Sunday, November 16, 2008

BAHAGIA ATAU CINTA? INFINITI ATAU SEMENTARA?

Biar saya tanya anda, mahu bahagia atau mahu cinta?


Anda jawab mahu kedua-duanya atau salah satu?


Adakah cinta dan bahagia itu dua perkara berbeza?


Atau cinta dan bahagia itu serupa, sama dan setaraf?


Ramai remaja cakap pasangan yang saling mencintai dan romantik, pasti akan merasai kebahagiaan. Kalau begitu, kenapa orang kahwin tanpa bercinta sebelumnya, malah kedua-duanya tidak romantik namun masih bahagia. Ada juga remaja cakap, hanya saling mencintai baru dapat bahagia. Okey, saya setuju. Dan ketahuilah…bahagia itu adalah satu pulau yang dibentuk oleh pohon-pohon perasaan yang berbagai. Dibentuk oleh tanah-tanah emosi yang bervariasi. Pulau bahagia itu terbina dengan adanya pohon kasih, pohon cemburu, pohon sayang, pohon marah, pohon belai, pohon cinta dan lain-lain. Pulau bahagia itu terbina dari tanah cemburu, tanah setia, tanah waspada, tanah amanah, tanah sabar dan lain-lain. Ini bererti, bahagia itu sebuah pulau yang terbentuk dari berbagai rasa dan cinta adalah salah satu penghuni di atasnya. Setujukah?


Sekarang saya mahu tanya…anda mahu bahagia atau cinta?



Ada orang kata, cinta adalah kekuatan yang membolehkan pasangan hidup bahagia. Tanpa cinta, manusia tidak bisa bersama dan meneruskan kehidupan. Benarkah? Bagi saya. Cinta itu adalah satu batu-bata untuk membina tugu bahagia. Dan untuk mencipta tugu bahagia, kita masih memerlukan berbagai batu-bata yang lain lagi. Ini bererti, memiliki cinta belum tentu bahagia. Jika anda memiliki bahagia, pasti di dalamnya akan tersemat cinta. Ketiadaan cinta tidak bererti kita kehilangan segala-galanya, tetapi…memiliki cinta pasti akan mempercepatkan proses bahagia.


Cuba lihat sepasang kekasih yang bercinta, bukahkah kekadang mereka ketawa kerana gembira, kekadang mereka bergaduh kerana membenci, kemudian mereka senyum kerana mencintai. Sepanjang konflik perasaan berbolak-balik, mereka masih bersama bukan? Selagi mereka kuat memagar perasaan masing-masing pasti mereka akan sentiasa berada di dalam satu ikatan. Sekarang kita baru menyedari bahawa hubungan percintaan seorang nakhoda tidak boleh berasaskan rasa cinta sahaja. Malah ia memerlukan kekuatan lain untuk turut serta. Jika mahu sampai ke pulau bahagia, anda memerlukan lebih dari cinta. Anda memerlukan unsur sabar, tabah, istiqamah, amanah, dan macam-macam lagi.


Sekarang…jika saya. Anda mahu cinta atau bahagia?


Atau dalam soalan lain yang bermaksud sama, anda mahu memiliki satu rasa atau banyak rasa dalam kehidupan?


Atau dalam kata lain lagi…anda mahu menjadi pencinta semata-mata atau mahu menjadi manusia yang memiliki segala rasa manusiawi? Saya yakin anda punya jawapan tersendiri. Bagi saya, kejarlah bahagia. Pasti di dalamnya ada rasa yang berbagai-bagai untuk dikecap bersama kekasih.

Lalu saya lontarkan soalan kedua.



Mahu kejar bahagia yang bagaimana? Infiniti atau sementara?



Kebahagiaan yang mahu anda bina dan miliki ini, adakah mahu yang bersifat abadi hingga ke syurga atau sementara sahaja di dunia?



Secara warasnya, tiada manusia yang mahu sesuatu benda baik yang bersifat sementara. Orang sanggup membeli barang yang mahal kerana kualiti dan ketahanan barang tersebut. Orang sanggup bergolok dan bergadai kerana mahu mempertahankan tanah air yang dianggap milik kekal bagi generasi anak cucu. Sudah jelas, secara waras manusia pasti mahukan kebahagiaan yang tahan lama dan kental. Agar tidak perlu melalui mimpi-mimpi duka dan kekecewaan.



Jika benar mahu mencari keabadian cinta…maka kita perlu mencari suatu kuasa yang mampu membina dan meruntuhkan. Kuasa yang mampu menghidupkan dan mematikan. Hanya yang berkuasa atas membina dan menghidupkan sahaja akan mampu mengabadikan kewujudan sesuatu benda. Dan kekuasan itu sudah pasti adalah milik Allah.


Lalu saya tanyakan anda…sudahkah anda mengenali tuan yang memiliki hati manusia ini?


Sudahkah anda mengenali tuan yang mencipta bahagia ini?



Belum? Jika belum…mungkinkah anda memperoleh bahagia dan keabadiannya jika anda tidak kenal pemiliknya?


Saya beri contoh. Anda mahu dapatkan sebuah kek keladi dari orang tertentu. Sudah pasti anda perlu mengetahui alamatnya, nombor telefonnya, nama pembikin kek itu, harga kek dan cara menempahnya. Jika anda tidak tahu kesemua ini. Bagaimana anda akan dapat memperolehi kek tersebut. Begitu juga jika anda mahu mendapat kebahagiaan abadi. Mampukah anda memperolehinya jika anda tidak tahu sifat pembikinnya, cara menghubungi-Nya, nilai yang perlu anda bayar untuk memperolehinya dan cara mendapatkannya.

Anda mahu bahagia bukan? Bahagia yang abadi…betul tak? Percayalah…hanya Allah yang memilikinya. Dan hanya Allah yang mampu memberikannya. Bukan manusia lain, bukan makhluk lain dan bukan wanita atau lelaki yang anda dampingi. Tetapi dia yang mampu berikan.

No comments: