penghayatan itu lebih dalam. Namun, bukan bererti cerita di dalam novel itu adalah kisah saya sepenuhnya. Ada juga kisah itu saya ceduk dari pengalaman hidup rakan-rakan dan orang sekeliling lalu saya cantumkan menjadi satu kisah yang sesuai.


5. Apa pencetus minat Ubai untuk menulis, sepengetahuannya keluarga Ubai dari kalangan pendidik?


Pencetus? He, he, he…bagi saya soalan ini agak peribadi. Pencetus saya ada dua. Pertamanya adalah kekecewaan hidup. Senang cakap, saya menulis selepas putus cinta. Akibat tekanan perasaan, saya terdesak untuk meluahkan segala rasa di jiwa ke dalam buku. Bagi saya pencetus awal untuk saya menulis adalah perasaan sendiri. Pencetus kedua ialah kesedaran agama. Setelah saya menyedari bakat saya dalam bidang ini…serta keadaan bahan bacaan yang semakin banyak unsur hedonisma. Saya mula mengambil sikap proaktif untuk menjadi penulis genre islam.


Saya banyak berbual dan berbincang dengan ibubapa dan agamawan, mereka sangat bersetuju agar saya menulis bahan-bahan bacaan yang mempunyai nilai Islam yang baik. Dan menjadikan ia sebagai bahan bacaan alternatif. Malah saya sempat bertemu dengan pengarah urusan Darul Digital di Kota Bharu iaitu satu institute animasi di bawah kelolaan kerajaan Negeri Kelantan. Pengarah urusan itu sendiri menyatakan bahawa amat sukar untuk mencari penulis atau penulis skrip yang islamik. Dan dia menggesa saya agar melakukan sesuatu untuk tahun mendatang. Dari situ saya sudah bertekad untuk merancang secara beransur-ansur untuk lahir sebagai penulis dan penulis skrip islam insya allah.


6. Ada cita-cita mahu mengarang sepenuh masa kemudian hari?


Cita-cita itu ada. Namun, lebih tepat saya mahu lakukan tiga perkara dalam hidup saya. Pertama belajar ilmu agama, kedua saya mahu mengajar agama khususnya mengajar pelajar yang menghafaz Al-Quran. Adalah suatu yang merugikan jika saya meninggalkan amal jariah mendidik pelajar tahfiz. Dan kerja ini sememangnya saya cintai. Ketiga, saya mahu menulis. Senang cakap, situasi sekarang ini sudahpun melengkapi hasrat can cita-cita saya. Siang saya mengajar di sekolah disamping menulis buku, malam pula saya menyampaikan kuliah di surau. Pada hari minggu saya akan mengikuti kuliah di tempat tertentu.


Mungkin apabila usia sudah lanjut nanti, barangkali…barangkali saya akan duduk dan menulis sahaja. Itupun bergantung kepada kesihatan dan rezeki.


7. Sejauh ini novel-novel Ubai (yang telah terbit dan dalam proses penerbitan) berkisarkan soal cinta. Tiada rencana mahu meneroka sastera serius?


Soalan yang bagus, ia memberikan saya peluang untuk menjelaskan pendirian saya sebagai penulis yang bagaimana. Nawaitu saya memulakan penulisan adalah untuk menyampaikan mesej agama. Itu sahaja. Saya sendiri tidak pernah tergerak untuk menjadi ahli sastera atau bergerak dalam sastera serius. Ini bererti saya tidak akan memilih apa jua genre asalkan jalan cerita itu mampu menerapkan mesej agama dengan baik.


Boleh jadi saya masih remaja dan ruang lingkup penulisan saya bergerak dalam perspektif cinta remaja. Namun, saya juga berhasrat untuk menulis sesuatu yang lebih besar dan melibatkan pengkajian yang lebih empirikal. Namun itu tidak bererti saya akan memilih genre sastera serius atau tidak. Yang penting, jalan ceritanya mampu memuatkan mesej agama. Itu sahaja.


8. Ada golongan percaya bahawa novel-novel cinta Islami yang sedang mencanak naik sambutannya sekarang lebih dekat kepada genre cinta popular daripada sastera serius. Apa pendapat Ubai? Atau ada saranan bagaimana mahu mendekatkan jurang antara novel cinta Islami kepada sastera serius tanpa kehilangan pembaca?


Mungkin itu benar. Secara jujurnya saya bukan peminat novel. Maafkan saya kerana berkata begitu. Saya tidak pernah khatam novel HAMKA, saya tidak pernah khatam novel Habiburrahman dan senang cakap saya bukan pembaca novel yang baik. Apatah lagi buku-buku serius yang bukan dari genre agama, lagilah saya tidak baca. Jadi saya tidak punya visual yang jelas tentang perkembangan novel Islamik yang cenderung kepada novel popular. Secara peribadi saya tidak pernah kisah soal popular atau sastera serius. Saya juga tidak suka memberi label bahawa buku itu popular atau buku itu sastera serius. Bagi saya setiap penulis mempunyai sebab untuk menulis sesuatu buku.


