Wednesday, March 07, 2007

Guru II : Komunikasi Guru

Sudah beberapa bulan berdepan dengan karenah pelajar, ternyata kesabaran dan keteguhan di dada teruji. Alhamdulillah, sepanjang berdepan dengan beberapa kes pelajar, tuhan masih berikan kepadaku hati yang lapang dalam menghukum. Pantas aku tidak terburu-buru memarahi atau merotani mereka yang dianggap bersalah.

Anak didikku masih muda, terlalu mentah untuk memahami erti kepatuhan dan kesopanan. Apatah lagi jika bagi sesetengah pelajar yang berasal dari keluarga mewah dan kaya. Ibubapa masing-masing sibuk mencari rezeki, hingga tiada masa mengajar anak sendiri perihal adab dan akhlak. (Jangan salahkan pelajar semata-mata)

Kecetekan ilmu dan kerendahan akal membuatkan mereka sering bersikap kurang rasional. Kekadang, jika ditegur mereka merajuk dan mecak. Jika dirotan, mereka langsung menangis dan menjadi agresif. Kenapa begitu? Kerana di fikiran mereka ada dua perkara yang sukar dijawab. Pertama, mereka tidak tahu apa salah mereka. Kedua, ada yang merasakan dirinya tidak bersalah dan menganggap ustaz merotan tanpa usul periksa.

Justeru, dalam mendidik pelajar. Guru-guru harus mempunyai skill komunikasi dan memiliki keikhlasan hati. Jelaskan kepada pelajar setiap kesalahan, agar mereka faham apakah salah mereka. Kedua, yakinkan mereka bahawa tindakan mereka itu adalah tidak betul dengan membawa bukti dan fakta. Kemudian, rotanlah mereka dengan niat untuk membetulkan, bukan mendera.

Selain daripada itu, ada baiknya jika guru sendiri menjadi contoh. Menunjukkan akhlak yang baik. Menjaga waktu, memasuki kelas yang diamanahkan, tidak merokok, tidak bercakap celupar dan lucah, tidak membebel, tidak suka melepaskan geram dan lain-lain. Jika guru berakhlak mulia, insya Allah anak didik juga akan tahu menilik perangai mereka. Sebaliknya jika guru berperangai hantu. Anak didik akan menjadi pelesit yang berpeleseran.

Sekian kelas guru hari ini.

No comments: