Sunday, January 07, 2007

LAGI ISU RUFAQA'

Saya menulis kepada Azizi Abdullah :

Assalamualaikum wrt wbt

Bagi saya, Al-Arqam ini didokongi oleh ramai orang-orang yang ikhlas untuk membawa Islam. Cuma, majoriti orang yang memasuki al-Aqram adalah orang yang tidak punya asas agama yang kukuh pada awalnya. Sebab itu, saya jarang menemukan nama ulama besar yang menyertai al-Arqam.

Saya ingin bercerita, semenjak kecil lagi saya bertadika di tadika Al-Arqam. Muallim dan muallimah yang mendidik saya adalah orang yang wajar dipuji atas akhlak dan keikhlasan mereka.

Namun, saya tidak dapat menafikan bahawa golongan atasan Al-Arqam khususnya Asy'ari sendiri mengambil kesempatan ke atas orang2 baik ini. Mereka dipergunakan untuk tujuan-tujuan tertentu.

Ketika tahun 1986, sebuah tadika Al-Arqam ditubuhkan di sebelah rumah saya. Orang2 kuat al-Arqam sering singgah di rumah saya sebagai tempat transit, termasuk Asy'ari sendiri pernah bermalam di rumah saya.

Sepanjang tempoh itu saya memerhati dalam banyak hal.

Perkara pertama yang saya temui di dalam Al-Arqam ialah kasta. Setiap pakaian dan warna jubah mereka adalah mewakili kedudukan tertentu. Contohnya serban warna sekian, hanya layak dipakai oleh orang sekian. Sedangkan di dalam Islam tidak ada kasta dalam apa jua keadaan.

Kedua, wujud kezaliman ke atas kaum wanita. Mereka berkahwin ramai dan tanggungan diabaikan. Khususnya lelaki, hasil gaji dan wang mereka banyak disalurkan kepada jemaah. Sedangkan ibu2 ini perlu mencari rezeki sendiri untuk menyara anak. Malah, ramai isteri diceraikan dan dikahwinkan semula kepada rakan-rakan al-Arqam. Malah ada juga yang menjanda.

Saya ulangi lagi, ramai orang yang ikhlas di dalam Al-Arqam untuk membawa agama. Tetapi mereka dipergunakan dalam aspek tertentu.

Apapun, Islam tidak boleh diambil secara taklid sahaja. Ia perlu dikaji dan diteliti. Soal wirid dan zikir, itu perkara penting dalam agama. Memang Al-Arqam menekankan perkara ini.

Tetapi, soal ketaksuban kepada abuya ini adalah perkara 'bahaya' yang boleh menjejaskan akidah.Saya masih ingat, ketika Al-Arqam membuat jualan suatu masa dulu. Gambar asya'ari ditampal di semua sudut. Malah dibutang baju jubah juga terdapat gambar abuya ini.Bukankah nabi tidak menggalakkan kita menggantung gambar? Apatah lagi memuja gambar itu?

Saya juga tidak pasti adakah Tuan Haji Azizi melihat rakaman yang disampaikan oleh Abu Zarim dan mendengar bicaranya.(Rakaman boleh didapat dalam ahkam.net sebelum ini) Jika boleh, saya ingin mendapatkan kepastian siapakah sebenarnya Abu Zarim itu. Benarkah dia ini sekadar boneka atau orang kuat asya'ari. Kerana kalamnya di dalam rakaman tersebut benar-benar menyeleweng dari akidah Islam.

Saya tegaskan, catatan ini saya tulis dengan naluri yang inginkan kebenaran. Saya pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran di Kelantan. Juga bekas penuntut di Universiti Al-Azhar bahagian Usuluddin. Jika saya salah. Mohon dibetulkan. jika saya benar. Mohon diperakukan.

------- catatan saya kepada beliau berakhir di sini------

Tambahan :

Saya tidak menafikan jika wujud perancangan politik pihak tertentu dengan 'meletupkan' isu Rufaqa' demi menutup isu-isu seperti Al-Tantuya dan sebagainya.

Saya tidak menafikan bahawa Rufaqa' mengamalkan sistem ekonomi dan perniagaan yang sangat positif dalam membantu Umat Islam. Saya tidak menafikan bahawa terlalu banyak kemurnian akhlak yang ditampilkan dalam Rufaqa' ini.

Semua catatan saya sebelum ini bukan untuk menafikan kebaikan-kebaikan itu. Apa yang ingin saya minta ialah penelitian semula dalam Akidah Rufaqa'. Kerana di sana timbulnya beberapa 'kekeliruan' dalam hal akidah. Ini kerana akidah adalah soal akar(Asas) dalam agama Islam. Jika rantingnya, cabangnya sahaja baik, tetapi akarnya rosak. Dibimbangi kebaikan itu juga tidak menjadi.

Saya menyayangi saudara/saudari seakidah dengan saya. Cukuplah kita berbalah soal wahabi-syi'ah-sunni. Yang penting sekarang kita bukan membuka kesalahan dan membesarkannya. Yang penting sekarang ialah kita kembali mencari kekurangan ini untuk diperbaiki. Ya, untuk diperbaikinya. Itu sahaja.

1 comment:

A. Ubaidillah Alias said...

Iya...

Kita menerima yang baik dan menimbang mana yang dirasakan kurang menepati syarak. Setelah kembali kepada Allah dan rasulnya, barulah kita menghukum sesuatu itu benar atau salah.

Mudah-mudahan allah memberi hidayah kepada kita semua.