Monday, November 03, 2008

Mengintai Cinta Dari Kamar Al-Khalifah

Saya berkira-kira sendiri. Akhirnya hari ini saya telah menghantar novel ketiga dengan judul "Mengintai Cinta Dari Kamar Al-Khalifah"


Petikan Novel :


Laila,

Jangan sesekali kau memetik bintang cinta dari langit kegelapan, lalu kau sematkan ia di dalam hatimu yang majhul hakikat. Kerana ia akan membawamu ke lubang zulmat. Jangan sesekali kau menyeru kata rindu tanpa kefahaman dan melagukan mantera kasih tanpa tujuan, kerana ia akan menjadi taufan yang meruntuhkan tugu keperibadian yang sedia berdiri di atas tapak pekertimu. Cinta itu seperti titisan jernih air hujan yang perlu ditadah dalam bekas suci, ditatap atas piring agama hingga memahamkan dirimu hakikat tuhan. Ia perlu difahami dan diselami dengan satu erti seertinya.

Laila,

Cinta itu…satu misteri yang hanya mampu dibiaskan oleh nur ilahi. Hanya yang mengerti amanah khalifatullah akan mampu mengutip nur ilahi dan menyelamatkan manusia dari kebutaan cinta nafsu. Dan seharusnya setiap lelaki, menanai pekerti Al-Khalifah dan menatang cinta yang terkelarai dalam wadah kebenaran. Barulah nur ilahi akan menerangi setiap cebisan rindu, setiap keluhan resah, setiap sekelumit kasih yang mengguyur dalam jiwa manusia. Mudah-mudahan segala sengsara duniawi yang terhasil dari mimpi-mimpi manusiawi akan mampu diusir jauh dari realiti.

Laila,

Jika engkau benar-benar mahu bahagia, intailah cinta yang tersembunyi di dalam kamar Al-Khalifah. Jika bisa kau rebut ia dengan kekuatanmu, capailah semahunya. Mudah-mudahan resah yang kau tanggung, pilu yang kau usung, pedih yang menghurung, akan sirna dari lubuk kalbumu. Lalu kau perolehi damai abadi.


Sekarang novel dalam proses 'Pending' dan jika penerbit berpuas hati, insya allah akan menemui anda di pasaran tahun hadapan. Dan, kini saya sudah merancang buku seterusnya. Ia lebih kepada skrip komik untuk dijadikan novel grafik.


All the best!

8 comments:

Mumtazah : : - Kita Jauh Tapi Dekat - : : said...

Payah nak faham tu akhi maksud akhi. Terlalu berbunga-bunga, takut tidak sampai mesej

Jika untuk remaja terlalu tinggi bahasa nya

Jika untuk dewasa seperti ana, tentu ana mahukan yang mudah-mudah difahami

A. Ubaidillah Alias said...

Ayat yang sukar itu hanya pada pembuka sahaja. Kandungan, biasa saja.

Apapun, terima kasih sudi memberi komen. Akan dipertimbangkan untuk masa mendatang. Terima kasih.

- just me - said...

Bahasa yg indah, bicara yg sgt meruntun jiwa. Terima kasih.. Saya akan nantikan novel ini. Harap2 boleh maklumkan jika dah berada di pasaran..

Semoga Allah sentiasa memberikan taufik & hidayahNya buat saudara utk terus berkarya & menyulam dakwah.. :)

- just me - said...

Seperkara lg, kiranya ada izin dr saudara saya ingin quote petikan novel yg saudara tulis dlm entry ini di blog saya, with credit for sure. In advanced, terima kasih.

A. Ubaidillah Alias said...

Bisa aja.

Zaid Akhtar said...

bai,
mubarak!
:-)

aq said...

superb!!saya pun akan nantikan..ada ke pasaran di luar Malaysia??tapi boleh beli online kan??...

A. Ubaidillah Alias said...

Abang Zaid,

Sedang bercita-cita nak tulis novel sebagus 'Salju Sakinah' yang sudah jadi best seller. :)

aq,

Pasaran luar Malaysia belum. Kalau nak minta diposkan...boleh aje. Dengan caj sekali le. Hehehe.

Apepun, tunggu terbit dulu. Nanti kita bincang. Terima kasih atas segala dorongan. Segala yang baik, datangnya dari Allah.