Bagi saya selaku penulis novel cinta islam, secara peribadi saya ingin nyatakan bahawa sebagai orang muda yang penuh dengan imaginasi, saban hari saya bergelut dengan emosi sendiri untuk mencari jalan cerita yang baik. Saban hari ilmu dan jiwa saya bergasak dengan untuk memujuk diri sendiri agar jangan lari daripada matlamat menerapkan mesej agama. Namun, saya sedari masih ada kekurangan dalam setiap penulisan dan saya sentiasa bermuhasabah. Disebabkan usia dan kematangan yang masih kurang, secara tidak langsung saya rasakan karya saya lebih kepada cinta popular. Ini terjadi kerana ilmu dan pengalaman hidup penulis yang terbatas. Namun, jika buku saya itu dikatakan popular atau sebaliknya…saya juga tidak merasa lelah. Yang penting saya sedaya upaya mengikut ilmu yang saya pelajari dan jika ia masih terdapat percanggahan dengan syariat sudah tentu saya bersedia untuk memperbaikinya. Biasalah tu.


Saya rasa untuk mendekatkan jurang antara novel Cinta Islami kepada sastera serius tanpa kehilangan pembaca adalah suatu yang sukar. Namun hal itu mungkin berlaku jika rakyat Malaysia ini mula mencintai ilmu dan sukakan perkara ilmiah. Masalahnya hal itu seperti mustahil. Maklum sajalah rakyat Malaysia sukakan hiburan dari pembacaan.


9. Siapa tokoh dunia kepengarangan yang paling disanjung oleh Ubai?


Saya bukan pembaca novel yang baik. Sejujurnya saya tidak pernah mengkagumi mana-mana penulis novel. Maaf jika perkataan saya itu tidak disenangi. Orang yang saya sanjungi kerana ilmunya hanyalah nabi Muhammad dan imam-imam salafussoleh. Semenjak saya bergelar graduan al-Azhar, saya tidak mampu mengkhatamkan sebuah novel sesiapapun…tetapi saya tidak susah untuk membaca berjam-jam lamanya kitab al-Azkar karangan imam syafie atau buku hadis imam Bukhari atau kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali. Sehingga kini saya hanya mengkagumi buku-buku hadis nabi dan juga buku-buku ilmiah sahaja.


Jika perlu disebut, orang yang saya sanjungi dalam dunia kepengarangan ilmu mungkin dua orang sahaja iaitu Imam Ghazali menerusi kitab Ihya Ulumuddin dan Imam Bukhary menerusi kitab hadisnya.


10. Sekarang sedang menukangi cerita mana, dan anggarannya bila manuskrip yang sedang dalam proses penelitian akan terbit? Rasanya ramai yang menunggu buku Ubai yang seterusnya.


Sekarang saya sedang menukangi cerita cinta islamik yang bertajuk “Mengintai Cinta Dari Kamar Al-Khalifah” dan saya anggarkan manuskrip ini akan terbit pada Mac 2009. Saya rasalah, saya tidak berani pastikan. Terserah pada pengurusan penerbit.


11. Soalan penutup, buku apa yang sedang Ubai baca sekarang & buku apa yang meninggalkan kesan paling mendalam terhadap Ubai hingga hari ini?


Erm, segan nak jawab. Sebenarnya saya tidak cenderung membaca mana-mana buku selain daripada tafsir Al-Quran dan kitab hadis nabi. Ini sahaja dua buah buku yang saya pegang sampai sekarang. Hari-hari saya belek dan hari-hari saya telaah. Buku lain saya cuma tengok-tengok dan letak. Baca juga buku lain tapi tak khatam. Sebagai penghafaz Al-Quran saya punya obligasi untuk memahami apa saya hafaz sebelum saya cuba menelaah buku lain. Sehingga kini saya tidak mampu berkompromi dengan diri sendiri untuk membaca buku lain.


Maaflah jika bunyinya macam absurd ke apa. Saya mendapat ilham penulisan dan keindahan bahasa apabila saya meneliti keindahan bahasa Al-Quran. Malah di dalam Al-Quran ada banyak kisah sedih dan perjuangan. Ada kisah tragis dan pengorbanan. Dari situ saya mendapat impak yang dalam. Begitu juga apabila saya meneliti sirah nabi dan hadis-hadisnya, saya cukup terkesan dengan kisah perjuangan para sahabat. Lagipun saya juga bertugas sebagai pengkuliah masjid, sudah tentu Al-Quran dan hadis nabi banyak menyedarkan saya. Itu sahaja.


Terima kasih kerana sudi menjawab soalan-soalan.


Sama-sama. Mohon maaf jika terkasar bahasa. Wassalam.


http://bukuria-malaysia.com/

No comments: