Friday, December 08, 2006

BICARA PARADIGMA 1

Tunas Itu

Bila disebut ketam, mana mungkin ia berjalan ke depan. Bila kayu yang dipanah mentari itu bengkok, mana mungkin bayangnya menjadi lurus. Itu adalah sunnah alam. Hanya yang lurus, akan melahirkan yang betul. Hanya yang betul akan mencipta sesuatu yang tegak. Begitu juga hubungan antara guru dan murid, guru yang mempunyai paradigma yang betul dan kriteria yang murni sahaja bisa melahirkan murid-murid yang berkarisma. Murid-murid adalah tunas yang perlu disemai dan dibajai dengan air-air budi dan baja-baja ilmu yang segar. Jika air dan baja itu bobrok, ia akan pantas menjadi haprak.

Tidak dinafikan ada juga tunas yang tumbuh subur tanpa perhatian sesiapa. Mungkin disebabkan persekitaran yang baik dan keadaan sekeliling membantu kemandiriannya menjadi sekuntum tunas yang mekar dengan budi dan moral. Hal itu mungkin terjadi jika wujudnya persekitaran yang baik. Tetapi, di zaman sekarang ini adakah mampu kita temui suatu daerah yang benar-benar aman dari kebejatan dan keruntuhan moral?

Mungkinkah kita temui daerah sebegitu? Jika ada, di mana? Di Kelantan?

Atmosfera yang Meracuni

Majoriti tunas-tunas muda menjadi rosak dan bobrok akibat ketewasannya menghadapi suasana. Ia menjadi rencam diselubung atmosfera yang penuh kekeliruan. Tidak mampu membezakan mana satu racun dan penawar, akhirnya ia terhidu racun dan merosakkan saraf paradigma dalam jiwanya. Bila sarafnya rosak, paradigmanya hancur.

Kesukaran untuk mencari udara yang bersih, sinar yang murni dan tanah yang subur menyebabkan kebanyakan tunas menjadi makhluk sia-sia. Sukar mereka temukan suatu daerah yang mendidik dan membentuk pekerti murni. Di mana-mana sahaja mereka memandang dan bernafas, mereka akan menatap budaya yang telah runtuh etika dan songsang definisi moral. Mereka tidak faham apa itu baik dan apa itu buruk. Lebih teruk, mereka tidak kenal apa itu dosa dan pahala.

Kerana itu beribu-ribu tunas menjadi haprak di pusat serenti, menjadi mayat kering dimamah dadah dan heroin. Yang berkeliaran bikin huru-hara hingga menimbun kes ragut, pecah rumah, rompak, rogol dan bunuh. Ini adalah suasana yang lahir bila moral dan agama diabaikan oleh majoriti penduduk negara.

Definisi

Definisi adalah erti. Hanya yang mengerti akan tahu definisi setiap sesuatu. Contohnya bila ditanya apa itu kejayaan? Apakah erti kejayaan sebenar? Apa hakikat kejayaan? Bolehkah kita menjawabnya dengan tepat dan pasti? Begitu juga bila ditanya pada remaja, apa yang kamu mahu sebenar-benarnya dalam kehidupan ini? Apa yang kamu inginkan dalam kehidupan yang singkat ini? Apakah barang yang bila kamu memilikinya barulah kamu dianggap berjaya?

Berjaya setelah mempunyai duit? Duit akan habis juga…
Berjaya bila sudah ada karier yang stabil? Karier akan berkahir juga…
Berjaya bila jadi selebriti? Popularity akan pudar kelak…
Berjaya bila memiliki akhlak yang baik? Akhlak dan budi dibawa mati…

Sejujurnya saya tidak tahu apa yang remaja sekarang inginkan dan apa yang mereka terkejar-kejar. Yang saya tahu, remaja sekarang malas berfikir tentang masa depan dan hanya tahu nak senang dalam masa yang singkat. Kalau boleh semua benda nak cepat, nak segera, tak mahu penat atau bersusah payah. Tanpa berfikir kesan buruk daripada tindakan yang mereka ambil. Akhirnya, mereka senang seketika dan menderita lama.

Justeru, sebelum berbuat sesuatu perlu masing-masing jelas tentang sunnah alam. Sesuatu yang baik memang sukar diperolehi. Mana mungkin nak emas berketul-ketul dengan buat kerja sehari. Jadi, perlu mengerti bagaimana kejayaan sebenar diperoleh? Perlu tahu apa itu usaha? Perlu tahu apa itu sabar dan tegar.

No comments: