Wednesday, November 12, 2008

Novel Sudah ~ Buku Motivasi Pula

Setelah melihat novel saya mendapat sambutan yang positif, terasa mahu menulis dalam genre rencana ilmiah yang berbentuk motivasi. Setakat ini saya sudah siap menulis sebuah manuskrip dan sudahpun diterima oleh penerbit KarnaDya. Semalam saya berbual panjang dengan Puan Aina Emir melalui telefon. Sungguh Puan Aina Emir berbicara bagai seorang ibu kepada anak. Memberi respon positif dan menanai saya dengan beberapa komentar jujur. Insya allah, buku motivasi untuk remaja akan terbit dalam masa terdekat ini.


Ia menceritakan beberapa pengalaman hidup dan paradigma yang saya bina selama melusuri kehidupan seorang agamawan. Saya benar-benar mahu berkongsi apa yang ada pada titik persepsi saya kepada umum. Buku itu masih belum punya judul yang pasti. Mungkin tajuknya "HEI KAWAN! JANGAN PATAH SEMANGAT!!"


Sekarang, saya sudah merintis buku motivasi kedua. Perihal cinta dan pemilihan pasangan hidup dari kacamata orang yang baru berumahtangga. Tajuknya "Aku Mahu Jatuh Cinta! Tapi, dengan siapa?". Buku ini adalah satu ekspressi santai dan berseloka untuk tatapan remaja. Saya belum tahu penerbit manakah yang akan menerima manuskrip tersebut. Doakan ia sesuai diterbitkan dan bagus untuk tatapan remaja.


Petikan buku 'Aku Mahu Jatuh Cinta! Tapi, dengan Siapa?'


PERSIAPKAN SAMPAN KECIL MILIK NAKHODA

Percintaan ibarat sebuah pelayaran yang berlangsung di atas lautan kehidupan. Percintaan memerlukan kesepakatan antara nakhoda dan kelasinya dalam merentasi lautan walau segetir manapun. Dalam pelayaran ini, seorang nakhoda perlu memahami tiga perkara. Pertama, sampan yang bakal membawanya belayar. Kedua, sifat lautan yang perlu ditempuhnya. Ketiga, destinasi yang ingin dituju dalam pelayaran ini.

Sampan itu, adalah hati.

Lautan itu adalah kehidupan.

Matlamat pelayaran ialah pulau bahagia.

Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi. Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan. Ia membawa cuaca tersendiri dan memberi impak di dalam hati manusia. Hati manusia ibarat sampan kecil yang dipaksa berlayar dalam lautan lepas. Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata dan memulakan pelayaran. Sudah pasti, sampan kecil yang menempatkan sebentuk hati manusia itu bisa ditimpa pelbagai kemungkinan.

Anda mahu jatuh cinta bukan? Jatuh cinta bererti memulakan pelayaran. Andai mahu belayar, anda perlu menjadi seorang nakhoda. Anda perlu memiliki sampan yang mampu membawa anda dan kekasih sampai ke destinasi. Oleh itu, sudahkah anda persiapkan sampan kecil yang kukuh dan utuh itu? Sampan yang akan membawa cinta anda dengan selamat.

Ingat…

Dunia bukan syurga…dunia adalah tempat manusia diuji!

Ingat…

Dunia adalah realiti…bukan tempat untuk mimpi nihil!

Ingat…

Lautan kehidupan itu dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan. Adakah sampan milik nakhoda sudah bersedia untuk membawa kekasihnya demi menakluk pulau bahagia? Sudahkah ia cukup kuat untuk menongkah gelombang? Cukup teguhkah ia untuk membelah taufan? Cukup tegarkah ia untuk menahan goncangan?

Atas sebab itu, nakhoda perlu membina sebuah sampan paling teguh demi berlayar dalam lautan kehidupan itu. Kini, persoalan yang perlu dijawab ialah. Apakah sampan yang paling teguh dan persisten untuk menempuh sebarang cuaca kehidupan?

Jika sampan itu adalah hati. Dan hati itu perlu diperteguhkan. Apakah elemen yang akan memperteguhkan hati itu sehingga ia menjadi tegal dan mapan?

Itulah prinsip dan paradigma!

Prinsip dan paradigma yang betul akan membantu anda membuat keputusan dan membantu anda bertindak dengan betul.


Ada komen? Beritahu saja. Saya amat mengalu-alukannya.

4 comments:

aq said...

..biarkan sampan bersemadi di pulau sepi..

A. Ubaidillah Alias said...

Uiks! Macam sedih aje bunyinya. Bersemadi itu untuk yang telah mati. Yang hidup, kena ikhtiar mencari. Memberi. Menerima. Merasai dan redha dengan ketentuan.

Itulah hidup.

aq said...

..haks..kadnag2 terlupa samada sedang hidup atau sedang mati..

A. Ubaidillah Alias said...

Yang bersyukur, sewajarnya tahu menghargai hidup. Yang berharap, perlu mengejar harapan mendapat redha tuhan.

Keluhan terhadap kesulitan hidup...hanya mendatangkan kesedihan. Rugi benar kita hidup sedih kerana dalam hidup masih banyak peluang untuk mencari bahagia.

Ermm...carilah bahagia.